Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:39 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Beritahu kami apa yang kamu tak faham'

Posted: 20 Sep 2016 05:26 AM PDT



'Beritahu kami apa yang kamu tak faham'
 
 
Abdul Hadi dan Chai Kaa (empat dari kanan) ketika sesi pertemuan kelmarin. Foto Faceboo Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 
 
SHAH ALAM - Pas meminta Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien, Tan Sri Khoo Chai Kaa menyenaraikan kepada pihaknya segala perkara yang tidak difahami berhubung pindaan RUU 355.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bersikap terbuka berhubung kenyataan yang dibuat Chai Kaa kelmarin yang mendakwa tidak memahami penjelasan dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kalau beliau tak faham, minta beliau beritahu kita apa yang tak faham itu, yang mana beliau tak faham...tujuan Akta 355 atau prosedur yang kita nak laksanakan itu. Beritahu kita.

"Kita boleh berhubung dengan pihaknya semula melalui surat, telefon. Saya rasa tidak wajar pemimpin untuk satu pertubuhan yang besar sejurus kita mengadakan sesi dialog tiba-tiba kamu keluarkan kenyataan, 'kami tak faham'. Begitu sahaja.

"Sepatutnya ruang yang ada pada perjumpaan itu diambil sebagai peluang untuk memahami perkara itu. Kemudian, apabila kita (merujuk kepada pihak persatuan) sudah faham, terpulanglah apa pendirian kita," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Kelmarin, Chai Kaa dilaporkan mengakui tidak memahami ucapan Abdul Hadi pada sesi penerangan persatuan itu dengan Pas dan akan meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah pindaan tersebut seperti yang dirancang sebelum ini.

Persatuan itu didakwa langsung tidak bertanyakan soalan kepada Abdul Hadi pada sesi pertemuan di pejabat mereka.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk mengadakan sesi penerangan kedua dan seterusnya kepada persatuan berkenaan.

"(Sesi kali kedua dengan Persatuan Hokkien) Boleh...boleh. Saya meminta sekali lagi, senaraikan apa yang beliau tak faham itu. Kita boleh berhubung balik. Kita terbuka. Katakanlah beliau tak faham, adakah Akta 355 ini berkait dengan pelaksanaan hudud dan sebagainya, beritahu kita.

"Sila nyatakan kepada kita apa yang mereka tak faham supaya kita boleh ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Tambahnya, Pas akan terus mengadakan sesi penerangan kepada umum dan paling hampir Abdul Hadi akan membuat sesi itu kepada pihak media, Khamis depan.

Permata tersembunyi di Manong

Posted: 20 Sep 2016 05:16 AM PDT


Permata tersembunyi di Manong
Shahrom turut turun padang membantu membersihkan kolam air panas ini.
 


MANONG - Siapa sangka di sebalik sebuah kampung di Manong, terdapat satu kolam air panas yang terbiar, namun berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancong.

Dulunya ia menjadi lokasi tumpuan di mana bukan sahaja untuk penduduk Kuala Kangsar malah masyarakat dari kawasan lain juga tertarik dengan keindahan tempat itu.

Bukan itu sahaja, kolam air panas yang terdapat di situ juga dikatakan mampu menyembuhkan sakit kulit terutamanya yang melibatkan gatal-gatal kulit.

Justeru, berpusu-pusulah orang ke sana kerana mahu mendapatkan rawatan semula jadi untuk sakit kulit mereka selain menikmati keindahan alam semula jadi di sana.

Namun, entah di mana silapnya, kawasan yang dulunya sering dikunjungi kini terbiar begitu sahaja malah kawasan sekitarnya juga dipenuhi semak-samun.

Menyedari potensi yang ada pada kolam air panas itu, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie berhasrat mahu mengkomersialkan kolam tersebut kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurutnya, kolam air panas di Kampung Ara Panjang itu istimewa kerana mempunyai banyak mata air dan suhunya juga agak tinggi berbanding di lokasi kolam air panas lain dalam Malaysia.

Tambahnya, proses menaik taraf kolam itu akan dijalankan tidak lama lagi dengan memasang pagar, mencantikkan tepian kolam serta menyediakan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung.

"Saya bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar akan bawa cadangan ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan juga dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar.

