Followers

Nuffnang

"BERANI KERANA BENAR!"

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:51 PG | Posted in

sumber :-

"BERANI KERANA BENAR!"


Virus Zika ancam dunia

Posted: 04 Sep 2016 11:23 PM PDT

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH 

Sukan Olimpik 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil sudah pun melabuhkan tirai pada 21 Ogos lalu. Negara tersebut bukan sahaja meninggalkan memori manis buat atlet dan peminat sukan dunia, malah dikaitkan dengan punca penyebaran virus Zika yang pastinya sesuatu yang membimbangkan.

Malaysia sebelum ini turut meminta garis panduan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan WHO berhubung isu virus Zika.

Sementara itu, WHO ketika itu menolak seruan agar Sukan Olimpik Rio dipindahkan atau ditangguhkan berhubung jangkitan Zika.

Menurut pertubuhan itu, cadangan ini "tidak akan mengubah dengan banyaknya" penyebaran virus itu, yang dikaitkan dengan kecacatan serius terhadap bayi yang baru dilahirkan.

Sebelum berlangsungnya sukan berprestij dunia itu, 150 saintis, doktor dan pejuang etika perubatan antarabangsa menulis sepucuk surat terbuka kepada WHO untuk meminta sukan itu dipindahkan dari Rio de Janeiro atau ditangguhkan penganjurannya akibat virus tersebut.


Antara Februari dan April 2016, Kementerian Kesihatan Brazil merekodkan kebarangkalian 91,387 kes berkaitan virus Zika, manakala jumlah bayi yang dilahirkan dengan kecacatan berkaitan virus Zika ialah 4,908 pada April.

Ketika Sukan Olimpik berlangsung, penduduk dunia seolah-oleh melupakan Zika sehinggalah virus ini tiba-tiba sahaja menular di AsiaTenggara sebaik-baik sahaja sukan tersebut tamat.

Malangnya, ancaman Zika kini sudah memasuki Malaysia, dengan seorang wanita dari Klang yang baru pulang dari Singapura disahkan positif sebagai kes pertama di negara ini.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura, didapati negatif.

Sebelum kes ini lagi, kebimbangan jelas semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia ekoran penularan kes Zika di negara-negara jiran.

Di Singapura, seorang wanita hamil antara 38 kes Zika terkini yang dikesan di sana (empat bukan daripada kelompok yang sedia ada), menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 189 kes (3 September) di Republik itu. Kerajaan negeri Johor sebelum ini telah pun mengambil langkah mempertingkatkan kawalan di enam pintu masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Thailand pula, jumlah kes Zika semakin meningkat dengan 97 orang didiagnos dengan penyakit itu dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Dalam pada itu, WHO sebelum ini memberi amaran virus Zika, yang disebabkan gigitan nyamuk mungkin tersebar secara meluas di seluruh benua Amerika.

Virus itu dikesan kali pertama pada spesies monyet sekitar 1947.

Ia tersebar secara besar-besaran di Amerika apabila jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun lalu.

Setakat ini boleh dikatakan hampir tidak ada vaksin khusus untuk menangai wabak penyakit bawaan nyamuk. Kalau adapun, kesan vaksinnya hanya untuk tempoh masa yang tertentu.

Virus zika yang disebabkan oleh nyamuk Aedes merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean telah menimbulkan kebimbangan malah ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil di Brazil dan berkemungkinan turut menyebabkan beberapa isu kesihatan yang lain.

Memetik laporan AP, virus Zika (ZEE-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi virus itu ditemui.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan nyamuk daripada jenis yang sama yang menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning.

Tersebar melalui seks

Jika sebelum ini, Zika dilaporkan tersebar menerusi gigitan nyamuk Aedes, namun kini virus ini juga boleh disebarkan melalui hubungan seks.

Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia selama 21 hari sehingga enam bulan.
Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka.

Untuk lelaki, virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan. Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.

Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi. Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.

