Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:02 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


APAKAH RAHMAN DAHLAN DAH HABIS FIKIR?

Posted: 01 Sep 2016 05:37 AM PDT

 shahbudindotcom

 

 
 
Jika sebelum ini Abdul Rahman Dahlan hanya berkias dengan mengatakan hanya orang bodoh saja tak tahu siapa sebenarnya Malaysian Official 1 yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS, kini beliau secara terbuka mengesahkan individu berkenaan adalah Najib Razak.

Sebagaimana dipetik melalui wawancara dengan BBC, Pengarah Strategik BN itu berkata, "Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah Perdana Menteri."

Tidak seperti pemimpin-pemimpin UMNO lain yang takut-takut untuk menamakannya secara terbuka kerana ingin melindungi kedudukan Najib, Rahman sebaliknya bersikap sangat terbuka.

Malah dengan mengesahkan Najib sebagai Malaysian Official 1 melalui  saluran BBC, tidak melalui media tempatan, Rahman seperti ingin pengesahannya itu diketahui serta didengari oleh seluruh dunia.

Sebelum ini, Bung Mokhtar Radin misalnya enggan berterus-terang dengan mengatakan Malaysian Official 1 itu boleh jadi merujuk kepada sesiapa saja, manakala Nawawi Ahmad pula mentafsirkannya sebagai Yang Dipertuan Agong.

Pemimpin-pemimpin UMNO selebihnya, walaupun sedar Malaysian Official 1 itu juga dirujuk sebagai mempunyai talian persaudaraan dengan Riza Aziz, tetapi keberatan untuk menyebutnya secara terbuka dan terang-terangan.

Ini kerana, risiko mengesahkan nama Najib bererti turut bersetuju dengan dakwaan Jabatan Kehakiman AS mengenai kemasukan wang sebanyak AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta yang berpunca daripada 1MDB ke dalam akaun peribadi Malaysian Official 1 itu.

Apakah dengan pengesahan terbuka Rahman Dahlan bahawa Najib adalah Malaysian Official 1, beliau ingin memberitahu dunia bahawa wang tersebut memang berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan dan bukan merupakan derma daripada Timur Tengah?

Apakah Rahman sudah berfikir habis-habisan mengenai risiko pengesahannya melalui BBC itu?

Berapa lama lagi rasanya Rahman Dahlan boleh bertahan sebagai menteri?


Harga makanan berisiko meningkat akibat harga gula, kata Rabobank

Posted: 01 Sep 2016 05:32 AM PDT

BERNAMA
 
 
Makanan kandungan gula tinggiMakanan kandungan gula tinggi


Trend harga gula yang tinggi dijangka berterusan untuk beberapa suku tahun akan datang dan akan memberi kesan yang ketara kepada margin makanan dan minuman Asia, menurut laporan terkini Rabobank, 'Hurry Cane: Managing Higher Sugar Prices in Asia'.

Laporan itu menyatakan harga gula mentah dunia meningkat sebanyak 30 peratus sejak pertengahan April, daripada US$14.3 c/lb kepada US$18.8 c/lb (asas niaga hadapan Julai), apabila pasaran mengambil kira potensi pengeluaran gula global yang rendah pada 2016/17.

Rabobank berkata harga gula domestik di Asia juga mula menunjukkan asas yang kukuh dan rantau ini dijangka mengalami defisit gula yang pertama dalam tempoh lima tahun.

Pengeluaran gula di Asia dijangka rendah pada 2016/2017, berikutan kemarau akibat El Nino pada 2015 menyebabkan pengeluaran susut kepada paras terendah dalam tempoh lima tahun, menurut laporan itu.

Pada 2015/2016, Rabobank mengunjurkan Asia akan menyaksikan defisit gula yang pertama dengan anggaran dua juta tan dalam tempoh lima tahun.

Pada peringkat global, selain Eropah dan Brazil mengunjurkan untuk menyaksikan pengeluaran yang lebih baik pada tahun depan, Rabobank menjangka defisit gula dunia sebanyak 5.5 juta tan pada musim yang akan datang.

Rabobank juga berkata minuman ringan menjadi antara pemacu jumlah dagangan paling penting bagi penggunaan gula di Asia.

Selain unjuran pertumbuhan penggunaan minuman ringan di Asia dikurangkan, Rabobank menjangka pertumbuhan kekal mendahului di kebanyakan rantau lain.

Tenusu - terutamanya susu pekat dan aiskrim - dan kuih-muih, segmen utama lain dijangka meningkat pada kadar stabil dalam masa terdekat.

Bagi segmen makanan dan minuman dengan dengan pendedahan yang ketara kepada pemanis, pertumbuhan Asia secara keseluruhan adalah 8.5 peratus berbanding pertumbuhan global 3.0 peratus antara 2006 dan 2015.

Walaupun pasaran makanan dan minuman China perlahan baru-baru ini, 40 peratus daripada pertumbuhan jumlah dagangan global pada 2015-18 adalah daripada pasaran makanan dan minuman Asia.

Inventori rendah dan jangkaan pengurangan tanaman mengekalkan harga gula tinggi, kata Rabobank.

Kesan daripada permintaan yang berterusan dan pengeluaran pada 2015-16 yang rendah mendorong inventori gula Asia kepada paras terendah dalam sejarah.

Bergantung kepada jurang penawaran-permintaan tempatan, harga gula di rantau ini meningkat antara 30 peratus dan 50 peratus daripada paras yang dilihat pada tahun 2015.

Dengan jangkaan pengeluaran pada 2016-17 yang rendah dan pertumbuhan permintaan yang kukuh, Rabobank menjangka terdapat keadaan positif yang mencukupi untuk menyokong paras semasa hingga suku keempat 2016.

Pada paras harga semasa US$17.99 cent per pound, pembeli industri membayar 42 peratus lebih tinggi berbanding harga pada 2015 menandakan tambahan US$3.5 bilion ke atas kos barang yang dijual di peringkat serantau.

Bagi negara tertentu, kesan sepenuhnya akan bergantung kepada sambutan bagi harga gula halus tempatan terhadap jurang penawaran dan permintaan.

Bagi sektor yang bergantung secara langsung kepada gula (seperti minuman ringan, kuih-muih dan susu pekat) sebagai bahan mentah, kesannya amat berat, kata Rabobank.

Misalnya, di India, harga domestik meningkat dengan cepat dalam tempoh enam bulan lepas, dan jika pengguna sektor hiliran lambat memberi tindak balas, ia mungkin bermakna peningkatan kos dan mengurangkan margin keuntungan.

Manakala di Indonesia dan China, apabila pengimportan gula membentuk sebahagian besar penggunaan tempatan, sektor makanan dan minuman akan menghadapi harga borong dan domestik yang tinggi apabila mereka membeli daripada kilang gula tempatan.

Sebaliknya, di Thailand, harga borong domestik dihadkan oleh peraturan kerajaan, mereka akan berasa tiada perbezaan jika harga niaga hadapan gula global terus tinggi.

Sementara itu, pembeli sektor hiliran di Malaysia perlu melaksanakan strategi kewangan dan operasi yang sesuai, dan Filipina, pada tahun ini menjangka mempunyai bekalan gula domestik yang mencukupi, seterusnya kurang terdedah kepada harga gula.

Rabobank berkata bagi syarikat yang terdedah kepada harga gula tinggi, gabungan pendekatan operasi dan kewangan perlu disediakan untuk mengurangkan risiko dan tekanan ke atas margin perniagaan.

Pelan pengurangan risiko syarikat perlu memasukkan gabungan strategi operasi dan lindung nilai komoditi, katanya.

9 hadir beri keterangan di IPD Dang Wangi

Posted: 01 Sep 2016 05:29 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Anis Syafiqah ketika hadir bersama peserta, peguam dan penyokongnya di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.Anis Syafiqah ketika hadir bersama peserta, peguam dan penyokongnya di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.


Sembilan peserta perhimpunan #TangkapMO1 pada Sabtu lalu hadir memberikan keterangan hari ini di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur.

