Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:31 PG | Posted in

sumber :-

.


RUU 335 Pas perlu dengar pandangan Amanah

Posted: 06 Sep 2016 03:52 AM PDT

SUDAH SUBUH

Khalid Samad
Sebagai seorang Islam sesiapa juga akan menyokong apa-apa jua usaha untuk memartabat dan mendaulatkan agama samawi atau agama dari langit itu. Maksud agama dari langit ialah agama berasaskan wahyu. Itulah tanggungjawab dan amanah kita yang menerima Islam sebagai ad-den jalan hidup dan penghidupan - way of life. Antara fungsi dan tujuan Allah menzahirkan kita pula ialah untuk merealisasikan segala hukum dan peraturan-peraturan-Nya.

Hanya dengan menurut dan berpegang kepada peraturan-Nya makhluk dijamin selamat dunia dan akhirat. Islam Rahmatan lil Alamin.

Demikian apabila parti agama (Pas) cuba hendak melaksanakan hukum Hudud, hukum yang disebut dalam al-Quran dan ditafsirkan oleh ahli Hadith, kita sebagai orang Islam tidak perlu ragu-ragu tentang tujuannya dan wajib menyokong seratus peratus. Sokongan itu sendiri memberi gambaran sejauh mana tahap keimanan kita.

Bahkan secara umumnya yang menolaknya boleh dianggap sebagai pendeharka kepada agama dan Allah. Tetapi jika penolakan itu kerana maslahat lebih penting, harus.


Kewajaran (kewajiban) menyokong itu bukan sahaja orang Melayu, tetapi mereka dari kaum dan bangsa lain yang beragama Islam juga. Pendeknya setiap individu muslim. Apa juga usaha mendaulatkan Islam di negara ini ia bukan terpakai kepada umat Melayu semata-mata, tetapi terpakai kepada semua umat yang bernaung di sini. Ini hakikat keindahan ajaran Islam yang syumul itu.

Persoalannya  kenapa berlaku kerumitan dalam hal ini? Apabila Pas mahu mendaulatkan Islam dengan cuba melaksanakan hukum Hudud, timbul polemik berpanjangan sehingga ada kalanya menggambarkan kontradiksi parah antara kumpulan Islam dengan kumpulan Islam lain. Paling jelas di antara badan siasah yang dipanggungi oleh orang-orang Islam sendiri.

Kalau pertentangan itu berlaku dengan pemain-pemain politik tidak beragama Islam ia tidak menghairankan. Itu adalah fitrah orang kafir membenci orang Islam? Selagi mereka tidak memahami dan diberi penjelasan kesyumulan (ideal) Islam mereka akan menentangnya. Apa lagi kalau mereka juga ada agenda  untuk mengembang agama lain. Lebih parah lagi niat dan usaha itu dieksploitasi demi kepentingan peribadi dan mendapat pengaruh (kuasa politik).

Orang bukan Islam tidak bersetuju dengan Islam adalah munasabah. Ia tidak perlu dimusykilkan. Penentangan ini berlaku jutaan tahun lalu, bukan sahaja semasa Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi bahkan di zaman Adam a.s lagi. Tetapi yang pelik dan anihnya orang Islam sendiri menunjukkan sikap prejudis dan menentang cita-cita yang sepatutnya "dipunggaki" bersama itu.

Misalnya Umno sebagai parti Melayu tidak menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan apa-apa kepentingan yang dibawa oleh Islam secara lebih bermakna lagi. Umno lebih mempamerkan kulit Islam. Sebaliknya Pas yang bersungguh dan "bercongik" ekor macam murai gila hendakkan kepada Islam. Paling malang apabila ada tuduhan mengatakan Pas sengaja menunjukkan kesungguhan kerana ingin jadikan modal politik. Ini persepsi merugikan kepada Islam itu sendiri kerana atas apa tujuan dan motifnya asal ia demi Islam kena sokong.

Mengenai tanggapan ini saya tidak setuju, kerana Pas adalah organ politik maka semestinya ia tetap berpolitik dalam apa jua perkara dan keadaan. Politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Ia macam "nanggal" dengan "igu". Ia satu tindakan yang wajar asalkan ianya tepat dan berfatanah. Makanya tidak salah kalau Pas dituduh mempunyai agenda politik dengan projek itu sebab ia sebuah badan siasah. Makanya yang ditimbulkan itu semestinya mendapat persetujuan dan perlu disokong oleh umah Islam.

