ALOR SETAR - Kedah mungkin boleh memulakan langkah mewujudkan kerjasama antara Umno dan Pas untuk sama-sama mentadbir negeri demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
Jika tidak dimulakan langkah pertama, sudah pasti kita tidak tahu hasilnya.
Diharap Kedah boleh menjadi contoh dan ikutan untuk negeri lain dalam menjayakan hasrat murni kepimpinan atasan kedua-dua parti sebelum ini untuk mengadakan kerjasama politik Umno dan Pas.
Kedah Mungkin inilah masa yang sesuai untuk melakukan ujian yang belum tahu apa hasilnya kelak. Mungkin mereka boleh berjaya dan mungkin tidak.
Tetapi sekurang-kurang mereka sudah berusaha ke arah itu - perkongsian kuasa sesama parti yang dterajui orang Islam.
Seorang veteran Umno Kedah berkata, tidak salah untuk mencuba pendekatan yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di negara ini iaitu parti pemerintah dan pembangkang berada dalam sebuah kerajaan untuk mentadbir sebuah negeri.
"Apa salahnya kita mencuba sesuatu yang baharu. Ini bukan zaman 1950-an atau 1960-an. Kita berada di milenia baharu. Segalanya mungkin kerana sikap rakyat yang lebih terbuka dan mempunyai tahap pemikiran yang lebih luas merentasi sempadan parti," katanya.
Menurutnya, Menteri Besar yang baharu mungkin boleh memikirkan perkara ini secara serius kerana ia mampu membawa kebaikan kepada pemerintah dan rakyat.
"Ini boleh dilakukan kerana Kedah akan membentuk barisan exco yang baharu.
"Saya nampak ada beberapa wakil rakyat Pas yang mempunyai kebolehan, kelayakan dan berkaliber untuk membantu memantapkan jentera pentadbiran kerajaan negeri.
"Cubalah dulu baru tau hasilnya," katanya dengan penuh semangat dan menaruh harapan tinggi ke arah penyatuan dan kerjsama kedua-dua parti itu.
Beliau berkata, dalam keadaan politik Umno yang tidak menentu dan berpecah kepada beberapa kumpulan, kaedah perkongsian kuasa mungkin pendekatan terbaik untuk menguatkan kembali sokongan rakyat.
"Umno berpecah dan Pas pun berpecah. Masing-masing ada masalah dalaman dan kurang bermaya untuk bergerak sendirian. Jadi apa salahnya mereka bergabung tenaga, kekuatan dan jentera untuk melonjak kembali dalam PRU14.
"Siapa tahu, hasil kerjasama ini yang dianggap begitu kecil mampu memberi impak besar dan sekali gus menukar senario politik tanah air dalam dekad akan datang," katanya.
Seorang lagi veteran dan bekas wakil rakyat Umno berkata, melihat kepada senarai Adun Umno masa kini, ramai tidak mampu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan jika diberi peluang sebagai exco.