Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Unknown | Posted on 3:54 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


BURUK PERANGAI ORANG POLITIK....

Posted: 12 Jan 2017 06:26 AM PST

shahbudindotcom


Semuanya benar belaka. Seperti yang dijangka dan diramalkan oleh Tengku Mahkota Johor, itulah yang benar-benar terjadi akhirnya kepada Mohd Faiz Subri, pemenang anugerah Puskas FIFA 2016.

Baginda mendakwa, kemenangan Mohd Faiz bakal dipergunakan oleh pihak tertentu untuk meraih populariti.

Saya ucapkan tahniah kepada Faiz dan pada masa yang sama kasihan kepada dia kerana saya tahu selepas ini sesetengah media dan menteri-menteri akan cuba mempergunakannya untuk populariti mereka, kata pemilik kelab bolasepak JDT itu.
 
 
 
 
Mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan kepada Mohd Faiz atas kejayaan yang dicapainya barangkali masih boleh diterima, lebih-lebih lagi jika kaitannya jelas dan nyata.

Menteri Belia dan Sukan mengucapkan tahniah dan mengumumkan sumbangan penghargaan RM150 ribu, termasuk RM50 ribu daripada FAM, tentu boleh diterima kerana berkaitan bidang tugasnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan RM50 ribu, juga boleh diterima kerana Mohd Faiz adalah pemain bolasepak bagi negeri itu.
 
 
 
 
Menteri Besar Kedah mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan yang belum disebutkan bentuknya, turut boleh diterima kerana Mohd Faiz adalah anak kelahiran negeri tersebut.

Tetapi, mengucapkan tahniah sambil mengaku Mohd Faiz juga adalah anak didiknya....aduhhh...pening kepala segala ayam dan itik dibuatnya.

Agaknya pernah menjadi "bapa didik" kepada Mohd Faiz itu boleh menambah undi untuk bertanding jawatan Presiden FAM nanti!
 
 
 
 
Begitu juga dengan seorang menteri ini, dalam mengucapkan tahniah atas kejayaan Mohd Faiz, tetapi meletakkan gambarnya sendiri lebih besar daripada gambar pemain bolasepak yang menang anugerah dunia itu.

Nampak sangat yang dikejar ialah manfaat untuk diri sendiri.

Bila segala-segalanya mahu dijelmakan menjadi undi, maka ternampaklah buruknya perangai orang-orang politik itu. 


Guan Eng disoal siasat polis Bukit Aman esok

Posted: 12 Jan 2017 05:54 AM PST

Susan Loone



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan disoal siasat oleh polis dari Bukit Aman berhubung kenyataan beliau yang berkaitan dengan Akta 355 yang dicadangkan oleh PAS.

Sumber DAP memberitahu Malaysiakini, Lim akan disoal siasat di pejabatnya tingkat 28 Bangunan KOMTAR pada jam 11 pagi esok.

"Beliau akan disoal siasat di bawah Akta Hasutan; kami tidak faham mengapa kerana kenyataan yang dibuatnya bersifat politik, tiada apa-apa yang menghasut," jelas sumber itu.

Secara kebetulan, Lim menjemput pihak media untuk menghadiri sidang media di Komtar.

"Mereka (pihak berkuasa) seolah-olah mahu mengenakannya dengan apa jua cara," kata sumber itu.

Lim kini berdepan dua pertuduhan rasuah yang berkaitan pembelian banglo di Jalan Pinhorn dengan perbicaraannya telah ditetapkan selama 35 hari dan melibatkan 60 saksi mulai 27 Mac ini.

Beliau juga menghadapi kes menghina mahkamah yang difailkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan komen Lim mengenai rasuah dan salah guna kuasa terhadapnya.

Menurut sumber itu, Lim mengeluarkan kenyataan pada 23 November tahun lepas dan salinannya ada di laman rasmi Facebook miliknya.

Dalam kenyataan tersebut, Lim menggesa parti komponen BN iaitu MCA, MIC, Gerakan dan SUPP untuk keluar daripada gabungan parti pemerintah.

