Followers

Nuffnang

Kelab Greenboc

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 1:55 PG | Posted in

sumber :-

Kelab Greenboc


Sambutan Setahun AMANAH - Catatan MSO

Posted: 27 Sep 2016 10:25 PM PDT

Amanah kuasa politik baharu di Johor oleh MOHD SAYUTI OMAR

Setelah menyaksikan sendiri sambutan rakyat Kelantan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) setelah Husam Musa secara rasmi berada dalam parti itu ia merujakan saya untuk melihat macam mana pula senarionya di negeri Johor. Apakah ledakan semangat di Salor akan melantun ke Johor?

Setakat ini saya mengira sambutan terhadap Amanah di Kelantan (yang saya bataskan dalam zon Pantai Timur) cukup memberangsangkan. Semangat rakyat khasnya anak-anak muda yang sedikit sejuk dan semacam "tumpul nafsu" sebelum ini bertukar 360 darjah. Kelewatan Husam mengambil sikap menyebabkan mereka menjadi dingin dan rasa putus angin.


Perkembangan berlaku di Kelantan memberi isyarat awal kepada parti agama (Pas) di negeri itu. Pas tidak lagi boleh meremehkan parti berusia setahun itu dan juga pemimpin de facto nya di Kelantan Husam Musa. Mungkin Pas boleh membuat semakan semula kepada sikap "agah" dan "anginnya" selama ini yang enggan menjeling Amanah walaupun dengan sebelah mata.

Di Pantai Timur Pas boleh bertahan dan berpuasa hati dengan pengaruhnya di Terengganu dan sedikit di Pahang. Amalan politik dan sifat "Terengganusime" masih boleh mampu mengukuhkan kedudukan parti itu selagi masih ada saki baki pimpinannya yang menerima kuliah dari "Alur Lembek".

Tetapi untuk Kelantan Pas kena beringat kalau pun mahu melupainya terus. Ini adalah pandangan di luar keangkuhan dan rasa hebat diri. Terpulang.

Gara-gara itu maka apabila Amanah mengadakan kernival dan kemuncak sambutan pertama penubuhannya di Sungai Abong Muar Johor, tanggal 23 dan 24 September 2016 ia merujakan saya untuk menyaksikan sendiri apa yang berlaku.

Apakah majlis itu bakal mengwujudkan gelombang baharu di Johor sebagai sambungan kepada gema di Kelantan?

Apakah "geruk" yang sudah "berkukuk" di Kelantan itu akan menurunkan hujan lebat di Johor?

Saya jadi berminat untuk menyaksikan sendiri, kerana seperti mana diketahui gagasan atau cetusan menubuhkan Amanah ia bermula di Bakri Muar Johor rentetan terbentuknya Gerakan Harapan baharu (GBH). Di bumi itulah terbenihnya Amanah yang kini sudah melembagakan sebuah pokok yang dahan dan akarnya menjalar ke seluruh negara hingga Sabah dan Sarawak.

Semasa himpunan GHB di Bakri yang dipelopori 18 pemimpin Pas yang dibuang dalam muktamar di Bakri Muar itulah terbenihnya Amanah. Di situlah tercetusnya idea untuk mengagaskan sebuah gerakan atau wadah baharu bagi mereka yang terbuang itu meneruskan perjuangan membela rakyat dan menumbangkan politik "sengkekisme" Umno-BN.

Pada majlis itu saya tidak hadir atas sebab dan alasan tersendiri. Saya tidak mahu bersubahat memberi sokongan moral kepada penubuhan gerakan untuk menentang Pas. Bagi saya tidak wajar ada satu fraksi baharu dalam Pas kerana itu boleh melemahkan parti agama itu.

Tindakan itu juga menyedihkan kerana pada saat Pas diharap menjadi parti alternatif sudah terbelah dua. Saya berpendapat pemimpin yang kalah patut memberi ruang kepada pimpinan baharu menunjukkan keupayaan mereka, dan meminimakan rasa dendam. Sebab itu pada awal saya berpendapat penubuhan GHB - Amanah sesuatu yang kurang wajar.

Itu sebab saya tidak hadir. Jadi apabila majlis sambutan ulang tahun itu di buat di daerah sama, saya mahu tonton apakah semangat, sambutan kepada Amanah sama atau melebihi daripada apa yang berlaku setahun lalu itu.

Menggagahi diri

Makanya walaupun dalam keadaan diri masih belum sihat sepenuhnya saya mengagahi diri juga untuk sampai ke majlis itu. Jaraknya dari rumah saya sejauh 187km. Inilah perjalanan berkereta dalam negeri paling jauh saya tempuhi sejak sembilan bulan lalu.

Saya ke sana bukan kerana saya tidak mudah percaya kepada gambaran-gambaran dan cerita menerusi media sosial mengenai sambutan terhadap Amanah dewasa ini. Saya seorang yang tidak mudah percaya kepada cerita-cerita "dengar-dengar" tetapi harus melihatnya dengan mata kepala sendiri. Saya berpegang kepada prinsip menulis tentang sesuatu yang kita alami, lihat dan berada dalam sesuatu majlis.