Tiada ubat khusus

Pakar berpendapat, orang yang dijangkiti virus Zika ini tidak jatuh sakit. Biasanya mereka hanya mengalami gejala ringgan seperti deman, ruam, sakit sendi dan mata merah yang hanya untuk tidak kurang dari seminggu.
Tiada ubat yang khusus dan tiada vaksin yang dibangunkan untuk itu yang berlaku untuk beberapa penyakit tropika lain yang menyebabkan wabak berkala.

Di Brazil, ada bukti yang mengaitkan virus Zika yang menjangkiti wanita hamil akan menyebabkan kecacatan kelahiran yang dipanggil microcephaly di mana kepala bayi yang baru lahir adalah lebih kecil daripada biasa dan otak bayi mungkin tidak berkembang dengan baik.

Menurut Pakar  Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M.Singaraveloo, orang ramai boleh melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga dan memakai baju lengan panjang serta seluar terutama pada waktu siang. Apabila nyamuk cenderung untuk menjadi yang paling aktif.

Tambahnya, menghapuskan tempat pembiakan dan mengawal populasi nyamuk boleh membantu mencegah penyebaran virus.

"Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika. Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

"Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka," katanya.
Virus Zika juga boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks. Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

Mengikut garis panduan WHO, sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua  bulan atau lapan minggu. Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr. Sharifah Halimah Jaafar menolak saranan yang meminta pasangan melupakan niat untuk memiliki zurait disebabkan Zika.

Katanya, kita tidak tahu sama ada Zika akan kekal sebagai sebahagian daripada penyakit berjangkit seperti demam denggi.

"Kita perlu bersedia kerana Zika mungkin menjadi salah satu vektor penyakit untuk jangka masa panjang,"katanya.

Pedoman untuk wanita yang bekerja

Posted: 04 Sep 2016 11:20 PM PDT

Oleh Dr. Muhaya Muhamad

Siapa pun kita baik lelaki mahupun perempuan mesti ada pekerjaan yang tetap untuk mendapatkan pendapatan atau wang bagi menyara kehidupan kita. Demi menampung pendapatan keluarga, lazimnya kita keluar pagi bekerja dan petang baru kembali ke rumah, bahkan ada yang menjelang malam baru berada di rumah bertemu keluarga setelah seharian bekerja.

Oleh sebab itu perlu sebagai seorang wanita/isteri yang bekerja menjaga maruah diri, maruah ibu bapa, dan maruah suami, semoga kerja kita itu mendapat reda Allah. Jadikan tempat kerja kita itu sebagai ladang pahala: Kerja sebagai ibadah dan bekerja kerana Allah.

Bagi wanita yang bekerja untuk menjadikan kerja itu sebagai ladang pahala kita amalkan beberapa perkara berikut. Pertama, menjaga hubungan dengan Allah. Ingat: kalau kita tidak ada masa dengan Allah, Allah pun tidak ada masa untuk kita, maka kita tidak akan berada dalam pelindungan-Nya dan Rahmat-Nya. Oleh sebab itu yang paling penting, jaga akidah kerana akidah menentukan emosi dan menentukan tindakan.

Jadikan Allah tujuan utama hidup kita dan mencari reda Allah adalah hala tuju kita. Jaga akidah, ibadah dan akhlak walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada. Tentukan solat tepat pada waktu dan menutup aurat.

Kedua, menjaga maruah dan amanah keluarga. Kalau kita seorang anak jagalah maruah ibu bapa dan kalau kita seorang isteri jagalah maruah suami. Wanita keluar bekerja dengan izin ibu bapa dan suami, jadi sangat penting wanita menjaga batas pergaulan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja. Jangan terlalu rapat atau sentiasa berdua-dua dengan pekerja lelaki kalau bukan kerana urusan kerja, bimbang timbul fitnah. Jangan mudah berkongsi kisah peribadi atau keluarga dengan rakan sekerja lelaki kita, kerana akan menimbulkan rasa simpati dan kasihan yang akhirnya mungkin membibitkan rasa kasih sayang di luar batasan.

