Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:00 PG | Posted in

sumber :-

.


Konvensyen PH menyatukan hati-hati yang retak

Posted: 12 Nov 2016 08:09 PM PST

ULAS KONVENSYEN PH

Dr Mahathir pemimpin de facto penyatu. 
Sungguh pun konvensyen Pakatan Harapan (PH) kali pertama semalam tidak berakhir dengan satu pementeraian perjanjian di antara parti-parti gabungan dalam PH (PKR, DAP dan Amanah) dengan parti pembangkang lain khasnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan hanya menerima pandangan dari beberapa pembahas yang akan diangkat sebagai resolusi lisan konvensyen itu, namun majlis itu tetap memberi signifikan tersendiri dan boleh dianggap berjaya.
Makna paling besar konvensyen semalam ialah kehadiran Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi dan Muhyiddin Yassin selaku presiden PPBM dan beberapa pimpinan PPBM lain.

Kehadiran mereka itu membuka lembaran baru di kalangan parti-parti pembangkang untuk mewujudkan sebuah gabungan oposisi sebagai mengganti gabungan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini yang sudah berkecai. Dr Mahathir khasnya menjadi pemimpin de facto baharu menggantikan Anwar Ibrahim. Sudah pasti senario di pihak pembangkang semalam menganggui tidur Najib Razak dan UBN.

Salahuddin Ayub.
Nurul Izzah Anwar
Paling bermakna dan menggembirakan kira-kira 1,200 perwakilan dan permerhati apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin memberi jaminan PPBM akan tetap bersama dalam gabungan itu dengan tujuan dan matlamat satu untuk menumbangkan kerajaan UBN dan Najib Razak sekali gus sebagai PM.

Komitmen dan jaminan yang diberikan itu menolak rasa rawan sesetengah pihak terhadap PBBM yang meralatkan hasrat menyatakan persetujuan untuk menandatangni perjanjian persefahaman denhgan PH tetapi diralatkan di saat-saat akhir kerana sebab-sebab tertentu.

Ada kebenarannya juga apabila PBB menangguhkan pementeraian itu untuk seketika dalam usaha merangka dan memantapkan kerjasama itu lebih bererti lagi. Mungkin ada juzu-juzu tertentu yang perlu diperkemaskan oleh PBBM dan juga di pihak parti PH sendiri untuk menilai dan mengemaskan kerjasama itu dari segenap sudut. Seperti mana kata Muhyiddin pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji kerjasama itu agar ia benar-benar mantap dan kemas.

Iya tidak ada guna kalau perjanjian ditanda tangani tetapi pemantapan dan perincian dalam kerjasama itu tidak dicapai atau masih belum dicapai setuntasnya.

Umum tahun PBBM berusaha untuk membawa sama Pas dalam gabungan itu yang dikira dengan hadirnya parti agama itu gabungan pembangkang itu menjadi lebih kuat dan teguh lagi.

Penyertaan Pas nanti ia akan menghapuskan hujah dan modal UBN untuk meremehkan pakatan PH itu. Ini penting untuk memberi gambaran dan menyakinkan rakyat. Selagi Pas berada di luar maka parti itu akan dijadikan buah caturnya.

Peserta angkat plakad "Bebaskan Anwar".
Pihak PPBM masih berusaha untuk mengajak dan menyakinkan Pas. Semua pihak dan juga rakyat perlu memberi peluang kepadanya tanpa prejudis dan perlu bersangka baik. Kita perlu ubah persepsi terhadap Pas dan harus menerima parti itu sebagai rakan yang boleh membantu.

Saya selalu menyatakan bahawa dalam politik tidak perlu ada dendam, kerana dendam tidak akan memberi kemenangan kepada sesiapa.

Dewan penuh terpaksa duduk dilantai.
.
Kalau semalam diadakan tandatangan perjanjian tetapi dalam keadaan semua pihak khasnya PPBM belum siap siaga ia akan musnah juga akhirnya. Sebelum ini pun semasa wujud perjanjian antara parti gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR), melibatkan PKR, PAS dan DAP, bukan tidak ada pementeraian, ada, semua presiden menurunkan tanda tangan yang indah dan cantik di atas replika perjanjian dan dipamerkan kepada umum.