Antara yang dipanggil ialah enam mahasiswa iaitu Anis Syafiqah, Aqilah Zainuzi, Suhail Wan Azahar, Khairol Najib Hashim, Luqman Nur Hakim dan Luqman Hakim.

Tiga lagi ialah Ketua Angkatan Muda (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad, Isaiah Jakob dan Amir Abdul Hadi.
Anis yang juga Pengerusi Gabungan #TangkapMO1 berkata, mereka akan memberikan keterangan berkaitan perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

Nik Nazmi berkata, beliau dimaklumkan terdapat tiga tuduhan yang dibuat ke atas mereka, iaitu berkaitan mengancam demokrasi berparlimen serta tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948.

"Kita amat kesal sempena kita sambut kemerdekaan semalam, mahasiswa tunjuk keberanian yang sangat hebat kerana anjur perhimpunan untuk tegak keadilan kerana tak puas hati mengenai skandal yang membelenggu negara telah dipanggil pihak polis," katanya.

Kordinator Penerangan Gabungan TangkapMO1 Aqilah Zainuzi dalam satu kenyataan berkata, mereka yang dipanggil pihak polis akan hadir bersama pada jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

Peserta termasuk penganjur himpunan #TangkapMO1 Sabtu lalu disoal siasat polis di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 9 (5) akta perhimpunan aman di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Menurut peguam yang mengiringi mereka, Melissa Sasidaran berkata, walaupun gembira mereka tidak direman namun beliau mengecam tindakan polis yang memanggil orang awan yang tidak bersalah.

Sedangkan katanya' Malaysian Official One' yang dikaitkan dengan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak masih bebas.

"Kita gembira mereka tidak direman tetapi kecam kenapa mahasiswa dan aktivis ini dipanggil untuk disoal siasat kerana menganjurkan perhimpunan aman sedangkan MO1 yang mana kita dah tahu identitinya, Datuk Rahman Dahlan kata semua orang tahu MO1 ialah Najib Razak dan dia masih bebas," katanya kepada pemberita selesai soal siasat.

Anis yang juga Pengerusi Gabungan #TangkapMO1 pula berkata, beliau terkilan dengan polis yang menyiasat mereka yang tidak melakukan kekacauan namun berharap prosedur siasatan dapat berlangsung dengan baik.

"Terima kasih pada polis beri kerjasama yang baik semasa beri keterangan dan cuma kami mahasiswa terkilan, kami yang anjur perhimpunan aman, tapi dipanggil beri keterangan.

"Harap selepas ini prosedur dapat  dijalankan dengan baik, kami tuntut keadilan sebagai mahasiswa dan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad disiasat di bawah Sekyen 9 (5) akta hasutan.

Peguam beliau, Adi Zulkarnain Zalkafli berkata, Nik Nazmi akan memberikan keterangan di mahkmah nanti.

Kesemua mereka disiasat kira-kira 1 setengah jam.

Anis Syafiqah dan Aqilah Zainuzi ketika berjalan keluar dari balai polis selepas memberikan keterangan mereka.Anis Syafiqah dan Aqilah Zainuzi ketika berjalan keluar dari balai polis selepas memberikan keterangan mereka.
    

Saya sudah duga, terus perjuang nasib rakyat walau penjara menanti

Posted: 01 Sep 2016 05:24 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Rafizi Ramli diarahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membocorkan maklumat sulit berhubung laporan audit 1MDB.Rafizi Ramli diarahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membocorkan maklumat sulit berhubung laporan audit 1MDB.


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sudahpun menduga keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang bersetuju pihak pendakwa telah membuktikan prima facie terhadap beliau di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

"Saya sudah pun duga.

"Saya mengikuti dengan dekat persediaan pembelaan yang dikemukakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai oleh Gobind Singh Deo, Saiful Izham Ramli, Ahmad Nizam Abdul Hamid dan kumpulan peguam muda yang lain.

"Saya yakin hujah kami adalah kukuh dan akan memastikan kes pembelaan kelak akan menunjukkan kelemahan-kelemahan pendakwaraya yang sepatutnya mendorong mahkamah membebaskan saya.

"Pun begitu, saya pasrah dengan kemungkinan bahawa saya hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum proses mahkamah selesai dan saya dijatuhkan hukuman penjara.

"Kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membawa hukuman wajib penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

"Saya tidak menyesal dan tidak akan berubah pendirian atau pendekatan. Dalam perkara yang jelas betul atau salahnya, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata kerana kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, jika semua pimpinan masyarakat dan agamawan mengambil pendirian begini, lebih mudah semua masyarakat melawan kezaliman dalam masyarakat tidak kira betapa kuatnya kuasa pemerintah.

"Oleh itu, saya akan terus membawa isu-isu rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam konteks kemelut politik pemimpin negara sekarang.

"Saya telah membuat satu kajiselidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak dua minggu lalu.

Kajiselidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Soalan penuh kajiselidik boleh disemak di https://poll.fbapp.io/exatdu

"Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat dalam keadaan keseluruhan fokus ahli politik dan kebanyakan NGO sejak setahun lalu adalah 1MDB semata-mata serta usaha-usaha menukar Perdana Menteri.

"Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan sebarang usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana saya bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri semata-mata tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat," ujarnya.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama-sama kenyataan ini. Ringkasan penting dari dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1) 97% dari 718 responden berpendapat ada bukti kukuh Dato' Seri Najib Tun Razak terlibat di dalam skandal 1MDB

2) Hanya 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB

3) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355

4) Responden menyenaraikan "memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyat" sebagai tugas terpenting yang mereka mahu wakil rakyat laksanakan; lebih tinggi dari mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri semata-mata

Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada beliau bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka.

Kupasan skandal 1MDB tidak boleh berlegar kepada berapa banyak wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.

"Oleh sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.

"Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan saya akan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum.

Antaranya beliau menyenaraikan isu berkenaan:

1) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi melalui PTPTN yang akan bawa kesan besar kepada rakyat. Saya akan bentangkan kertas kajian saya di Kongres Mahasiswa Kebangsaan Ke-2 pada 17 September 2016 ini.

2) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa. Saya akan umumkan siri dialog dengan pesara tentera esok.

3) Membela golongan muda dengan menumpukan kepada persoalan peluang pekerjaan yang lebih adil, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil. Saya akan lancarkan satu NGO khusus untuk memperjuangkan isu-isu ini dalam bulan Oktober.

4) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP. Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR turut mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.

"Saya mengecam semua pimpinan di syarikat-syarikat dan tabung milik rakyat yang menjadi pengatur bagi membolehkan penguasa memakan harta rakyat.

"Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.

"Saya mengecam semua pimpinan masyarakat yang memberi pelbagai alasan untuk tidak lantang bersuara membidas pihak-pihak yang mempunyai kuasa sehingga golongan muda berdepan dengan risiko mewarisi hutang negara yang diluar kemampuan mereka menanggungnya.

"Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.

"12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan. In Sya Allah masa beberapa bulan yang berbaki ini saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat," ujarnya.

Ekonomi negara: Nazir pesan hati-hati, Najib pula ucap syukur

Posted: 01 Sep 2016 05:12 AM PDT

ARIF ATAN
 
 
Najib dan Nazir RazakNajib dan Nazir Razak


Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mengakui ekonomi Malaysia semakin perlahan dengan pertumbuhan sekitar empat peratus pada tahun ini.

"Dunia sekarang berada dalam era pertumbuhan struktural yang rendah. 'Hari bersuka ria' sudah berlalu dan ia akan mengambil banyak tahun untuk menyaksikan pertumbuhan tinggi kembali di dunia ini sekali lagi," dipetik daripada laporan sebuah akhbar hari ini.

Menurutnya, seluruh dunia terpaksa melalui pertumbuhan ekonomi perlahan kerana bebanan terlalu banyak hutang yang merupakan masalah asas sistem dunia hari ini.

