Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:16 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


BERSIH cuba sekat persempadanan semula

Posted: 14 Oct 2016 08:23 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menyekat persempadanan semula kawasan pilihan raya di semenanjung Malaysia.

Dalam permohonan difailkan melalui tetuan Ramrais & Partners, Isnin lalu, Maria menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden dalam kes itu.

Maria yang juga pemilih berdaftar di kawasan parlimen Petaling Jaya Utara mendakwa SPR bertindak dengan niat buruk dan tidak mengikut prosedur dengan betul ketika mengeluarkan notis persempadanan semula.


Pengurusan kes itu dibuat di hadapan Hakim Hanipah Farikullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

'Kita nak jadi Taliban dengan robohkan KLCC?'

Posted: 14 Oct 2016 08:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


Memusnahkan legasi dan warisan masa lalu kerana seorang bekas pemimpin akan meletakkan Malaysia sama seperti Taliban, kata seorang bekas menteri.

'Dalam keadaan sukar dipercayai seseorang berkata kerajaan boleh meruntuhkan menara berkembar jika ia mahu memadamkan legas bekas pemimpin itu.

"Adakah betul apa yang saya dengar?," soal bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dalam Facebook.

Beliau merujuk tulisan blog oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini, yang membayangkan jika kerajaan benar-benar mahu memadamkan legasi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia boleh meruntuhkan KLCC.

Beliau membidas bahawa langkah itu akan menjadikan Malaysia setaraf dengan Al-Qaeda dan Taliban.

"Adakah kita menerima pakai pendekatan Osama Bin Laden (pemimpin Al-Qaeda mendiang) dan Taliban?

"Adakah warisan bermakna kepada sesiapa yang berkuasa. Kolektif masa lalu, sejarah kita. Apa pendirian kita?" soalnya lagi.

Rafidah menjelaskan bahawa menara berkembar itu bukan legasi peribadi Mahathir, tetapi warisan kolektif kerajaan dan Malaysia pada masa itu, yang menunjukkan sejauh mana negara pesat membangun dan diakui di mata dunia.



ANTARA DUA INDIVIDU YANG DISEBUT NAJIB DAN DUA INDIVIDU LAIN DI SISI NAJIB

Posted: 14 Oct 2016 08:09 AM PDT

shahbudindotcom


Bercakap dalam satu rakaman audio mengenai perpaduan, Najib Razak secara terbuka melahirkan kebimbangannya terhadap dua individu yang dianggapnya merupakan ancaman kepada negara.

Walaupun tidak menyebut nama, dua individu itu tidak lain ialah bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Meminjam kata-kata Abdul Rahman Dahlan, hanya orang bodoh saja yang tidak memahami siapa individu yang dimaksudkan Najib itu.

Kata Najib, fasa pertama kepada ancaman perpaduan itu timbul  pada 2008 melalui beberapa isu perkauman dan kes mencabar Perlembagaan, manakala fasa kedua apabila seorang pemimpin lama menubuhkan parti politik baru yang mengakibatkan kuasa politik Melayu berpecah kepada lima.

Tambahnya, ancaman fasa ketiga dijangka akan berlaku berikutan pemimpin fasa  pertama dan fasa kedua itu sudah berbaik-baik dan bersalaman sekarang ini.
Benarkah Anwar dan Tun Mahathir merosak perpaduan dan merupakan ancaman kepada negara?

Apa dan di mana rosaknya perpaduan yang diakibatkan oleh Anwar dan Tun Mahathir selama ini?

Tidakkah Anwar dengan perjuangannya dan Tun Mahathir juga dengan perjuangannya dan mereka berpadu tenaga sekarang ini adalah merupakan sebahagian usaha yang murni ke arah penyatuan rakyat dan seterusnya menyelamatkan negara?

Bukankah perpaduan yang longgar dan timbulnya pelbagai isu mengenai perpaduan selama ini lebih banyak berpunca  daripada kelemahan Najib sendiri dalam menangani pelbagai isu yang timbul?

Hakikatnya, perpaduan tidak ada masalah di negara ini. Sesama rakyat masih boleh hidup akan harmoni sama ada berjiran, makan semeja, bekerja sepejabat, saling menumpang kereta, berpakat dalam perniagaan dan sebagainya lagi.

