Followers

Nuffnang

WarkahDaily Online

Posted by Unknown | Posted on 2:05 PG | Posted in

sumber :-

WarkahDaily Online


Tuduhan sembrono MP PAN tanpa tahu hal sebenar

Posted: 05 Dec 2016 11:35 PM PST

Catatan Parlimen: Isu Rohingya ada Disuarakan oleh Ahli Parlimen PAS

1. Ada yang menyebar cereka bahawa PAS hanya mahu bersandiwara politik dalam isu Rohingya apabila turut bersama PM dalam Himpunan Solidariti di Stadium Tertutup Titiwangsa pada Ahad lepas. Mereka bising kerana usul isu Rohingya oleh YB PAN Kuala Terengganu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat pada hari terakhir sidang, 24 November 2016.
Mereka menjaja berita di alam maya bahawa ketika usul itu ditolak, tidak ada YB PAS yang bangun pertahankan usul PAN tersebut.

2. Mudah bukan.? Sebar sahaja berita tanpa tahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.?

Saya meneliti kembali rakaman video dan hansard penyata rasmi Dewan Rakyat yang bertarikh 24 November 2016. Isu penolakan usul YB PAN Kuala Terengganu dibangkitkan sejurus sahaja YB Marang selesai membaca pindaan usul RUU 355.

Tuan Guru Presiden PAS bersama para Ahli Parlimen PAS mengadakan sidang media di Lobi Parlimen ketika para YB PAN, PKR dan DAP bangkit mengenai penolakan usul mereka.

Jadi, adakah adil membuat tuduhan sedemikian rupa dek kerana PAS tidak bangkit membela usul PAN yang ditolak.?

3. Cereka itu disebar meluas oleh juak mereka untuk dijadikan modal serangan menggambarkan kononnya Ahli Parlimen PAS ini bisu, tidak berperanan, hanya Ahli Parlimen PH sahajalah yang menjadi jaguh juara membela isu rakyat.

4. Kita jawab kembali dengan hujjah bukan fitnah.
Untuk rekod, Ahli Parlimen PAS sudah pun menyuarakan isu Rohingya 10 hari lebih awal sebelum usul tergempar YB PAN Kuala Terengganu. Sila semak penyata rasmi (Handsard) Dewan Rakyat bertarikh 14 November 2016, bahkan rakaman video pun ada di Channel Youtube TV PAS.

Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang telah menyentuh isu Rohingya dalam perbahasan Bajet 2017 peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar Negeri.

Begitu juga dengan seorang lagi Ahli Parlimen PAS, YB Pasir Puteh, Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad turut membahaskan isu yang sama ketika perbahasan tersebut.

5. YB PAS sudah sebut isu Rohingya dalam Dewan 10 hari lebih awal daripada usul YB PAN. Bahkan, Tuan Guru Presiden PAS berucap isu Rohingya di dalam Parlimen sudah bertahun lamanya.

Mereka yang terlewat sebenarnya, tetapi masih berbangga mendabik dada seolah hanya merekalah pejuang sejati lagi tulen.

Saya petik sebahagian ucapan perbahasan YB Bukit Gantang daripada handsard;

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]:
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat malam, terima kasih Tuan Pengerusi.

Saya hendak ambil sedikit masa sahaja iaitu berkenaan dengan Butiran 040000 – Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia iaitu berkenaan dengan Rohingya yang kita harapkan perkara ini perlu diambil perhatian oleh kerajaan Malaysia selaku negara yang agak dekat dengan negeri yang dianggap sebagai Gaza di sebelah Asia Tenggara pada hari ini yang disebut oleh—

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Rohingya ini adalah salah satu minoriti dunia yang paling teruk ditindas. Maka dengan sebab itu kita mengharapkan supaya tindakan drastik yang diambil oleh Kerajaan Malaysia ini perlu sama ada dengan cara diplomasi yang agak proaktif dan lebih agresif. Ini kerana Rohingya kalau kita lihat banyak perkara yang amat menyayat hati kita kerana dia tidak diiktiraf oleh Kerajaan Myanmar sana. Dianggap macam bukan bangsa dia ataupun rakyat dia. Ini satu perkara yang amat menyedihkan.

Kedua, kita lihat Bangladesh pun juga sama. Kadang-kadang mereka hendak pergi minta pertolongan di sana, dihalau, ditembak dan sebagainya. Ini perkara yang amat menyedihkan. Ketiga, kalau kita lihat juga dari segi hak asasi manusia. Mereka dinafikan. Malahan kita tengok bantuan-bantuan yang hendak dihantar ke tempat mereka dinafikan.

Bukan sahaja kerajaan mereka tidak hendak bantu malahan kalau ada NGO dari negeri-negeri lain yang hendak pergi bantu, mereka tidak benarkan. Ini adalah pengalaman-pengalaman daripada NGO Malaysia yang pergi ke sana yang tidak dibenarkan untuk menghulurkan bantuan.

(Pencelahan oleh YB PKR Kuala Kedah)

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kedah. Memang pada abad ketujuh dahulu memang Arakan ini telah menjadi salah satu daripada kesultanan Islam selama 350 tahun sebenarnya yang ketika itu Sultan Mahmud, seorang sultan daripada Rohingya. Memang masuk apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kuala Kedah tadi.