Sepanjang perjalanan saya itu ada sesuatu yang menunjal-nunjal dalam diri saya apabila terkenang kepada zaman Pas merangkak di Johor dahulu akhir tahun 70-an.

Betapa susahnya Pas untuk mengembangkan sayap dan berdiri tegak di Johor ketika itu. Teringat itu menyebabkan saya terfikir apakah Amanah dapat bergerak lancar tanpa halangan dan kerenah politik tahun 70-an.

Johor adalah lubuk dan kubu Umno. Betapa seksanya Pas untuk bergerak ketika itu. Walaupun Pas sebuah parti Islam (agama), namun bukan mudah rakyat Johor untuk meninggalkan Umno parti nasionalis itu.

Semangat kenegerian orang Johor cukup kuat sehingga dikenali dengan bangsa Johor. Bangsa Johor maksudnya orang Johor ada identiti, ada pegangan dan ada political will tersendiri. Jadi apabila mereka menerima Umno yang kebetulan ditubuhkan dalam Istana menyebab mereka menjadikan Umno sebagai sebahagian kerabat di Raja Johor.

Kerana kekangan dan penolakan itu ceramah Pas waktu itu tidak pernah mendapat sambutan. Dalam siri ceramah yang sempat saya hadiri khususnya di sekitar Batu Pahat tidak pernah ada ceramah Pas mencecah 100 orang. Paling ramai sekitar dua tiga puluh sahaja. Itulah nasib Pas dan jumlah itu sudah lumayan.

Kerana Amanah parti baharu saya mengcongak sendirian ia mungkin akan menjadi seperti Pas di empat atau lima dekad lalu berhadapan dengan penolakan dan cemuhan rakyat. Walaupun era ini sudah berubah tetapi ia tetap menimbulkan kurang yakin saya kepada nasib Amanah. Apa lagi bila mendengar cercaan dan ejekan kepada Amanah, ia akan berkubur tidak sampai enam bulan, membuat sedikit sebanyak saya terkesan. Lantaran itu saya mahu menjadi saksi kepada perkembangan dan juga kekuncupannya.

Satu mahu menulis dan mengulas realiti mengenai politik bukan imiginasi dan retorik. Saya sebagai pelapor harus berdiri atas garisan lurus dengan penuh keadilan dan waras.

Begitu sampai di perkaragan tempat berlangsungnya majlis itu ia menyebabkan saya terkaku seketika apabila melihat suasana atau persekitaran di majlis itu kemas dan rapi sekali. Terdapat banyak bazar atau gerai perniagaan. Ia benar-benar menyerlahkan sebuah karnival. Puluhan buah kenderaan, kereta dan motosikal sedang menghala ke tempat kernival berkenaan. Lalulintas pula siap dikawal oleh petugas khas yang memakai baju tertulis Arif.

Sebelum tiba ke perkarangan itu saya singgah di sebuah gerai jualan buah-buahan untuk membeli ubi kayu dan terserempak dengan sekumpulan lima orang berpakaian baju Oren. Mereka memperkenalkan diri dan memberi tahu datang dari Lekir, Setiawan Perak. Kata salah seorang mereka, mereka sudah mula bergerak untuk pulang.

Mendengar itu terlintas bersoalan dihati kenapa mereka harus pulang sedangkan majlis, Gema Amanah akan bermula beberapa ketika sahaja lagi. "Kena pulang dahulu kami sejak kelmarin lagi di sini," jelas salah seorangnya ramai. Oh...

Mendengar itu hati saya tiba-tiba diketik rasa sebak dan sayu. Betapa mereka sanggup datang dari jauh untuk meraikan hari jadi parti mereka. Kesanggupan itu menjelaskan daya juang dan pengorbanan mereka cukup tinggi dalam usaha menumbangkan kerajaan yang rakus. Mereka adalah orang-orang yang ulit dan rajin dalam perjuangan serta tidak pernah berputus asa. Kenapa tidak, melihat usia mereka rata-rata lebih 60 tahun ke atas seharusnya mereka tidak berpergian jauh lagi dan tidak pula menukar wadah perjuangan.

Itulah saya katakan mereka ulit dan rajin. Mereka tidak menghitungkan segala kelelahan itu. Bagi mereka perjuangan perlu diteruskan hingga ke akhir hayat. Dan menukar wadah jika ia perlu dan terpaksa, wajar dilakukan. Mereka saya yakin beristiqamah dengan prinsip perjuangan dan bukan beristiqamah dengan wadah perjuangan. Apabila mereka lihat wadah dulu (Pas) sudah berubah hala tuju dan prinsip maka mereka sanggup menukarnya kepada wadah (Amanah) yang mengutuhkan prinsip mereka.