Nazir berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan bersama Touch 'n Go di NZ Curry House di Wangsa Maju, ibu negara, semalam.
"Saya berpendapat kita sekarang berhadapan persekitaran luaran yang amat sukar. Maka berhati-hatilah. Jangan berbelanja berlebihan kerana keadaan akan menjadi sukar bagi Malaysia dan seluruh dunia," pesan Nazir.
Peringatan Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri itu hanya selepas dua hari CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) mengumumkan penutupan 23 cawangannya sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan operasi.

Bagaimanapun, lain pula dengan Najib Razak, ekonomi negara digambarkan dalam keadaan baik dengan memberitahu bahawa Program Transformasi Ekonomi atau ETP, menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara telah berjaya mencapai angka 111 peratus KPI.

"Kini DTN (Dasar Transformasi Nasional) telah masuk tahun ketujuh pelaksanaannya, dan terus membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan.
"Ini semua bukan sekadar omong kosong, akan tetapi fakta dan angka pencapaian, diabsahkan serta dipersahihkan oleh badan penarafan berwibawa pada peringkat antarabangsa.
"Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini, Alhamdulillah, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak empat peratus," ujar Najib dalam Amanat Hari Kebangsaan 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam 31 0gos lalu.

Mansuh Diskaun 10 % Bumiputera : Jangan Ikut Telunjuk Bukan Islam-Dewan Ulamak PAS

Posted: 01 Sep 2016 05:02 AM PDT

 

 


KUALA LUMPUR- Pas mengingatkan kerajaan PKR Selangor agar tidak terikut-ikut dengan telunjuk orang bukan Islam menerusi langkah pemansuhan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) di negeri itu.


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, perkara tersebut adalah tidak wajar kerana orang Melayu masih belum mempunyai kedudukan ekonomi yang setaraf dengan kaum lain khususnya di kawasan bandar.

"Sepatutnya kerajaan PKR Selangor jangan cepat mengikut te­lunjuk orang bukan Islam kerana kebanyakan mereka mampu memiliki rumah meskipun tanpa ada diskaun.

"Walaupun tujuan mereka (ke­ra­jaan negeri) baik untuk memberi keadilan kepada semua rak­yat tetapi kita bimbang perkara tersebut tidak mampu tercapai selagi ekonomi orang Melayu belum setaraf dengan bangsa lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan diskaun 10 pe­ra­tus untuk bumiputera bagi pem­belian pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO di negeri itu akan dimansuhkan bermula 1 September ini.

Mohamed Azmin berkata, sebaliknya diskaun tersebut akan diberikan kepada semua kaum dalam kategori berpendapatan ren­dah dan sederhana.

Menurutnya, penyelarasan semula harga itu dibuat bagi membolehkan rakyat yang tergolong dalam kategori berkenaan mempunyai keupayaan memiliki hartanah sendiri.

Mahfodz berkata, langkah mem­beri diskaun perumahan ke­pada bumiputera wajar diterus­kan bagi membantu orang Mela­yu memiliki kediaman sendiri terutama di kawasan bandar.

"Jika bumiputera sudah kuat dari segi ekonominya, saya setuju untuk memansuhkan diskaun tetapi secara realiti masyarakat bumiputera masih belum setaraf ekonominya.

"Oleh sebab itu, diskaun perumahan perlu dikekalkan supaya golongan bumiputera mampu memiliki rumah sendiri," jelas­nya. UM

DAP & PKR Dalang Di Sebalik Perhimpunan Mahasiswa #Tangkap MO1 ?

Posted: 01 Sep 2016 04:33 AM PDT




dap-mahasiswa


Bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP pusat (DAPSY) dan Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad antara 9 individu yang dipanggil untuk diambil keterangan berhubung himpunan #tangkap MO1 Sabtu lalu.


Kok Seong ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak mengenali penganjur perhimpunan dan hanya datang untuk berucap.

"Saya secara peribadi tidak mengetahui siapa sebenarnya pihak penganjur tapi pada hari ini saya dipanggil.

"Ini telah buka peluang pada saya untuk mengenali anak-anak muda yang mempunyai hasrat dan wawasan yang sama untuk kita sama-sama menyuarakan harapan kita kepada negara," katanya dilapor The Rakyat Post.



Bagaimanapun, beliau memuji usaha dan kemampuan mahasiswa yang berjaya mengadakan himpunan secara aman di Dataran Merdeka minggu lalu.

"Apa yang saya nak kata ialah, bagi saya pada hari tersebut anak-anak saya, saya rasa mereka telah melakukan yang terbaik dan membanggakan kita semua.

"Cuba bayangkan anak muda kita telah menganjurkan perhimpunan yang betul-betul aman, kecekapan dan kemampuan mereka," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi menjelaskan mereka disiasat atas tiga pertuduhan iaitu, mengancam demokrasi berparlimen, Akta Perhimpunan Aman 2012, dan Akta Hasutan 1948.

"Kita amat kesal sempena kita sambut kemerdekaan semalam, mahasiswa tunjuk keberanian yang sangat hebat kerana anjur perhimpunan untuk tegak keadilan kerana tak puas hati mengenai skandal yang membelenggu negara telah dipanggil pihak polis," katanya.

Tujuh lagi mahahsiwa yang dipanggil adalah Anis Syafiqah Md Yusof, Aqilah Zainuzi, Amir Abd Hadi, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim, Suhail Wan Azahar dan Isaiah Jacob.

anis


Anis Syafiqah Md Yusof yang dinobatkan sebagai jurucakap #TangkapMO1 dijelaskan oleh Dr Muhaimin Sulam, Naib Pengerusi 1 PAN Perak sebagai seorang mahasiswa yang dikaderkan oleh tiga institusi politik iaitu Sekolah Demokrasi (DAP), Institut Kajian Dasar (IKD) dan PAS.

"Setahu saya, Anis adalah mahasiswa Universiti Malaya. Bukan saja dia hadir kuliah di kampusnya tetapi menyertai program Sekolah Demokrasi kendalian DAP, Institut Kajian Dasar (IKD) yang berkaitan dengan PKR dan menyertai siri tarbiah PAS," dedahnya.

DAP tuntut Jamal ‘Ikan Bakar’ isytihar sumber dana bayar perwakilan

Posted: 01 Sep 2016 04:27 AM PDT

Datuk_Jamal_Md_Yunos_RED_SHIRT_PC_150915_TMISETH_01

Roketkini.com


IPOH: DAP menuntut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menjelaskan sumber dananya, setelah beliau mengumumkan akan membayar para perwakilan RM1000 seorang.

Datuk Jamal Md Yunos dilaporkan berjanji untuk membayar para perwakilan RM1000 setiap seorang, secara ansuran dua kali bayaran RM500 semalam dan tahun depan, setelah lawatan ke Dubai yang dijanjikan sebelum ini terpaksa dibatalkan.

"Adakah Jamal Yunos wajah sebenar UMNO? Bila lah politik wang akan berhenti?"

Demikian persoalan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran dalam kenyataannya mempersoal penyakit yang telah membarah dalam parti pemerintah itu.

"Saya pasti bukan ahli UMNO sahaja yang mahu tahu sama ada wang tersebut datang dari poketnya sendiri, dari bahagian atau daripada derma.

"Sekiranya itu wangnya sendiri, maka beliau mesti memberi justifikasi bahawa pendapatannya adalah mencukupi untuk bertindak sebegitu murah hati," ujar Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Menurut beliau lagi, Jamal perlu telus tentang sumber dananya, terutama sekali setelah timbul dakwaan bahawa beliau menerima RM3 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menganjurkan perhimpunan Baju Merah di ibu negara.

Kata beliau lagi pengumuman Jamal yang popular dengan perusahaan restoran ikan bakar tersebut menunjukkan bahawa amalan politik wang dalam UMNO masih hidup subur.

"Sekiranya Jamal tidak bersedia untuk jujur tentang sumber kewangannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut segera memulakan siasatan," tegas Kula. – Roketkini.com


DAPSY gesa polis henti ancam anak muda, fokus tangkap MO1

Posted: 01 Sep 2016 04:22 AM PDT

dang wangi

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menyiasat perhimpunan aman #TangkapMO1 anjuran mahasiswa yang diadakan pada Sabtu 27 Ogos lalu.

