SHAH ALAM - Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid Hamidi hari ini tampil menjelaskan kekeliruan mengenai gelaran ikon belia yang 'diterimanya' sehingga menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.
Menjelaskan perkara itu, Nurulhidayah berkata, sebenarnya berlaku sedikit kesilapan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan yang tanpa sengaja telah 'menganugerahkan' gelaran tersebut kepadanya.
Nurul Hidayah Ahmad Zahid Hamidi "Sebenarnya gelaran ikon belia ini adalah kesilapan daripada pihak stesyen TV, tahun lepas saya dipanggil dalam sebuah rancangan bual bicara, pihak penerbit tanya kepada saya nak 'gelar' saya sebagai apa, saya cakap saya aktif dalam persatuan belia, banyak terlibat dalam program belia, oklah dia tanya saya nak letak apa, saya kata aktivis belia sesuailah.
"Dan semasa 'On Air' saya nampak  tertera di bawah nama saya ikon belia, saya cakap habislah... tapi bagi saya mungkin pihak penerbit merasakan saya wakil kepada belia sebab itu dia letakkan gelaran saya sebagai ikon belia, tapi bagi orang lain dekat luar sana mungkin gambaran mereka tentang ikon belia adalah lain," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online di pejabatnya, hari ini.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah menerima anugerah seumpamanya.
"Saya tidak pernah dapat anugerah sebagai ikon belia," katanya.