"HARI ini genap setahun pemergian ayah, rindu itu sangat tebal. Sama juga dengan adik-beradik yang lain. Hampir setiap hari saya melalui tanah kubur ayah, sedekahkan al-Fatihah.
Aura Tok Guru Nik Aziz tiada tandingan "Ayah sentiasa dekat dengan saya. Jarak kubur ayah dengan rumah saya tidak jauh. Setiap hari mesti ada salam dan doa dari saya untuk ayah."
Demikian luahan Nik Amalina, anak kesembilan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika menerima kunjungan Sinar Harian di kediamannya di Pulau Melaka, baru-baru ini.
"Kerinduan itu tidak pernah hilang. Tapi kami tidak tunjuk kerinduan itu hingga buat mak sedih. Kami jaga mak dengan baik. Kami tahu mak sunyi dan kerinduan mak lebih daripada kami," katanya.
Menurutnya, mereka juga sentiasa berbincang adik-beradik untuk saling mengambil berat dan menjaga segala keperluan emak.
Beliau, kakak atau abangnya akan menemani emak ke mana sahaja beliau pergi.
"Bila mak beritahu kami nak ke mana-mana, secara automatiknya salah seorang daripada adik-beradik akan menemani mak secara bergilir-gilir mengikut tempat dan majlis yang akan mak hadiri," katanya.