Ia berikutan sokongan BN terhadap undang-undang 'seperti hudud' yang dicadangkan di bawah Akta 355

Pemuda Amanah tuntut Annuar Musa jawab pembongkaran TMJ

Posted: 12 Jan 2017 05:48 AM PST

 ARIF ATAN
 
 
The Red WarriorsThe Red Warriors

Pemuda Amanah Nasional menggesa Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menjawab pembongkaran Tengku Mahkota Johor (TMJ) hari ini berhubung sejumlah tajaan The Red Warriors (TRW) yang diperoleh daripada dana anak-anak syarikat Mara.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pembongkaran pemilik kelab bola sepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dengan turut menyertakan dokumen transaksi yang melibatkan UniKL
(RM500,000) dan Pelaburan Mara Berhad (RM200,000) itu satu tuduhan serius.

"Apatah lagi melibatkan Mara yang tujuannya jelas untuk membantu Bumiputera dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Bukan menjadi penampan untuk 'membantu' mana-mana pasukan bolasepak.

"Dengan jumlah yang banyak dikeluarkan daripada UniKL, alangkah lebih bermanfaat jika wang tersebut digunakan untuk menaja lebih ramai lagi anak-anak muda menyambung pengajian di situ," tegasnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Beliau berkata, Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu sebagai orang politik dan bertanggungjawab kepada rakyat tidak boleh terus berdiam diri.

"RM700,000 bukan satu jumlah yang sedikit. Walau memahami betapa sukarnya TRW bergelut mencari sumber kewangan bagi meneruskan saingan untuk musim 2017, ia tetap tidak menjadi jalan pintas untuk mana-mana agensi 'dirompak' sedemikian rupa," bidasnya.
Justeru, beliau mendesak Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno itu supaya wajib tampil menjelaskan justifikasi setiap tajaan terbabit dan sejauh mana kesemua tajaan tersebut benar-benar membantu Bumiputera.
"Jika gagal, Anuar Musa bertanggungjawab untuk mengembalikan semula RM700,000 itu ke kantung asalnya," tegas Shazni lagi.

Terdahulu, TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, hari ini menyifatkan Annuar tergamak menggunakan wang rakyat untuk pasukan TRW ketika ekonomi negara tidak menentu.

"Tidak cukup dengan pelaburan Mara yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa. UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion bagi tahun 2016," tempelak TMJ seperti dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar pada 9 Januari lalu mengumumkan Mara memperoleh keuntungan sebanyak RM31 juta selepas mengambil kira pelaburan bersama anak-anak syarikat sepanjang 2016.

Menurutnya, PMB turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM18.7 juta tahun lalu iaitu meningkat daripada RM4.7 juta pada tahun sebelumnya sementara dana permulaan yang diuruskan PMB dengan aset sebanyak RM700 juta juga meningkat kepada RM751 juta.

Felda guna 'orang tengah' dapat dana dari China biayai projek perumahan

Posted: 12 Jan 2017 05:46 AM PST

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Adakah Felda menggunakan orang tengah untuk mendapatkan dana daripada China bagi mendanai projek perumahannya?Adakah Felda menggunakan orang tengah untuk mendapatkan dana daripada China bagi mendanai projek perumahannya?

Carian dan semakan yang dilakukan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli di beberapa sumber mendapati syarikat yang bakal mendanai projek perumahan Felda bernilai RM1 bilion tidak mempunyai rekod dalam bidang kewangan dan dipercayai hanya menjadi pihak ketiga bagi mendapatkan dana daripada China.

Syarikat bernama Putra Star Investments Holdings Pte Ltd itu, ujar Rafizi akan memberi dana melebihi RM1 bilion untuk membolehkan Felda membina rumah-rumah generasi baru Felda seperti dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Walaupun Felda belum memberi sebarang maklumbalas, Malaysiakini semalam memetik wakil dari Putra Star Investments Holdings Pte Ltd mengesahkan perkara itu dan memaklumkan sebarang reaksi kepada pendedahan saya diserahkan kepada Felda.

"Sudah tentu persoalan yang paling besar adalah siapa sebenarnya Putra Star Investments Holdings Pte Ltd ini dan kenapa syarikat yang tiada rekod kukuh di dalam industri kewangan ini yang memeterai perjanjian pendanaan dengan Felda?" soal Rafizi yang juga Naib Presiden PKR.

Rafizi menambah, individu utama di belakang syarikat tersebut ialah warga negara Singapura, Ng Peter Titan yang menjadi pemegang saham dan juga pengarah syarikat manakala pemegang saham lain dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan beliau.