Akhirnya apa jadi dengan perjanjian itu. Masih wujud juga kecacatan dalam menghayati dan menuntasi perjanjian berkenaan. Keindahan tanda tangan dan kecantikan isi perjanjian tidak menjamin gabungan itu ideal dan berhasil.

Walaupun ketika itu PKR, PAS dan DAP berkempen bersama, tetapi dihujung hari, saat berpilihan raya, saat paling genting masih ada kecacatan dan ketidaksempurnaan. Masih berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa kerusi di antara parti pakatan berkenaan khsusunya antara Pas dengan PKR?

Apakan makna dan erti semua itu? Ertinya perjanjian bukan memuktamadkan segala-galanya dan menatijahkan apa yang diingini. Ia masih dikhianti dan boleh dimungkiri. Jika janji dengan Tuhan boleh diabaikan apa lagi janji sesama manusia.

Justeru apa yang penting di sini bukan tanda tangan perjanjian, tetapi persefahaman, komited dan iltizam yang tinggi dengan nekad dan tekad menghadapi UBN. Itu yang penting.

UBN boleh dijatuhkan bukan dengan merangka seribu perjanjian tetapi UBN boleh ditumbangkan dengan semangat, dengan nekad bersama yang penuh keikhlasan untuk membangunkan sebuah Malaysia baharu. Segala elemen dan isme itulah patut dijadikan roh perjuangan.

Perjanjian demi perjanjian boleh dibuat dalam politik. Perjanjian dalam politik samalah dengan pembinaan istana atau rumah pasir oleh kanak-kanak di tepian pantai. Sebaik rumah atau istana itu siap, tiba-tiba ia musnah apabila datang ombak membadainya. Kemudian ia dibina lagi, kemudian ia hancur lagi dan dibina lagi. Perjanjian tanpa roh dalam politik laksana istana pasir atau istana bungkah ais.

Rumah atau istana itu tidak akan kukuh kalau ia tidak dibina dengan hati dan kekentalan semangat yang tulus dan ikhlas. Nah, demikian juga dengan perjanjian dalam gabungan parti oposisi. Ianya indah diluar sahaja tetapi di dalam lompog, sebab itu bila tiba hari saat untuk berperang ada yang menghala senampang sesama sendiri atau bersikap menikam dari belakang. Kenapa, kerana mereka tidak ikhlas dan tidak ada roh sejati dalam diri.

Bersama selepas berpisah hampir dua dekad.
Lantaran itu elok dan molek bagi PPBM mengemas dan mengejapkan dulu hasrat untuk mengabungkan diri dengan parti PH. Mereka tidak perlu gaduh dan parti PH juga tidak perlu tergesa-gesa mendesak. Kita tidak mahu perjanjian kalau pun termeterai semalam tetapi esok musnah bak istana pasir atau bungkah ais itu.

Sepanjang konvensyen semalam menyerlahkan semangat peserta yang mahukan kepada satu gabungan pembangkang yang kemas, tulus, ikhlas hala tepat tujuannya. Kemas dimaksud di sini, semua parti-parti pembangkang bergabung tanpa ada satu pun berkecuali. Semua sepakat menerima hakikat itu.

Chen Man Hin juga hadir.
Ucapan pengukuhan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Naib Presiden PKR Nurul Izzah serta yang lain-lain terarah kepada keperluan gabungan pembangkang yang mantap dan kuat. Masing-masing meluahkan rasa optimistik kalau wujud gabungan mantap UBN berjaya ditumbangkan. 

Benar kata Dr Mahathir Mohamad, tindakan paling mujarab untuk menumbangkan UBN dan Najib Razak ialah dengan semua parti pembangkang bergabung. Tanpa perpaduan pembangkang tidak mungkin berjaya menumbangkan UBN.

Tanpa epologetik juga Dr Mahathir berkata mereka yang berada di luar gabungan dan masih menyokong Najib adalah musuh yang perlu juga diperangi.

Justeru gabungan itu bukan sahaja dari kalangan parti dalam PH dan PBBM sahaja, tetapi parti-parti lain juga terutamanya Pas harus berikat. Pas adalah satu entiti penting untuk bersama pembangkang kerana kekuatan dan sejarah parti tersebut. Cuma malangnya usaha untuk membawa sama parti itu belum berhasil dan syarat-syarat dikenakannya tidak menyerlahkan kesucian hati dan punya standard politik berkelas tinggi seperti enggan menerima DAP dan Amanah.