Masalah kita bukan perpaduan. Masalah kita ialah kehidupan rakyat makin tertekan yang diakibatkan kelemahan pemimpin mengurus negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, sambil berlakunya aktiviti pencurian dan samunan di siang hari.

Jika mahu disebut mengenai kemelut dalam negara, selain kerana kelemahan Najib sendiri dalam memimpin negara, harus disedarinya juga bahawa ada dua individu lain yang lebih merosakkannya.

Pertama, Rosmah Mansor dan kedua, Jho Low.

Jika Rosmah tidak kalut dengan kemewahan dan pembaziran sehingga menjadi bualan hangat di dalam negara dan juga antarabangsa, malah berperanan sebagai isteri yang sebenar sebagaimana watak Tun Siti Hasmah atau Dr Wan Azizah ketika Tun Mahathir dan Anwar menggenggam kuasa, barangkali banyak kekalutan dalam negara ini dapat dielakkan.

Sejak 2009, isu campurtangan beliau, kemewahan, pembaziran dan perbelanjaan juta-juta yang dikaitkan dengan dirinya, terus menjadi  antara penyebab letihnya bibir rakyat mengomel dan berbicara.
Selepas PRU 2013 pula di mana timbulnya isu 1MDB dengan beban hutang tinggi tetapi ada poket yang tiba-tiba berisi, malah beberapa negara sudah mula mengambil tindakan, nama Jho Low tiba-tiba hangat membasahi gusi.

Malah untuk fasa-fasa seterusnya, selagi Najib memimpin negara ini, nama Jho Low akan terus menjadi buah mulut sesiapa dan di mana jua. Malah, Rosmah bukan saja akan kekal sebagai isterinya, tetapi juga dengan wataknya yang seperti selalu.

Dalam kepimpinannya dan apa yang berlaku kepada negara sekarang, mahu tidak mahu, Najib seharusnya lebih menginsafi mengenai kehadiran dua individu yang rapat dan selalu dikaitkan dengan dirinya itu.

Sejak 2008, baik Anwar mahupun Tun Mahathir, kedua-dua mereka tiada kuasa untuk berbuat sesuatu yang boleh merosakkan negara berbanding dua individu lain yang bukan saja selalu berada di sisi Najib, tetapi rapat dengan kuasanya sebagai seorang Perdana Menteri.

Malah, tanpa kuasa dengan seorang sekarang berada di penjara dan seorang lagi sudah 91 tahun usianya, merekalah kini sandaran dan harapan rakyat untuk menyelamatkan masa depan negara.

Kepada Rosmah dan Jho Low, apa yang boleh kita sandarkan pengharapan kepada mereka?

3 hari lepas Ashura, khutbah selar ratapan Syiah

Posted: 14 Oct 2016 08:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


Tiga hari selepas sambutan Ashura, khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil mengecam cara Syiah menyambut ketibaan hari itu.

Katanya, dalam perayaan itu, yang sambutan besar-besarannya dibuat di Karbala, Iraq, penganut Syiah akan menyeksa tubuh badan bagi meratapi kematian cucu Nabi Muhammad, Husain bin Ali.

"Golongan Syiah mengadakan upacara memukul dada dan menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharam bagi menangisi kematian Saidina Husain.

"Perbuatan mungkar ini adalah hanya direka-reka dan bukan daripada ajaran Islam yang sebenarnya, malah ia menyerupai ajaran agama-agama lain," menurut teks khutbah itu.

Tanggal 10 Muharam adalah hari penting bagi pengikut Syiah bagi mengenang kematian Husain – salah seorang imam mereka.

Husain meninggal dunia secara tragis dalam peperangan menentang tentera Yazid bin Muawiyah, khalifah Bani Umayyah yang kedua.

Jawatankuasa fatwa Selangor mewartakan bahawa fahaman Syiah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar pada 17 Oktober 2013.

Rabu lalu, seramai 50 warga Pakistan dipercayai bermazhab Syiah ditahan di Batu Caves, ketika menyertai acara sempena sambutan Hari Ashura.

