Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:23 PG | Posted in

sumber :-

.


Pas sedia bergabung jika Hadi sebagai PM

Posted: 04 Nov 2016 01:11 AM PDT

SESUDAH JUMAAT

Subky Latif sudah memberi ingatan sombong supaya parti-parti pembangkang khasnya yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) jangan menanti parti Islam itu lagi. Kata Subky parti-parti pembangkang boleh jalan terus tanpa menanti Pas. Erti baginya Pas sudah tidak akan berpaling kepada pakatan pembangkang itu lagi.

Mungkin mengambil kira peringatan sombong Subky itulah maka Husam Musa telah meminta parti-parti pembangkang yang sudah bersetuju untuk berada dalam satu blok pembangkang menggerakkan ke arah penyusunan untuk berhadapan dengan UBN. Hari ini lima buah parti; PKR, DAP, Amanah, Warisan dan Bersatu, boleh memperkukuhkan gabungan itu dan memulakan gerakkerja.

Apakah Pas akan bersendirian atau akan bersama entiti lain, Subky tidak cuba memberi bayangan. Hanya apa yang diketahui kini Pas menjalini hubungan dengan dua buah parti bilis pimpinan Kadir Sheikh Fadzil dan parti "hidup segan mati tidak mahu" Berjasa yang kemudian membentuk blok ketiga dinamakan Gabungan Sejahtra.

(Blok ketiga ini juga bagi saya adalah gabungan beberapa NGO Islam yang sealiran pemikiran dan akidah politik dengan Pas untuk terus memberi peluang kepada Umno memimpin negara). Masa ini para NGO ini masih belum menonjolkan diri tetapi berada di lapis bawah dengan menopengkan diri dengan berbagai nama NGO tetapi sudah bergerak dengan membuat pendekatan dan merapatkan saf atasan Umno dan Pas. Khabarnya beberapa pemuka NGO itu juga akan bertanding dalam Piraum akan datang atas nama Pas?

Kerana Subky orang tua dan lama dalam Pas saya mengira kenyataan Subky itu adalah mencerminkan apa yang ada dalam parti Pas hari ini terutamnya dalam hati presidenya Abdul Hadi Awang. Bagi saya dengan tindak tanduk dan sikap "ikan keli dalam besen" diamalkan Hadi sudah jelas bagaikan disuluh bagai mana sebenarnya hubungan batin beliau dengan Umno.

Amanat Hadi Awang yang dikeluarkan tahun 1981 di Banggol Peradong sudah pun termansuh. Hubungan baik beliau dengan Umno kini boleh jadi juga sebagai penebus kesalahan yang diraih menerusi amanat berkenaan, di mana dengan amanat itu menyebabkan hubungan persaudaraan sesama Islam dan termasuk juga kerukunan rumah tangga suami isteri yang berbeza fahaman ideologi politik berpecah belah.

Bukan itu sahaja kejadian sembahyang dua imam di Terengganu juga didakwa berpunca dari amanat berkenaan. Bahana amanat itu juga menyebabkan orang Pas bermusuh dengan orang Umno dengan menganggap Umno adalah kafir.

Semasa Subky menziarahi saya di rumah, penulis veteran itu membayangkan Piraum ke-14 menarik akan berlaku pertandingan banyak penjuru. Dalam pertandingan itu nanti beliau meramalkan Pas akan kalah teruk mungkin tinggal satu kerusi sahaja, namun kesan itu tidak menjadi masalah kepada Pas kerana selepas itu katanya Pas akan menang besar pula? Kejadian itu seolah-olah sebagai sunatullah yang dipegangi Subky. Harap-harap perkiraan dan firasat politik Subky itu benar.

Saya bersetuju dengan pandangan Subky tadi, parti pembangkang jangan tunggu Pas. Biarlah berumpankan emas Pas tidak akan memakan joran yang dihulurkan. Jika Pas mengambil prinsip demikian ia kena dihormati oleh semua dan berilah kebebasan kepadanya membuat formula matemetik politik sendiri.

Dalam orang mengira politik Pas dangkal tetapi ia juga ada political will nya tersendiri dalam hal ini. Kalau pun bukan untuk meletakkan pemimpinnya sebagai perdana menteri, cukuplah kalau Pas memberi sokongan kepada perdana menteri yang boleh melestarikan Islam. Bagi Pas memenangkan kerajaan Islam lebih baik daripada bantu membentuk sebuah kerajaan sosialis. Orang Pas percaya kalau pembangkang memerintah negara ini yang akan jadi tulang belakangnya DAP, dan ia merupakan kerajaan sosialis. Sementara perubahan sudut pandangan Pas menerima Umno adalah pemimpin berwajah Islam.

Naib Pesuruhjaya Pas Kelantan Dr Mohd Fadzil Hassan dalam satu ceramahanya di Pasir Tumbuh beberapa malam lalu menyatakan Pas tidak sanggup melihat tertubuhnya kerajaan sosialis. Apa dimaksudkan beliau itu ialah kerajaan yang didalamnya ada DAP. Dengan menerima hujah itu sudah pasti Pas tidak akan bersama membantu tolong oposisi. Malahan Fadzli juga bertegas untuk melihat Pas membentuk kerajaan Islamnya sendiri apabila beliau juga tidak mahu bersekongkol dengan kerajaan nasionalis yang didhomankan kepada UBN.

