Followers

Nuffnang

.

Posted by Unknown | Posted on 4:32 PG | Posted in

sumber :-

.


Hamid berjiwa besar pensetia parti ke akhir hayat

Posted: 15 Dec 2016 10:24 PM PST

BELESUNGKAWA

Kenangan bersama Allahyarham pada tahun 2011.
Subuh tadi saya menerima berita pemergian Abd Hamid Aziz, 57 daripada beberapa orang kawan di  Kelantan. Berita pertama diterima daripada Abdul Fatah Haron, YDP Pas Rantau Panjang. Berita kedua diterima daripada sdr Sobree Shafee dan seterusnya daripada Dr Fauzi Zakaria. Ketiga-tiga pengirim berita itu sangat mengenal Hamid seperti saya juga.

Seperti saya catat dalam Facebook, pemergian Hamid sedikit mengilankan saya kerana tidak sempat berjumpa dengannya. Maklumat mengenai Allahyarham sakit diterima seminggu lalu. Melihat gambarnya tidak berbaju, tubuhnya susut dimana rupanya sudah berubah menyebabkan air mata saya menitis.

Melihat gambar Hamid itu mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada saya. Wajah lunyai Hamid itu sama senasib dengan wajah saya enam bulan lepas sewaktu menjalani rawatan kemotrapi.

Sebenarnya semasa saya di hospital, Hamid juga berulang alik ke hospital kerana masalah jantung. Malangnya sekali pun tidak sempat saya menemuinya. Minggu lepas sdr Rushdan Mustapa memberitakan keadaan Hamid yang semakin uzur dan meminta saya menjengukinya. Saya memang pun berhajat untuk pulang ke Kelantan khusus untuk menemui Hamid.

Jadi apabila menerima khabar mendukacita selepas Subuh tadi ia sangat menyayukan hati saya. Terasa macam berdosa kerana tidak sempat menziarahinya. Maafkan aku Mid! Saya tidak pasti bila kali terakhir berjumpa dengannya. Sewaktu saya berulang alik ke hospital saya meyenggangkan diri dengan segala aktviti politik, nah begitu juga dengan beliau. Situasi ini menyebabkan kami seakan berjauhan..

Takdir dan musibah yang kami hadapi menyebabkan kami ikut sama terrenggang. Namun begitu media sosial tetap menghubungi kami. Salam dan cerita kawan-kawan  tetap mengejapkan hubungan batin kami. Walaupun saya tidak membaca status-statusnya di Facebook seperti selalu, tetapi saya yakin beliau mengikut perkembangan saya menerusi blog atau Facebook saya.

Berbicara mengenai Hamid dia bukan seorang tokoh besar, jauh sekali menjadi wakil rakyat. Tetapi bagi siapa mengenalinya peranan dan penglibatan Hamid dalam kegiatan politik khasnya bersama perjuangan Pas serta gerakan-gerakan sosial lainnya tidak perlu disebutkan lagi. Hamid lebih hebat dan peranannya lebih berkesan daripada beberapa tokoh politik lain.

Tidak salah kalau saya sebut penglibatannya dalam Pas Kelantan sehingga Pas berjaya membentuk kerajaan sama hebat dengan nama-nama seperti Bunyiman Yakob, Wan Jamil Wan Mahmod, atau pun Wan Rahim Wan Abdullah, Abdul Fatah Haron dan lain-lain.

Hamid adalah orang terawal yang bergelumang dalam melawan Umno sebaik parti itu merampas Kerajaan Pas Kelantan tahun 1978. Beliau mulai aktif awal tahun 80an. Tahun pertama kerajaan Pas dibentuk beliau adalah tenaga utama yang menggerakan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan bersama Fatah Haroh.

Kami saling kenal mengenai antara satu sama lain sejak sebelum Pas memerintah Kelantan lagi, tahun 1990. Beliau mengenali saya sebagai penulis dan wartawan. Kehadiran saya dalam majlis ceramah atau kegiatan politik menemukan kami di sana. Dari situlah kami berkenalan dan mulai rapat kemudian bersahabat.

Pertemuan lebih kerap lagi semasa beliau menjadi salah seorang pemimpin muda Pas Kelantan apabila beliau menjadi Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas. Sekaligus juga beliau menjadi Exco Dewan Pemuda Pas Kelantan yang ketika itu dibawah pimpinan Zulkifli Yaacob.

Jawatan itu dimanfaatkan Hamid sepenuhnya untuk menyemarakkan semangat Pas. Tidak salah kalau dikatakan beliau adalah pemain penting dalam DPP Kelantan. Sesuai dengan kedudukan itu semasa kerajaan pimpinan Tokguru Nik Aziz Nik Mat "diganggu" oleh sebilangan pegawai kerajaan negeri yang turut sama membabitkan Istana Kelantan, Hamid adalah antara orang berada di hadapan dan lantang mempertahankan kerajaan Nik Aziz.

