IPOH - Kebimbangan Umno terhadap gerakan Tun Dr Mahathir Mohamad lebih kepada sejarah hitam yang pernah dilalui beberapa individu dalam parti itu sendiri, suatu masa dahulu.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, perkara itu jelas, apabila kelantangan bekas Perdana Menteri itu yang membangkitkan isu kroni, korupsi dan nepotisme yang kini masih tetap berlaku dalam Umno.
Menurutnya, dalam sesetengah hal, tentangan terhadap Tun Mahathir pula dilihat lebih kepada dendam semata-mata.
"Ada dalam kalangan mereka (ahli Umno) pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ada juga yang menyokong gerakan reformasi yang dibangkitkan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada Umno.
"Sekarang adalah masa yang sesuai yang digunakan individu berkenaan menunjukkan kesetiaan terhadap presiden, kalau lihat balik lebih kepada dendam peribadi sebab nak 'tutup' mulut Tun Mahathir," katanya dalam satu kenyataannya, semalam.
Jumaat lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama lebih 50 tokoh menandatangani Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Mahathir dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.