Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Unknown | Posted on 4:16 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


KJ CAKAP TAK SERUPA BIKIN?

Posted: 12 Dec 2016 07:10 AM PST

shahbudindotcom


Pada 6 November lalu, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan bertindak pantas dalam menjawab sebarang dakwaan dan tuduhan pihak pembangkang bagi mengelakkan wujudnya persepsi negatif.

Beliau berkata, sebarang dakwaan jangan dibiarkan tidak dijawab dalam tempoh yang lama dan ia perlu dijawab oleh pihak berwajib selewat-lewatnya dua hari selepas sesuatu isu itu ditimbulkan.
 
 
 
 
Memang baik dan tepat saranan KJ itu, lebih-lebih dalam era teknologi maklumat, zaman media sosial dan telefon pintar yang sentiasa  dalam genggaman sekarang ini, tidak ada sebab sesuatu isu itu perlu mengambil masa yang lama untuk dijelaskan kepada rakyat.

Waima di mana pun berada,  seseorang yang berjawatan dalam kerajaan sebenarnya tidak terpisah daripada menerima maklumat dan mustahil juga tiada ruang sama-sekali untuk menjawab sebarang persoalan yang timbul.

Tambahan lagi, dengan kedudukan sebagai pemimpin, mereka juga tentunya mempunyai puluhan setiausaha dan pegawai khas yang bila-bila masa saja boleh dihubungi dan diarahkan untuk memberi penjelasan.

Tetapi, bagaimana dengan KJ sendiri?

Mengapa beliau sendiri tidak mengamalkan apa yang disarankannya itu?

Bila agaknya beliau mahu menjawab dakwaan Mukhriz Mahathir mengenai dakwaan pertemuan sulitnya dengan bekas Menteri Besar Kedah itu dan meluahkan ketidakpercayaan tentang penjelasan Najib Razak berkenaan 1MDB?
 
 
 
 
Benarkah beliau sudah menghantar surat perletakan jawatan kepada Najib, tetapi kemudian menarik baliknya setelah dipujuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi?

Di mana agaknya KJ berada sekarang ini?

Mengapa sampai sekarang dakwaan yang ditimbulkan oleh Mukhriz itu masih tidak berjawab?

Apakah beliau berada di luar lingkungan dunia yang tidak mempunyai jangkauan telefon dan internet sehingga bukan saja dakwaan Mukhriz itu tidak diketahuinya dan tidak dapat juga memberi arahan kepada setiausaha serta pegawainya untuk membuat kenyataan akhbar?

Mungkinkan KJ tertinggal telefon pintarnya dan keluar tidak membawa sebarang alat gajet?

Dah lebih dua hari ni, bro?
 
 
 

BN perlu kenal pasti kemahuan rakyat

Posted: 12 Dec 2016 06:55 AM PST

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian


SHAH ALAM – Penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN perlu kenal pasti kemahuan rakyat Selangor, Pulau Pinang jika mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.

"BN perlu pastikan perubahan berlaku sebelum menjelangnya PRU akan datang. BN perlu merapatkan barisannya.

"Dalam masa sama, BN juga perlu menggarap nilai kerangka minda, keperluan dan kemahuan pengundi di dua-dua negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Sementara Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti UtaraMalaysia, Md Shukri Shuib pula berpendapat, peluang untuk BN untuk merampas Selangor dan Pulau Pinang agak tinggi sekiranya berlaku pertembungan kerusi antara parti pembangkang.

"BN ada peluang menang semula di Selangor dan menggugat kerajaan DAP Pulau Pinang. Di Pulau Pinang jika berlaku pertembungan BN-Pas-PKR di kerusi yang kini diwakili PKR maka kemungkinan untuk BN menang adalah tinggi.

"Jika PKR berjaya digugat maka kemungkinan hanya tinggal kerusi DAP sahaja yang kekal di Dun Pulau Pinang dan Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Mengulas mengenai PRU akan datang, Shukri berkata, beliau yakin akan berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan Pas, BN dan PKR meliputi banyak kawasan di dua negeri tersebut.

"Jika ini berlaku BN dan Pas boleh membentuk kerajaan baru dengan memberikan peluang untuk Pas menjadi MB di Selangor dan Umno menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ia akan melakar sejarah baru," katanya lagi.


Apa UMNO buat kepada Orang Asli setelah 60 tahun merdeka?

Posted: 12 Dec 2016 06:48 AM PST

orang asli

Oleh Hafiz Zainuddin


GUA MUSANG:  Komuniti peribumi negara ini berhadapan dengan dilema yang melibatkan pemusnahan hutan akibat pembalakan berleluasa oleh pihak-pihak tertentu, malah keadaannya semakin buruk.

