KUALA LUMPUR, 18 Januari:
Pentadbir universiti digesa berhenti menafikan isu sebenar yang menghambat para pelajar di universiti dengan mempertikaikan laporan sebuah NGO bahawa 75 peratus pelajar di universiti 'kelaparan'.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata sudah sampai masanya pentadbir universiti dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri hadapi isu sebenar.
Menurutnya, ini bukan kali pertama aduan bebanan hidup pelajar diutarakan malah berasa hampa apabila jawapan yang diterima dilihat cuba mengelak daripada isu sebenar, terutamanya penjelasan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Cukuplah berdolak-dalih daripada isu sebenar kerana 'sindrom penafian' yang ditunjukkan oleh para pentadbir universiti seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah.
"Sebagai contoh dalam pengalaman kami tahun lalu, PKPIM pernah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 30 Mac 2015 bertajuk 'Nasib Pelajar dan Mahasiswa Selepas Pelaksanaan GST: Kementerian Pendidikan Wajar Beri Penjelasan'. Berikutan itu, aduan kami itu telah dijawab secara negatif oleh Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNC/R) IPTA, Brig Jen Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin yang 'menyeru semua mahasiswa agar tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih seperti ini… Tindakan PKPIM yang secara melulu mengeluarkan kenyataan juga amatlah dikesali…". (Rujuk laporan BERNAMA 31 Mac 2015)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 13 Januari lalu, Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam, mempertikaikan dapatan kajian 'mahasiswa lapar' oleh sebuah NGO, Pertubuhan Kebajikan Muslim Malaysia (MVM) yang menyimpulkan bahawa 75% mahasiswa di universiti 'kelaparan'.