Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:12 PG | Posted in

sumber :-

.


RUU 355: Kita mentertawakan diri sendiri

Posted: 24 Nov 2016 04:14 AM PST

 TAMAT HARI

Hadi semasa baca notis penangguhan.
Apabila Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) untuk meminda Akta 355 (RUU 355) yang hendak dibawa oleh ahli parlimen Marang Abdul Hadi Awang gagal dibentangkan di parlimen hari ini ramai yang tersenyum sinis. Apa lagi apabila Abdul Hadi memberi tahu ia ditangguhkan akan dibincang dalam sidang akan datang ada yang ketawa berdekeh-dekeh.

Apa yang berlaku hari ini wakil Marang itu hanya membaca notis mengenai rang undang-undang berkenaan dan ianya akan dilakukan sedikit pengubahsuaian dan akan dibentangkan pada sidang tahun depan. Itulah harapannya.

Mungkin sedikit sahaja yang berasa sedih dan terkilan atas apa yang berlaku itu. Boleh jadi juga orang Islam yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mensuseskan RUU 355 itu turut sama ketawa bersama yang bukan Islam? Alangkah sedihnya kalau keadaan ini berlaku.

Sememangnya ada orang Islam yang buat-buat tidak faham dengan RUU 355 itu berasa senang hati dengan peristiwa hari ini. Bagi mereka kegagalan Hadi membentangkan rang undang-undang itu sesuatu yang mujur buat mereka. Dendam dan perasaan politik yang bersarang dihati menerima kegagalan itu sebagai satu kemujuran.

Sebaliknya orang yang ikhlas dan jujur untuk melihat rang undang-undang itu menjadi kenyataan serta tahu kepentingan dan kewajibannya tentulah sedih dengan apa yang berlaku hari ini. Mengapa tidak, sejak dari semalam lagi apabila Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengkhabarkan bahwa RUU 355 akan dibentang di hari akhir sidang, mereka teranti-nanti dan menunggu perstiwa itu dengan penuh minat dan menganggapnya ia satu sejarah.

Sebaik mendengar perkhabaran tentang RUU 355 itu ramai yang sebak dan menitis air mata gembira. Mungkin ada yang melakukan sujud syukur di tengah padang. Mereka yang obses dengannya apa lagi sudah menjulang tangan kononnya mereka sudah berjaya. Tuhan telah memakbulkan doa mereka. Jika boleh diibaratkan pengumuman dibuat Zahid itu ia semacam hari buat ketupat untuk menyambut lebaran keesokannya.

Malangnya apa diharapkan itu tidak menjadi kenyataan. Saat ketupat, lemang serta rendang sudah siap tiba-tiba anak bulan tidak kelihatan, raya tertunda. Sedih. Maka akan basilah ketupat, lemang serta rendang.

Kegagalan RUU 355 dibentang hari ini memberi kegembira kepada pihak yang menentangnya. Yang paling gembira ialah mereka bukan Islam yang sangsi kononnya rang undang-undang berkenaan merugi dan tidak adil kepada mereka. Sejak awal-awal lagi mereka memprotes secara berpasukan.

Bagi saya tidak sedikipun berasa pelik kalau sikap negatif dan sinis itu disambut oleh mereka bukan Islam. Atau pun mereka menolak keras rang undang-undang berkenaan. Tetapi yang menyedihkan ada sebahagian umat Islam sendiri yang tumpang gembira dengan kegagalan itu. Kenapa?

Mereka bukan Islam atau pun mahu menjadikan isu itu sebagai isu politik, tidak bersetuju dan menolak rang undang-undang itu kita faham kenapa mereka gembira dan tahu kenapa mereka menolaknya?

Selamanya orang bukan Islam skeptikal dengan apa-apa berkaitan untuk mendaulatkan Islam. Mereka selamanya tidak akan bersama dalam pandangan dan pegangan orang Islam. Pertentangan di antara orang Islam dengan orang bukan Islam (kufar) itu sendiri jelas. Maka apa yang berlaku dalam rang undang-undang berkenaan yang akhirnya membawa kepada cadangan melaksanakan Hudud adalah kesenimbungan kepada pertentangan itu.