Ketua DAPSY Selangor, Teh Hoong Keat berkata beliau tidak faham mengapa anak muda yang mahu menuntut keadilan demi negara pula diambil tindakan sedangkan 'Malaysian Official 1' yang didakwa merompak wang rakyat masih dibiarkan bebas.

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis melengahkan siasatan ke atas 'Malaysian Official 1' walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan telah mengesahkan bahawa individu itu merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam wawancaranya dengan BBC baru-baru ini.

"Kita menyeru agar pihak polis berhenti menzalimi anak muda. Perbuatan polis yang hanya menurut perintah pihak atasan di Putrajaya juga harus dikecam. Mereka sepatutnya menggunakan masa dan sumber yang ada untuk menyiasat MO1," tegasnya dalam satu kenyataan.

Pimpinan mahasiswa yang terlibat dalam penganjuran #TangkapMO1 seperti Anis Syafiqah, Luqman Hakim dan Aqilah Zainuzi telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi berhubung himpunan tersebut.

Pada masa sama, pemimpin politik yang hadir ke himpunan berkenaan termasuk Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong serta Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi turut dipanggil polis.

Himpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu diadakan bagi menggesa pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara menyiasat serta menangkap individu yang digelar sebagai 'Malaysian Official 1'.

'Malaysian Official 1' disebut sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) lebih satu bulan lalu sebagai individu yang terlibat dengan kecurian dana syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB bagi kepentingan pihak tertentu. – Roketkini.com


Pokemon Go umpama dadah

Posted: 01 Sep 2016 04:18 AM PDT


DETIK DAILY
 



PETALING JAYA : Pokemon Go diumpamakan seperti dadah kerana ia menyebabkan ketagihan kepada pemainnya, kata Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor.


Beliau berkata permainan aplikasi maya yang menjadi kegilaan ramai sejak awal bulan lalu itu menyebabkan ketagihan kerana visualnya berwarna-warni dan dilengkapi dengan pergerakan.

"Pokemon Go juga boleh mengkhayalkan pemain kerana ia memberi arahan dalam bentuk visual. Saya sendiri tengok, saya sendiri cuba main, saya memang tutup, tak nak main.

"Dalam permainan ini, ia dibuat dalam bentuk visual dan biasanya manusia akan lebih mudah tertarik dengan cara itu berbanding perkataan ataupun arahan," katanya.

Tinjauan FMT baru-baru ini di Taman Jaya iaitu kawasan rekreasi utama di tengah bandar raya Petaling Jaya mendapati ia menjadi tumpuan ramai penggemar permainan itu, sedangkan selama ini taman itu lengang pada waktu malam.

Dalam tinjauan jam 2 pagi itu, sekurang-kurangnya 50 orang sedang asyik dengan permainan yang merupakan aplikasi paling banyak dimuat turun sekarang iaitu hampir menandingi aplikasi Whatsapp dan Facebook.

Mariani berkata daripada segi psikologi, apabila pemain Pokemon Go ini bermain sehingga awal pagi, ia akan menyebabkan individu tersebut lemah dan tidak produktif pada waktu siang.

"Masalah kedua ialah sosialisasi, maksudnya pemain yang ada pekerjaan bergaul dengan golongan tidak bekerja akan menyebabkan produktiviti serta pergaulan sosial dengan keluarga dan rakan sekerja berkurangan," katanya.

MO1 ialah PM: SPRM perlu buka kembali kes 1MDB

Posted: 01 Sep 2016 03:01 AM PDT

HARAKAHDAILY



 

SAH, MO1 ialah PM. Wang di akaun PM, duit 1MDB atau derma Arab?

Terima kasih Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengesahkan bahawa 'Malaysian Official 1' sememangnya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Cuma, ramai tertanya-tanya apakah pengakuan ini mendapat persetujuan kabinet dan juga PM sendiri?

Apakah pengakuan ini juga bermakna dakwaan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ada asasnya? Jika tiada asas, masakan boleh samakan MO1 itu ialah PM?

Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1, bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?

Pengakuan Abdul Rahman juga sepatutnya menjadi berita baik kepada kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang kini giat membanteras rasuah.

SPRM perlu membuka kembali kes 1MDB dan dana masuk ke akaun PM dengan menyiasat segala dakwaan DOJ secepat mungkin agar pihak luar tiada peluang untuk mencampuri urusan pentadbiran negara. SPRM juga perlu menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk menilai kes 1MDB semula.

PAS, dan kami yakin semua parti politik akan menyokong penuh SPRM dalam usaha ini untuk menaikkan lagi imej SPRM dan menangkis tuduhan bahawa SPRM tidak berani menangkap ikan jerung.

*  TUAN IBRAHIM TUAN MAN, Timbalan Presiden PAS 

Reman ke atas suspek kes bunuh 3 sekeluarga disambung

Posted: 01 Sep 2016 02:58 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


p50adcb107130d_ditahan1


MELAKA: Suspek kes bunuh yang melibatkan tiga sekeluarga di Kampung Bertam Malim di sini minggu lepas disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata permohonan tempoh sambung reman adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap suspek yang berumur 26 tahun itu terutama berkaitan punca dan motif kejadian.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes ini sebelum proses dakwaan boleh dilakukan," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lepas itu, Pengerusi Tetap Umno Tangga Batu, Mariah Baharin, 60, bersama suaminya Hassan A.Wahab, 70, dan anak lelaki mereka Mohammad Taufeq, 22, ditemukan mati dikelar dipercayai oleh anggota keluarga angkat pasangan itu yang dipercayai merupakan seorang penagih dadah. .

Dua lagi anak perempuan mangsa iaitu Noor Haslinda Diyana, 26, dan Nuraqedah Aeina, 24, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Melaka.— Bernama


Pas mahu kawan dengan semua orang - Iskandar

Posted: 01 Sep 2016 02:42 AM PDT

 
 
Iskandar A Samad
Iskandar A Samad


"Pas hendak kawan dengan semua orang dan kalau ada yang baik walaupun daripada siapa sekali pun, kita akan sokong," Itu mesej Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar A. Samad semasa merasmikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Penduduk Taman Kencana di sini malam semalam.

Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka memberitahu, ia selaras dengan hasrat Pas mahu membawa budaya politik matang dan sejahtera.

Mengenai kemerdekaan, Iskandar menegaskan, tanggapan sesetengah pihak kemerdekaan negara dicapai tanpa pertumpahan darah tidak tepat kerana perjuangan menghalau penjajah sudah bermula sejak tahun 1515 semasa Portugis cuba menawan Melaka.

Bermula daripada itu sehingga tahun 1957, katanya, negara kehilangan ramai pejuang dan pahlawan seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah dan ramai lagi. Menurutnya, fakta mengenai pejuang kemerdekaan itu perlu diperbetulkan demi tatapan generasi muda.

Menurutnya, pejuang menentang Malayan Union juga dikira sebagai pahlawan yang membawa kepada kemerdekaan negara. Selepas kemerdekaan, katanya, perjuangan mesti diteruskan termasuk menegur sekiranya ada berlaku penyelewengan dan tidak boleh dilihat sebagai tidak menghargai kemerdekaan.



"Dalam mempertahankan negara kita perlu menegur sekiranya ada salah dan teguran itu kerana kita sayang kepada negara kita..bila sayang kita tak cakap apa itu tak betul," tegasnya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kencana, Mustafa Zaini itu Iskandar turut menyampaikan penghargaan kepada bekas anggota tentera bersara di taman berkenaan termasuk kepada Pengerusi Surau Nur Iman, Yunus Abdullah.--MalaysiaGazette


Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu

Posted: 01 Sep 2016 02:38 AM PDT

Astro Awani
Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu
5 perkara yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang Zika
 
 
Ancaman Zika kini sah melanda Malaysia, dengan seorang wanita dari Klang yang baru pulang dari Singapura disahkan positif sebagai kes pertama di negara ini.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura, didapati negatif.


Sebelum kes ini lagi, kebimbangan jelas semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia ekoran penularan kes Zika di negara-negara jiran.