Pemusnahan hutan itu secara langsung menyebabkan kehidupan dan sumber utama bagi komuniti Orang Asli terjejas.

Persoalannya, apakah yang telah dilakukan kerajaan UMNO dalam membela masyarakat dan keberlangsungan kehidupan sekitar hampir 200,000 Orang Asli negara ini?

"Sudah hampir 60 tahun negara ini merdeka. Apa yang Orang Asli dapat di negara kita?

"Adakah kedudukan dan hak Orang Asli dipertahan oleh kerajaan? Ini yang kita suarakan. Ini yang kita lawan. Kita lawan apa yang buruk dan yang jahat. Ini bukan melawan tanah air," kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berucap di hadapan sekitar 100 Orang Asli dan aktivis di Pos Bihai semalam dalam program solidariti anjuran NGO Himpunan Hijau.

kit siang orang asli
 

Penindasan dan pengabaian terhadap kemelut yang melanda komuniti Orang Asli saat ini, katanya, seolah-olah telah meminggirkan jasa bakti mereka yang berkorban demi negara dalam pasukan Senoi Perak suatu masa dahulu melawan anasir komunis.

Lebih menyedihkan apabila kakitangan jabatan yang menguruskan hal ehwal Orang Asli iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya diisi sebilangan kecil komuniti itu.

Ia sekaligus membuktikan kerajaan gagal memahami dan memajukan komuniti itu secara serius.

"Kerajaan tubuhkan JAKOA. Adakah ia benar-benar berfungsi dan selesai masalah Orang Asli?

"Setelah 60 tahun, adakah Ketua Pengarah adakah Orang Asli? Berapa ramaikah kakitangan JAKOA terdiri dari kalangan Orang Asli?

"Saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib ambil perhatian. Jika beliau serius, 50 peratus kakitangan JAKOA sewajarnya diisi oleh Orang Asli," katanya.

Angkat martabat dan hak istimewa Orang Asli dalam Perlembagaan Persekutuan

Dalam satu kenyataan berbeza, Kit Siang mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya kedudukan Orang Asli yang merupakan pribumi terawal negara ini diangkat supaya dapat menikmati hak keistimewaan setaraf Bumiputera dan kaum Melayu.

kit siang orang asli


"Supaya mereka juga akhirnya dapat menikmati hak istimewa dalam pendidikan, perkhidmatan awam, perniagaan, biasiswa dan hak tanah yang dilindungi," kata beliau.

Beliau menegaskan, DAP akan terus memberi komitmen dan menyokong kedudukan kaum Melayu
dan Bumiputera di samping melindungi hak kumpulan etnik lain seperti terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


Kata Kit Siang, kedudukan istimewa tersebut adalah untuk membangunkan Bumiputera yang memerlukan dan bukannya 'UMNOputra' yang kaya.

"Ia juga bermaksud bukan-Melayu yang ketinggalan dan memerlukan perhatian juga harus dibantu dan mempunyai akses kepada program-program tindakan afirmatif


"Dalam perkara ini, Orang Asli yang merupakan peribumi terawal negara ini telah diabaikan sejak Merdeka pada 1957.

"Mereka telah berada di sini sejak ribuan tahun tetapi masih dilayan secara tidak adil oleh pihak berkuasa. Mereka paling layak menerima keistimewaan," ujarnya. – Roketkini.com


Malaysia, Singapura meterai perjanjian kereta api laju esok

Posted: 12 Dec 2016 06:26 AM PST


 
 
Wisma Putra berkata, projek kereta api laju itu dijangka meningkatkan ketersambungan, memudahkan perjalanan KL-Singapura, mengeratkan lagi hubungan perniagaan dan rakyat 2 negara.


keretapi,hsr

 
PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura dijadual menandatangani perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, esok, semasa Lee Hsien Loong melakukan lawatan kerja ke negara ini untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, projek kereta api laju itu dijangka meningkatkan ketersambungan, memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, mengeratkan lagi hubungan perniagaan dan meningkatkan hubungan antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Lee akan diiringi isteri, Ho Ching, dan beberapa menteri Kabinet serta pegawai kanan.

"Semasa Pemukiman Pemimpin ke-7 ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dijadual mengadakan pertemuan 4 mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, disusuli mesyuarat delegasi.