"Kami telah berbincang dengan Exco Negeri dan merancang pelbagai usaha untuk mengkomersialkan kawasan ini," katanya.

Komersialkan kolam air panas

Usaha itu turut mendapat respons positif daripada Penghulu Mukim Senggang, Zuraimi Razali yang menganggap kolam itu mampu menjadi antara tarikan pelancongan utama di Kuala Kangsar.

Ujarnya, kolam itu yang sememangnya sinonim dengan penduduk kampung namun sejak kebelakangan ini ia terbiar disebabkan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak mampu menyelenggarakannya secara bersendirian.

"Atas inisiatif Adun, baru-baru ini telah dibuat pelan tindakan untuk memajukan kolam semula jadi ini. Dengan kerjasama daripada pelbagai agensi, kawasan ini telah dibersihkan baru-baru ini.

"Saya percaya kolam air panas Kampung Ara Panjang mampu dikomersialkan kerana ia mempunyai sejarahnya tersendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Zuraimi turut mencadangkan nama 'Bendang Nyangat' yang diberikan penduduk kampung kepada kolam ini perlu dikekalkan sebagai identiti keaslian dan keunikannya.

"Mereka panggil bendang nyangat kerana dulu ini kawasan bendang yang mengeluarkan air hangat (nyangat) secara semula jadi. Harapnya nama ini dapatlah dikekalkan," katanya.

Sementara itu, yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Shahrom Abd Malik gembira dengan penyertaan hampir 300 peserta dalam gotong-royong membersihkan kawasan itu, baru-baru ini.

Menurutnya, dengan penglibatan pelbagai agensi dan pelajar dalam program itu, ia diharapkan mampu menjadi ejen penyampai maklumat kepada masyarakat berhubung kolam air panas tersebut.

"Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah mendidik dan menjalin kerjasama antara agensi kerajaan dan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan kolam ini supaya memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang.

"Dalam perancangan yang akan datang, tempat ini mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan setanding kolam air panas lain yang terdapat di negeri Perak.

"Kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan program gotong-royong ini menunjukkan bahawa komuniti Kuala Kangsar mempunyai rasa bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan daerah ini," ujarnya.


Tiada Bukti Penganiayaan Kanak-Kanak: Chew

Posted: 20 Sep 2016 05:12 AM PDT

Oleh: THE STAR
 
 
Chew beramah mesra dengan kanak-kanak di rumah Pertubuhan Kebajikan Da Zhi Jiang Tang.
 
 
BUTTERWORTH: Pihak berkuasa tidak menjumpai sebarang tanda-tanda penganiayaan atau salah laku dalam Pertubuhan Kebajikan Da Zhi Jiang Tang di Taman Kimsar di sini sebagaimana yang didakwa dalam laporan polis bulan lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak menemui sebarang bukti penganiayaan.

Chew berkata pertubuhan itu yang masih belum berdaftar dengan JKM, boleh mendaftar sebaik sahaja kertas kerja berkaitan diselesaikan.

"Kami meminta bantuan dari pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan status bangunan kediaman itu ditukar kepada premis perniagaan bukan berasaskan keuntungan supaya ia boleh menjimatkan kos bayaran lesen," kata Chew selepas melawat pertubuhan itu.

Ditubuhkan pada 2014, pertubuhan itu buat masa ini menjaga 15 kanak-kanak berusia dari 16 bulan sehingga 14 tahun sama ada anak yatim atau anak-anak yang ibu bapanya bercerai.

Pertubuhan Da Zhi Jiang Tang  yang juga pemilik bangunan rumah kediaman itu telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pengetua rumah itu, Choo Ai Ling menyatakan rasa kecewa berhubung laporan polis pada bulan lalu yang mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan dan memeriksa pertubuhan tersebut.

"Kanak-kanak trauma apabila polis menyerbu rumah kami.

"Derma daripada orang ramai juga menurun dengan drastik kerana mereka hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan kebajikan kami selepas berita kononnya berlaku kes penderaan tersebar," katanya.

Pada 11 Ogos lalu, satu laporan dibuat pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Berapit (DAP) Lydia Ong Kok Foo, Tan Liang Hong, 29, yang mendakwa kanak-kanak di rumah tersebut menerima layanan buruk.