Di Singapura, seorang wanita hamil antara 24 kes Zika terkini yang dikesan di sana, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 115 kes di Republik itu. Kerajaan negeri Johor sebelum ini telahpun mengambil langkah mempertingkatkan kawalan di enam pintu masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Thailand pula, jumlah kes Zika semakin meningkat dengan 97 orang didiagnos dengan penyakit itu dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Virus Zika
Virus Zika

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, berkata kementeriannya mempunyai pakar dan kemudahan yang cukup untuk mendepani sebarang kemungkinan.

"Virus itu sampai atau tak sampai, mereka yang sudah dikesan positif akan dimasukkan ke dalam wad dan tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan jangkitan virus itu kepada individu lain.


Semua hospital utama di negara ini mempunyai unit kawalan penyakit berjangkit dan diketuai oleh Ketua Pakar Jangkitan Penyakit Malaysia, Dr Christopher Lee dan kita mempunyai pakar di seluruh negara untuk merawat penyakit ini," katanya ketika sidang media khas pada Isnin.

Virus Zika dikesan kali pertama pada spesis monyet sekitar 1947. Ia kemudiannya tersebar secara besar-besaran di Amerika, selepas jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun lalu.

Berikut, lima perkara yang anda perlu tahu tentang Zika:

1. Apakah virus Zika?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.


Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.

Di Brazil, ia dilapor terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut.

Kesan Zika pada bayi

Namun, mereka percaya kecacatan ini mungkin ada kaitan dengan wabak Zika.


2. Bolehkah jangkitan Zika dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.


Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.


3. Bagaimanakah ia merebak?

Disebarkan melalui nyamuk aedes - bergantung kepada spesis.

Aedes jenis aegypti, paling banyak menyebarkan Zika. Aedes jenis ini ditemui di Florida, Gulf Coast dan Hawaii.

Namun baru-baru ini, ia turut ditemui di Washington DC yang bercuaca panas.

Aedes jenis albopictus dikatakan turut mampu menyebarkan virus Zika tetapi tiada kajian kukuh mengenainya. Jenis ini boleh ditemui di utara New York dan Chicago pada musim panas.

Nyamuk aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan senja. Ia membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan masa seminggu untuk menjadi nyamuk dewasa.


4. Siapa berdepan risiko paling tinggi?

Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika.

Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.
Kesan Zika
Kesan Zika


Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka.


5. Langkah-langkah pencegahan

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM:

  • Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh
  • Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran
 
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan jangkitan virus Zika di Malaysia.

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya. 
 
 

Sultan Melaka diiktiraf mahkamah antarabangsa?

Posted: 01 Sep 2016 02:35 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE
 

Raja Noor Jan menunjukkan surat daripada ICJ melalui laman sosialnya hari ini.
Raja Noor Jan menunjukkan surat daripada ICJ melalui laman sosialnya hari ini.


Seorang individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka berjaya mendapat pengiktirafan daripada Mahkamah Agong Antarabangsa (ICJ) mengenai tuntutannya menduduki takhta raja di negeri Hang Tuah itu.

Dalam satu kenyataannya hari ini, individu yang mahu dirinya digelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah itu memaparkan surat daripada mahkamah tersebut di laman Facebooknya.

Dalam statusnya menyebut;

"Adalah dengan ini, Beta DYMM Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah Shah bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan izinnya beta telah berjaya mendapat pengiktirafan dari Mahkamah Agong Antarabangsa tentang tuntutan Beta sebagai Sultan Melaka,"

Menurutnya, beliau akan mengadakan sidang media khas untuk memaklumkan perkara itu kepada umum tidak lama lagi.

Salinan surat daripada mahkamah antarabangsa (gambar bawah) itu diterima pada 25 Disember lalu.



Beberapa tahun lepas, Raja Noor Jan telah menggemparkan negara apabila menuntut untuk menjadi Sultan Melaka kerana mendakwa beliau merupakan keturunan sultan di negeri itu yang sah berdasarkan salasilah yang dimilikinya.

Menetap di Gombak, beliau dan pengikut-pengikutnya juga telah 'mendapatkan semula' beberapa peralatan kebesaran negeri Melaka termasuk Keris Taming Sari melalui upacara di pesisir Sungai Melaka.

Tuntutannya bagaimanapun tidak diiktiraf oleh pihak kerajaan kerana salasilah keturunan yang didakwanya itu sudah terputus kira-kira 600 tahun dan sukar dibuktikan kesahihannya.

Melaka pada zaman dahulu merupakan Empayar Kerajaan Melayu tetapi kesinambungannya terputus selepas ditakluki penjajah dan kini mempunyai Yang Dipertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob.--MalaysiaGazette

Kes Virus Zika pertama di Malaysia dikesan

Posted: 01 Sep 2016 02:22 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE
 

S. Subramaniam
S. Subramaniam


Kementerian Kesihatan telah menerima laporan satu kes yang disyaki dijangkiti virus Zika semalam.
Pesakit merupakan seorang wanita berumur 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang dan merupakan ibu kepada pesakit yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura. Pesakit bersama suaminya telah melawat anaknya di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke Malaysia pada 21 Ogos 2016.

"Pesakit mula mendapat gejala ruam pada 28 Ogos dan pada 30 Ogos 2016, pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang. Memandangkan pesakit mempunyai sejarah melawat ke Singapura dan anak perempuannya yang berada di negara tersebut telah disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos 2016, maka Pengamal Perubatan swasta berkenaan telah mendiagnosa pesakit sebagai "disyaki kes Zika".

"Pada hari yang sama pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan ujian kencing pesakit untuk PCR pada 31 Ogos 2016, adalah positif untuk Zika virus. Manakala ujian darah pesakit masih menunggu keputusan," kata menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam hari ini.

Menurutnya, punca jangkitan disyaki berlaku di Singapura yang mana hari pesakit mula mengalami tanda-tanda Zika adalah sama hari dengan anaknya mula sakit di Singapura. Suami pesakit dan ahli keluarga yang tinggal serumah bersamanya, sehingga kini masih belum menunjukkan simptom jangkitan Zika. Bagi tempoh 21 hingga 28 Ogos iaitu sekembalinya pesakit dari Singapura, pesakit telah melawati beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Lumpur.

Hasil siasatan kes ini, KKM telah pun memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang telah di lawati oleh pesakit. Aktiviti kawalan yang dilaksanakan termasuk, menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvaciding dan semburan kabus. Di samping itu, kontak terdekat pesakit diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau simptom Zika yang lain.

Maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Singapura, terdapat lima rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura juga disahkan dijangkiti virus Zika.

Bagi tempoh 27 sehingga 31 Ogos 2016, telah terdapat 115 kes dilaporkan di Singapura. Oleh kerana perebakan jangkitan virus Zika adalah cepat, pemantauan dan aktiviti pencegahan Aedes di teruskan serta tingkatkan di semua negeri terutama negeri Johor dan Selangor.

"Rakyat Malaysia, perlu fokus kepada membersihkan tempat-tempat pembiakan Aedes, melindungi diri mereka dari gigitan nyamuk Aedes dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, ruam dan conjunctivitis. Kes pertama Zika yang dilaporkan ini, menunjukkan bahawa mudah untuk dijangkiti virus ini dengan melawat tempat yang mengalami wabak seperti Singapura," ujarnya lagi.

Kementerian, katanya, sekali lagi menyeru kepada mana-mana individu yang telah melawat negara yang mempunyai jangkitan Zika, untuk tampil membuat pemeriksaan segera apabila mereka mengalami simptom seperti di atas. Tindakan proaktif masyarakat dapat menghentikan sebaran virus Zika di Malaysia. Tiada Aedes: Tiada Zika, Denggi dan Chikungunya.--MalaysiaGazette


Dah alang-alang dedah MO1, dedah lah sekali 1MDB – PAS

Posted: 01 Sep 2016 02:15 AM PDT

INTAN NUR IDAYU


Rahman-PAS-1MDB


KUALA LUMPUR: PAS menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan terhadap syarikat penuh bermasalah, syarikat 1 Malaysia Development berhad (1MDB) yang melibatkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini yang mengesahkan Malaysian Official 1 (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

"Pengakuan Abdul Rahman sepatutnya menjadi berita baik kepada kepada Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang kini giat membanteras rasuah.