Keempatnya, kita lihat bagaimana keadaan buta huruf yang begitu tinggi di kalangan masyarakat Rohingya di sana. Yang amat kita sedih kalau dalam suasana dunia yang pada hari ini, kadar buta huruf yang cukup tinggi. Maka dengan sebab itu kita mengharapkan supaya Malaysia sama ada melalui OIC ataupun melalui ASEAN dan boleh untuk bertindak dengan secara agresif untuk memastikan keadaan Rohingya ini. Ini kerana apa yang berlaku di Rohingya sekarang ini telah pun mendatangkan masalah sosial juga kepada kita seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Sungai Petani tadi, kita bertembung antara dua kepentingan. Satu, kemanusiaan. Keduanya, ialah soal kedaulatan yang ada di dalam negara kita."

6) Ini pula sebahagian ucapan perbahasan YB Pasir Puteh;

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]:
"Perkara yang kedua ialah tentang kita tahu masalah antarabangsa ini ialah suatu yang amat menggusarkan kita kerana kita melihat betapa ramainya manusia di dunia ini dalam keadaan yang susah dan lebih teruk daripada kita. Ini juga sepatut menjadi iktibar kepada kita bahawa kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana kita boleh hidup dalam keadaan aman, tenteram, dalam sistem demokrasi yang berperlembagaan dan kita boleh bersuara di sini dengan bebas, agak bebaslah jika kita lihat. Kebebasan ini agak banyak jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang kita lihat di sana itu penindasan yang dilakukan kepada sesama manusia ini begitu teruk sekali.

Kalau kita lihat kepada jiran tetangga kita yang di ASEAN, maka kita lihat akan penindasan yang berlaku misalnya di Myanmar. Maka ini suatu yang menyayat hati kita kerana kita lihat di sana itu segolongan rakyat mereka sendiri tidak diiktiraf kerakyatannya, kemudian ditindas dan berbagai-bagai lagi yang kita dengar khabar berita yang menyedihkan. Sehingga ada ramai bilangan mereka itu terpaksa melarikan diri sampai ke negara kita dan mencari perlindungan di sini. Banyak kita lihat bilangan mereka di Malaysia ini begitu banyak sekali. Masalah ini berpanjangan.

Jadi peranan yang kita mainkan setakat ini saya ingin ucapkan tahniah. Sekadar yang kita mampu tetapi saya rasa kita boleh mainkan peranan yang lebih lagi untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat Rohingya di Burma ini atau di Myanmar ini. Ini kerana kita tahu bahawa mereka ini adalah golongan yang tertindas, golongan minoriti dan juga mereka ini kalau kita lihat mereka ini beragama Islam. Kita lihat bagaimana disebabkan perbezaan agama sahaja boleh menyebabkan mereka ini ditindas. Walaupun kita tahu juga ada penindasan kepada sesama bangsa mereka sendiri. Kaum Cham misalnya mereka terpaksa lari juga ke Malaysia ini dengan bilangan begitu ramai ke Malaysia walaupun mereka ini seagama dengan pemerintah. Akan tetapi kerana berbeza kabilah atau berbeza kaum menyebabkan mereka ini juga ditindas.

Jadi, penindasan ini banyak sebab menyebabkan penindasan kepada sesama manusia ini. Kita tahu kita sebagai seorang mukmin kita kena ambil tahu tentang masalah sesama Islam khususnya dan kepada umat manusia umumnya. Ini kerana kita tidak boleh mengatakan bahawa kita terselamat apabila kita tidak memikirkan masalah bangsa-bangsa yang lain. Bahkan bangsa yang membezakan di antara bangsa yang bertamadun dengan bangsa yang kurang tamadun ialah keprihatinan mereka kepada masalah manusia sejagat.

Jadi manusia bertamadun, kita harap kita ini tergolong daripada manusia yang bertamadun maka kita mesti peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita khususnya kepada manusia seagama dengan kita dan juga manusia yang tertindas di tempat lain. Maka kita mesti mempunyai sifat kemanusiaan dan mesti menenangkan keadaan supaya mereka ini tidak ditindas dan menegur sesiapa yang menindas ini.

Jadi siapa– kalau kita melihat suatu kemungkaran itu maka kita mesti usaha sedaya upaya kita untuk mencegah kemungkaran itu. [Berucap dalam bahasa Arab]

Apabila kita melihat kemungkaran, kita mesti mencegah. Kita sebagai suatu Negara yang berdaulat dan kita pula bersahabat dengan negara-negara yang kita maksudkan ini, maka kita mesti menegur mereka, mesti menasihati mereka dalam forum-forum yang ada dan juga hubungan peribadi dan juga hubungan kepimpinan kita dengan mereka itu mesti berhubung. Sama ada dengan telefon atau melawat ke sana untuk bertanya masalah mereka yang tertindas ini dan meminta pertolongan supaya jangan dianiayai sesama manusia walaupun mereka ini bukanlah rakyat Malaysia. Ini adalah keprihatinan yang kena ada kepada kita jika kita tergolong kepada satu bangsa atau satu negara yang bertamadun. Ini tanggungjawab kita."


Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
06 Disember 2016

Comments (0)