Hari ini cerita atau pelawaan untuk Pas ikut sama bergabung dengan pembangkang timbul kembali. Ia bergema semula dan diberi berbagai-bagai pentafsiran. Ia berpunca daripada kenyataan Mursyidul Am, Hashim Jasin mengatakan kaedah terbaik untuk menumbangkan UBN dengan satu lawan satu. Dalam pada itu Pas sedia berunding. Kenyataan itu dilihat perubahan sikap dalam Pas walaupun bagi saya hanya sekadar percakapan kerana tidak ada isu untuk diucapkan.

Kenyataan Hashim itu disambut oleh Abdul Hadi dengan menunjukkan sikap kesediaan Pas berunding ke arah itu tetapi dengan sedikit syarat. Konotasi syaratnya masuk (berunding) ke dalam rumah Pas boleh tetapi jangan kacau rumah Pas. Ertinya persetujuan itu nanti tidak sampai menjejaskan prinsip Pas. Gelagat itulah menyebabkan isu untuk mengajak Pas bergabung timbul balik.

Kesediaan Hadi itu tidak berapa disambut dan dilihat perubahan positif Pas oleh pimpinan oposisi, kecuali Bersatu yang belum memahami bengkok bengkok politik Pas alias Hadi. Pemimpin pembangkang lain bersikap dingin kerana sudah masak bah ada yang termuntah dengan cara beliau berpolitik.

Lim Kit Siang menterjemahkan Pas (Hadi) berlunak kerana ingin memberi isyarat kepada Najib Razak ekoran ketidaksediaan Parlimen memberi ruang bagi membentang RUU 355. Kit Siang berandaian suara lunak Pas sedia membuka pintu untuk berunding dengan pembangkang itu sebagai umpan-ugut parti itu kepada Najib. Hadi mahu mengajar Najib. Tanggapan demikian menyebabkan Kit Siang dikecam oleh anak buah Hadi.

Saya tidak nampak ke situ perginya. Kesediaan Hadi itu dibuat atas prinsip dan juga sebahagian daripada ilmu hisab politiknya. Hadi juga tahu dan pandai berpolitik walaupun standard politiknya tidak sedarjat Dr Mahathir atau Anwar Ibrahim ataupun Husam Musa. Tetapi apa yang beliau cakap, bersedia untuk berunding dengan pembangkang adalah politik "klu klik"nya.

Atas sifat politiknya yang sudah kita semua arifi, saya tidak yakin apa-apa rundingan dengan Pas kahasnya Hadi akan berjaya. Memang benar UBN boleh digulingkan dengan kaedah satu lawan satu, tetapi untuk merealisasikan formula itu bukan senang. Bak mahu menjolak bulan keribaan, mustahil.

Hadi tidak mudah untuk terpanggil dengan cadangan dan persefahaman itu kecuali beberapa syarat. Antara syarat yang saya nampak bukan kerana dalam gabungan itu tidak perlu ada DAP, tetapi harus meletakkan beliau sebagai bakal perdana menteri. Beliau perlu dijanjinobatkan sebagai PM selepas Najib bukan Muhyiddin atau Anwar Ibrahim atau Husam Musa.

Hadi atau Pas tidak akan meminta dan memohon jawatan itu, tetapi orang yang sudah makrifat dengan politik, terkilas ikan di air sudah tahu jantan beteina patut menyedari apa yang dikehendaki Hadi dan partinya. Bodohlah sesiapa berjuang dalam politik kalau bukan untuk mendapatkan kuasa dan menduduki jawatan tertinggi (PM), setelah berkuasa.

Kalau ini sedia diakui oleh parti-parti pembangkang, oleh Dr Mahathir, Muhyiddin, Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah, Husam Musa, Mohamad Sabu, Shafei Afdal dan lain-lain, harapan untuk Pas bersama mungkin berlaku. Jangan dipersoalkan apakah Hadi layak atau pun tidak untuk diangkat sebagai PM?  Dengan mengambil kata-kata Allahyarham Ghafar Baba yang berpendapat untuk jadi PM bukan payah, semua kerja pegawai buat dan PM hanya tukang singn sahaja, maka Hadi layak.

Sebaiknya kalau parti oposisi mahukan Pas bersama dan mereka percaya dan yakin kerjasama dengan Pas dapat membantu capai matlamat untuk menumbangkan Najib elok gabungan pembangkang membuat tawaran itu kepada Hadi. Konvensyn Pakatan harapan yang bakal diadakan 12 November nanti perlu membuat tawaran itu?