Ketiga, menjaga hubungan sesama manusia: Walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada dan dengan siapa pun kita bekerjasama, kita tetap sama dari segi sikap, tingkah laku, keimanan, dan hati budi.

Contohnya, kadang-kadang kita seorang pekerja yang baik di pejabat, tetapi di rumah kita seorang isteri yang kasar dengan suami, garang dengan anak, sombong dengan ibu dan bapa mentua atau kita seorang ibu mentua yang mengongkong. Atau sebaliknya, di rumah bukan main lembut kita sebagai isteri dengan suami, tetapi di tempat kerja garang, sombong dan tunjuk kuasa.

Keempat, jadikan tempat kerja sebagai ladang pahala: Semua pekerjaan dan perbuatan bermula dengan niat. Niatkan bekerja sebagai ibadah tempat kita mencari rezeki dan pahala. Bagi wanita yang sudah berkahwin dan mendapat redha suami untuk bekerja, gunakanlah peluang yang suami berikan kepada kita itu, sebagai laluan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan keluarga. Kalau isteri berjawatan tinggi lebih daripada suami, tinggalkan jawatan itu apabila balik ke rumah. Hormatkan suami dan sentiasa mengasihi dan menghargainya, kerana syurga seorang isteri atas reda suaminya.

Keyakinan diri

Kelima, keyakinan diri: Orang yang tidak yakin kepada dirinya bermakna dia tidak yakin kepada Allah.
Sebaliknya orang yang berkeyakinan diri dia percaya bahawa tidak akan berlaku musibah ke atasnya kecuali dengan ketentuan Allah, dan dia hanya berlindung dan bertawakal kepada Allah, dia tidak akan bertuhankan/mengagungkan/mendewa-dewakan manusia. Sebagai pekerja wanita mesti mempunyai keyakinan diri yang tinggi walaupun kita berada dalam kalangan pekerja lelaki yang tentunya dari segi fizikal kelihatan mereka lebih hebat. Amalkan sikap kerjasama dan elakkan persaingan yang boleh menimbulkan perasaan negatif, kecuali persaingan positif yang boleh membangunkan semangat yang positif.

Keenam, jangan berasa diri penting: Sebagai pekerja jauhi sifat keegoan. Kita seorang wanita yang secara fitrahnya mempunyai sifat yang lemah lembut dan sopan apabila berkata-kata. Kalau kita wanita yang berjawatan tinggi, sebagai ketua atau majikan jangan berasa diri kita hebat dan besar, kerana kita berasakan rezeki pekerja bawahan kita terletak dalam kekuasaan kita. Ingat bahawa sebenarnya rezeki seseorang itu dalam genggaman Allah, hanya melalui kita.

Ketujuh, jangan mengharapkan penghargaan orang: Apabila kita melakukan kerja sebagai pekerja jangan mengharapkan balasan, seperti kenaikan pangkat, pujian dan penghargaan. Lakukan kerja dengan ikhlas kerana Allah dan kerja sebagai ibadah.

Kelapan, memudahkan jangan menyusahkan urusan: Bekerjalah dengan kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Kasih sayang membuatkan kita bekerja dengan sepenuh hati. Dan dengan menghormati kedudukan masing-masing, sama ada kita pekerja bawahan atau kita ketua akan mencipta suasana bekerja yang harmoni dan bertolak ansur. Mudahkan urusan yang susah dengan sikap bertolak ansur, dan jadilah kita orang yang senang melihat orang senang dan susah melihat orang susah.

Kesembilan, jangan merungut, mengeluh, dan menyesal: Setiap kali melaksanakan kerja berpeganglah kepada prinsip 'saya mahu melakukan kerja' bukan 'saya kena melakukan kerja'. Sebab jika kita berprinsip 'kena melakukan' bermakna kita akan berasa terpaksa dan kita menjadi mangsa. Tetapi, kalau kita berprinsip 'mahu melakukan' bermakna kita dengan rela melakukan kerja itu dan kita akan bekerja bersungguh-sungguh, maka kita tidak akan merungut, mengeluh dan menyesal.