"Kedua-dua pihak akan membincangkan isu dua hala kepentingan bersama, mengkaji kemajuan kerjasama dua hala sedia ada, meningkatkan momentum perbincangan yang sudah diadakan dan inisiatif dipersetujui pada Pemukiman Pemimpin 2015," katanya.

Wisma Putra berkata, satu Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada akhir pemukiman itu.
Pemukiman Pemimpin adalah acara tahunan yang dihoskan secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Singapura.

"Pemukiman Pemimpin kali pertama diadakan pada Mei 2007 di Langkawi dan sejak itu menjadi forum bagi kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan dua hala."

Pada 2015, Singapura merupakan rakan perniagaan ke-2 terbesar bagi Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencapai AS$59.5 bilion (RM190.6 bilion ketika itu).

PKR sokong pindaan halang tukar agama anak sebelah pihak

Posted: 12 Dec 2016 06:19 AM PST

 
Baru Bian menggesa undang-undang negeri dipinda supaya mengikut pindaan pada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976


baru-bian


KUCHING: Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) yang akan menghentikan penukaran agama anak secara sebelah pihak merupakan langkah yang baik, kata PKR Sarawak.

Pindaan untuk meminta Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat bulan lepas. Pindaan itu, sekiranya diluluskan pada sidang Mac depan, mewajibkan persetujuan ibu dan bapa untuk menukar agama anak.

Pindaan itu menyatakan anak akan kekal dalam agama yang dianuti ibu bapa semasa mendaftar perkahwinan, dan boleh memilih agamanya apabila mencapai umur 18 tahun.

Persatuan Geraja-gereja Sarawak dalam satu kenyataan berkata undang-undang Sarawak perlu dipinda supaya selaras dengan perubahan pada perlembagaan.

"Saya menyokong sepenuhnya seruan oleh Persatuan Gereja-gereja agar kerajaan Sarawak meminda Ordinan Majlis Islam Sarawak mengikut pindaan LRA, dan menyelaraskan ia kepada jaminan perlembagaan yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia," kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dalam satu kenyataan hari ini.

Baru, yang merupakan Adun Ba'Kelalan berkata penukaran agama anak tanpa pengetahuan atau izin ibu dan bapa melanggar hak mereka di bawah konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang ditandatangani Malaysia.

"Penukaran agama seperti itu menyebabkan banyak keluarga menderita dan diharapkan pindaan itu akan menghalang kes daripada berulang di masa hadapan," katanya.

Baru bagaimanapun berkata perundangan Sarawak berhubung penukaran agama masih samar.

Di Sarawak, Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 membolehkan seseorang yang belum mencecah umur 18 tahun menukar agama kepada Islam sekiranya ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

"Saya percaya peruntukan itu tidak menepati perlembagaan seperti yang saya jelaskan tadi, dan langkah dewan undangan negeri Perlis memperkenalkan peruntukan seperti itu merupakan tindakan yang tidak betul, tidak bijak dan terkebelakang," katanya.

Khamis lepas, dewan legislatif Perlis meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang didakwa membolehkan agama anak ditukarkan dengan hanya izin salah seorang ibu bapanya.

Persatuan Peguam-peguam Muslim membantah sebarang pindaan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia tidak menepati perlembagaan.

Mereka berhujah Mahkamah Persekutuan sebelum ini menafsir perkataan "ibu bapa"" dalam Perkara 12(4) itu sebagai ibu atau bapa atau penjaga, dan bukan ibu dan bapa.

Mengikut perkara sedia ada, ia menyatakan: "agama bagi seseorang yang berumur kurang dari lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya."

Liow: Semua Wakil Rakyat MCA Perlu Bantah Pindaan Enakmen Perlis

Posted: 12 Dec 2016 06:15 AM PST

Oleh: THE STAR
 
 
Liow Tiong Lai.
 
 
DIKEMASKINI KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat MCA akan mengeluarkan amaran keras kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Khaw Hock Hong kerana gagal menyatakan bantahan parti terhadap pindaan enakmen yang membenarkan penukaran unilateral kanak-kanak bawah umur, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun parti itu menerima penjelasan Khaw yang meninggalkan dewan semasa DUN meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016, Hock Hong bagaimanapun tidak menjelaskan pendirian MCA di dalam dan luar dewan.

"Tindakan beliau menimbulkan spekulasi mengenai pendirian MCA, yang tidak pernah berubah.

"Kita dengan tegas membantah pindaan enakmen yang membolehkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menukar status agama anak untuk memeluk Islam," kata Tiong Lai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti pada Isnin.