4 anggota Search disaman hampir setengah juta

Posted: 14 Oct 2016 08:02 AM PDT

MALAYSIAKINI


Syarikat Afjets Sdn Bhd hari ini memfailkan saman hampir setengah juta ke atas empat anggota kumpulan Search kerana penyataan fitnah dan pelanggaran kontrak di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Peguam Afjets Adnan Seman @ Abdullah berkata, dalam pernyataan tuntutannya, laporan difailkan terhadap kumpulan rock popular itu berhubung penganjuran konsert 35 tahunnya yang sepatutnya diadakan pada 30 Ogos lalu.

Afjets mendakwa defendan menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi sidang media pembatalan memorandum persefahaman (MOU) pada 20 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu, defendan antaranya berkata Afjets tidak profesional, tidak mempunyai dana cukup dan tidak berminat untuk meneruskan konsert, selain menjadi punca pergaduhan dengan pemain dram Yazid.

Disebabkan perkataan fitnah tersebut, Afjets mendakwa reputasi mereka terjejas dan mengalami kerugian teruk.

Turut hadir wakil Afjets SM Hafiz SM Afdzaruddin.

Plaintif menamakan Suhaimi Abd Rahman, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud sebagai defendan.

Search sepatutnya mengadakan kerjasama dengan Afjets untuk konsert pada 30 Ogos lalu.

Selepas memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi awal ia dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang.
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh ekoran beberapa perselisihan faham membabitkan bayaran serta kekeliruan Search dengan salah seorang anggota mereka, Yazid.

Menurut Adnan, Afjets turut menuntut antaranya ganti rugi khas berjumlah RM494,079.71 bagi kos yang sudah dibelanjakan, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi pengajaran berserta satu perintah injuksi.

"Perintah itu dikeluarkan bagi menghalang atau menerbitkan kenyataan memburukkan Afjets," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi berkaitan perkara itu.



SPRM tahan suspek kelima kes salah guna dana kerajaan RM3.3 bilion

Posted: 14 Oct 2016 07:57 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki terbabit dalam kes salah guna dana kerajaan Persekutuan bernilai RM3.3 bilion di pejabatnya di sini, semalam.
 
Suspek kelima ditahan SPRM itu bersara sebagai timbalan pengarah agensi kerajaan negeri itu tahun lalu.
 
Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati suspek juga telah menerima sejumlah wang daripada kontraktor-kontraktor ketika memegang jawatan sebagai timbalan pengarah.
 
"Tiada rampasan wang tunai dilakukan tetapi dua buah kenderaan milik suspek iaitu jenis Mercedes Benz dan Land Cruiser dirampas.
 
"Mahkamah Majistret membenarkan permohanan SPRM menahan reman suspek selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya dipetik Utusan Online hari ini.
 
 

Chegubard terlepas tuduhan anjur himpunan 'Blackout 505'

Posted: 14 Oct 2016 07:57 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atas tuduhan berhubung penganjuran perhimpunan 'Blackout 505', tiga tahun lalu.
Hakim Mohamad Kamil Nizam memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul Hisham, 38, atau Chegubard di akhir kes pendakwaan.
Badrul Hisham yang dinamakan sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa atas pertuduhan bahawa sebagai penganjur, dia telah gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya mengenai program itu dalam tempoh masa ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh program diadakan.
Pada 8 Disember 2015, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Dataran Petaling Jaya, Padang Timur, Jalan Timur di sini pada 5 petang, 25 Mei 2013.

PKR Sarawak nafi tiga ADUN keluar parti

Posted: 14 Oct 2016 07:52 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: PKR Sarawak menafikan laporan tiga ADUN-nya akan keluar parti bagi menyertai parti tempatan lain.
 
ADUN Ba'Kelalan Baru Bian mengulangi pendiriannya bahawa beliau, ADUN Batu Lintang See Chee How dan ADUN Krian Ali Biju tidak akan menyertai parti tempatan, Parti Bumi Kenyalang (PBK).
 
"Pendirian kami adalah seperti disuarakan oleh Chee How sebelum ini. Kami tetap dalam PKR," kata Baru hari ini.
 
Pada 3 Oktober lalu, See berkata, tidak ahli PKR berkenaan akan kekal dengan PKR dan Pakatan Harapan.
 
Sebuah akhbar tempatan melaporkan ketiga-tiga ADUN berkenaan telah bertemu dengan pucuk pimpinan PBK bagi membincangkan kemungkinan menyertai parti itu.
 