Dalam laporan itu, Tan berkata Ong dimaklumkan bahawa pertubuhan tersebut melakukan serangan fizikal dan seksual terhadap beberapa kanak-kanak.

Berikutan laporan itu, polis menyerbu rumah tersebut untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Melaka didenda RM1,900

Posted: 20 Sep 2016 01:26 AM PDT

Rahim Thamby Chik
Rahim




SHAH ALAM - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik didenda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan
menggunakan aplikasi Facebook dengan membuat dan melakukan penghantaran komen yang jelek dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Hakim, Slamat Yahya turut memerintahkan Abdul Rahim menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut menegur perbuatan Abdul Rahim yang sepatutnya menghormati dan   memelihara institusi DiRaja yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, pada prosiding itu, Abdul Rahim membuat pernyataan maaf dan kekesalannya secara terbuka kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan  Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Abdul Rahim mengaku bersalah  menggunakan kemudahan aplikasi Facebook miliknya secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran komen yang jelek dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Istana Mestika Jalam Permata 7/1, Seksyen 7, dekat sini jam 9 pagi pada 25 September 2015.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Perkara Yang Tidak Gembirakan Kabinet Najib

Posted: 20 Sep 2016 12:32 AM PDT

 
Oleh Haikal Hakimi


Pendedahan Menteri Kewangan ke11 Datuk Ahmad Husni mengenai sebab sebenar beliau meletakan jawatan tepat dan wajar pada pandangan rakyat dan memberi kesan yang sangat buruk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Husni tidak terus menjatuhkan hukuman bahwa kes 1MDB itu satu jenayah kerana beliau tidaklah berada di posisi membolehkan beliau mengetahui hasil siasatan pihak berkuasa mengenai kes tersebut. Jadi mana mungkin Husni boleh mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan kapasitinya selaku bekas Menteri Kewangan. Cuma apa yang diluahkan Husni sebenarnya sedikit sebanyak telah membuka pekong Najib.

Dengan pengunduran beliau yang sebelum itu Wahid Omar, secara tidak langsung menggambarkan adanya sesuatu perkara yang tidak menggembirakan dalam Kabinet Najib selama ini. Taraf Najib sebagai seorang "suspect" semakin tinggi.

Rakyat di lapangan sedang merasai keadaan sebenar dari kekalutan ekonomi dan politik terutama para kontraktor yang mencari peluang baru dan juga usahawan-usahawan yang menunggu bayaran dan ahli-ahli perniagaan yang merasai kesan dari tertutup peluang-peluang baru dan sebagainya kerana peruntukan yang terhad dan dibataskan.Pelajar-pelajar juga merasakan sakitnya.

Rakyat mempunyai keyakinan bahawa kestabilan negara akan dapat dipulihkan hanya apabila Najib dan Rosmah berundur.Pemulihan tidak mungkin berlaku dengan serta merta kerana kerosakan yang berlaku terutama yang menjejaskan maruah, integriti dan keyakinan di dalam dan luar negara sangat teruk tetapi rakyat tetap percaya ada kebaikan kepada negara jika Najib berundur.

Maruah negara tidak akan pulih hanya semata-mata kerana media tempatan membesar-besarkan Rosmah dianugerah "Lead By Example" daripada UNESCO kerana dalam negara cerita buruknya lebih banyak dari cerita baiknya.

Anak jelaskan kenapa Haron Din dikebumi di AS

Posted: 20 Sep 2016 12:30 AM PDT

DETIK DAILY
 


ISTERI Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, Datin Khadijah Salleh menyiram air ke pusara pendakwah dan tokoh perubatan Islam itu di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, San Francisco, California, Amerika Syarikat. 
 

KUALA LUMPUR – Anak Allahyarham Datuk Haron Din, Dr. Huda Haron, menjelaskan sebab-sebab mengapa ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore di San Francisco, California, Amerika Syarikat, semalam.

Sambil memohon maaf, Huda melalui status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya pada pukul 8.30 pagi ini berkata, beliau bersama empat adik-beradiknya yang lain iaitu Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana serta ibu mereka, Datin Khadijah Salleh sepakat membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira banyak faktor.

Faktor utama mereka membuat keputusan untuk mengebumikan jenazah pendakwah dan tokoh perubatan Islam terkenal itu di Amerika adalah setelah mengambil kira pesanan Allahyarham yang mahu arwah dikebumikan di tempat di mana beliau meninggal dunia.