Carian yang dibuat oleh beliau mendapati Ng Peter Titan mempunyai jaringan perniagaan yang luas dengan bank dan industri di China manakala syarikat yang dimilikinya, Titan Petrotrade (2007) Pte Ltd menjalankan perniagaan menjual beli bahan mineral, minyak dan produk-produk lain.

Ng Peter Titan, ujarnya ialah jurujual yang menjadi orang tengah kepada urusan jual beli pelbagai produk di rantau Asia.

Carian beliau juga mendapati Ng Peter Titan mempunyai (atau terlibat) dengan 11 syarikat sejak tahun 1977 yang kebanyakannya telah ditutup atau tidak aktif.

"Secara umumnya syarikat-syarikat beliau terlibat di dalam urusan jual beli sebagai ejen. Beliau juga pernah mempunyai syarikat yang menjalankan aktiviti kewangan tetapi tidak diketahui statusnya sama ada masih lagi aktif (iaitu Putra Star Credit), sementara dua lagi perniagaan kewangannya telah ditutup (iaitu Crown Credit Entreprise ditutup tahun 1982 dan Japan Trade-Link ditutup tahun 2008).

"Beliau juga mempunyai syarikat yang menganjurkan konsert dan mengendalikan acara bernama Love Entertainment Group," jelasnya.
Rafizi  juga mendedahkan bahawa Titan Petrotrade tidak aktif selama 6 tahun sebelum dihidupkan semula pada 22 Ogos 2016; sebulan sebelum perjanjian pendanaan dengan Felda ditandatangani.
Beliau turut menyemak nama syarikat Titan Petrotrade di pangkalan data syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang didedahkan oleh Panama Papers dan mendapati kewujudan sebuah syarikat bernama Titan Petrotrade International Pte Ltd yang sahamnya dimiliki Sino Swiss Energy Ltd.

"Sino adalah rujukan kepada syarikat China. Salah seorang pemegang saham Sino Swiss bernama Celin Tanardi, seorang warga negara Indonesia," dedahnya.

Rafizi menambah, maklumat yang diperolehinya menunjukkan bahawa pemilik Putra Star Investments Holding, Ng Peter Titan tidak mempunyai sebarang bank atau syarikat kewangan besar yang mampu memberikan pinjaman RM1 bilion kepada Felda.

Namun jelas beliau, Ng Peter Titan mempunyai rangkaian perniagaan yang baik dengan bank-bank dari China dan sudah biasa menjadi ejen kepada urusniaga bagi pihak penjual dan pembeli.

Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, beliau menggesa Najib, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad dan Pengerusi Felda Global Venture (FGV) Tan Sri Isa Samad menjawab soalan-soalan berikut:

1. Adakah Felda merancang untuk mengambil pinjaman dari bank-bank China dengan menggunakan Putra Star Investments sebagai orang tengah, untuk mengelakkan dari menjadi satu lagi kontroversi baru yang melibatkan urusniaga bersabit tanah dan anak syarikat kerajaan China?

2. Adakah Ng Peter Titan yang berkemungkinan menjadi orang tengah ini mempunyai kaitan dengan Titan Petrotrade International Pte Ltd yang dinamakan di dalam Panama Papers?

3. Adakah Felda telah melakukan semakan menyeluruh melalui "due diligence" untuk memastikan Felda dan peneroka tidak terpalit dengan rangkaian pengubahan wang haram (money laundering) yang menggunakan syarikat pesisir luar pantai seperti yang didedahkan oleh Panama Papers?

"Jika segala kepincangan sebelum ini mengejutkan, jika benar Kerajaan Malaysia dan Felda berurusan untuk mendapatkan dana dari pihak ketiga dengan menggunakan sebuah syarikat kecil sebagai ejen, itu adalah sesuatu yang mencemaskan yang memerlukan tindakan segera Bank Negara Malaysia untuk memulakan siasatan," tegas beliau.

Himpunan 355 bukan agenda politik PAS

Posted: 12 Jan 2017 05:33 AM PST

Antarapos


 


SHAH ALAM, Selangor – Himpunan 355 (H355) bukan hanya semata-mata diwakili parti politik, sebaliknya ia turut disertai pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan meskipun ia dianjurkan PAS tetapi agenda yang dibawa itu tiada unsur politik atau perkauman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Beginilah, himpunan ini melibatkan banyak pihak. Dan semua orang mahu membawa lambang kumpulan dia, bagi kita bukan satu benda yang tu (dangkal).