Khabar angin itu bermula selepas beberapa ahli politik Sabah keluar daripada PKR, DAP dan Umno bagi menyertai parti tempatan yang memperjuangkan hak negeri Sabah.
 
 

Menyamakan Arab Spring dan BERSIH 5 adalah bodoh, bidas Mat Sabu

Posted: 14 Oct 2016 07:49 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini membidas pihak yang menyamakan Himpunan BERSIH yang bertujuan menuntut pilihan raya yang adil dengan insiden Arab Spring.
 
Menyifatkan perbandingan itu sebagai bodoh, Mohamad atau Mat Sabu menambah ia sengaja ditimbulkan selepas pihak berkenaan tidak mahu menyertai BERSIH 5, November depan.
 
"Terlalu bodoh orang yang mengatakan himpunan BERSIH meniru atau lanjutan daripada Arab Spring. Kita tetap komited dengan demokrasi dan pilihan raya untuk mengambil alih kuasa bukan dengan cara yang lain.
 
"Mereka yang mengatakan himpunan BERSIH ala Arab Spring adalah suatu kebodohan dan berpura-pura serta suatu alasan yang diada-adakan oleh mereka yang tidak mahu menyertai himpunan BERSIH 5 ini," katanya memetik kenyataan di portal Malaysiakini.
 
Ujar Mat Sabu lagi, himpunan atau demonstrasi aman sudah mula diamalkan di negara ini sejak Malaysia belum mencapai kemerdekaan lagi dan digerakkan oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
 
Parti-parti politik pembangkang masa kini, seperti PKR, DAP dan PAS juga pernah mengadakan himpunan aman pada 2008 bagi menuntut sebuah pilihan raya yang bersih, katanya.
 
Kenyataan Mat Sabu itu dipercayai merujuk kepada amaran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya pembangkang tidak membawa budaya 'spring' ke negara ini.
 
Menerusi amaran itu semalam, Hadi menyebut besar natijahnya sekiranya pembangkang berterusan membakar sentimen rakyat untuk membenci kerajaan pemerintah.
 
Pembangkang juga perlu insaf serta mengambil iktibar daripada 'Arab Spring' yang kini diibaratkan buah beracun - meragut nyawa tanpa batas.
 
Hadi mengimbau sejarah 'Arab Spring' dengan insiden pertama berlaku semasa Revolusi Arab 1916 akibat tindakan Raja Wilayah Hijaz, Syarif Husain mengisytiharkan perang terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah sehingga menyebabkan dunia Arab berkecai.
 
Sejak BERSIH 4.0, PAS konsisten menolak demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.
 
Begitu juga dengan BERSIH 5 yang akan diadakan 19 November depan, PAS mengambil pendirian untuk tidak bersama parti-parti pembangkang yang lain dalam himpunan berkenaan.
 
 

Poster anti BERSIH: Saya hanya viral je, kata Zein Isma

Posted: 14 Oct 2016 07:45 AM PDT

MALAYSIA KINI


Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berang dengan tuntutan sekumpulan mahasiswa yang mendakwanya mencuri dan memanipulasikan gambar mereka serta menyebarkannya di media sosial.

Katanya, beliau tidak mengetahui gambar itu telah dimanipulasikan, sebaliknya mendakwa dirinya hanya berkongsi setelah menjumpainya di group Whatsapp.

"Saya tak tahu, saya tolong kongsi orang punya (gambar). Banyak group yang kongsi, saya ambil dari group itu sebab saya punya group (Whatsapp) pun beratus," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kumpulan sembilan aktivis pelajar yang diketuai oleh Atyrah Hanim Razali dalam satu kenyataan media hari ini membidas tindakan Umno yang didakwa sebagai terdesak sehingga sanggup memanipulasikan gambar mereka.

Menurut mereka, Umno begitu terdesak sehingga 'mencuri dan photoshop' gambar sebenar bersama plakad bertulis 'Save Ulu Papar' dan menukarnya dengan tulisan "Kami Tolak BERSIH".

Mengulas desakan kumpulan itu yang mahunya memohon maaf dan mengambil tindakan undang-undang, Zein berkata beliau berbuat apa-apa sekiranya Atyrah mahu berbuat demikian.

