SHAH ALAM - Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi meningkatkan hukuman terhadap mereka yang membocorkan rahsia kerajaan, hanya akan memburukkan lagi imej pihak berkenaan dan  BN.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menyifatkan cadangan pindaan akta tersebut sangat menggerunkan.
"Ia akhirnya akan menimbulkan rasa marah rakyat. Cadangan itu harus diteliti sebaik mungkin oleh kerajaan kerana pihak yang terima kecaman dan label buruk adalah parti yang memerintah (BN)," katanya.
Menurutnya, pindaan yang memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan memperlihatkan negara ini sebagai sebuah negara kuku besi.
Md Shukri berkata, kerajaan perlu menghentikan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam suasana negara masih belum selesai dibadai polemik isu.
"Kalau diperhatikan, negara kita kini seolah-olah dilanda bah polemik dan persepsi terhadap imej kerajaan. Saya rasa jalan terbaik yang perlu diberikan perhatian adalah meredakan bah polemik ini," katanya.
Dalam pada itu, Md Shukri turut mempersoalkan tindakan Mohamed Apandi yang seperti sengaja mahu mempromosikan cadangan tersebut kepada awam.
"Cukuplah sekadar membincangkan idea itu dalam kalangan pentadbir dan pihak berkaitan, tidak perlu bawa kepada media dan rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, tidak dinafikan tindakan membocorkan rahsia kerajaan atau negara adalah kesalahan serius di sisi undang-undang serta boleh mengancam keselamatan negara, tetapi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup adalah sesuatu yang berat.
"Jika nak ubah, tidak perlu kepada perubahan akta, sebagai contoh etika kewartawanan dan kebocoran maklumat itu yang perlu diperketatkan," katanya.