KOTA BHARU - Pas Kelantan masih memerlukan PKR bagi mengekalkan pentadbiran Kerajaan Kelantan, kata Setiausaha Pas Negeri, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.
Beliau berkata, tidak timbul isu PKR negeri akan dipinggirkan setelah kehadiran pemimpin PKR Pusat dalam program Parti Amanah Negara (Amanah) sehingga mengundang kekecewaan dalam kepimpinan Pas negeri.
"Kita perlukan kerjasama PKR untuk mengekalkan kemenangan di Kelantan, besar atau kecil itu bukan isu, kita tidak ada masalah di (PKR) Kelantan dan mendapat kerjasama yang baik dengan pemimpin mereka," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang menyatakan pihaknya mengeluarkan surat teguran kepada Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli susulan tindakan pimpinan itu  hadir dalam tiga program Amanah.
Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Adun Wakaf Bharu mengakui, surat yang dikeluarkan beliau itu adalah hasil luahan ahli dan pimpinan peringkat akar umbi yang kurang senang dengan tindakan pemimpin PKR itu.
"Kita berdepan dengan kekangan akar umbi Pas, akar umbi lihat apabila mereka bersama dengan Amanah ia sudah jelas. Amanah hadir tidak lain untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan, tiba-tiba pimpinan PKR pun ada di tempat yang sama.
"Secara langsung ia melahirkan perasaan tidak senang dari akar umbi dan kita mengharapkan supaya semua pihak memahami dalam konteks untuk mengharmonikan pakatan," katanya.
Ditanya isu tersebut boleh menjejaskan kerusi yang bakal dipertandingkan PKR di negeri ini, Che Abdullah berkata, Pas sesekali tidak akan merampas kerusi yang ditetapkan, tetapi sebarang perbincangan akan diputuskan bagi memenangkan pakatan secara keseluruhan.