Situasi ini memusykilkan saya. Sampai bilakah umat Islam akan bersikap begini, bersentimen dengan sesuatu yang boleh merugikan diri sendiri. Kita menerima bahawa Hudud itu adalah hukum Allah, tetapi kenapa kita mempersenda-sendakan kepada orang yang berusaha untuk melaksanakannya. Bukankah sikap begitu sesuatu yang kontradik dengan sikap dan akhlak seorang mukmin yang dituntut untuk menghormati antara satu sama lain serta mempejuangkan kepentingan agama.

Memang dalam kaca politik kegagalan Abdul Hadi membentang RUU 355 itu adalah disebabkan keranah politik. Itu jelas. Faktor besar kenapa ia tidak dapat dibentangkan kerana ia tidak mendapat sokongan padu dari kalangan ahli parlimen beragama Islam sendiri. Ketidak kompakan ahli parlimen Islam ini turut menjadi modal kepada bukan Islam.

Faktor atau sebab-sebab lain ialah penentangan secara vokal dari kalangan ahli parlimen bukan Islam yang ada ketikanya mereka hilang rasa hormat kepada Islam.

Justeru bagi saya kegagalan membentangkan RUU 355 itu satu kerugian kepada umat Islam. Bukan soal kita tidak dapat melihat mahkamah syariah diperkasakan sesuai dengan kedudukannya, tetapi ia memberi gambaran kelemahan solidariti di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Sepatutnya semua wakil rakyat beragama Islam menyokongnuya tanpa berbelah bahagi dengan membangkitkan soal-soal yang remeh temeh. Perbezaan ideologi tidak perlu diambil kira dalam soal ini, yang penting ialah kesamaan (kesatuan) akidah dan kepercayaan. Begitu juga soal-soal teknikal bersabit perkara itu boleh diatasi dan dilupai dengan meletakkan matlamat serta tanggungjawab (amanah) sebagai mukmin itu lebih penting.

Mungkin Abdul Hadi berasa malu dengan kegagalan itu. Seperti mana saya katakan, kalau dia ibarat pemburu rusa dia hanya dapat membawa balik najis sahaja tanpa memikul rusa. Tetapi itu sudah cukup sebagai bukti. Namun hakikat disebalik rasa malu beliau itu, itulah juga apa ditanggung dan dirasai oleh seluruh umat Islam negara ini.

Kegagalan itu dan ketidaksediaan Speaker membenarkan rang undang-undang itu dibentangkan bagi saya sesuatu yang juga menyesalkan. Tindakan itu menunjukkan Speaker tidak mahu menggunakan kuasa mutlaknya dan dalam erti kata lain takut kepada tekanan pihak lain. Speaker masih menghitung nasib politik orang melantiknya. Kalau kita yakin ia benar dan penting kenapa harus berkompromi dengan kemungkaran dan kejahilan? Politik masih diletak di hadapan agama.

Sepatutnya sama ada ia dilulus atau tidak, Speaker harus memberi laluan kepada Hadi membentangkannya dan lihat apa yang berlaku. Tidak mengapa kita berbalah dan bertengkar kerana hendak menegak dan memperbetulkan Islam.

Khabarnya Pas akan mengadakan himpunan untuk mempertahankan rang undang-undang itu secara besar-besaran. Ia satu langkah proaktif yang semua pihak, maksud umat Islam perlu menyokong rancangan ini. Himpunan itu wajar dihadiri menunjukkan solidariti dan kebersamaan (kesatuan) dalam isu seperti ini.

Kalau orang Cina boleh keluar beramai-ramai semasa himpunan Bersih 5 lalu yang digunakan untuk mempamerkan kekuatan dan solidariti mereka, kenapa umat Islam takut dan malu-malu untuk berbuat hal yang sama dengan menggunakan isu berkenaan (RUU 355) sebagai asasnya.

Tegasnya kegagalan membentangkan RUU 355 hari ini bukan sahaja kegagalan Pas, dan bukan suatu hadiah sedih daripada UMNO sempena hari ulang tahun ke 65 parti itu. Tetapi kegagalan itu juga melambangkan kelemahan umat Melayu dan Islam negara ini dalam memahami sesuatu yang penting bagi mereka.

Begitu juga kalau RUU 355 itu disifatkan ia sebagai barang mainan dan dipermain-mainkan, maka barang itu adalah kita dan yang kena main itu adalah kita semua. Allahuakhbar. [wm.kl.7:55 pm 24/11/16]

Comments (0)