"Berat sungguh keputusan yang terpaksa kami ambil untuk semadikan jasad baba di bumi asing. Namun, ketentuan Allah tidak dapat kami sanggah dan terpaksa bertindak di luar batas insani dan kasih sayang.

"Semasa hayat baba, teri­ngat suatu ketika, hendak bawa jenazah dari Kuala Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin. Inikan pula berjam-jam, malah berhari-hari dalam peti ais. Selain itu perlu melalui embalm (pe­ngawetan) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf.

"Banyak kali kuliah dan pesanan baba. Perlu disimpan (disemadikan) di tempat di mana malaikat datang menjemputnya. Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan membawa pulang (jenazah Allahyarham), tapi jangka masa tujuh hari adalah sesuatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya," katanya.

Dalam nukilan yang penuh emosi itu Huda mengakui, hatta jika ditanya hati kecilnya sendiri yang mementingkan diri sendiri, memang beliau mahu ba­panya yang juga Musyidul Am Pas itu sentiasa 'dekat' bersama-samanya sentiasa.

"Supaya ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita, Biar kita mampu ziarah (pusaranya) hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali. Biar ada di hadapan mata. Itulah kehendak kita dan saya rasa itulah juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.

"Tapi adakah keputusan itu tepat untuk baba? Menyegerakan pengendalian dan penyenggaraan jenazah juga dituntut syarak. Kita rasa baba milik kita, sebenarnya baba milik Allah! Maafkan kami seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Huda turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersusah-payah membantu menga­turkan pesawat persendirian bagi membawa pulang jenazah ayahnya ke tanah air.

Sementara itu, Cucu Allahyarham, Hakeem Hamdi yang mengimamkan solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dekat sini semalam, melahirkan rasa kagum dan bangga dengan keperibadian datuknya.

Ucapan itu dapat dibaca dalam akaun Facebook milik Tuan Guru Dato' Dr. Harun Din (official) yang dimuat naik pukul 8.30 pagi ini.

"Tokwan (Allahyarham Dr. Haron Din), anda merupakan guru yang hebat. Sehingga ke saat akhir, tokwan masih me­ngajar kami tentang solat jenazah ghaib, penjagaan jenazah, khalifah, taman syurga, kesatuan keluarga dan lain-lain.

"Tokwan, mesti tokwan bangga dengan keluarga tokwan. Kami telah melakukan segalanya yang mampu walaupun ketika kami sedang bersedih dan menangis," katanya yang turut mendoakan al-Fatihah kepada datuknya itu.

Qaradhawi ucap takziah pemergian Dr Haron Din

Posted: 20 Sep 2016 12:14 AM PDT

HARAKAHDAILY 





Pemergian murabbi ummah, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, baru-baru ini turut mendapat perhatian Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, yang telah mengucapkan takziah atas kehilangan itu di akaun peribadi beliau di laman sosial Twitter.

"Semoga Allah merahmati Sheikh Dr Haron Din, Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)," ujar beliau dalam petikan dari laman sosial Twitter itu.

"Kami bermohon kepada Allah agar mengampuninya dan mengangkat darjatnya bersama golongan yang tinggi kedudukan di sisi Allah," tambah beliau lagi.

Jenazah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, Amerika Syarikat selepas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Stanford di San Francisco. (http://ulamasedunia.org/)


Siapa pun kita, hidup biar beradab bukan biadab

Posted: 20 Sep 2016 12:12 AM PDT


 
Oleh HASSAN MOHD. NOOR


KETIKA seluruh umat Islam di Malaysia amat merasai kehilangan seorang tokoh ulama, ada pula suara-suara sumbang memberi komen yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan. Bukan sahaja tidak adil kepada orang yang telah meninggal dunia tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat seluruhnya. 

Banyak pihak yang menyentuh beberapa isu yang jelas berunsur sindiran. Ternyata golongan seperti ini, bukan Islam tidak memahami beberapa perkara berkaitan yang ditimbulkan melalui Twitter atau Facebook masing-masing. Persoalannya ada ayat-ayat itu kita tahu niat mereka bukan bersandarkan kepada pengetahuan yang terbatas dalam perkara berkaitan. Ini termasuk soal kematian itu adalah kuasa Allah, tidak kira di mana dan ketikanya seseorang itu berada. Begitu juga soal pengurusan jenazah.