"Kalau mereka nak buat laporan polis dekat saya apa saya boleh buat, saya viralkan sahaja. kalau nak hukum-hukum lah…

"(Tapi) pihak polis pasti ada alat dia untuk kesan (siapa yang edit) dan forensik siapa yang buat. Kalau nak kira (buat laporan) macam tu tak terlayan lah mahkamah esok.

"Saya pun banyak laporan polis terhadap Malaysiakini pun ada. Saya viral je, ramai je viral kalau nak tangkap, tangkap semua lah," katanya dengan nada sinis.

Dalam pada itu Zein turut menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH5 yang akan berlangsung 19 November ini tidak wajar diteruskan.

Katanya, sekiranya perhimpunan BERSIH diadakan, beliau akan turun bersama kumpulan 'baju merah' bagi menentang kumpulan tersebut.

"Apa mereka (BERSIH) ingat isu mereka tak banyak, isu mereka lagi banyak kenapa tak fikir. ini kerana hasutan geram, emosi nak buat huru hara dalam negara dan saya pihak yang amat menentang.

"Saya setuju dengan tindakan baju merah. Kami (baju merah) tunggu masa dan ketika, jangan rosakkan keselamatan negara termasuk akhbar macam puan.

"Saya sendiri akan turut serta, bukan sahaja baju merah, kita akan tentang (BERSIH) habis-habisan," katanya.

Pelajar dakwa Umno curi gambarnya bagi propaganda anti BERSIH

Posted: 14 Oct 2016 07:42 AM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Atyrah Hanim Razali mendakwa gambarnya telah dicuri dan dimanipulasi oleh Umno serta disebarkan di media sosial.

Katanya, gambar asal, beliau memegang sekeping plakad bertulis "Save Ulu Papar" namun diubahsuai dengan tulisan "Kami Tolak BERSIH".

"Umno terdesak teruk sampai curi dan photoshop gambar orang. Gambar sebenarnya adalah bersama plakad bertulis 'Save Ulu Papar' untuk rakan kami, aktivis Sabah," tulisnya di Twitter.

Menurut semakan Malaysiakini, beberapa gambar aktivis lain dalam gambar yang diviralkan itu turut diubah suai. Antaranya potret Maryam Ramli Lee dan Farhan Haziq dijadikan sebagai poster.

Dalam poster itu, antara lain bertulis 'Kami Anak Malaysia Tolak BERSIH5' dan susunan kolaj sembilan wajah aktivis dengan memegang 'Kami Tolak BERSIH'.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media Atyrah bersama lapan rakannya berkata mereka amat terkejut apabila melihat gambar-gambar mereka diedit, dipinda dan disiarkan di laman Facebook rasmi Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

"Gambar tersebut diambil dari gambar asal kami semasa program Strategising Unity Workshop di Corus Hotel, pada September 2015.

"Gambar tersebut pada asalnya menunjukkan gambar-gambar kami sedang memegang placard bertulis Save Ulu Papar," kata mereka.

Menurut kumpulan mahasiswa itu, pemimpin Umno tersebut meminda gambar mereka yang diambil ketika menyertai program program perpaduan nasional yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Merdeka Centre pada September 2015.

Mereka juga menyertakan gambar asal dan juga gambar yang dipinda itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut Zein Isma meminta maaf secara terbuka dalam masa 24 jam dan seterusnya menurunkan posting tersebut.

"Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan menyusul.

"Tindakan mengedit, meminda, memuat naik gambar tersebut adalah perbuatan keji, biadap dan rendah moral. Ia dibuat bertujuan untuk memfitnah dan memburuk-burukkan kami.

"Ia juga merupakan kesalahan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyebarkan maklumat palsu di laman sosial," kata mereka.

Sementara itu, Zein Isma ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak mengetahui gambar itu telah dimanipulasikan.

Sebaliknya, pemimpin Umno itu mendakwa dirinya hanya berkongsi setelah menjumpainya di group Whatsapp.

"Saya tak tahu, saya tolong kongsi orang punya (gambar). Banyak group yang kongsi, saya ambil dari group itu sebab saya punya group (Whatsapp) pun beratus," katanya.