Semua orang kena faham dari konteks kekuasaan dan tanggungjawabnya Pas sangat berkehendakkan kepada kuasa. Dia mahu menjurai gabungan itu nanti. Pas mahu memimpin bukan dipimpin. Acap kali pernyataan ini diluahkan oleh pemimpinnya. Tanpa mengukur kepada diri sendiri dan kelayakan itulah kemahuan Pas. Maka parti-parti pembangkang harus akur dengan kehendaknya itu. Ketahuilah Mat Jenin juga ingin berkahwin dengan anak raja walaupun dia tahu dia hanya sekadar pemanjat kepala.

Kalau syarat "atawa" tawaran ini tidak ada, tidak mudah dan tidak mungkin Pas akan bersama pakatan pembangkang. Pas khas Hadi tidak melihat kepentingan untuk menjatuhkan UBN, kerana baginya kepentingan parti seperti Pas menguasai kerajaan cukup penting. Baginya tidak mengapa Pas tidak menang asalkan tidak menjadi alat kepada sosialisme, DAP. Mungkin dalam fatwa dan algebra politik baharu Pas nasionalis lebih baik daripada sosialisme atau liberlisme.

Berdasarkan kepada realiti itu maka saya berpendapat pelawaan dan rayuan untuk Pas menyertai pakatan oposisi tidak akan berjaya melainkan disuakan dengan tawaran menarik dan perdana itu. Subky juga tentu tidak akan menolak dan berasakan ianya munasabah sekali. Kerja membujuk Pas adalah sia-sia dan merugikan masa sahaja.

Pun begitu kalau Hadi ditawar selalu PM sekalipun ia bukan semudah itu. Pas juga tidak akan sanggup menerimanya kalau ia sudah ada komitmen dengan UBN. Rangka persefahaman yang sudah dibentuk dan sudah membuahkan hasil tidak boleh dimusnahkan begitu sahaja. Yang jelas apa berlaku di Kelantan. UBN sudah memberi kerjasama sebaiknya kepada kerajaan Pas di Kelantan.

Manalah kita tahu takut Najib dan partinya sudah menjanjikan ghanimah jauh lebih besar daripada itu semisalnya jawatan Timbalan Perdana Menteri? Ini juga tidak mustahil akan terlaksana sekiranya Pas dapat menyumbangkan banyak kerusi kepada UBN dalam pilihan raya akan datang. Cakap-cakap Pas akan bertanding di semua kerusi parlimen termasuk yang menjadi kerusi tradisi DAP seakan memberi gambaran Pas diberikan janji "pelik" itu.

Tidak mustahil Hadi boleh jadi TPM sekiranya parti agama itu boleh meraih 50 hingga 60 kerusi parlimen. Jumlah itu akan memberi signifikan besar kepada perjuangan Pas selama ini yang sering diremehkan. Dengan menyumbang 51 kerusi dicampur dengan Umno memperolehi 60 kerusi sudah cukup untuk Najib mengekalkan jawatan PM dan menghadiahkan TPM kepada Abdul Hadi dengan kemenangan majoriti mudah.

Selain itu ada perkara yang sulit untuk diperkataan kenapa amat mustahil untuk Pas atau Hadi berpaling meninggalkan UBN dan berserta dengan pembangkang. Perkara inilah yang menyebabkan Hadi dan Pas berfikir panjang dan sehingga berlaku perbalahan dalaman dalam parti berkenaan. Saya akan mengisahkan perkara ini dikemudian hari.

Ketidakyakinan saya yang Pas sedia berpaling balik untuk bersama pembangkang berpandukan kepada sikap dan kenyataan pemimpin muda parti itu. Mereka membuat ulasan berkaitan hal itu secara nagatif dan ini menunjukkan kerjasama Pas dengan parti pembangkang tidak mungkin berlaku, sebaliknya ia hampir terjadi dengan UBN. Nikmat bersahabat dengan pemimpin Umno, minum tea atau bersolat dengan orang besar Umno, atau berada dalam sesuatu majlis, berada dalam kapal pelancongan bersama sangat merujakan mereka sehingga mereka ini berasakan pemimpin Umno lebih mulia daripada bekas rakan mereka sewaktu dalam Pas dahulu.

Membungkus tulisan ini, elok kalau parti pembangkang yang kini sudah berada dalam PH dan bakal disertai Bersatu dan Warisan memberi tumpuan kepada penyatuan dan pengukuhan mereka. Menyiapkan segala keperluan untuk berhadapan dengan UBN secara satu lawan satu tanpa Pas atau dengan Pas berada di sebelah sana.

Seperti mana kata Husam Musa walaupun banyak parti-parti pembangkang wujud akhir-akhir ini dan Pas menunjukkan ia akan berdikari, tetapi minda orang ramai kini ke arah pelawanan satu lawan satu, bukan tiga penjuru. Satu lawan satu ialah di antara UBN dengan parti pembangkan Harapan Rakyat. Jika ada pihak ketiga ia hanya sebagai pengcau atau semut ditepian manisan sahaja.

Justeru senario itu harus dibentuk dan pembentukannya ialah melalui pembangkang mantap yang ingin ke arah itu dan lupakan sahaja Pas yang masih waswas dan kehilangan kompas itu. [wm.kl.2:45 04/11/16]

Comments (0)