Kesepuluh, amalkan konsep bahagia membahagiakan: Kita akan sentiasa berada dalam keadaan bahagia kalau kita sentiasa memberikan kebahagiaan kepada orang yang mendampingi kita. Wujudkan suasana kerja yang ceria bukan stres. Keceriaan menambahkan kreativiti dan inovasi, tetapi ketegangan suasana/stres dalam suasana kerja menjadi punca penyakit-penyakit kronik.

Dengan 'mata akal' dan 'mata hati', kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, kerana kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita. Pada hakikatnya memang kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri. Iaitu, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar, dan bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

* PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD
Profesor Oftalmologi,
Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS)
FELO DAKWAH YADIM

Kerana cinta..

Posted: 04 Sep 2016 11:04 PM PDT

Oleh Maizatul Azwa Aznan  

ANGAH bukannya gatal. Bukan juga sudah membuntingkan anak dara orang. Angah tahu hukum hakam. Menghampiri zina sahaja sudah jatuh hukum haram, apatah lagi kalau kita melakukannya. Tetapi Angah tetap dengan pendirian, ingin mendirikan rumah tangga di saat tahun akhir pengajiannya.Kerana cinta...

Angah bukannya bodoh, bukan juga malang. Di saat bakal isteri disahkan menghidap kanser pangkal rahim, Angah masih setia. Walaupun mulut orang mengata, pendirian Angah tetap sama. Kerana cinta...

Di saat, sahabat yang lain sibuk menyambung pelajaran, Angah sudah mencari pekerjaan. Pada saat gaji sahabat berijazah sudah memasuki lima angka,Angah bersyukur dengan gaji pada tahap pendidikan diploma.Angah sedar dia mempunyai tanggungjawab pada isteri tercinta.Semua dilakukan kerana cinta...
Ramadan,2013.

"Kenapa tak balik rumah mama?," soal Angah ketika teksi yang dinaikiku berhenti di hadapan rumah teresnya.

"Saja, tak sudi ke adik duduk sini?," soalku semula.

"Bukanlah, nanti mama bising, bukannya awak yang jawab.Angah yang kena jawab,kena leter," balas Angah.

Aku mencemik. Lagi seminggu akan tibanya Syawal.Ramadan yang tersisa, aku ingin luangkan di rumah Angah yang tinggal bersama isterinya. Begitu ceria Kak Leen menyambut kedatanganku. Keadaannya mencambahkan simpati.Sejak setahun yang lalu,Kak Leen lumpuh separuh badan. Sel kanser sudah menyerang saraf tunjangnya membuatkan hari ini dia menyambut kedatanganku di atas kerusi roda.

Kak Leen wanita yang ceria,cekal dan penyayang.Mungkin kerana itu jodohnya adalah dengan Angah.Bukankah Allah sudah berjanji,wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya.Dan aku masih tidak mengerti kenapa masih ada orang yang masih mempertikaikan kebahagiaan pasangan ini.

"Adik cuti lama?," soal Kak Leen. Aku lebih rapat dengan kakak iparku ini daripada isteri Along. Isteri Along, Kak Mas adalah 'seangkatan' dengan mama. Kaki membeli-belah dan mengumpul barang- barang berjenama. Dan kalau berbual dengan Kak Mas, topiknya ialah, bumi Eropah mana sudah dijejaki, berapa ekar tanah sudah dimiliki, atau tahu tak apa keluaran Louis Vuitton terkini.

"Lama tak lama juga. Dua minggu," aku menjawab. Kak Leen menganggukkan kepala.Tangannya sedang membasuh sayur untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.

"Kenapa tiba-tiba adik balik sini?, mama tahu tak?," Kak Leen menyoal siasat. Aku tahu, dia cukup tidak suka aku melawan mama.