Bagaimana pun mengenai hasrat dan cita-cita Pas untuk melaksanakan Hudud, sejak awal-awal lagi saya menyatakan ketidakyakinan (sangsi) ia akan berjaya. Faktor utamanya kenapa saya berpandangan begitu, kerana kerencaman masyarakat di negara ini. Kedua kerana Pas itu adalah badan politik dimana apabila ia menggerakkan, maka tuduhan atas motif politik akan berlaku.

Selebihnya kegagalan itu disebabkan oleh Perlembagaan yang diterima pakai sejak Merdeka dulu.

Apabila hasrat untuk melaksanakan Hudud itu memerlukan pindaan Perlembagaan, di sinilah Pas akan berhadapan dengan kerumitan. Orang bukan Islam atau Melayu yang tidak faham juga akan menentangnya. Inilah masalah dan persoalan yang perlu dijawab oleh Pas sebelum cuba merealisasikannya. Sebab itu ada pendapat mengatakan sebelum Hudud hendak dilaksanakan, orang Islam kena diberi kefahaman mendalam, apa lagi yang bukan Islam. Pas perlu menyemak semula sejauh atau selama mana mereka telah memberi kefahaman itu?

Walaupun Hudud terpisah dan berlaku kepada orang Islam sahaja, tetapi dalam konteks kenegaraan, ia tentu akan dipersoalkan oleh orang bukan Islam kerana mereka tidak faham dan jahil mengenainya. Uslub dakwah yang diambil oleh Pas sebagai gagasan perjuangannya adalah untuk memberi faham mengenai hal-hal ini patut diguna seoptimanya.

Pun begitu meski Perlembagaan menjadi halangan ia bukan masalah utama kerana Perlembagaan boleh dipinda sebab ia bukan sesuatu yang rigid seperti hukum Allah. Sekiranya wujud persepakatan sesama Islam dan ada kefahaman di kalangan wakil rakyat bukan Islam, Perlembagaan boleh dipinda. Persepakatan dan kekuatan diperlukan untuk meminda Perlembagaan kerana menurut sistem parlimen kita sesuatu berkaitan pindaan Perlembagaan boleh dibuat dengan persetujuan 2/3 ahli Dewan Rakyat. Di sinilah Pas harus bijasana memainkan peranannya bagaimana untuk memastikan semua wakil rakyat menyokongnya.

Pas boleh sahaja terus ego dan sombong dengan kesyumulan perjuangannya sekiranya parti itu mencukupi korum untuk menguasai parlimen.

Kini cerita Hudud yang hendak ditegakkan Pas sudah mencair, kerana ia mulai sedar beberapa halangan yang bakal timbul dan usahanya sangat rumit. Umno yang bersungguh menyokong juga berdolak dalih dengan bingkai sokongannya. Apabila Umno melepaskan kepada Pas dan tidak mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri maka jelas ianya tidak bersungguh. Jika Umno ikhlas dan serius bil persendirian (RUU) untuk meminda Akta 335 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah ditangani sendiri oleh parti nasionalis itu.Setakat ini wakil Umno hanya menyokong pengemukaan notis RUU itu yang dibawa oleh wakil Pas dari Marang.

Kenapa Umno tidak mengambil usaha itu? Jawabnya kerana parti itu lebih arif mengenai masalah dan halangan-halangan melaksanakan hudud ini berbanding dengan Pas dan juga implikasi yang bakal dihadapi. Umno lebih menjaga hubungan politiknya dengan rakan-rakan komponen bukan Islam daripada menjaga dan berusaha mendaulatkan Islam dari aspek Hudud itu. Di sinilah realistik dan rasionalnya Umno berbanding dengan Pas dalam berpolitik.

Kerana mula menyedari kerumitan dan halangan itu, hari ini Pas tidak lagi membawa cerita Hudud secara dominan dan vokal seperti dahulu lagi. Pas telah mengubah kepada terma baharu yakitu pemindaan Akta 335, bagi memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Apakah orang di luar sana tidak faham dengan perubahan terma itu? Bukankah ia tektik cuba menggula-gulakan bebudak.

 Jadi Pas kini sedar untuk melaksanakan Hudud bukan semudah untuk mendirikan solat Hajat di lapangan terbuka. Ia berkaitan dengan beberapa perkara. Sejajar itu maka Pas mula mengubah dari Hudud kepada pindaan Akta 355. Bermakna sejak berpuluh tahun lalu Pas ibarat orang yang hendak memasuki ke sebuah istana indah tetapi tidak memiliki anak kunci, jauh sekali menemui pintunya.