'Tak patut k’jaan lepas tanggungjawab lindungi Orang Asli'

Posted: 14 Oct 2016 07:36 AM PDT

MALAYSIA KINI


ULASAN - Bar Malaysia terkejut dengan laporan mengenai tindakan terhadap lebih kurang 200 Orang Asli Temiar yang telah menaikkan sekatan semasa proses bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan Balah berdekatan dengan Gua Musang, Kelantan.

Aktiviti pembalakan ini telah menceroboh masuk ke tanah yang dianggap oleh masyarakat Temiar sebagai tanah adat mereka.

Orang Asli yang terjejas terdesak membuat laporan polis terhadap ejen syarikat pembalakan atas dakwaan intimidasi jenayah dalam bentuk ugutan lisan, penggunaan senjata api dan penggunaan mesin gergaji untuk meruntuhkan sekatan tersebut, dan untuk dakwaan penyamaran sebagai anggota polis dan pegawai penguatkuasa.

Bar Malaysia menuntut pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan penuh terhadap perkara ini, dan membawa ke muka pengadilan semua pihak yang bertanggungjawab ke atas tindakan yang menyalahi undang-undang atau perlanggaran ke atas apa-apa hak.

Bar Malaysia juga memandang berat pendirian yang diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung dengan hak Orang Asli Temiar terhadap tanah tersebut dan secara amnya hak Orang Asli terhadap kawasan tanah adat dan tradisinya.

Hak mutlak

Laporan mengenai tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Kelantan terhadap sekatan tersebut menunjukkan bahawa mereka memperlihatkan hak mutlak mereka untuk memberi lesen pembalakan yang termasuk kawasan yang bertindih dengan tanah adat Orang Asli.

Kerajaan persekutuan mendakwa bahawa ia tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendesak kerajaan negeri Kelantan, atas alasan bahawa perkara berkenaan tanah adalah di bawah bidang kuasa eksklusif perlembagaan kerajaan negeri.

Orang Asli menikmati keistimewaan hak adat berhubung dengan tanah yang telah mereka duduki sejak turun temurun tanpa memerlukan pengiktirafan jelas secara eksekutif atau perundangan.

Tindakan menaikkan sekatan semasa bantahan terhadap aktiviti pembalakan ini - satu tindakan yang dilakukan oleh Orang Asli untuk menuntut hak milik adat di bawah undang-undang Malaysia - adalah hanya untuk mempertahankan tanah yang mereka tegaskan sebagai sebahagian daripada kawasan tradisi mereka.

Mahkamah-mahkamah atasan di Malaysia telah mengiktiraf dan berulang kali mengesahkan hak-hak ini sejak tahun 1997 disebabkan oleh, antara lainnya, kedudukan istimewa Orang Asli di bawah Artikel 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Hak-hak sedia ada yang dinikmati oleh Orang Asli sebagai orang pertama di semenanjung Malaysia terus wujud dan hanya boleh dinafikan oleh kata-kata yang jelas dan terang dalam undang-undang, dan bukan dengan mewujudkan rizab begitu juga dengan pemberian apa-apa lesen pembalakan oleh mana-mana kerajaan negeri.

Tidak patut

Tiada peruntukan yang jelas dan ketara dalam mana-mana undang-undang persekutuan dan negeri, yang hanya membawa maksud bahawa masyarakat Orang Asli masih terus mempunyai hak ke atas kawasan adat mereka.

Walaupun kerajaan negeri memiliki kuasa berperlembagaan berhubung dengan hal yang berkaitan dengan tanah, banyak keputusan mahkamah yang memihak kepada hak adat Orang Asli yang jelas menunjukkan bahawa kuasa sedemikian bukanlah mutlak.

Mahkamah-mahkamah di Malaysia juga telah memutuskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kewajipan fidusiari untuk melindungi hak-hak tanah Orang Asli dan tidak boleh bertindak dengan cara yang tidak selaras dengan hak-hak sedemikian.

Adalah tidak berpatutan untuk kerajaan persekutuan untuk melepaskan tanggungjawabnya dengan mengatakan bahawa ia tidak mempunyai kuasa berperlembagaan terhadap perkara berkaitan dengan tanah di Semenanjung Malaysia.

