Followers

Nuffnang

Anak Sungai Derhaka

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 10:04 PG | Posted in

sumber :-

Anak Sungai Derhaka


RUU 355: PKR Tunggu Hadi Bentang Sebelum Nyata Pendirian

Posted: 20 Oct 2016 07:00 AM PDT


PKR akan menunggu pembentangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum menetapkan pendirian berhubung Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

"Walaupun PKR mempunyai pendirian sendiri tentang cara memperkasakan Mahkamah Syariah dan ada beberapa kemusykilan berkaitan RUU 355, kami mengiktiraf hak ahli Parlimen Marang (Hadi) untuk mengemukakan rang undang-undang ini.

"Dalam perbahasan nanti, kami menantikan penjelasannya dan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi, sebelum memutuskan pendirian seterusnya," kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pendirian PKR agar RUU 355 dibahaskan dengan syarat mana-mana pindaan perlu mematuhi prinsip keadilan dalam Islam, tidak bercanggah dengan "teks dan semangat" Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

Antara persoalan PKR, katanya lagi, adalah apabila RUU itu sengaja dibiarkan berlarutan tanpa penjelasan kepada parti politik dan masyarakat, serta kesamaran skop hukuman.

RUU 355 itu antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A yang menyebut "Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain hukuman mati".

Pelbagai pihak mengkritiknya sebagai terlalu umum, antaranya Dr Zulqarnain Lukman daripada Biro Undang-undang Amanah yang menyifatkannya umpama "memberi cek kosong".

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, masih ramai salah tanggapan berhubung RUU 355, antaranya menyamakannya dengan hudud.

"Apa yang membimbangkan adalah pemimpin menyatakan RUU 355 bukan hudud, tetapi dijaja sebagai hukum itu, justeru wajib disokong.

"Tidak wajar apabila ada menganggapnya sebagai hudud dan tidak dapat dipersoalkan. Pada masa sama, tidak wajar ada pihak mempertikai hak mengutarakan pandangan termasuk (membawa) RUU itu," katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar perkembangan antarabangsa diambil kira ketika menilai RUU 355 itu, dengan secara khusus menyebut ulama terkemuka Yusuf Qaradawi dan Parti Ennahda Tunisia pimpinan Rachid Ghannouchi yang menurutnya lebih mementingkan keadilan dan tadbir urus berbanding pelaksanaan undang-undang Syariah.

PAS membawa RUU 355 dengan tujuan memperkasa Mahkamah Syariah, dengan meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah itu.

Dr Wan Azizah turut menyenaraikan beberapa langkah yang diambil Selangor – negeri yang ditadbir Pakatan – dalam memperkasakan Mahkamah Syariah seperti menambah peruntukan kepada institusi agama serta melantik 2 hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah dan 4 penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah untuk menambahkan kelancarannya lapor FMT

BR1M Bukti Malaysia Tidak Bankrap? Netizen 'Sekolahkan' Najib..

Posted: 20 Oct 2016 01:00 AM PDT


Menjelang pembentangan Bajet 2017 esok, akaun Facebook Perdana Menteri rasmi dibanjiri komentar netizen yang rata-rata berang apabila Presiden Umno itu mengaitkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kedudukan ekonomi negara.

"Sejak 2009 pembangkang dan penyokong mereka kata Malaysia akan bankrap di bawah Kerajaan Barisan Nasional.

"Hakikatnya, setiap tahun kita dapat naikkan pemberian BR1M dari RM500 pada 2012 sehingga RM1,050 pada tahun ini, dan kriteria layak menerima BR1M telah diperluaskan agar lebih ramai dapat manfaat.

"Nantikan #Bajet2017 untuk pengumuman BR1M dan inisiatif lain," kata Najib dipetik daripada status Facebook yang dimuatnaik pukul 11.30 pagi hari ini.

Walau bagaimanapun bagi Noramin Sarkawi, Najib tidak harus mengungkit pemberian itu sebaliknya memperkasakan ekonomi bukan ditambah lagi hutang dengan berbelanja besar.

"Kalau berfaedah tidak mengapa. Ini makin menekan rakyat. Kembalikan subsidi supaya rakyat berpendapatan rendah boleh hidup tanpa tekanan.

"Buat pelaburan bijak yang boleh mengukuhkan ekonomi negara. Buang budaya mengugut dan kurangkan elaun menteri-menteri bukan kurangkan bajet pada perkara kritikal seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan," tegasnya lagi.

Sementara itu, pengguna Facebook Ahmad Faiberudin secara menyindir menghargai 'ilmu' yang diberikan Najib.

"Oh, ekonomi diukur daripada jumlah pemberian BR1M. Baru saya tahu, terima kasih Najib Razak. Ilmu menipumu memang seluas lautan," sinisnya.

