KUANTAN, 12 Januari:

Kes penyakit berkaitan pernafasan di Kuantan dikesan meningkat sedikit sepanjang tahun lepas, terutama di kawasan berdekatan aktiviti perlombongan bauksit.
Tanpa menyatakan statistik, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, kebanyakan kes dicatatkan meningkat di klinik kesihatan sekitar Bukit Goh, Indera Mahkota dan Balok.
"Trend peningkatan ini kita tidak boleh menolak kemungkinan ia berpunca daripada bauksit, namun mungkin juga berpunca daripada keadaan lain, seperti jerebu teruk tahun lepas," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum melawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan hari ini. Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan akan memantau kehadiran pesakit, untuk mengenal pasti punca utama berlaku peningkatan kes itu.
"Kita pun baru mengadakan mesyuarat jawatankuasa khas untuk membantu Jabatan Kesihatan, dengan turut membabitkan agensi lain untuk mengenal pasti puncanya," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini, masih belum ada kematian secara klinikal dilaporkan berpunca daripada bauksit di Pahang.
Dalam perkembangan lain, Norol Azali berkata, tanggungjawab masyarakat membasmi nyamuk Aedes sangat diperlukan, dalam usaha membendung masalah demam denggi di negeri ini.
Katanya, masyarakat kini beranggapan, tanggungjawab tersebut dipikul kerajaan negeri sahaja.
Norol Azali berkata, sambutan orang ramai terhadap program menangani masalah demam denggi juga agak kurang memberangsangkan, menyebabkan berlaku pengulangan kes di kawasan sama.