Followers

Nuffnang

Belantan

Posted by Unknown | Posted on 12:12 PG | Posted in

sumber :-

Belantan


Notis usul Guan Eng, Li Koon didengar 7 Feb.?

Posted: 07 Jan 2017 12:40 AM PST


Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Februari ini bagi mendengar permo­ho­nan Ketua Menteri Pulau Pi­nang, Lim Guan Eng dan ahli per­niagaan wanita, Phang Li Koon untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas peguam Li Koon, Datuk V. Sithambaram memaklumkan notis usul untuk permohonan itu telah difailkan oleh pihaknya, dua minggu lalu manakala peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng turut memfailkan notis sama hari ini.

Pada prosiding itu, Hakim Hadhariah berkata, akta pencegahan rasuah sudah lama wujud dan tiada sesiapa boleh sewenang-wenangnya meminda akta ber­kenaan.

Pada masa sama, beliau mene­gaskan, tarikh perbicaraan kes rasuah melibatkan Guan Eng dan Li Koon yang dijadualkan bermula pada 27 Mac ini dan dijangka berakhir 21 Julai tetap dikekalkan kerana kes itu sudah lama tertangguh melebihi enam bulan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 56, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri, menggunakan kedudukannya un­tuk mendapatkan suapan bagi beliau dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya negeri ini kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan tersebut didakwa dilakukan Ahli Parlimen Bagan itu ketika mempengerusikan me­syuarat Jawatankuasa Perancang negeri di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 18 Julai 2014.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu di­dakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua pula, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk diri­nya suatu barang berharga de­ngan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, di sini daripada Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa har­tanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh itu mengetahui bahawa Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Guan Eng di rumah banglo terlibat pada 28 Julai 2015 dan untuk itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Li Koon, 44, pula mengaku ti­dak bersalah atas pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk Guan Eng lot tanah dan rumah banglo terlibat pada tarikh serta tempat sama dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Suara Politik
Belantan

Comments (0)