Menurut Ahmad Kamil pula, ramai golongan muda sepertinya tidak lagi menyakini integriti parti pemerintah sedia ada.

"Datuk Seri percayalah. Sokongan rakyat terhadap kerajaan semakin goyah. Kami generasi muda hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan," ujarnya terus-terang.

Status dimuat naik dalam facebook Najib yang mendapat kritikan netizen.Status dimuat naik dalam facebook Najib yang mendapat kritikan netizen.Terus dihujani cemuhan rakyat, Zulhilmi Zainuri antara ratusan netizen di status Facebook Najib itu yang mendesak Pengerusi BN supaya tidak menjadi bebal.

"Tolong jadi cerdik sedikit! Bukan BR1M yang patut jadi ukuran kemajuan negara tetapi kadar hutang dan pertumbuhan GDP dan GNP yang menjadi ukuran.

"Kau (Najib) ambil ekonomi kat sekolah mana hah?!" tempelak Zulhilmi lagi.

Pada masa sama, rayuan supaya Najib menghapuskan kadar cukai enam peratus itu turut disuarakan orang ramai.

"Tak bagi BR1M pun tak mengapa, yang penting kembalikan subsidi. Hapuskan GST," gesa Hafiz Amiruddin.

Begitu juga Yusaini Hakim yang berpendapat langkah menurunkan bebanan kos ditanggung rakyat adalah lebih baik daripada menerima BR1M hanya RM500 setahun.

"Apa kata hapuskan GST, turunkan kadar tol, turunkan harga barangan dan kurangkan cukai terhadap rakyat," ujarnya.

Deretan reaksi netizen lebih 600 komentar setakat pukul 1 petang tadi juga terselit dengan respon sekadar #RespectMyPM yang dipercayai akaun palsu.

Turut terdapat di Facebook Najib adalah fotonya kelmarin sedang berbincang mengenai penyediaan Bajet2017 bersama Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

"Makin dekat dengan pembentangan, makin banyak perkara perlu diteliti, pastikan bajet sentiasa inklusif buat semua," dipetik dari Facebook suami Rosmah Mansor itu lapor MalaysiaDateline




SPRM Tahan Lagi 19 Amggota Jabatan Air Sabah, Rampas RM2.4 Juta

Posted: 19 Oct 2016 11:28 PM PDT


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 19 lagi anggota Jabatan Air Sabah dan merampas RM2.4 juta dalam bentuk tunai, lapor akhbar China Press.


Tangkapan dan rampasan aset itu dikatakan berlaku semalam di pelbagai lokasi di seluruh Sabah.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar itu berkata, beberapa daripada mereka yang ditahan menerima sogokan antara 27 hingga 30 peratus bagi projek yang dianugerakan oleh jabatan berkenaan.

China Press memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa tangkapan dibuat tetapi tidak memberikan butirannya sementara menunggu siasatan.

Walau bagaimanapun, Azam berkata siasatan setakat ini tidak membabitkan sebarang tokoh politik peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Oleh itu beliau menggesa orang ramai supaya tidak menjadikan siasatan kes itu sebagai perkara politik.

Awal bulan ini, SPRM menahan seorang pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah dan merampas lebih RM100 juta dalam bentuk tunai.

Kedua-dua mereka disiasat kerana menyalahgunakan kuasa alam pemberian projek pembangunan kepada syarikat yang akhirnya dikaitkan dengan mereka.




Rolls Royce Dan Lamborghini 'Datuk Seri' Mana Polis Dah Rampas Ni?

Posted: 19 Oct 2016 05:00 PM PDT


Polis merampas sebuah kereta Rolls Royce dan sebuah kereta Lamborghini Aventador bernilai RM3.4 juta milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri di sebuah pangsapuri di Jalan Raja Chulan di sini, dalam serbuan pada Isnin dan semalam.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kereta Rolls Royce berwarna emas itu dirampas kerana dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kereta Lamborghini Aventador berwarna kuning pula mempunyai kesalahan kastam, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata rampasan kereta Rolls Royce itu dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 1 tengah hari Isnin lepas.

"Kenderaan itu diparkir di kawasan parkir pangsapuri berkenaan. Seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan pemandu kereta itu turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Susulan siasatan polis, beliau berkata polis merampas kereta Lamborghini Aventador itu di lokasi sama petang semalam.

Amar Singh berkata Datuk Seri berusia 50 tahun itu, yang berasal dari Kelantan dan menjalankan perniagaan di negeri itu, kini berada di luar negara.

Semakan akan dibuat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan JPJ bagi mendapatkan pengesahan berkaitan status kedua-dua kereta itu ~ MMO


Comments (0)