"Soalan lebih kurang Angah je. Nampak sangat tak suka adik kat sini. Nak berdua dengan Angah je lah tu," aku mengusik Kak Leen.Dia ketawa.

"Sudi, 1,000 kali Kak Leen sudi. Cuma, kasihanlah kat mama kalau adik tak beritahu mama adik balik sini.Nanti dia tertunggu-tunggu".

Aku mendiamkan diri.Memang mama tidak tahu aku pulang ke rumah Angah. Kalau mama tahu, dia sanggup datang mengambilku di universiti.Angah masuk ke dapur, terus menegah Kak Leen daripada membuat kerja. Tergelak aku melihat pergaduhan kecil mereka.

Satu perkara yang aku suka tentang pasangan ini ialah, langsung tidak menunjukkan apa yang mereka tanggung.Masih mampu bergelak tawa, bergaduh manja di hadapanku. Kak Leen masih mampu membahagiakan Angah walaupun dalam kondisi yang begitu. Dan Angah,tetap menerimanya seadanya.
Malam itu, usai sahaja Kak Leen tidur, Angah keluar dari bilik tidur mereka.Angah duduk di sebelahku yang sedang menonton televisyen.

"Mama telefon adik tak?," soal Angah. Aku mengangguk sahaja.Bukanlah aku ingin bersikap biadap tetapi aku menjadi rimas pula dengan soalan tentang mama sahaja.

"Adik cakap apa kat mama? Dia telefon Angah, suruh awak tu balik rumah sana," sambung Angah lagi.Bicaranya lembut, tidak kedengaran nada dia menghalau.Dia cuma mahu aku dan mama berhubungan baik, dia tidak mahu hubungan itu rosak sebagaimana dia.

"Adik cakap, adik nak raya dengan Angah. Sebab dah tiga kali Angah tak raya sekali dengan kami," jawapan aku membuatkan Angah tergamam.Tiga kali raya, Angah beraya dengan keluarga Kak Leen. Aku tidak berjauh hati tetapi mama mula menganggap Angah anak derhaka, anak tidak kenang budi. Sudahlah kahwin tanpa restunya, tiga tahun raya di sebelah menantunya.

"Angah kasihan kat Kak Leen.Biarlah ada masa-masa ni dia beraya dengan keluarga dia. Keluarga kita bukan berkenan sangat kat dia," perlahan jawapan Angah.

Aku sedar saat itu, Angah mementingkan kebahagiaan Kak Leen. Nilai kesanggupan Angah berkorban buat isterinya begitu tinggi. Mama cuma tidak suka kepada Kak Leen kerana dia merasakan Kak Leen menyusahkan hidup anak bujangnya. Mama tidak akan dapat menimang cucu daripada keturunan Angah. Mama juga geram kerana Angah sanggup tidak sambung belajar kerana mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecilnya.

Hidup dengan Angah dan Kak Leen di sisa-sisa Ramadan ini juga mengajarku. Mengajarku untuk jadi tabah, setabah Kak Leen menghadapi penyakitnya.Mengajar aku menjadi sabar, sesabar Angah menjaga Kak Leen dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mengajar aku untuk reda, reda bagaimana redanya pasangan ini dengan kehidupan mereka.

Dan mengajar aku, kita hanya merancang, Allah yang menentukan...

"Angah, kenapa ni?,"ketika aku keluar bilik, untuk bersahur yang terakhir Ramadan itu, Angah kelam kabut. Mukanya juga serabut.

"Kak Leen sakit. Angah nak hantar ke hospital," kata Angah sambil membuka pintu. Aku membuka pintu bilik Angah, dan kelibat Kak Leen terbaring di atas katil. Nafasnya turun naik dengan cepat dan matanya tertutup.Dahinya berkerut, menahan kesakitan. Angah masuk ke bilik dan mencempung tubuh Kak Leen.
Aku terus mencapai kardigan.Kepala menyarung instant shawl sahaja. Masuk kereta, aku memangku Kak Leen di tempat duduk belakang. Jantung aku berdebar kuat. Tuhan, kuatkan Kak Leen...