Bagaimana pun sehingga ini Pas masih menunjukkan kesediaan untuk bergabung dan menerima formula UBN boleh ditumbanghkan dengan adanya kesatuan pembangkang. Dalam pada itu Pas istiqamah menafikan tuduhan yang mereka akan bergabung dengan Umno baik sebelum atau sesudah pilihan raya?

Atas kesedaran itu maka Pas perlu diajak sama dan dilayani dengan hormat. Pas tidak boleh ditinggalkan dengan hanya kerana tidak bersetuju dengan kerenah-kerenahnya atau sikap ditunjukkan oleh sesetengah pemimpinnya. Walaupun sepanjang konvensyen itu ada suara sumbang menjuah Pas, ia bukan sesuatu yang perlu disokong. Bagi saya tindakan itu bukan mencerminkan politik matang dan ia menggariskan lakar kesukaran untuk menumbangkan UBN.

Apa lagi apabila terdapat sepanduk tertulis menghalang Pas daripada menyertai atau diajak ke dalam gabungan. Siapakah yang memasang sepanduk berkenaan? Apakah ia daripada Ngo atau pihak yang ikhlas untuk melihat UBN jatuh, ataupun ia dilakukan oleh anasir daripada pihak Umno yang cuba menegangkan lagi keadaan PH dengan Pas? Seharusnya pihak Seketrait konvensyen berkenaan tidak membenarkan sepanduk berkenaan digantung di kawasan itu.

Sekali lagi ditegaskan Pas tidak perlu diketepikan dan dilupakan begitu sahaja. Semua pihak kena terima Pas yang boleh menjadi pemangking kepada kekuatan pembangkang. Terima juga dan bimbangi bahawa Pas boleh menjadi tali hayat kepada Umno. Mana-mana pihak pandai mengambil hati Pas, parti agama itu akan bersama mereka. Saya juga yakin dan percaya sebahagian besar ahli Pas termasuk juga pemimpin tertinggi bersedia untuk bergabung dengan PH berbanding dengan Umno kerana mereka arif mengenai kebejatan Umno kepada mereka. Mungkin luka dan pedih angkara perbuatan Umno boleh dilupakan tetapi parutnya tetap ada.

Bagaimana pun kalau Pas benar-benar untuk bersendirian dalam pilihan raya akan datang, tidak menyertai mana-mana coalition, BN atau PH, ia adalah satu tindakan kurang bijak dan boleh menjadikan Pas sebagai parti yang hanyut. Pendapat sesetengah mengatakan Pas akan jadi seperti donosour yang pupus mungkin ada kebenarannya. Jika Pas hanyut kali ini ia bukan sahaja terampung di tengah-tengah lautan tetapi terdampar di pinggiran. Pas akan jadi parti tongkol kayu.

Berbalik kepada usaha mewujudkan gabungan mantap dan kuat menerusi PH tadi dengan adannya janji daripada PBBM adalah elok kalau ia bersekali dengan Pas. Pihak yang masih boleh "berjemak" berkira dengan Pas harus memberi kefahaman kepada parti itu akan realiti politik muasir ini serta keadaan negara dibawah Najib kian parah.

Dalam masa sama Pas juga perlu membersihkan anasir-ansir luar yang menyusup masuk ke dalam parti itu yang sedang mencipta dan menarik benang kekusutan kepada Pas. Mereka ini mahukan Pas bersama Umno kerana mereka ada kepentingan dan telah terikat dengan "bai'ah akabah" yang mana kalau mereka memungkirinya mereka akan menerima bala besar. Hal ini mungkin tidak disedari pimpinan tertinggi Pas.

Kenangan konvensyen bergambar Paksu Nordin.
Saya sudah sebut dan memberi gambaran kegiatan dan tindak tanduk mereka yang ingin atau berusaha untuk membawa Pas kepada Umno adalah mereka yang sudah terjerat dan terikat? Mereka yang telah merancang gerakan bawah tanah dengan berselindung di sebalik batang tubuh pimpinan tertinggi Pas termasuk presiden. Mereka atau individu inilah yang mengkhianti Pas bukannya 18 pemimpin profesional yang bertindak menubuhkan Amanah.

Akhirnya satu hal yang perlu disentuh di sini apabila melihat kepada konvensyen semalam daripada beberapa uacapan pembahas yang masih belum mengemaskan keyakinan mereka. Masih ada yang meragui akan kekuatan yang ada kepada PH dimana masih gerum kalau PH berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru.