Artikel 83 Perlembagaan Persekutuan memberikan kerajaan persekutuan kuasa undang-undang untuk memperoleh tanah negeri bagi keperluan persekutuan, termasuklah hal kebajikan Orang Asli.
Halang peguam

Pada masa dahulu, kerajaan persekutuan telah menggubal dan membuat polisi berkaitan dengan tanah dan sumber melalui Majlis Tanah Negara, di mana ia mempunyai kawalan dan kuasa secara "de facto".

Oleh itu, kerajaan persekutuan tidak sepatutnya mengatakan bahawa ia lansung tidak mempunyai kuasa untuk membantu Orang Asli dalam mendapatkan pengiktirafan perundangan terhadap kawasan adat mereka.

Kami telah dimaklumkan bahawa Orang Asli di kawasan hutan simpan Balah telah dihalang daripada mendapatkan nasihat perundangan, memandangkan peguam mereka telah disekat oleh Jabatan Perhutanan Negeri semasa beliau cuba memasuki kawasan tersebut dua hari yang lalu.

Sekatan ini juga telah menghalang Orang Asli untuk berhubung dengan peniaga, dan juga memperoleh bantuan makanan daripada orang luar seperti pertubuhan bukan kerajaan.

Tindakan sedemikian oleh pihak berkuasa menunjukkan cubaan terang-terangan untuk menyekat hak asasi berperlembagaan Orang Asli untuk mendapatkan penasihat perundangan, yang mana hak ini boleh dinikmati oleh rakyat lain pada bila-bila masa sahaja.

Diskriminasi orang terpunggir

Bar Malaysia menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan sekatan ini, yang merupakan satu lagi tindakan diskriminasi terhadap orang terpinggir dan yang memerlukan perlindungan dan patut dikecam sepenuhnya.

Bar Malaysia juga menyeru kerajaan persekutuan untuk segera bertindak berdasarkan keputusan yang telah dibuat pada bulan Jun 2015 untuk melaksanakan 18 cadangan yang terkandung di dalam laporan Suhakam pada tahun 2013 mengenai Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia, untuk mengiktiraf tanah adat dan kawasan sumber Orang Asli dan juga di Sabah dan Sarawak.

Pendekatan sedemikian juga adalah selaras dengan komitmen nyata yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia apabila ia mengundi untuk menyokong Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal pada tahun 2007.

Kami menggesa kerajaan negeri Kelantan untuk menghentikan dengan serta merta semua aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan Orang Asli, dan kami menyeru kerajaan persekututan dan kerajaan negeri untuk mengubah polisi mereka mengenai tanah, sumber dan alam sekitar supaya dapat menghasilkan polisi yang mampu memberikan kesan sepenuhnya terhadap keputusan mahkamah-mahkamah atasan di Malaysia dalam mengiktiraf hak adat Orang Asli terhadap tanah, kawasan dan sumber mereka.

 STEVEN THIRU adalah Yang Dipertua Bar Malaysia

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA 14 Oktober 2016

Posted: 14 Oct 2016 07:23 AM PDT

Bekas pegawai kanan Jabatan Air Sabah pula ditahan
SPRM merampas dua buah kereta milik suspek.


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek untuk membantu siasatan berhubung kes Ops Water melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Suspek berusia 62 tahun itu merupakan bekas pegawai kanan JANS yang bersara tahun lalu.

Selepas bersara, suspek dilantik sebagai Penasihat Teknikal dan Kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah yang dipegangnya sehingga kini.

Suspek yang berkhidmat selama 11 tahun bersama JANS itu ditahan di pejabatnya, semalam.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek juga menerima sejumlah wang daripada kontraktor-kontraktor ketika memegang jawatan di JANS.

Menurutnya, SPRM merampas dua buah kereta milik suspek iaitu Mercedes Benz dan Land Cruiser dan tiada sebarang rampasan wang tunai dibuat setakat ini.

Suspek direman selama enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Sabah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung siasatan kes ini tampil membantu dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

Dalam pada itu, setakat ini SPRM merakam percakapan lebih kurang 78 saksi berhubung kes terbabit.
SPRM juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, pengarah dan timbalan pengarah agensi berkenaan ditahan berikutan memiliki wang tunai dan aset bernilai lebih RM110 juta dipercayai hasil daripada pembabitan mereka dalam projek air Sabah bernilai RM3.3 bilion melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri.


Comments (0)