Namun, Allah telah mentakdirkan, Ramadanku yang terakhir tahun itu adalah bersama dengan Angah, menemani isteri terlantar di hospital. Malam raya yang kebiasaannya diisi dengan kesibukan menyambut lebaran, tahun itu aku dan Angah sama-sama suram di hospital. Wajah Angah muram dan serabut, tidak tenang seperti selalu.

Subuh, pagi raya. Aku tersedar ketika sayup-sayup bunyi azan kedengaran. Badan diregangkan dan saat mata jelas terbuka, Angah sedang memegang tangan Kak Leen. Genggaman tangan yang membuatkan aku menyedari sesuatu.

"Kak Leen dah tiada," begitu tenang Angah bersuara. Mataku berair dan air mata berjuraian turun. Baru beberapa jam aku terlelap, Kak Leen pergi ketika itu. Dahi sejuk Kak Leen aku cium. Angah tersenyum pahit melihat perlakuanku.

Angah membuat segala kerja menguruskan jenazah. Dari memandikan sehingga saatnya jasad Kak Leen diturunkan ke liang lahad, Angah ada bersama.Setitik pun air mata Angah tidak tumpah. Atau mungkin belum tumpah. Aku lihat begitu berat Angah ingin meninggalkan persemadian isterinya. Tangannya aku genggam erat, setabah dan sekuat mana pun Angah, aku tahu, perasaan sedih tetap ada.
Ramadan, 2015

"Jauh termenung," aku menegur Angah yang duduk di beranda rumah. Dia tersenyum sahaja.
"Esok raya," katanya. Aku mengangguk mengiakan. Sayup-sayup terdengar suara mama dan Kak Mas berbual sambil membuat kuih raya.

"Maknanya dah dua tahun Kak Leen pergi,".

Kenyataan itu membuat aku tersentak. Selama dua tahun itulah, Angah hidup sendiri.Hidup sunyi yang semestinya aku tidak akan mengerti. Aku tidak membalas,membiarkan Angah hanyut dalam kerinduan.Membiarkan Angah mengenang isteri yang pernah hadir dalam hidupnya. Aku mendongak memandang bulan.

"Buat apa ni. Lepak tak ajak," Along pula menyapa kami berdua. Dia duduk di sebelah Angah.
"Tak tolong Kak Mas buat kuih Long?," soal Angah. Along menggeleng.

"Tak nak.Nanti aku jadi tukang rasa. Takut termakan cincin mama atau Kak Mas. Ngeri!,"
Kami bergabung tawa. Sempat lagi Along membuat lawak. Sejak Kak Leen pergi, Along banyak meluangkan masa dengan Angah. Lagi-lagi pada tahun pertama Angah menduda. Dan mama juga mula menghampiri anak yang selama ini dia rasakan menjauh diri.

Mungkin itulah hikmah Allah mengambil Kak Leen. Semua mula merapati Angah. Semua mula menghulur bahu untuk berkongsi beban kesedihan Angah. Dan Angah kuat dengan sokongan yang diterimanya. Satu lagi aku belajar waktu Ramadan ini, Allah meletakkan kita di dalam situasi yang Dia tahu kita boleh hadapi dan apa yang terbaik untuk kita. Kerana apa?
Kerana cinta...

Pusat percutian keluarga

Posted: 04 Sep 2016 10:57 PM PDT

Kedudukan yang strategik bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan menjadikan A'Famosa Resort pusat percutian keluarga yang sangat mudah untuk dikunjungi.

Pusat percutian seluas 520 hektar itu bukan sekadar resort biasa kerana turut menyediakan pelbagai tarikan seperti taman tema, penginapan, padang golf bertaraf antarabangsa dan pusat beli-belah Freeport A'Famosa Outlet (FAO).

A'Famosa menyediakan tiga penginapan iaitu hotel, kondo dan vila menawarkan bilik serta suite dilengkapi balkoni peribadi dengan pemandangan padang golf serta pelbagai kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk mini serta kemudahan membuat teh dan kopi.