Iya usaha untuk menjadi satu lawan satu antara PH dengan UBN penting. Tetapi kalau usaha itu akhirnya gagal, satu lawan satu tidak harus dijadikan bayangan menakutkan. Satu lawan satu bukan patut dijadikan phobia sehingga melunyaikan semangat juang. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, PH harus berani menghadapinya dengan penuh nekad.

PH harus membina kekuatan luaran dan dalaman untuk menghadapi kemungkinan itu. Rakyat tidak perlu dibimbangi dengan perlawanan tiga atau empat penjuru, sebaliknya rakyat perlu dikukuhkan semangat bahawa PH adalah juara. Rakyat tidak perlu diganggui dengan sikap Pas yang kini masih kabur dan berbaur itu. Rakyat hari ini memerlukan sebuah ketegasan dan kenekadan. Kekuatan dalaman parti-parti gabungan itu terutama PKR perlu dilengsaikan. Perbalahan kecil dalaman ibarat sakit gigi halus itu perlu diredahkan segera.

Tidak perlu gusar kepada pertandingan tiga penjuru. Sekiranya habungan PH dan PBBM itu dapat memutuskan perkara-perkara penting, seperti bertanding satu simbol, manifesto bersama dan pembahagian kerusi yang adil dan munasabah ia akan menjelama menjadi kekuatan kepada gabungan itu. Pemikiran umum harus dibentuk dengan senario dua parti dalam pilihan raya akan datang.

Rakyat akan mempercayai bahawa gabungan itu adalah lawan UBN yang sebenarnya. Tertakdir Pas akan bertanding bersendirian, masa ini kehadirannya ada parti bebas yang kecil yang tak ubah seperti kera sumbang yang mahu sama bermain di atas batang kayu bongkok. Pas akan dianggap sebagai parti-parti bebas ketika itu. Yang terarca dan perlu diarcakan dalam minda umum ialah UBN dan PH.

PH dan PBBM harus tidak memikirkan soal perlawanan tiga penjuru atau dua penjuru. Dan bukankah mereka sudah berasa yakin pakatan mereka paling ideal dan akan diterima rakyat. Yang pastinya gabungan baharu itu adalah gabungan beberapa jiwa yang sebelum ini berantarakan. Gabungan jiwa Dr Mahathir - Anwar Ibrahim, gabungan hati Siti Hasmah - Dr Wan Azizah, gabungan emosi Nurul Izzah dan Mukhriz Mahathir.  Gabungan semangat Mohamd Sabu - Dr Mahathir dan Muhyiddin. Gabungan ikonik Husam dengan Dr Mahathir.

Bukan itu sahaja ia juga adalah gabungan hati-hati yang pecah sebelum ini kerana perbezaan aliran politik dan kerenah politik serta disebabkan perasaan taksub kepada sang tokoh idola masing-masing.

Misal dengan nyatanya gabungan pembangkang itu nanti, akan bersatulah semula dua sahabat baik sebelum ini Kamaruddin Jaafar dengan Kamaruddin Mohd Noor, Mohamad Ezam Mohd Noor dengan Mohamned Azmin Ali, dan, antara serpihan Umno yang menjadi PKR dengan serpihan Umno yang menjadi PPBM dan lain-lain.

Dengan wujudnya penggabungan semula hati-hati yang retak itu juga ia memberi keyakinan dan cahaya baharu kepada rakyat, dan dengan itu Pakatan Harapan akan membuat kejutan dalam Piraum ke-14. Gabungan perca dan kaca-kaca kertakan itu akan menjelma balik sebuah semangat dan lambang besar kesatuan rakyat untuk menentang kerajaan kleptocracy demi mengembalikan semula kekeramatan demokrasi.

Paling diimpikan semua orang juga semoga gabungan dan kerjasama itu diharap membebaskan Anwar dari penjara. [wm.kl.10:24 am 13/11/16]

PS: Saya buka tulisan ini untuk dikomen oleh penjenguk sekalian selagi ianya menunjukkan kematangan dan menjaga adat-adat dan susila berkomunikasi menerusi alam siber. Tulisan yang baik dan rasional akan disiarkan. Komen boleh langsung ke blog atau pun menerusi email saya. Wassalam.

Comments (0)