Dalam langkah Pas hendak pinda Akta 355 itu, ia juga bukan mudah. Akta itu menjadi pintu kepada Pas untuk memasuki ke istana Islam lebih jauh. Orang bukan Islam sudah mengetahuinya dan mereka terus menghalang. Kontroversi mengenai hasrat Pas yang ditimbulkan oleh bukan Islam itu adalah usaha berterusan golongan anti Islam menentang Islam. Ini cabaran Pas yang perlu diatasi dengan bijaksana.

Walaupun Pas sudah ubah pendekatan dan tektiknya dari Hudud secara langsung kepada pindaan Akta 335, namun ia masih berhadapan dengan masalah. Masih ada beberapa kekeliruan dan persoalan tentangnnya yang perlu dijelaskan. Disebabkan kealpaan dan kurang cemat Pas inilah maka RUU itu tidak mudah untuk disokong, bukan sahaja dari wakil bukan Islam tetapi dari wakil Islam juga.

Apa yang diperkatakan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) menerusi Pengarah Komunikasinya Khalid Samad benar, bahawa Pas amnya dan wakil Marang yang hendak bawa RUU itu perlu memperjelaskan dengan sejelas-jelasnya akan tujuan pindaan itu dan apakah signifikannya kepada kepentingan ke arah untuk laksankan Hudud. Ibarat hendak tumbangkan lembu korban perlu dipersiapan tali temali dan pisau harus tajam untuk menyembelihkannya. Orang, pemegang juga kena cukup kalau tidak lembu akan terlepas begitu sahaja.

Tindakan atau kritikan Amanah itu bukan bermakna ia menolak Hudud atau RUU berkenaan tetapi demi mengelakkan timbul salah faham yang bakal meletakkan usaha mendaulatkan Islam di negara ini lebih rumit dan susah lagi. Inilah keterbukaan dan profesionali AMANAH.

Ada beberapa perkara diungkit AMANAH mengenai kekeliruan ataupun kesamaran RUU berkenaan.

Antaranya mengenai penggantian keseluruhan seksyen 2, dengan seksyen 2 dan 2A, dimana penggantian seksyen ini tidak ada had atau ketetapan hukuman di bawah seksyen ini, dan ia terbuka dengan menyebut bentuk hukuman itu "yang dibenarkan oleh undang-undang syariah". Disebabkan kelonggaran itu menyebabkan seksyen berkenaan kata Khalid ianya seakan "blank cheque".

Perincian kepada pindaan seksyen itu juga tidak ada di sinilah menyebabkan orang beranggapan ia ada agenda tersendiri. Lebih busuk lagi ia dianggap sebagai agenda atau modal politik Pas, walhal hakikatnya pelaksanaan itu suatu tanggungjawab.

Hari ini kenyataan AMANAH itu menunjukkan parti itu sedia menyokong RUU berkenaan tetapi dengan syarat Pas atau wakil Marang menjelaskan beberapa kekeliruan yang disebut itu.

Adalah wajar dan molek kalau Pas menerima pandangan AMANAH itu. Adakan perbincang dengan penuh hikmah dan sesudah ianya lumat baharulah bawa RUU berkenaan. Tidak lewat bagi Pas untuk membawa RUU itu. Umpama orang mengejar puncak gunung, usah bimbang hilang kabus nampaklah ia. Apa yang penting Pas perlu dilihat profesional, toleran dan paling penting sekali tidak terhakis sokongan rakyat dan kepercayaan umum Pas sebagai parti agama.


Sebaik-baik perbincangan dan penjelasan mengenai RUU itu, ajaklah sama AMANAH dan DAP. Mungkin KeADILan sudah memahami kepentingan itu. Pas kena ingat untuk melakukan apa-apa perubahan dalam Dewan mesti ia mendapat sokongan 2/3 apabila ia berkaitan dengan Perlembagaan.

Pindaan Akta 335 itu jelas ada kaitan dengan Perlembagaan. Kalau Pas berjaya membawanya atas kebenaran speaker tetapi bila mengundi ia ditolak menyebabkan kita hanya boleh tabik sebelah tangan sahaja kepada Pas, bukan dua belah. Tabik itu pun dengan tangan kiri sahaja. Walahu'alam. [wm.kl 3:45 pm 08/09/176]

Comments (0)