Laskar Siber Punca Kesipuan

Posted: 12 Dec 2016 06:11 AM PST


 
Oleh A Kadir Jasin


BERBANDING saya, (Tan Sri) Zainuddin Maidin (Zam) lebih rapat dengan Pegawai Nombor Satu Malaysia (MO1), (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Saya mula mengenali Najib secara peribadi pada tahun 1977 tetapi Zam mengenali beliau sejak zaman bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, kalau pun tidak secara langsung setidak-tidaknya secara retrospektif.  

Pada zaman Abdul Razak, Zam sudah pun seorang pengarang dan banyak membuat liputan kegiatan Perdana Menteri kedua itu di dalam dan luar negara. Beliau seterusnya menulis sebuah buku mengenai Abdul Razak bertajuk "Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot" (Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak ; Utusan, 1997).

Dengan Najib pula, Zam bukan sekadar mengenalinya sebagai bahan berita malah juga sebagai rakan politik dan anggota kabinet. 

Jadi apabila beliau menulis atau berkata sesuatu mengenai Najib, apatah lagi mengkritiknya, Zam menulis dengan autoriti berlatarbelakangkan perbandingan di antara anak (Najib) dengan bapa (Abdul Razak).


Tetapi tentu ada pembaca yang pantas dan spontan menolak perbandingan seumpama itu kerana pada pandangan mereka Najib terlalu rendah martabatnya untuk dibandingkan dengan gergasi seperti Abdul Razak atau mana-mana Perdana Menteri Malaysia, hatta (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Zam, Muhyiddin Yassin dan Najib pada zaman bahagia


Jadi apabila baru-baru ini Zam menulis mengenai soal siapa yang akan "kesipuan" (embarass) kalau Dr Mahathir dibenarkan menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru dan timbalan baginda di Istana Negara pada 13 Disember ini, pengertiannya amat dalam.

Antara lain Zam menulis dalam blognya: "Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Tun hadir di upacara itu iaitu pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpu kepada Tun untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

"Ini akan meletakkan pemimpin Barisan Nasional terutama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan."

Saya pun berperasaan serupa. Najib bukan sahaja takut berbahas dengan Dr Mahathir seperti dibuktikan oleh pembatalan kehadirannya di forum "Nothing2Hide" 4 Jun tahun lalu, malah bersemuka atau berada dalam majlis yang sama pun dia tidak berani lagi.

Jadi, bagi saya, kalau Zam membelasah Najib ia adalah perkara biasa. Tetapi apabila Zam memilih untuk belasah laskar siber (cybertroopers) Najib, ia berupa dimensi lain yang meletakkan Najib di tahap lebih rendah.

Dalam catatan 9 Disember Zam memilih untuk memukul laskar siber Najib bagi menyindir beliau.


Zam menulis: "Saya meminta kerjasama media troopers Datuk Seri Najib atau UMNO supaya memileh orang yang dapat menggunakan bahasa yang sempurna dan tata bahasa yang baik untuk menulis komen di blog ini (zamkata.blogspot.my) kerana bahasa adalah menggambarkan jalan pemikiran.

"Saya beri contoh bahasa yang buruk tanpa punctuation yang betul dengan menyiarkan tulisan pemakan dedak seperti diatas yang tentunya tidak meyakinkan pembaca malah menyebabkan orang memandang rendah pada penyokong Najib.

"Saya tidak hanya menyiarkan tulisan pro Mahathir tetapi juga yang anti Mahathir tetapi tulislah dengan sempurna jika tujuan untuk membuka fikiran ramai bagi membantu Najib."
Setuju Dengan Zam

Maaf cakaplah kalau saya kata, dalam blog kita ini pun hal yang sama berlaku. Ada yang hujah mereka amat sukar difahami atau tidak dapat difahami langsung.

Saya sendiri berperasaan bahawa Najib dan para penasihat media beliau sedar akan betapa daif dan hambarnya laskar siber beliau, sama ada yang diberi dedak atau menyokong secara sukarela.

Kalau kita masih ingat, dalam Perhimpunan Agung Umno 2014, Najib sendiri menuduh laskar siber Umno "bangang" kerana berkelahi sesama sendiri dan menyerang bos-bos Umno.

Rasanya keadaan tidak bertambah baik bagi Najib dan Umno malah mungkin semakin buruk. Laskar siber mereka terus bercakaran dan, dalam beberapa kejadian, menyerang para pembesar Umno, termasuk Najib sendiri umpama burung tiung yang menggigit tangan yang menyuapkannya pisang.