"Bagi kita, kalau satu kumpulan tu bawa bendera parti atau kumpulan dia, bagi nyatakan (suara) banyak pihak yang turut serta, tiada masalah.


"Ini bukan himpunan satu parti, Ini himpunan semua orang. Ini bukan perhimpunan PAS," tegas beliau ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali semalam, bahawa penganjuran H355 seolah-olah untuk kepentingan parti PAS semata-mata, bukannya untuk Islam seluruhnya.

Semalam, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa H355 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan akan disertakan dengan solat hajat dalam jadual programnya.

Malah beliau menepis bahawa himpunan ini seperti demonstrasi yang sering dianjurkan pembangkang.
Kenyataan tersebut sebagai membidas cadangan Ibrahim Ali supaya PAS membatalkan H355, sebaliknya hanya mengadakan solat hajat serentak di seluruh negara.

Cadangan tersebut menurut Ibrahim Ali bagi menambah lebih penyertaan dalam anjuran program tersebut.

Pakatan akan kurangkan kakitangan kerajaan jika menang PRU 14

Posted: 12 Jan 2017 05:31 AM PST

AIDC News ·


 


KUALA LUMPUR – Jika berjaya menawan Putrajaya Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan polisi mengurangkan kakitangan kerajaan yang disifatkan tidak memberikan pulangan kepada pendapatan negara.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata PH akan menyusun semula kewangan negara dengan melabur semula sumber hasil bumi negara di sektor yang mendatangkan pulangan pendapatan dan mengurangkan kos pembayaran kakitangan kerajaan yang disifatkan membebankan kewangan negara.

"Kita asingkan pendapatan daripada minyak, lombong, gas dan barang-barang yang tiada kaitan dengan kerja keras atau kebijaksanaan rakyat. Malah kita tubuhkan satu badan asing untuk mentadbir kewangan tersebut.

"Kita masukkan dalam pelaburan, kita gunakan dalam pendidikan, infrastruktur tertentu dan bukannya gunakan untuk membayar gaji dan mengubah suai pejabat serta perkara lain yan tidak memberikan pulangan," katanya dalam forum bertajuk "Berapa beban hutang dari projek mega Najib", pada malam Selasa.

Agenda mengurangkan kakitangan kerajaan merupakan sebahagian daripada modal kempen DAP di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya bagi menghadapi PRU 14.

 

Jangan politikkan bantuan saya kepada SPRM: Idris Haron

Posted: 12 Jan 2017 05:25 AM PST

Bernama ·


Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menegaskan pembangkang tidak sepatutnya mempolitikkan bantuan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes rasuah beberapa pegawai kerajaan negeri.

Beliau berkata beliau sentiasa bersikap terbuka sekiranya pihak pembangkang dapat mengemukakan bukti terdapat pegawainya terlibat dengan amalan rasuah dan tidak pernah menghalang mana-mana siasatan terutama daripada SPRM.

Justeru, katanya pihak pembangkang perlu mendapatkan maklumat tepat dan terperinci berkaitan isu itu sebelum membuat sebarang tuduhan, gesaan dan campur tangan dalam pentadbiran serta pengurusan kerajaan negeri.

"Saya lihat pihak pembangkang ini mudah didorong oleh emosi dan hanya meletakkan kepentingan politik semata-mata…jangan main politik. Pergi jaga ahli cawangan yang ada.

"Selaku ketua menteri, saya tidak pernah melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah walaupun mereka adalah pegawai saya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah akhbar melaporkan mengenai kehadiran anggota SPRM di pejabat Idris pada Ahad lepas bagi merakam kenyataan berhubung siasatan kes rasuah beberapa pegawai kerajaan negeri Melaka.

Ketika ditemui pemberita pada Rabu, Idris menjelaskan beliau hanya membantu siasatan SPRM terhadap beberapa pegawai kerajaan negeri dan siasatan itu tiada kaitan dengan dirinya.

Anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Naib Presiden PKR menerusi kenyataan media semalam mendesak Idris membuat penjelasan mengenai kedatangan SPRM itu sementara Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahri dilaporkan portal parti itu Amanah Daily hari ini sebagai berkata Idris diingatkan supaya ambil peduli isu rasuah yang berlaku.

