KUALA LUMPUR, 2 Januari:

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) tidak dapat mengesahkan penyertaan anak mantan Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar ke dalam parti itu.
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Annuar Mohd Tahir yang dihubungi The Rakyat Post berkata pihaknya masih lagi belum dimaklumkan berhubung berita itu.
"Saya tidak maklum berkenaan perkara itu, saya sekarang berada di Sabah untuk pelancaran Amanah..saya tidak tahu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Angkatan Amanah Wanita Negara (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud, yang dihubungi berkata, pengumuman tersebut berlangsung di dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ malam semalam.
Beliau yang turut hadir dalam program itu bagaimanapun berkata, Nik Omar Nik Abdul Aziz tidak hadir, sebaliknya hanya satu pengumuman dibuat oleh pengacara majlis berhubung penyertaannya.
"Dia tidak hadir, cuma Datuk Wan Rahim (Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Abdul Wan Rahim Wan Abdullah) umumkan jawatannya selaku Pengerus Panel Syariah di Kelantan.
"Saya sebenarnya tidak ambil tahu sangat benda-benda yang melibatkan kontroversi ini, selagi tuan diri (Nik Omar) tidak kata apa, saya tak mahu ulas lanjut. Tetapi apa pun, saya percaya (perkara ini) sebab Datuk Wan Rahim sudah pasti tahu sebab ia melibatkan Kelantan," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Bagaimanapun menurut Siti Mariah, pengumuman tersebut ternyata tidak diketahui oleh tetamu yang hadir memandangkan nama yang tertera di atas atur cara majlis mencatatkan nama yang berbeza.