KUALA LUMPUR, 11 Januari:

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, tidak wujud kerjasama rasmi antara sayap parti tersebut dengan PAS.
Menurutnya, Pemuda Umno tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membentuk gabungan bersama parti Islam berkenaan.
"Kita sedia untuk duduk berbincang, kalau ada isu melibatkan kepentingan bangsa, agama dan negara.
"Tetapi, di peringkat Pemuda Umno, tidak ada apa-apa kerjasama formal dengan PAS," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno, di Menara Datuk Onn, hari ini.
Mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang meminta kepimpinan PAS menimbang semula keputusan Majlis Syura Ulamak PAs menolak kerjasama dengan Umno, beliau berpendapat ia tidak perlu.
"Bagi saya, kalau mereka tak nak kerjasama, tak payahlah sampai merayu," ujarnya.
Tambahnya, debat antara beliau dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad masih boleh diteruskan.
Ujar Khairy, beliau tiada masalah untuk berdebat, tetapi ia perlu mempunyai tajuk dan sebab sesuai.
"Saya tiada masalah, tapi biarlah ada sebab dan tajuk dan mungkin dalam tahun ni, ada isu atau jemputan yang sesuai tidak ada masalah," ujarnya.