Apabila 'ayat-ayat' itu dilontarkan, ia pasti menimbulkan kemarahan. Inilah bahana teknologi maklumat (IT) yang dalam sekelip mata sahaja, pandangan mereka yang dangkal itu tersebar luas ke seluruh pelosok negara malahan dunia. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku dalam masyarakat yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama? Di mana rasa hormat terhadap orang lain?

Islam hakikatnya mengajar umatnya menghormati jenazah tanpa mengira siapa mereka. Hormat jenazah itu sebagai nyawa atau manusia. Lihat dua hadis ini. Pertama riwayat Jabir bin Abdullah ra., ia berkata: Ada iringan jenazah lewat, lalu Rasulullah SAW berdiri menghormatinya dan kami ikut berdiri bersama. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah SAW. bersabda: Sesungguhnya kematian itu menggetarkan, maka jika kalian melihat iringan jenazah, maka berdirilah. (Shahih Muslim No.1593).

Begitu juga dengan ha­dis riwayat Qais bin Saad ra. dan Sahal bin Hunaif ra.. Ketika mereka sedang berada di Qadisiyah, tiba-tiba ada iringan jenazah melewati mereka, maka keduanya berdiri. Lalu dikatakan kepada kedua­nya: Jenazah itu adalah termasuk penduduk setempat (yakni orang kafir). Mereka berdua berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah dilewati iringan jenazah, lalu baginda berdiri. Ketika dikatakan: Jenazah itu Yahudi, Rasulullah SAW bersabda: Bukankah ia juga manusia?. (Shahih Muslim No.1596)

Adakah 'kejahilan' yang berlaku pada hari ini disebabkan kesilapan masyarakat Islam sendiri? Apakah usaha-usaha dakwah selama ini gagal atau terbatas kepada orang Melayu Islam semata-mata? Apa pula peranan parti-parti politik dalam membimbing masyarakat terutama anggota parti mereka supaya lebih saling hormat menghormati antara satu sama lain?

Sesungguhnya manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak dalam melakukan tindakan atau mengeluarkan kenyataan. Amat malang, ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak sensitif dengan isu-isu berkaitan agama dan budaya sesuatu kaum. Ketika ada pihak begitu mudah melabelkan rasis terhadap orang Melayu Islam, di pihak mereka pula dengan mudah mengeluarkan kenyataan maki-hamun, berbaur perkauman yang mengundang kemarahan.

Provokasi yang menguji kesabaran. Apakah yang akan terjadi kepada sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama jika hal sebegini tidak dibendung?

Memang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyakitkan hati itu sedikit bilangannya tetapi dalam era IT hari ini, pandangan seperti itu akan tersebar luas dalam sekelip mata. Bukan sedikit yang membaca dan kemudian tumpang 'cut & paste' untuk disebarkan kepada orang lain melalui WhatsApp, Twitter, Face­book dan pelbagai lagi. Setelah tersebar dan dipersoalkan, maka jawapan popular yang sering diterima itu bukan kenyataannya, kenyataan itu tidak bertujuan menghina sesiapa atau akaun digodam. Ada juga yang menuding jari kepada orang lain atau ibarat lempar batu sembunyi tangan.

Memang mudah memohon maaf apabila didesak berbuat demi­kian. Selak kembali berapa banyak kenyataan yang sudah diucapkan yang menimbulkan kemarahan tetapi akhirnya mereka tampil memohon maaf. Sudah menjadi seperti satu budaya masyarakat di negara ini termasuk dalam kalangan pemimpin parti politik yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sensitif, menyinggung perasaan dan melukakan tanpa memikirkan kesan buruk­nya. Amat mudah mereka tampil di khalayak untuk memohon maaf.

Hakikatnya, sudah banyak hati yang terluka dengan kenyataan-kenyataan itu tetapi disebabkan kesabaran masih menguasai diri, maka semuanya berakhir begitu sahaja. Semangat yang memun­cak ketika marah beransur hilang. Kata orang, mereka sudah lali dengan kenyataan-kenyataan yang menghina, memperlekeh dan memperkecilkan.