Saya masih ingat antara tindakan Allahyarham ialah mengembalikan pingat (SK) yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan kepadanya sebagai protes penarikan pingat atau darjah kebesaran terhadap dua orang wakil rakyat Kelantan, kalau tidak silap Takiyuddin Hassan dan Muhamad Daud Iraqi. Kerana membela Takiyuddin dan Mat Iraq beliau telah mengembalikan pingat itu sebagai tanda protes.

Tindakan Hamid itu mungkin kecil sahaja, dan ia tidak memberi apa-apa kesan pun kepada pihak Istana. Namun tindakan itu menjadi simbol menjelaskan keberanian serta tanggungjawab beliau dalam mempertahankan kerajaan dan maruah MBnya, Nik Aziz. Bahawa Hamid sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Nik Aziz.

Selain peristiwa itu, satu kejadian lagi yang mungkin boleh dikenang untuk melihatan keulitan Hamid dalam perjuangannya ialah semasa tidak dipilih menjadi calon tahun 2008. Keciciran namanya itu tidak mengecewakannya sampai bertindak diluar batas berorganisasi.

Untuk beberapa tahun beliau dilantik menjadi Penyelia Dun Tendong. Dengan jawatan itu yang elaunnya tidak seberapa beliau telah membina Pas Tendong, menjadikan Dun yang cukup kuat dan hebat. Kebiasaanya pemegang jawatan penyelia akan dipilih menjadi calon dalam pilihan raya. Tetapi ia tidak berlaku kepada Hamid yang juga merupakan ketua pemuda kawasan Pasir Mas.

Pilihan raya tahun 2008, saat namanya sudah digemakan akan menjadi calon di kerusi Tendung, serta segala persiapan telah dibuat, tiba-tiba namanya tercicir. Nama lain "suku sakat" dibubuh menjadi calonnya. Orang yang berada di luar kawasan yang dipilih. Pertukuran dan kejadian itu tentulah mengecewakan Hamid. Namanya digugurkan dipercayai kerana fitnah terhadapnya. Allahyraham Nik Aziz dikatakan menerima fitnah berkenaan bulat-bulat?

Pengguguran itu bagai mana pun sedikit tidak mengugahkan semangat dan perjuangannya. Beliau tidak merajuk apa lagi memperotesnya walaupun ada sebahagian Penghulu dibawah jagaanya membantah dan mendesak agara melakukan perotes mahu berarak ke rumah Tokguru, tetapi dicegahnya.

Kejadian sedih ini Allahyarham ada memberi tahu dan meminta pendapat saya. Saya kebetulan berada di Kelantan menjelang hari penamaan calon bergegas menemuinya di pejabat Penyelia Dun di Tendong bersama rakan saya Md Radzi Mustafa. Saya sungguh simpati atas apa yang berlaku dan mendengar penjelasan daripada beliau. Akhirnya beliau bertasamuh dengan keadaan itu dan redha dengan apa yang berlaku.

Bukan itu sahaja kekecewaannya. Pada pilihan raya 2013 sekali lagi namanya dicicirkan. Keciciran kedua ini dirasakan lebih menekan jiwanya kerana anak buahnya yang diambil menjadi calon. Tetapi seperti tahun 2008 Allahyarham tetap menerima dan redha atas apa yang berlaku.

Itulah Hamid. Bayangkan apa akan berlaku kalau orang lain berada di tempatnya. Sudah tentu mereka akan protes dan mengajak orang berarak ke rumah Tokguru. Paling sadis lagi pasti akan "mengucar" ataupun mendiamkan diri di sepanjang kempen pilihan raya itu. Namun itu tidak berlaku kepada Hamid.

Bukan itu sahaja apa paling merujakan saya, beliau bukan sahaja teralat dengan apa yang berlaku. Sebaliknya dia terus bekerja seperti biasa. Borang pencalonan wakil Pas itu diisi sendiri oleh beliau seolah-olah tidak berlaku apa-apa walhal nama yang patut dimasukkan di ruang calon dalam borang itu adalah namanya.

"Mid tukar sahaja bubuh nama anta dalam borang, tu", usik saya sambil melihat beliau mengisi borang berkenaan.

Beliau berpaling ke arah saya dengan sebuah senyuman kemudian terus mengisi borang berkenaan. Usikan saya sedikit pun tidak dilayani.

 Begitulah Hamid seorang pejuang parti yang ulit, lasak, setia dan tidak pernah mengalah dengan dugaan dan cabaran. Keteguhan jiwa Hamid dalam perjuangan Islam sampai ke nafas terakhir dan ia tidak meralatkannya walaupun ada pihak yang cuba mengkhianati dan menyusahkan hidupnya.

Sama-sama kita mendoakan semoga rohnya di tempatkan dimakam orang-orang terpuji dan menerima rahmat berpanjangan daripada Ilhai. Mid yakinlah enta akan dikenang selama-lamanya. Al Fatihah. [wm.kl.2:01 pm 16/11/16]

Comments (0)