"SPRM perlu membuka kembali kes 1MDB dan dana masuk ke akaun PM dengan menyiasat segala dakwaan DOJ secepat mungkin agar pihak luar tiada peluang untuk mencampuri urusan pentadbiran negara. SPRM juga perlu menggesa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk menilai kes 1MDB semula.

"Kami yakin semua parti politik akan menyokong penuh SPRM dalam usaha ini untuk menaikkan lagi imej SPRM dan menangkis tuduhan bahawa SPRM tidak berani menangkap ikan jerung," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini. 

Difahamkan, portal BBC.com hari ini melaporkan Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi beliau pada masa yang sama turut memberitahu nama Najib tidak dinyatakan dalam laporan tersebut kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan DOJ. 

Rahman yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu turut menolak sebarang dakwaan yang mengatakan Najib perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan keatasnya ini dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. 

Katanya, ia adalah satu tindakan yang melampau untuk menyuruh Najib letakkan jawatan. 

Bagi Tuan Ibrahim pula, beliau berterima kasih dengan pengesahan Rahman Dahlan ini malah beliau turut mengesyorkan menteri itu supaya mendedahkan lagi maklumat lain berkaitan dengan DAP. 

"Terima kasih Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengesahkan bahawa 'Malaysian Official 1' sememangnya ialah Perdana Menteri. 

"Apakah pengakuan ini juga bermakna dakwaan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ada asasnya? Jika tiada asas, masakan boleh samakan MO1 itu ialah PM?

"Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1, bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?" ujarnya

JAKIM kena permudahkan usahawan IKS dapat sijil halal

Posted: 01 Sep 2016 02:15 AM PDT






Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Penaung Halal Fiesta Malaysia (HALFEST), YAM Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah (kanan) mendegar penerangan dari anak-anak orang asli Miera a/p Andomi (tiga kanan) dan Niza a/p Andomi (empat kanan) mengenai Produk Teego Fast Snack ketika melawat tapak-tapak pameran di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 SEPTEMBER 2016.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Penaung Halal Fiesta Malaysia (HALFEST), YAM Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah (kanan) mendegar penerangan dari anak-anak orang asli Miera a/p Andomi (tiga kanan) dan Niza a/p Andomi (empat kanan) mengenai Produk Teego Fast Snack ketika melawat tapak-tapak pameran di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,



"Saya mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dapat memberi kelonggaran kepada usahawan-usahawan Islam yang mengeluarkan produk sendiri untuk mendapatkan sijil halal yang dikeluarkan."

Itu kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat masih ramai usahawan beragama Islam yang tidak mendapatkan sijil halal kerana dipercayai merumitkan.

"Saya difahamkan untuk mendapat sijil halal, semua usahawan perlu memenuhi syarat termasuklah dari segi kebersihan, peralatan, premis kilang dan beberapa perkara lagi. Itu adalah syarat yang ditetapkan tetapi ada di kalangan usahawan ini hanya bermodalkan jumlah kewangan yang kecil dan tidak mampu untuk memenuhi syarat yang diminta JAKIM.

"Maka saya cadangkan di sini agar mereka diberi kelonggaran sedikit agar tidak membebankan mereka yang mungkin berpendapatan tidak sebanyak mana," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Expo Halal Terbesar Malaysia 2016 (Halalfest 2016) di Seri Kembangan, Serdang pagi tadi.
Turut hadir, Penaung Halalfest, YAM Tengku Datuk Ning Fatimah Sultan Ahmad Shah.

Halalfest bertujuan meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal dengan menggalakkan gaya hidup yang berteraskan halal dalam kalangan rakyat Malaysia di samping mendidik orang ramai betapa pentingnya memilih produk yang memiliki sijil halal yang sah.

Dengan kecenderungan pengguna yang mula beralih kepada produk dan perkhidmatan halal pada masa kini, adalah penting bagi usahawan untuk mendapatkan sijil halal supaya mereka turut menjadi sebahagian daripada pasaran yang menguntungkan ini.

Kata Ismail Sabri, JAKIM mungkin boleh memberi garis panduan atau syarat lain yang lebih memudahkan bagi menggalakkan lebih banyak usahawan menghasilkan produk yang disahkan status halalnya.

"Apa yang saya nampak, usahawan-usahawan ini adalah orang Islam yang pastinya akan memberi keutamaan tentang halal dan haram begitu juga dengan dosa dan pahala. Jadi, semua produk yang dihasilkan sememangnya halal cuma mereka ada kekangan untuk mendapatkan kelulusan JAKIM sahaja," ujarnya.

Lebih 500 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menyertai Halalfest 2016 dengan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 150 usahawan disokong oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) melalui pelbagai agensinya seperti Mara, Felda, Risda dan sebagainya.

"KKLW faham sumber kewangan yang terhad merupakan masalah besar kepada usahawan IKS dan kami menyokong mereka dengan memberi subsidi kos sewaan gerai di Halalfest 2016," kata Ismail Sabri.

Ekspo halal terbesar di Malaysia anjuran KKLW pada kali ini bermula semalam iaitu pada Hari Kebangsaan dan berakhir pada 3 September 2016.--MalaysiaGazette


Bekas Hakim Cadang Tubuh Mahkamah Khas Bagi Kes Jenayah Serius

Posted: 31 Aug 2016 10:11 PM PDT

MSTAR ONLINE


Datuk Mohd Noor Abdullah
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas hakim mencadangkan penubuhan Mahkamah Khas untuk membicarakan kes-kes jenayah serius bagi memastikan pesalah menerima hukuman setimpal dalam tempoh masa yang singkat.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata mahkamah khas itu perlu berikutan kes jenayah serius seperti kes bunuh, tembak, rogol secara berkumpulan, rompakan bersenjata yang meningkat dan membimbangkan di negara ini.

"Mahkamah Khas ini perlu menjalankan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah terbabit dalam masa setahun, tidak perlu tangguh dua hingga tiga tahun sehingga saksi 'penat'.

"Sebagai contoh, Hakim Besar Malaya boleh mengeluarkan perintah bagi kes-kes tertentu yang serius, boleh dibicarakan di Mahkamah Khas dan dalam masa setahun, misalnya, kes berkenaan perlu selesai," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Beliau juga menambah, hukuman yang dijatuhkan perlu berat supaya pesalah  tidak lagi mengulangi kesalahannya.

Mohd Noor berkata pada masa ini mahkamah menjatuhkan hukuman dari ringan ke berat, iaitu mengenakan denda, diikuti hukuman penjara dan yang terakhirnya sebatan.

"Jadi, undang-undang negara kita perlu dipinda yang hukuman berat perlu dikenakan dahulu diikuti hukuman ringan. Baru seseorang individu itu tidak berani melakukan sebarang kesalahan, dia akan takut dengan hukuman," katanya.

Menyentuh mengenai sistem penjara di negara ini, Mohd Noor berkata mana-mana penjara di negara ini yang seolah-olah memberi 'kemudahan ala VIP' kepada banduan perlu dihentikan dan banduan perlu diberi layanan yang setimpal dengan kesalahan mereka.

"Sebab ada banduan yang mengambil peluang untuk melakukan jenayah  semata-mata untuk menikmati segala kemudahan yang disediakan Jabatan Penjara.

Dia tak insaf, dia tahu kalau masuk penjara mesti dapat makanan percuma dan boleh tidur nyenyak.

"Tetapi saya tidaklah menyeru Jabatan Penjara untuk bertindak kasar, atau memukul banduan, tetapi Jabatan Penjara perlu menimbulkan keadaan yang tidak selesa kepada banduan sehingga mereka kesal dan tidak lagi mahu masuk penjara.

Misalnya, sel yang banduan ditempatkan itu perlu ada nyamuk, tikus, lipas yang boleh mengganggu pesalah," katanya.