Inilah keistimewaan rakyat Malaysia ter­utama orang Melayu yang tahap kesabarannya amat tinggi, Mereka masih mampu bertolak ansur walaupun hakikatnya mereka sudah terluka. Lebih-lebih lagi bagi orang Islam, umat yang pemaaf.Walaupun kesabaran itu sebahagian daripada iman dan insan pemaaf, sesuatu harus dilakukan supaya rakyat pelbagai kaum dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.

Didiklah masyarakat untuk memahami sensitiviti sesuatu kaum dan agama. Mungkin pihak-pihak berkenaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Wasatiyyah Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada beragama Islam atau sebaliknya bergabung tenaga membimbing masyarakat supaya menghormati antara satu sama lain. Elakkan sebarang permusuhan dalam agama.

Perbezaan politik, agama dan kepercayaan tidak seharusnya menjadikan manusia hilang sifat kemanusiaan ketika berkata-kata. Bagi masyarakat Islam, mereka diasuh untuk menghormati orang lain. Konsep toleransi terserlah dalam Islam apabila umatnya diwajibkan menghormati orang bukan Islam. Agama dan akidah yang berbeza tidak boleh dijadikan halangan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang le­bih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Penge­tahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Tanpa mengira siapa pun kita, sama ada orang biasa atau pe­mimpin politik, berusahalah untuk tidak menyakiti orang lain. Ja­ngan jadikan agama sebagai alasan menimbulkan permusuhan sebaliknya jadikan ia sebagai jambatan perpaduan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Saksi kes kemalangan libat pegawai polis di Setiu diminta tampil beri maklumat

Posted: 20 Sep 2016 12:01 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


kemalangan


SETIU: Orang ramai yang melihat kes kemalangan di Km 50, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Telaga Putat semalam yang melibatkan seorang pegawai polis diminta tampil menyalurkan maklumat.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, pegawai wanita berkenaan Insp Junaidah Zainal, 31, tercedera selepas menggelak sebuah kereta yang memotong di garisan berkembar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Abd Razak Hassan berkata ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu bagi menyelesaikan kertas siasatan trafik.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian yang juga kawasan selekoh, sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan telah memotong kereta di hadapannya.

"Pegawai berkenaan yang memandu kereta Proton Persona terpaksa mengelak keretanya, namun hilang kawalan hingga menyebabkan keretanya berpusing-pusing dan melanggar pokok di tepi jalan," katanya.

Akibatnya Junaidah yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu patah tulang paha kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Orang ramai yang melihat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Siti Munirah Mohktar di talian 011-14649202.— Bernama


Murid nak ke sekolah maut dirempuh kereta

Posted: 19 Sep 2016 11:58 PM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


20916zatul1_1474336600-copy


DUNGUN: Seorang murid Tahun Empat maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pagi tadi.

Kejadian kira-kira 7.15 pagi itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Santong di sini.

Menurut sumber polis, murid tersebut Muhammad Syamil Harun, 10, dari Kampung Santong yang berpakaian seragam baju pengakap sedang melintas jalan selepas bapanya menurunkannya dari kereta.

Ketika sedang melintas, sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang wanita yang datang dari arah Ketengah Jaya menuju Paka telah merempuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian itu.— Bernama


Bersatu gerak langkah tubuh ‘pakatan alternatif’ singkirkan BN

Posted: 19 Sep 2016 11:55 PM PDT

INTAN NUR IDAYU


bn-bersatu-kamarulazman



KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mengatur langkah untuk menubuhkan satu pakatan alternatif iaitu semua parti pembangkang berada dalam satu pakatan.

Menurut Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman, parti itu sedang berusaha untuk menjadikan pakatan alternatif itu satu realiti malah rancangan mereka itu juga dikatakan sedang dalam perbincangan.

"Kita sedang cuba sedaya upaya untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang dengan PAS, dengan Pakatan Harapan, DAP, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara). Kita cuba bekerjasama dengan semua.

"Secara tidak rasmi juga, kita dah pun adakan perbincangan-perbincangan awal untuk mengadakan satu pakatan alternatif, pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN).