Selain itu, vila empat bilik standard dan superior pasti memberikan keselesaan kepada mereka yang bercuti bersama keluarga kerana dihiasi dengan reka bentuk dalaman unik dan ruang tamu luas.

Menambahkan lagi keseronokan, mereka yang datang bersama ahli keluarga boleh menghabiskan masa di Water Theme Park yang menawarkan lebih 14 slaid air yang pastinya memberi kepuasan serta pengalaman berbeza.

Pengunjung boleh mencuba permainan menyerupai kon aiskrim gergasi atau 'Big Ice Cream' membuatkan mereka seolah-olah ditelan ke dalam kon sebelum meluncur keluar melalui terowong.

Selain itu, permainan 'Wahaha' juga memberikan pengalaman menyeronokkan kerana pengunjung berpeluang merasai debaran seolah-olah ditelan ombak tsunami dan memberi kejutan adrenalin apabila pintu empangan dibuka setiap dua minit menyebabkan pengunjung melambung serta berpusar mengikut alunan ombak.

Permainan terbaharu, 'Hula-hula' yang direka khusus bagi yang mahukan cabaran dijamin memberikan kepuasan berganda kepada mereka mencuba­nya, manakala bagi kanak-kanak permainan sesuai untuk mereka ialah Lazy River, Wave Pool, Family Raft, Arabian Village dan Kids Adventure Pool.

Peminat haiwan boleh singgah ke Safari Wonderland untuk melihat sendiri gelagat haiwan seperti burung, binturong, orang utan, harimau, unta, zirafah dan pelbagai lagi haiwan.

Pengembaraan di Safari Wonderland bermula dengan Elephant Encounter Show, Multi Animal Fun Play, Colour Of The Birds dan Wild Wild West Show yang sesuai bagi kanak-kanak kerana mereka dapat mempelajari banyak perkara sambil berseronok.

Bagi yang gemarkan cabaran, A'Famosa menyediakan dua aktiviti menarik iaitu `Tiger Encounter' di mana anda boleh memberi makan kepada harimau secara dekat menerusi konsep safari terbuka dan 'Crocodile Alive' iaitu menyuapkan makanan kepada buaya menggunakan pancing di kolam Safari Wonderland.

'Animal Ride' pula menjadi aktiviti pilihan utama pengunjung terutama kanak-kanak apabila berkesempatan menunggang gajah, unta dan pony (kuda padi) yang jarang ditawarkan di pusat percutian lain.

Pengunjung juga berpeluang menyentuh pelbagai jenis monyet jinak di 'Monkey Island' dan pelbagai haiwan lain di Walk Thru Area termasuk badak air yang menjadi tarikan terkini ke resort itu.

Percutian di A'Famosa tidak lengkap jika pengunjung tidak meluangkan masa di taman tema Old West yang dikenali sebagai Cowboy Town sebelum ini. Kemeriahan pesta di Old West lebih menarik dengan '4D Cinema' taman tema bagai pesta ria untuk kanak-kanak dan nikmati perarakan `Carnival Musical Parade', `Red Indian Show' dan pertunjukan bunga api mempesonakan yang menghiasi langit bagai mimpi indah.
Bagi yang mahu membeli-belah dan bersantai, FAO paling sesuai kerana menyediakan pelbagai kedai menawarkan jenama seperti Puma, Skechers, Hush Puppies, Brooks, Levi's dan Nike.

Bukan sekadar pakaian biasa, FAO juga menyediakan kedai menujal aneka makanan seperti KFC, Marrybrown dan Papparich, AuntieAnne's. Pengunjung juga boleh singgah ke gerai menjual makanan seperti Fahmy Satay, Ali Mamu's Kitchen, Claypot (asam pedas & cili pedas) dan Topsizzler.

Pada tahun ini, A'Famosa akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti 'Superkid 2016'(September), Holloween Day dan Member Day (Oktober) dan hari kanak-kanak (November).