SPRM tak main wayang: Syed Ali

Posted: 12 Jan 2017 05:21 AM PST

Malaysia Outlook ·


 

KUALA LUMPUR – Ketua Umno bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee menyelar pemimpin pembangkang yang mempersendakan Perdana Menteri Najib Razak yang meminta penjawat awam menjauhi perbuatan rasuah.

"Pembangkang sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama dengan kerajaan untuk menangani masalah rasuah kerana gejala itu melingkari kehidupan setiap manusia.

"Rasuah boleh berlaku di mana-mana, kemungkinan boleh terjadi kepada kakitangan kerajaan di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang," katanya menerusi kenyataan yang dibuat di laman blognya.

Bercakap tentang dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memburu pelaku rasuah berprofil tinggi merupakan agenda menuju pilihanraya umum ke-14, Syed Ali menegaskan Umno sebagai tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit perbuatan rasuah.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata beliau kesal atas tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Najib kerana PRU14 semakin hampir.

Menyifatkannya sebagai dakwaan mengarut, beliau berkata tuduhan sedemikian adalah tidak berasas.

"SPRM tidak ada kaitan dengan politik, apatah lagi sebagai alat Umno untuk menarik undi," ujar Syed Ali.
"UMNO sentiasa bersifat terbuka dan akan bekerjasama dengan kerajaan termasuk SPRM untuk membanteras gejala rasuah," katanya.

Beliau menambah bahawa SPRM menjalankan tugas selari dengan peranannya sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang yang dipertanggungjawabkan membenteras kegiatan rasuah di negara ini.

Berikutan tuduhan SPRM sekadar 'bermain wayang' dengan menahan mereka yang berprofil tinggi, beliau berkata jika SPRM tidak membuat kerja, mereka akan dituduh sengaja menggalakkan rasuah.

"Jadi yang mana betulnya?" soalnya, sambil menegaskan bahawa SPRM tidak perlu tunduk kepada tekanan atau kecaman pihak berkepentingan dalam menjalankan tugas mereka.

Di dalam perkembangan yang sama, Syed Ali berkata beliau bangga di atas kecekapan dan ketegasan SPRM menangani gejala rasuah di negara ini dan mahu dipertingkatkan dengan mengheret pelaku rasuah ke muka pengadailan walaupun membabitkan individu ternama atau pemimpin politik.

Jamal bersama ahli NGO Malaysia turun padang sokong H355

Posted: 12 Jan 2017 05:19 AM PST

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
AMPANG: Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan mengerahkan ahlinya termasuk Gerakan Baju Merah untuk memberi sokongan terhadap Himpunan 355 anjuran PAS pada 18 Februari ini.
 
Menurut Ketua Umno Sungai Besar itu juga, kehadiran itu bertujuan memberi sokongan terhadap langkah PAS yang mahu mencadangkan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).    
 
"Sudah pasti kami akan beri sokongan sepenuhnya kepada penganjur Himpunan 355, dan saya sendiri bersama rakan-rakan telahpun bersetuju untuk hadir sama memberi sokongan kepada himpunan tersebut.  
 
"Saya akan gerakkan gabungan NGO di bawah saya untuk hadir bersama," katanya dalam satu wawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
PAS pada Sabtu lalu mengumumkan akan menganjurkan himpunan mega pada 18 Februari depan bagi menyatakan sokongan bersabit langkah Presidennya membawa usul pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media himpunan itu turut mempelawa semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan serta orang ramai untuk menghadiri himpunan itu bagi mendapatkan penerangan mengenai keperluan meminda Akta 355.
 
Himpunan yang turut dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis itu menyasarkan kehadiran seramai 300,000 orang, dan memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi awal.
 
Menurut Tuan Ibrahim, himpunan itu turut bertujuan 'memurnikan suasana' ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan langkah PAS membawa usul pindaan terhadap Akta 355.
 
 

PH-Bersatu lancar Jelajah #FeldaTergadai selami masalah peneroka

Posted: 12 Jan 2017 05:01 AM PST

Oleh Fiza Abd Halim

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia untuk menyelami masalah peneroka Felda.

Jelajah dengan tema #FeldaTergadai itu akan dilancarkan di Felda Bilut, Bentong pada 25 Januari, jam 8 malam dan dibarisi pimpinan kanan kedua-dua parti itu.

saifuddin-1

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, jelajah ini merupakan perhatian serius terhadap nasib peneroka dalam mendepani masalah berpanjangan seperti hutang, hak milik tanah, perumahan, pekerjaan untuk penduduk, dan tanah rancangan, selain isu sekitarnya yang akan turut dikaji dengan teliti.