"Kita akan beri nafas baru kepada pakatan pembangkang yang ada di negara ini. Ia akan diberi identiti baru dan ia mempunyai kekuatan yang baru dan seterusnya perjuangan yang  selaras dengan parti komponen yang ada," katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Tambah beliau lagi, petang ini, Bersatu akan membuat satu mesyuarat bagi membincangkan isu tentang pilihan raya akan datang, tentang borang-borang pendaftaran parti dan apa-apa perkembangan terkini mengenai Bersatu.

"Mungkin juga kita akan bincangkan macam mana kita nak kemaskinikan pendaftaran atas talian sebab hari ini kita akan mulakan pendaftaran secara atas talian," ujar Kamarul.

Difahamkan, pendaftaran keahlian Bersatu boleh dibuat secara atas talian bermula hari ini selepas seminggu parti tersebut mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendafatran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Sebelum ini, pendaftaran dikatakan hanya boleh dibuat melalui borang sahaja dan menurut Kamarul yang juga merupakan Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) itu, sehingga ke hari ini, lebih daripada 100 ribu borang pendaftaran keahlian Bersatu telah diedarkan ke seluruh negara.

"Kita tak tahu berapa ramai yang telah berdaftar sebagai ahli sebab mereka belum kembalikan borang kepada kita lagi. Jadi, saya tak boleh nak berikan angka berapa ramai ahli kita sekarang.

"Tetapi, kalau ikutkan, pada hari pertama (14 September) sahaja, kita telah keluarkan 10 ribu borang selepas itu kita keluarkan lagi 40 ribu borang. Yang ini pun telah habis diambil macam 'goreng pisang panas'.

"Jadi, saya jangka setakat hari ini sahaja kita telah keluarkan dalam 100 ribu borang," tegasnya.

Terdapat satu laporan sebelum ini bahawa sebanyak sebanyak 9,000 orang telah mendaftar sebagai ahli Bersatu pada minggu lalu sahaja tetapi angka tersebut masih belum disahkan oleh mana-mana pemimpin Bersatu.

Bersatu ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tun Mahathir memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, manakala Muhyiddin merupakan Presiden Bersatu.

Antara pemimpin parti itu selain Kamarul adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin,  anak lelaki bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid , Muammar Ubaidah Sanusi dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Pemergian Tuan Guru Haron Din: Henti sekat ulama

Posted: 19 Sep 2016 11:48 PM PDT


 
Oleh Zharudin Narudin


Dewan Pemuda PAS Sarawak mengucapkan takziah ke atas permergian Tuan Guru Dr Haron Din. Tuan Guru merupakan contoh seorang professional yang istiqamah bersama perjuangan PAS.

Jutaan umat Islam mendapat manfaat daripada jasa Allahyarham, sama ada secara langsung melalui kuliah dan pengajaran beliau, atau secara tidak langsung beliau memperjuangkan Islam dalam sektor ekonomi seperti perbankan Islam, dakwah, pembangunan pendidikan dan lain-lain. Allahyarham Tuan Guru juga berjasa besar dalam PAS, dan amat tegas dalam memberi pandangan-pandangan beliau dalam isu-isu umat Islam.

Kita telah kehilangan permata besar Islam di Malaysia khususnya, dan dunia amnya. Kita telah kehilangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini. Mereka diraikan selepas kematian mereka, dengan stesen-stesen televisyen utama memberi liputan meluas tentang pemergian mereka.

Amat malang di kala hidup mereka, ulama-ulama ini dihalang dan diberi pelbagai sekatan untuk menyampaikan ilmu. Program-progam agama yang pelbagai di stesen-stesen TV lebih mengutamakan ustaz-ustaz selebriti termasuk yang lahir daripada realiti tv, berbanding ulama-ulama. Ini hasil daripada sekatan-sekatan yang dikenakan dek kerana berbeza pandangan politik.

Kami menuntut sekatan-sekatan ini dihentikan. Berilah peluang kepada ulama-ulama tanpa mengira latar belakang politik untuk berdakwah secara meluas termasuk melalui stesen-stesen tv. Ulama besar Malaysia seperti Tuan Guru Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Dr Mahfodz dan lain-lain perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan ilmu mereka. Sebarang sekatan yang dikenakan dengan niat politik tidaklah memberi manfaat kepada kemajuan umat Islam.

Janganlah selepas kita kehilangan mereka, barulah kita mula menghargai mereka.

