Hakikatnya, inilah yang berlaku sekarang. Disebabkan harta, manusia menjadi tamak dan rakus sehingga sanggup melakukan kerja-kerja haram seperti rasuah, merompak, makan harta anak yatim, menipu dan mengamalkan riba.
Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang seorang itu menjadi kaya tetapi dengan syarat setiap harta yang dikumpulkan datang daripada sumber yang halal. Malah terdapat beberapa sahabat Rasulullah dikategorikan kaya-raya seperti Uthman al-Affan, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas dan Zubair al-Awam.
Bahkan Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddiq dikhabarkan seorang yang kaya namun segala hartanya disumbangkan untuk menegakkan syiar Islam. Harta yang dimiliki langsung tidak menggugat iman para sahabat sebaliknya segala kurniaan itu digunakan untuk ke jalan Allah.
Begitu juga dengan para ulama terkemudian seperti Imam Abu Hanifah. Beliau juga seorang yang kaya-raya hasil perniagaan tekstil yang dimilikinya. Namun kekayaan dan kesibukannya menguruskan perniagaan tidak sedikit pun melalaikan Imam Abu Hanifah daripada tanggungjawabnya menegakkan kalimah Allah. Malah sebahagian besar kekayaannya juga digunakan untuk menegakkan syiar Islam.
Keadaan itu jauh berbeza dengan zaman kita sekarang. Lihat sahaja berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 5 Oktober lalu, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah RM52 juta wang tunai dipercayai hasil aktiviti rasuah melibatkan projek infrastruktur di Sabah.
Begitu juga dengan kes beberapa pegawai dan anggota imigresen yang sanggup menerima upah dari RM200 hingga RM2,500 untuk memudahkan urusan keluar masuk warga asing ke negara ini.
Itu belum lagi dikira kes-kes rasuah yang pernah berlaku sebelum ini yang ada antaranya masih dalam proses perbicaraan dan ada juga yang telah dijatuhkan hukuman kerana sabit kesalahan.
Persoalannya, mengapa keadaan itu boleh berlaku? Mengapa masalah rasuah tidak pernah selesai hingga ke hari ini khususnya dalam kalangan penjawat awam? Yang pasti, semuanya berpunca daripada sifat tamak dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Mereka yang terbabit langsung tiada sifat qanaah (rasa cukup) dalam hidup.