Mohd Noor turut meminta kerajaan agar menyediakan peruntukan kepada orang awam yang menjadi saksi dalam mana-mana kes sebagai ganjaran.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri mempunyai perisikan, yang mereka dibayar jika memberi bukti dalam sesuatu kes. Jadi, apa salah jika kerajaan memberi ganjaran yang sama kepada saksi dalam kes-kes jenayah, supaya sesuatu kes dapat keadilan.

"Setahu saya, saksi hanya diberi tambang pengangkutan, makan dan hotel jika menghadiri sesuatu kes. Tidak rugi jika pihak berkuasa memberi ganjaran kepada mereka," tambahnya.

PKR Sedia Serah Kerusi Kalah Kepada Pribumi, PAS Kata Tak Mengapa Lawan 3 Penjuru

Posted: 31 Aug 2016 10:05 PM PDT

MALAYSIA TODAY


pkr_bersatu_pas


(Malaysian Digest) – PKR menyambut baik hasrat Presiden Parti Pribumi Malaysian (Pribumi) Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin bertanding kerusi pakatan pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, PKR akan memperuntukkan kerusinya kepada Pribumi "asalkan bukan kerusi yang kita sudah menang.".

"Takkanlah kerjasama kita tak berkongsi kerusi. Kalau tidak, kita tak katakan kerjasama. Kita kena rasional.

"Kerusi dia (Pibumi) boleh menang, dia ambil, kita (PKR) boleh menang kita ambil," katanya dipetik portal berita.

Tian Chua berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang ingin berbincang dengan semua parti pembangkang termasuk PKR dan PAS bagi memperuntukkan sebahagian kerusi kepada parti baru berkenaan.

Kata Muhyiddin, satu perbicangan perlu dilakukan untuk mencapai konsensus antara semua parti pembangkang agar tiada pertembungan tiga penjuru yang akan menyebabkan perpecahan undi dan mengakibatkan hasrat menakluk Putrajaya terkubur.

PAS dalam pada itu menegaskan, pertandingan tiga penjuru tidak menjadi masalah tambahan pula ia mempamerkan konsep amalan demokrasi.

Kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, konsep satu lawan satu bukanlah formula terbaik untuk kesejahteraan politik Malaysia.

"Formula ini akan mengenepikan parti-parti kecil atau baru yang sebenarnya mewakili segmen pengundi tertentu, malah formula ini juga tidak menyumbang kepada usaha menyuburkan demokrasi," tegasnya.

Beliau menegaskan PAS akan berbincang dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang membentuk Gagasan Sejahtera dalam menentukan pembahagian kerusi pada PRU14 sebelum berbincang dengan PKR.
"Manakala dengan Bersatu pula, setakat ini tiada pakatan dengan PAS," kata Zuhdi.

MP Langkawi tak bodoh sombong lagi

Posted: 31 Aug 2016 09:59 PM PDT


 
Oleh Subky Latif


TIDAK ada orang politik dilihat paling bodoh dan sombong zaman ini selain daripada Anggota Parlimen BN Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad. Dia hendak menunjukkan kecekapannya mentafsirkan perlembagaan dan sekali gus mentakwil ketepatan Jabatan Kehakiman Amerika tentang yang menggunakan MO1 sebagai dalang di belakang skandal 1MDB.
     
Sekalipun MO1 itu tidak dinamakan tetapi cacing dan ulat bulu pun dapat mengagak orangnya. Tiba-tiba sang jurutera Langkawi mengaitkan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah sebagai orang yang tepat menjadi MO1 itu bukan orang yang disangka oleh cacing dan ulat bulu.
    
Agong langsung tidak ada dalam kamus DOJ Amerika bahkan sikitpun tak sangkut dengan 1MDB, tapi budak Langkawi entah apa kena dengan otaknya menyebut Agong dalam analisisnya. Sama ada huraiannya betul atau karut, menyentuh nama Raja sengaja mencari penyakit.
   
Orang politik tak sentuh langsung Raja selain dari hendak menyatakan kesetiaannya saja. Jika orang politik yang jahat menggunakan nama Raja, tujuannya untuk menyusahkan seteru politiknya dengan mengkononkan orang itu tak suka Raja, derhaka dan lain-lain.
    
MP Langkawi dikenal orang di luar Langkawi. Dengan analisis bodohnya itu dia dikenali oleh sekarang. Dengan statusnya bila seteru politiknya mengecam dan menuntut dia minta maaf kepada raja, dia berkeras menolak kerana padanya dia tidak bersalah. Tidak sekali-kali dia akan minta ampun, sedang adat Melayu zaman berzaman baik salah atau tidak, rakyat melafaz 'Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.' Kemudian barulah sembahkan apa-apa.
  
Ir. Nawawi bagaikan pantang hendak minta maaf. Baginya dia tak bersalah. Kerana dia mengaji ilmu kejuruteraan, agaknya dia tak tahu adat dan pantang larang antara rakyat dan Rajanya. Orang macam ini patutnya terima kursus dari BTN dulu sebelum jadi calon Umno. Mungkin ini kelemahan Dr. Rais Yatim sebagai penasihat adat dan budaya Melayu, gagal menasihat MP Umno tentang adat istiadat Melayu.
   
Kerana dia dirasakan jahil dalam adat resam Melayu itu, keengganannya minta maaf itu dirasakan dia seorang MP yang bodoh sombong. Sekalian Raja itu sejahat Almarhum Mangkat Dijulang atau macam Raja Bersiung menjadikan rakyat bahan gulai kari santapan hariannya, orang Melayu tetap berbahasa terhadap baginda Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.
   
Salah cakap rakyat dikira oleh setengah sebagai hamba, boleh dikira tidak beradab dan pantang orang Melayu derhaka. Demikian cara berfikir orang Melayu mengikut kaedah Hang Tuah.
  
Mungkin ia diwarisi sejak zaman jahiliyah betapa Raja itu ibarat tuhan seperti yang Namrud dan Firaun yang menuhankan diri sendiri, tetapi konsep ketuhanan itu ialah Tuhan iaitu Allah adalah Maha Sempurna dari sebarang kelemahan. Yang sentiasa bersalah ialah hamba sebagai makhluk.
   
Maka hamba mesti mohon ampun setiap masa selagi belum mati. Nabi SAW yang maksum beristighfar 100 kali sehari sekurang-kurangnya.
  
Sekalipun taat kepada Raja itu tidak sama taat kepada Tuhan, tetapi orang Melayu setelah menerima Islam ada transformasi ketaatan itu, minta maaf pada Raja adalah adat bukan ibadat.
   
Baguslah MP Nawawi minta maaf tidak sekadar beribu-ribu ampun tetapi berjuta ampun. Bila dia mengubah kesombongannya, tidaklah dikira bodoh sombong lagi, bahkan normal biasa.
   
Memandangkan songlap dana 1MDB itu berbilon, maka permohonan ampunnya tidak sekadar berjuta-juta ampun. Sepatutnya Ampun Tuanku berbilion-bilon ampun, sembah patik harap diampun.

Rakyat Malaysia masih tidak merdeka ?

Posted: 31 Aug 2016 09:51 PM PDT


 
Oleh Rafizi Ramli


Ada orang tanya kenapa saya tidak ucap "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan" seperi ramai wakil rakyat dan ahli politik yang lain?

Bagi saya, rakyat Malaysia masih tidak merdeka dan masih dibelenggu dengan masalah-masalah yang sama sebelum 1957 cuma dalam konteks dan "quantum" yang berbeza.