* Zharudin Narudin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Sarawak 

Hero UMNO

Posted: 19 Sep 2016 11:46 PM PDT


 
Oleh Zaid Ibrahim


Sekali lagi Nazri Aziz berteriak, "Apa lagi Tun M mahu….?"

Nazri Aziz adalah seorang menteri yang sungguh tak sesuai memegang jawatan itu kerana dia seringkali mengeluarkan kenyataan yang memalukan. Menghina orang lain dengan menggunakan kata-kata kesat adalah "trademark" dia.

Tidak ada menteri di dunia maju yang melakukan apa yang dilakukan oleh beliau. Kerajaan lain akan merasa malu dan tidak menjadi popular kerana rakyat akan marah dengan telatah menteri yang sedemikian.

Saya tahu rakyat Malaysia ini ada lagi yang bangga dengan sikap pemimpin seperti Nazri Aziz, Ali Tinju dan Jamal Md Yunos dan Tan Keng Liang, lalu mereka terus dengan cara mereka yang luar biasa itu.

Ini akan berubah tidak lama lagi. Setiap kumpulan manusia akan berubah dari sikap primitif dan "barbaric" ke arah satu budaya tamadun dan bersopan. Ia memakan masa. Manusia tidak akan kekal bodoh dan sombong. Dengan pelajaran dan perubahan dunia mereka akan menjadi lebih "civil", bertanggungjawab dan menghormati orang ramai.

Menghentam dan menghina Tun Mahathir telah menjadi portfolio baru bagi Nazri Aziz. Saya masih ingat suatu masa dulu ada desas-desus bahawa satu tindakan akan diambil terhadap Nazri mengenai penglibatannya dengan permit teksi. Tun Mahathir waktu itu sudah mahu bersara, lalu beliau dikatakan menyuruh pegawai penyiasat menyerahkan perkara itu kapada PM baru iaitu Pak Lah.

Dia sudah mahu berhenti, jadi tidak elok untuk membuat apa-apa keputusan besar. Dari episod ini Nazri sepatutnya insaf dan sedar bahawa ada juga jasa Tun Mahathir kepada beliau. Kalaulah tidak kerana hal itu pun, beliau sepatutnya mesti berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana mengekalkan dia sebagai menteri begitu lama. Tapi itulah pemimpin UMNO, tidak ada langsung ingin mengenang jasa mereka yang telah banyak menolong.

Soalan yang sama sepatutnya dikemukakan oleh Nazri ialah kepada Najib. Apa lagi Najib mahu? Setelah mengambil berbilion-bilion dari 1MDB, setelah wang KWAP sebanyak RM4 bilion tak tahu ke mana, setelah ratusan juta wang SRC hilang dan sebahagiannya masuk ke akaun Najib, sepatutnya Nazri bertanya kpada Najib, "Boss, apa lagi you mahu?

Nazri sepatut nya meminta Najib bererhenti supaya pemimpin baru dapat peluang memperbaiki kewangan negara. Pemimpin lain perlu mengetuai kerajaan supaya tidak bertambah lagi "national interests" yang tergadai. Tapi Nazri sabenarnya adalah seorang penakut. Dia lebih mementingkan jawatan dia dan kekayaan dia, dan rakan-rakannya dari memerintah secara baik untuk rakyat. Sebab itu dia masih mahu Najib terus berkuasa.

Saya tahu Nazri akan melenting dengan tulisan saya ini. Saya pasti dia akan terus mencabar dan ajak saya bertanding melawan dia di kawasannya dalam PRU 14 ini dan sebagainya. Saya memang tidak ada pengaruh dan wang ringgit seperti dia dan kalau lawan dia, saya mungkin tewas dengan teruk.

Tetapi ada baiknya juga saya bertanding melawan Nazri di satu kawasan baru yang direka khas oleh SPR. SPR kini sedang mengubah sempadan dan saya menyeru SPR pilihlah satu kawasan yang selamat untuk Nazri.

Kalau Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju membantu saya, saya tidak akan teragak-agak melawan beliau di kawasan pilihan SPR itu. Apa takut, bukankah orang tua-tua ada berpesan, orang berani matinya sekali sahaja?~http://www.zaid.my/current/hero-umno/

Comments (0)