Hatta laskar siber yang berkedudukan tinggi dalam media massa dan pernah dihormati pun tidak lagi cergas dan lantang mempertahankan Najib. Hanya sekali-sekala mereka membuat tampalan (posting) itu
pun mengenai hal-hal peribadi seperti pemandangan, sajian makanan, hobi dan bersosial sesama sendiri.

Jentera dan saluran propaganda Umno, Barisan Nasional dan kerajaan menjadi semakin lemah dan tidak berwibawa akibat kejatuhan berterusan pengedaran akhbar dan penontonan stesen TV arus perdana.



Utusan pernah cecah 350,000 naskhah sehari tahun 1990-an
Masalah perniagaan dan kongkongan profesionalisme menyebabkan ramai wartawan kanan yang berwibawa meninggalkan media arus perdana. Sebahagian mereka menyertai media atas talian dan media sosial.

Majoriti mereka kritikal terhadap Najib, Ummo, BN dan kerajaan. Mereka mengubah kiblat daripada mematuhi "wahyu" Putrajaya dan Ibu Pejabat Umno kepada mengamalkan kewartawanan bebas (free) dan merdeka (independent). Blog dan laman sosial mereka adalah antara yang paling ramai pengikut celik.

Yang masih tinggal dalam MAP milik parti-parti BN adalah mereka yang makan gaji untuk menjaga anak, bini dan suami. Di kalangan penjawat kanan pula, majoriti sudah hilang profesionalisme akibat godaan wang dan kuasa.

Tanda Keterdesakan

Perang saudara di kalangan laskar siber Najib dan ketiadaan "class" seperti yang Zam sebutkan adalah bukti tahap keterdesakan yang semakin meruncing.

Mereka tahu yang saat-saat kegemilangan Umno sudah berlaku dan apa jua pujian-pujian yang mereka dendangkan adalah ibarat menyiram air ke atas daun keladi – tertumpah, tercurah tidak meninggalkan kesan.

Dan dengan terdedahnya skandal 1MDB dan disertai pula oleh prestasi ekonomi yang lembap dan kewibaan kerajaan yang merudum, "sungai wang" yang menjadi sumber rezeki, upahan, gajian dan dedak laskar siber semakin hari semakin kering.

Tragedinya adalah manakala laskar siber Najib memperoleh dedak dan temukut 1MDB, mereka yang menikmati beras basmati dan beras gred A pula adalah Jho Low, Riza Shahriz Abdul Aziz dan para konspirator mereka di New York, Los Angeles, Las Vegas dan Monaco.

(Destinasi yang mana agaknya akan dituju oleh keluarga Najib bagi menyambut tahun baru 2017?)
Raja kepada segala ironi dan tragedi jenaka ini adalah Umno dan laskar sibernya kini bermati-matian mempertahankan 1MDB yang berupa lubuk duit Jho Low serta "geng of New York"nya.

Cina Jho Low (kanan) tuduh Umno putar-belit
Inilah Cina kawan keluarga Najib (bukan Cina DAP) yang pada 14 April tahun lalu menghina Umno dengan menuduhnya "spin master" (pakar putar-belit) dan mencabarnya berbahas.

Dalam keadaan yang serba menekan ini, tidak hairanlah kalau ada laskar siber Najib yang lebih gigih mengumpul jerami ketika matahari masih bersinar (making hey while the sun shines) daripada berkorban jiwa raga untuk beliau, Umno, BN dan kerajaan.

Sebab itulah yang kita lihat masih berhujah bagi pihak Najib, keluarganya, Umno, BN dan kerajaan bukan lagi pengamal media profesional yang terbaik dan berwibawa tetapi laskar siber seperti yang Zam sebutkan itu.

Wallahuaklam.

Pelajar Tingkatan Satu Lemas Ketika Mandi Pantai

Posted: 12 Dec 2016 06:06 AM PST

MALAYSIAN DIGEST





KUALA NERUS - Seorang pelajar tingkatan satu ditemui lemas, manakala rakannya hilang ketika mandi di pantai Seberang Takir, hari ini.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang maut dikenali Mohd Mujahid Mohd Zuni, 13.

Mangsa ditemui kira-kira jam 7.10 malam setelah tersangkut pada pukat yang digunakan penduduk bersama pasukan penyelamat untuk mencari mangsa.

Manakala, mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Muzanni Nor Shariman, 13, dari Taman Permint Perdana, Seberang Takir.

Difahamkan, kedua-dua mangsa pergi ke lokasi kejadian bersama dua lagi rakannya lain.

Jurucakap Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 5.45 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Operasi turut disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat jam 7.30 malam operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk kampung masih diteruskan.-Sinar Harian


Comments (0)