Malah rakyat Malaysia yang muda kini berdepan dengan kemungkinan besar diperhambakan dengan bebanan hutang negara di masa hadapan.
Contoh-contoh masalah yang masih membelenggu rakyat Malaysia sebelum 1957 sehingga kini:

1) masih ramai yang "kais pagi makan pagi, kasi petang bayar hutang yang makan pagi". Yang berbeza hanya relatif

2) masih ramai yang terpaksa bergantung makan gaji kerana peluang berniaga dan kemudahan modal terlalu sukar

3) masih banyak batasan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti menyebabkan berlaku ketidakseimbangan di antara yang kaya dan miskin, Melayu dan bukan Melayu

4) masih dihantui sentimen ragu meragui di antara kaum sehingga rakyat boleh dimanipulasi dengan melaga-lagakan kaum-kaum dan kepercayaan sedangkan golongan bangsawan mesra tanpa mengira kaum

5) masih pekat perasaan feudal dan menunggu golongan bangsawan membela rakyat sedangkan banyak sengsara bermula dari golongan bangsawan

6) masih menggunakan sebahagian besar sistem pemerintahan yang dicipta dari pendekatan dan pemikiran penjajah

7) masih menghukum insan-insan yang berbeza pendapat dengan pemerintah dan bangsawan walaupun mereka hanya menyuarakan keluhan rakyat terbanyak

8) masih lemas dengan "yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin" kerana budaya "aku makan bila dapat peluang" masih bermaharajalela

9) masih takut bersuara, masih menunggu orang lain mulakan langkah untuk mengubah keadaan, masih lebih gemar dengan sindrom "bersimpati dan pasrah dengan nasib badan" lalu menjadi kaku walaupun diganyang dan banyak lagi.

Merdeka bermula di hati, di dalam jiwa.

Merdeka tidak diukur dari tinggi bangunan, jumlah wang atau jawatan yang kita pangku.

Merdeka itu cerminan tingkah laku kita kerana kita hanya hamba kepada Allah SWT, bukan benda-benda lain di dunia ini.

Saya rasa saya sudah lama merdeka sejak remaja lagi kerana saya memang tidak makan saman dari dulu.
Orang tanya kenapa saya selalu tidak makan saman sejak dari bangku sekolah.

Saya jawab: kalau kita yakin tindakan kita itu betul di mata Allah SWT dan diberikan keredhaan Allah SWT kerana tindakan kita itu, maka apa yang perlu dibimbangi dengan perkara yang ditentukan manusia di dunia (cerca mereka, hukuman mereka, denda mereka dan lain-lain)? Bukankah jika kita yakin tindakan kita itu ikhlas mencari keredhaan Allah, maka Allah akan melindungi kita di dunia dan akhirat? Sebaik-baik pelindung adalah Allah SWT.

Bagi saya itu erti kemerdekaan: bebas dari penghambaan selain dari Allah SWT. Maka kita bebas melakukan tindakan yang betul tanpa takut kepada apa-apa.

Anda bagaimana? Jika setuju bolehlah share.

MENJELANG SEBULAN PERMOHONAN, APA AGAKNYA NASIB BERSATU?

Posted: 31 Aug 2016 07:05 PM PDT

shahbudindotcom


Pada 8 September ini, genap sebulan permohonan pendaftaran parti BERSATU dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan. Pendaftaran BERSATU dikemukakan sendiri oleh Presiden penaja, Muhyiddin Yassin bersama beberapa ahli jawatankuasanya pada 9 Ogos lalu.

Jika mengikut kata Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri sebelum ini, sebuah jawatankuasa yang berperanan mengkaji permohonan itu mempunyai tempoh selama 30 hari untuk memberikan cadangan kepadanya berkaitan perkara itu.

Kata Zahid, beliau akan bertindak profesional sama ada meluluskan atau menolak penubuhan BERSATU berdasarkan cadangan yang dikemukakan kepadanya.

Ini bermakna, jika 30 hari diambil oleh jawatankuasa itu untuk membuat penilaian dan seterusnya mengusulkan cadangan kepada menteri, tempoh seminggu daripada sekarang adalah detik masa yang mendebarkan bagi mereka yang menunjangi BERSATU.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin UMNO jelas berbelah bagi mengenai kewujudan parti BERSATU ini. Ada yang setuju dan ada juga yang melihatnya bakal memecahbelahkan rakyat. Yang tidak setuju dengan nama BERSATU pun turut ada.

Ada pemimpin yang melarang ahli UMNO mempromosi parti BERSATU, tetapi ada juga pemimpin yang meminta ahli UMNO yang pro BERSATU agar "berambus" dengan segera.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Shahrir Samad secara terbuka memberi amaran agar jangan memandang ringan kerana menyifatkan BERSATU mampu menjadi ancaman kepada UMNO.

Najib Razak, sebagaimana yang terpancar melalui beberapa ucapannya sejak kebelakangan ini terlihat tidak berapa gembira dengan kewujudan BERSATU. 

Walaupun bercakap setelah memecat dan menyingkir pencabarnya, ungkapan beliau seperti, "kalau tak setuju dengan saya, bertandinglah melawan saya dalam UMNO",  "kenapa nak tubuh parti baru?" dan "jangan kita sanggup runtuhkan UMNO" adalah suatu manifestasi kebimbangan yang begitu ketara terhadap kewujudan BERSATU.

Dalam situasi ini, apakah BERSATU akan diberikan kelulusan dengan semudahnya?

Atau adakah ia akan ditolak kerana ada syarat-syaratnya yang tidak dipatuhi seperti penggunaan nama BERSATU itu sendiri?

Atau mungkinkah kelulusan BERSATU  bakal dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan dan kemudian tergantung begitu saja sehingga tarikh PRU 14 diadakan?


Bakal pengantin maut kemalangan

Posted: 31 Aug 2016 06:53 PM PDT


Bakal pengantin maut kemalangan
Kenderaan yang dinaiki mangsa terbabas.


GUA MUSANG - Hasrat untuk mendirikan rumah tangga tidak tercapai apabila seorang lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 56 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di sini.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 4.45 pagi tadi dipercayai berpunca dari kenderaan yang dinaiki mangsa, Muhamad Tarmizi Zakaria, 24, beralamat di Felda Chiku 1, di sini, bersama dua rakan, hilang kawalan lalu terbabas.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil siasatan awal tempat kejadian, kemalangan berlaku selepas kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan kemudian terbabas ke kiri jalan dan berpusing beberapa kali lalu masuk ke dalam gaung.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi, Muhamad Nizuf Fatah Mat Rosli, 22 dan Muhammad Al Hafis Yasin, 24, di alamat yang sama, di hantar ke Hospital Kuala Krai, kerana mengalami kecederaan parah.

"Bagaimanapun, bedah siasat masih belum dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Wan Rahim umum Husam 'de facto leader' Amanah Kelantan

Posted: 31 Aug 2016 06:40 PM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Husam Musa dilantik pemimpin 'de facto' Amanah Kelantan. Husam Musa dilantik pemimpin 'de facto' Amanah Kelantan.


Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengumumkan Datuk Husam Musa secara automatik menjadi "de facto leader" untuk Amanah negeri Kelantan walaupun secara rasmi beliau akan kekal pada jawatannya sekarang.

Datuk Husam yang mengisytiharkan diri menyertai Amanah di Cyberjaya malam tadi belum ditentukan sebarang jawatan dalam parti barunya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata satu perbincangan khas akan dibuat oleh jawatankuasa tertinggi parti dan Datuk Husam sendiri mengenai peranannya dalam Amanah.

Di Kelantan, kata Wan Rahim, kepimpinan negeri hanya menunggu beliau buat pengumuman untuk diserahkan kepimpinan kepada beliau.

"Bagaimanapun bagi melicinkan perjalanan parti yang telah kita buat perlatikan melalui kongres tahunan, saya secara 'de jure' akan terus memegang jawatan hingga tamat seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

"In sya Allah ambo akan kekal menjawat pengerusi Amanah negeri Kelantan, tapi Datuk Husam akan bertindak selaku de facto leader of Kelantan Amanah ," katanya dalam status facebook terbarunya petang ini.

Malam tadi Datuk Husam Musa mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Amanah Negara di Cyberjaya.

"Malam ini saya serahkan perjuangan saya bersama tuan-tuan. Semoga saudara sudi terima saya. Isteri, anak, keluarga termasuk ibu mertua dan jentera saya.. saya serahkan untuk perjuangan ini," kata Husam ketika membuat pengumuman di majlis sambutan di ambang merdeka anjuran Amanah.

Comments (0)