KUALA LUMPUR, 2 Februari 2016:

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bertegas bahawa Laporan Akhir Terhadap Pengauditan syarikat pelaburan strategfik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap akan dibentangkan pada bulan ini.
Pengerusinya, Datuk Hassan Arifin berkata demikian sambil melahirkan rasa kesal dengan laporan yang dikeluarkan The Malay Mail Online (MMO) yang mendakwa laporan itu gagal disiapkan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk dibentangkan bulan ini.
"PAC kesal dengan laporan tidak bertanggungjawab portal berita The Malay Mail Online hari ini, yang memetik sumber tidak bernama bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) gagal menepati tarikh pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB kepada Jawatankuasa ini pada Februari ini.
"Laporan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab berkenaan jelas bertujuan untuk merosakkan reputasi dan kredibiliti PAC serta JAN yang sentiasa komited dalam melakukan pengaduitan yang telus dan akauntabiliti terhadap 1MDB demi kepentingan rakyat," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata demikian sebagai respon terhadap laporan MMO awal hari ini yang mendakwa laporan mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal disipakan JAN.
Portal berkenaan dikatakan memetik sumber yang enggan mendedahkan nama berkenaan perkara terbabit.
Sehubungan itu, Hassan yang juga Ahli Parlimen Rompin bertegas bahawa laporan tersebut akan tetal dibentangkan pada bulan ini.