Followers

Nuffnang

"BERANI KERANA BENAR!"

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 12:04 PTG | Posted in

sumber :-

"BERANI KERANA BENAR!"


Budak mudah terkena alahan

Posted: 24 Sep 2016 05:34 PM PDT

Oleh Zaitie Satibi

Alahan berlaku apabila tubuh bertindak balas secara keterlaluan terhadap bahan atau pencetus yang biasanya tidak berbahaya bagi kebanyakan orang. Pencetus alahan juga dipanggil alergen dan setiap orang alah pada bahan yang membangkitkan reaksi berlainan.

Dianggarkan suku daripada populasi penduduk menderita alahan dan kanak-kanak mewakili separuh daripada keseluruhan penghidap alahan. Secara saintifiknya, alahan disebabkan kesilapan identiti apabila alergen yang masuk ke dalam badan dan ia tersilap dikenal pasti oleh sistem imun sebagai bahan asing atau bahan yang berpotensi membahayakan.

Sistem imun kemudian mengumpul tindakan untuk menyerang alergen terbabit dan kesan tindakan imun itu menyebabkan gejala alahan.

Menurut Perunding Pakar Kanak-kanak dan Neonatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Lim Wei Leng, ada pelbagai jenis gejala alahan dan kebanyakannya tidak khusus dan boleh menyerupai gejala penyakit lain yang bukan alahan.

"Gejala alahan yang biasa dalam kalangan kanak-kanak seperti ruam kulit, gegata, bersin, hidung berair, batuk, gatal-gatal mata, sesak nafas, semput, muntah, cirit-birit dan sakit abdomen.

"Tahap gejala alahan ini boleh jadi ringan atau serius termasuk berlaku serta-merta atau kronik yang terjadi berpanjangan. Paling buruk adalah lemas kerana tidak dapat bernafas atau anafilaksis iaitu tindak balas alahan paling serius dan boleh membawa maut jika lambat mendapat rawatan," katanya.

Katanya, banyak bahan yang mengakibatkan alahan bagi setiap orang dan alergen yang kerap membang­kitkan alahan adalah makanan seperti produk tenusu, telur, kacang dan makanan laut.

"Persekitaran di dalam rumah juga menyumbang bahan alergen seperti bulu haiwan peliharaan, hama dan kulat. Malah, di luar kawasan rumah juga kita terdedah kepada gigitan serangga dan debunga.

"Ubatan juga boleh menyebabkan alahan termasuk ubat preskripsi daripada doktor, ubat yang dibeli di kaunter dan herba. Selain itu, asap rokok, minyak wangi, bahan kimia kegunaan rumah seperti sabun dan pencuci juga boleh menyebabkan alahan," katanya.

Dr Lim berkata, disebabkan gejala alahan muncul dengan pelbagai rupa, adalah mustahak untuk ibu bapa supaya tidak tersilap mendiagnosis anak mereka dan melakukan rawatan sendiri tanpa nasihat doktor.

"Jika anak mengalami mana-mana gejala atau mengesyaki mereka alah pada sesuatu bahan, bawa anak anda menemui doktor atau pakar alahan. Dalam kebanyakan kes, ada ubatan yang berkesan untuk menguruskan gejala alahan dan memberikan kelegaan kepada anak.

"Bagi mengenal pasti bahan yang menyebabkan alahan, kaedah tertentu seperti ujian pada kulit atau darah digunakan walaupun dalam segelintir kes punca alahan dapat diketahui dengan hanya melihat gejala yang timbul.

"Kadangkala lebih daripada satu jenis alergen dapat dikesan dalam ujian berkenaan dan menjauhkan kanak-kanak daripada punca alahan boleh menghilangkan gejala," katanya.

Beliau berkata, bagi kes yang rumit atau mengancam nyawa, ia memerlukan jadual ketat rawatan yang khusus bagi mencegah episod alahan pada masa depan.

"Jika anak mempunyai alahan tertentu, adalah penting memaklumkan masalah itu kepada pihak sekolah, pengasuh dan perawat supaya berjaga-jaga dengan alahan terbabit untuk tindakan pencegahan dan melakukan rawatan segera jika terdedah dengan alergen," katanya.

Comments (0)