"Mengambil kira pelbagai isu pengurusan dan kewangan Felda serta anak-anak syarikatnya yang kian meruncing, Pakatan Harapan dan Bersatu mengambil tindakan bersama untuk memastikan maklumat sampai kepada peneroka.

"Sehubungan itu, sepanjang siri jelajah ini nanti, kami akan mengedarkan 200,000 risalah menerangkan kedudukan kewangan Felda kepada peneroka di seluruh negara.

"Kita akan turun seberapa banyak tanah rancangan Felda, menyampaikan maklumat melalui ceramah dan dialog," katanya pada sidang media di pejabat Invoke, Sungai Besi, hari ini.

Saifuddin berkata, jelajah ini juga peluang terbaik tatkala para peneroka memberi perhatian serius terhadap isu tatakelola Felda yang dibawa pihak Pembangkang.

"Kita akan gunakan kesempatan yang ada sekarang untuk mendapatkan maklum balas dari semua pihak berkaitan dengan Felda, iaitu peneroka, kakitangan Felda, generasi kedua dan industri kelapa sawit untuk merangka pelan baru.

"Termasuk menjaga kepentingan strategik Felda di dalam ekonomi negara tanpa mengorbankan kebajikan peneroka.

"Saya dan rakan-rakan yang lain akan membawa perkara ini ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Jawatankuasa Penyelenggaraan Pakatan Harapan-Bersatu dalam masa terdekat," ujarnya

1MDB: Empat aktivis mahasiswa UM berdepan tindakan tatatertib

Posted: 12 Jan 2017 04:58 AM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Empat aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) diheret ke jawatankuasa disiplin ekoran tindakan mereka mengangkat plakad anti 1MDB pada satu majlis penerangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Oktober lalu.
 
Empat aktivis itu adalah bekas presiden Persatuan Untuk Belia Baru UM (Umany), Ho Chi Yang; timbalan presiden Umany, Tan Jia You; ketua biro publisiti Umany, Chua Hun Ti dan setiausaha agung Umany, Lau Li Yang. 
 
Presiden Umany, Kon Hua En berkata empat siswa itu menerima notis prosiding berkenaan tunjuk perasaan itu. Prosiding akan diadakan pada 18 Januari. 
 
Pada 11 Oktober tahun lalu, empat mahasiswa itu mempamerkan plakad menuntut jawapan terhadap dakwaan skandal 1MDB, meminta syarikat itu tidak memutar belit fakta dan menuntut pemulangan semula 'wang rakyat'.
 
Ia dilakukan ketika majlis penerangan tertutup membincangkan isu 1MDB bertajuk '1MDB & isu semasa negara' anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM.
 
Dalam acara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda menjelaskan berkaitan dakwaan terhadap syarikat cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.
 
 

PBB mesyuarat pilih pengganti Adenan lepas tempoh berkabung

Posted: 12 Jan 2017 04:54 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi memilih presiden baru untuk menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kata Setiausaha agungnya, Datuk Dr Stephen Rundi.
 
Stephen tidak menolak kemungkinan akan memanggil mesyuarat majlis tertinggi parti itu sebaik sahaja selasai tempoh berkabung selama tujuh hari susulan kematian Adenan, selaku ketua menteri Sarawak sejak Februari 2014.
 
Pada lazimnya, presiden PBB menjadi ketua menteri negeri tersebut.
 
Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini, pada 1.24 tengah hari semalam.
 
"Presiden kami baru sahaja meninggalkan kami... mesti ada seseorang mengambilalih. Biar kami menghormati tempoh berduka ini terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching hari ini.
 
"Proses mengasah pemimpin baharu sudah diletakkan dalam PBB. Kami juga mempunyai kokus dalam parti untuk membantu kami membuat keputusan," kata beliau.
 
PBB kini mempunyai dua timbalan presiden yang memegang jawatan timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
 
Uggah merupakan menteri pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar manakala Abang Johari adalah Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri.
 
Dalam Pilihan Raya Negeri 2016, Mei tahun lepas, PBB memenangi 40 daripada 72 kerusi dipertandingkan, justeru menjadi parti komponen terkuat dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak.
 
 

Comments (0)