Melihat kepada sekawan warga emas itu mengingatkan saya kepada arwah orang tua saya, ayah dan bapak mertua yang menjadi penyokong dan pejuang ulit kepada Pas. Di mana sahaja ada majlis Pas, pidato, muktamar dan sebagainya mereka tidak pernah ketinggalan. Mereka akan mencuba juga untuk hadir walaupun ratusan batu jaraknya. Sikap dan semangat itulah menyebabkan Pas berkembang sampai ke hari ini. Pas menjadi hebat dan gah kerana kegigihan penyokongnya.

Berkapala dogol

Sebaik saya melangkah memasuk ke kawasan karnival Azan Magrib berkumandang dan menuju ke masjdi berdekatan. Di masjid sekali lagi keadaan merujakan saya. Penuh dengan jemaah yang kebanyakan berbaju warna Oren. Cuma sedikit berbeza di atas kepala tidak ada kopiah atau serban berbelit, semuanya dogol.

Inilah menyebabkan ahli Amanah dituduh sekular? Sekali lagi di sini saya terkedu kalaulah tidak berlaku perpecahan dalam Pas pasti masjid itu akan penuh dan padat dengan jemaah berkopiah putih?

Realiti tempat berlangsungnya majlis sambutan itu meleset dengan apa yang saya bayangkan. Saya mengira ia di tanah lapang dan diadakan di bawah khemah yang serba dhaif. Saya tidak menduga ia diadakan di sebuah dewan konvensyen yang berhawa dingin dan punya peralatan bunyi dan cahaya yang canggih.

Tempat dan peremis ini sahaja sudah menyerlahkan akan kehebatan dan profesionalismenya Amanah. Dari sini saya mengagak parti ini mudah berkembang di Johor dan sambutannya sangat pantas. Berbeza dengan apa dialami Pas Johor awal tahun 70-an hingga membawa ke zaman sebelum Reformasi.

Saya tidak mengira secara pasti berapa gerai atau both yang tersedia. Tetapi jumahnya melebihi 50 buah both hampiri semua dipenuhi pelanggan. Untuk melicinkan perjalanan majlis itu ada sebuah bilik khas untuk sekreteriat mengurus apa-apa yang perlu. Gerai makan, peralatan aksesori parti, baju T dan sebagainya juga disediakan. Pendeknya kemeriahan dan susana saling tidak ubah dengan majlis Pas. Ini semua menunjukkan kemampuan Amanah sebagai sebuah parti baharu melebihi daripada daya usianya.

Sambil meninjau saya berjumpa dengan Salahuddin Ayub sedang makan dengan beberapa pimpinan peringkat Johor dan juga penasihat Amanah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin di sebuah gerai. Sekejap kemudian A Samad Said menjenguk masuk dan disantun untuk berada di sebelah Salahuddin. Kami sama-sama makan nasi ambeng. Saya sempat membuat rakaman live mengenai gelagat mereka yang humble dan tidak pernah memikirkan soal darjat dan prestij.

"Tahniah...," saya menghulurkan ucapan salam kepada Timbalan Presiden Amanah itu. Sallehuddin menyambut dengan penuh bersemangat dan terharu. Dia memahami ucapan tahniah saya itu.

"Kalau begini Amanah ada masa depan, Din." Kata saya dibalas dengan senyuman yang puas.

Pada malam semalam diadakan pidato dengan menampilkan sama Presiden penaja PPBM Muhyiddin Yassin. Sambutannya hangat dan dewan yang mengikut perkiraan saya dapat memuatkan 2,000 penuh, demikian kata Salahuddin.

Iya kehadiran Muhyiddin merupakan satu bonus buat Amanah. Ia juga tentu sudah diatur oleh Rabb. Pemimpin atau pengerak Amanah Johor kehilangan rakan semasa dalam Pas, tetapi kehadiran Muhyiddin adalah sebagai ganti. Mungkin kehadiran Muhyiddin dan tertubuhnya PPBM menjadikan Amanah lebih maju dan dapat mempercepatkan proses menakluki Johor. PPBM akan menjadi kerabat Pakatan Rakyat dan menambahkan anggota komponennya.

Dari pemerhatian saya dicampur dengan gambaran sambutan majlis itu daripada mereka yang hadir sehari sebelumnya bahawa Amanah berpotensi untuk menapak lebih gagah dan gah lagi di Johor. Apa lagi dengan ada kombinasi bersama Muhyiddin dan PPBM dan DAP yang sedia ada, ia mempercepatkan perkembangannya dan menyemarakkan lagi harapan orang ramai untuk melihat kerajaan Johor akan berubah.

PPBM mungkin belum begitu ketara lagi kekuatannya kerana ia masih dalam peringkat penyusunan dan pembentukan organisasi di semua peringkat. Tetapi tunggulah sesudah semua beres nanti apabila parti itu dilancarkan masa itulah kedudukan sebenar Pakatan Harapan di Johor akan dapat dibuat pengukur sebenarnya. Setakat ini yang dapat saya buat konklusif Amanah sedang bergerak dan akan dianggap sebagai kuasa politik baharu di Johor.

VIDEO







FEATURED ADS


Comments (0)