Selain itu, Promosi Merdeka juga diadakan sepanjang Ogos dan September melalui tempahan menerusi laman web A'Famosa Resort. Dengan harga dari RM168, pengunjung boleh mendapat penginapan selama dua hari satu malam, sarapan pagi dan tiket masuk ke Old West.

Kemerdekaan dan teknologi

Posted: 04 Sep 2016 10:55 PM PDT

Oleh Afiq Hanif

Kemerdekaan yang dikecapi membolehkan usaha menjadikan Malaya negara yang bebas dengan acuan tersendiri.

Selepas 59 tahun, arus pembangunan negara semakin hangat menerusi pelbagai perubahan yang memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat daripada hanya megah dengan pertanian kepada sektor lebih menguntungkan.

Dalam menghadapi 10 tahun akan datang, kemerdekaan yang membawa erti pembangunan juga tidak terlepas dari arus pemodenan terutama membabitkan teknologi semakin canggih.

Beberapa perubahan ketara teknologi perlu menjadi fokus untuk Malaysia meneruskan kecemerlangan.
Daripada hanya menjadi hamba beralih kepada pemacu pembangunan digital yang boleh membuatkan negara lain terlopong meskipun Malaysia masih muda secara relatifnya.

Internet untuk segalanya (IoT) 

IoT mula menunjukkan taring, bermakna mungkin periuk nasi anda sendiri akan dipasang dengan Internet membolehkan anda memasak nasi jauh dari rumah.

Peranti elektronik mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat serta pergerakan pengguna.

Revolusi teknologi masa depan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.

Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata menyaksikan Internet muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.

Di Malaysia, pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya (IoT) menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.

Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.

Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti disambungkan di Internet pada tahun 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 7.6 bilion.

Kenderaan cekap tenaga (EEV) 

Sudah ada Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 diperkenalkan dua tahun lalu dan antara agenda diberi penekanan dalam insentif berkenaan membabitkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mendorong menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan dalam segmen itu menjelang 2020.
Namun masih perlu diberi lonjakan kerana ia agak perlahan terutama membabitkan pemilikan dalam kalangan rakyat.
Antara sebabnya sudah pasti membabitkan harga yang mahal meskipun EEV penting dalam menjamin kestabilan persekitaran hijau yang Malaysia nikmati sekarang.
Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa syarikat memperkenalkan pelbagai model kenderaan dalam segmen EEV iaitu kenderaan elektrik dan hibrid namun ia belum menjadi pilihan.
Nasib baik inisiatif kenderaan seperti bas elektrik diperkenalkan di Melaka menjadi pemula yang baik apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam.
Teknologi kesihatan
Ia perlu diketengahkan bagi mengumpul sebanyak mungkin data pesakit yang boleh membantu mengurangkan masa menunggu dan merawat secara lebih cekap.
Jika perkakasan dan perisiannya boleh disesuaikan dalam suasana kesihatan di negara ini, tahap kecekapan boleh meningkat berkali ganda.
Maklumat kesihatan pesakit perlu diselaraskan yang boleh diakses mereka di mana saja dan ia memerlukan prasarana mampu urus, mengumpul, menterjemah serta menghantar data.

Sudah pasti ia memberikan jaminan kepada rakyat yang lebih sihat dengan penggunaan teknologi.

Sekolah digital 

Mengajar subjek pengekodan memang langkah terbaik bagi sekolah di Malaysia namun paling penting, sistem persekolahan yang diubah secara menyeluruh menjadi lebih digital.

Paling asas, pengajaran berasaskan papan putih atau papan hitam mungkin boleh ditukar kepada skrin yang lebih interaktif.

Ia sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran selain mengurangkan penggunaan kertas.

Sekolah boleh memanfaatkan aplikasi untuk komunikasi antara ibu bapa dan pelajar yang memungkinkan pemantauan dan interaksi lebih efisien.

Malah penggunaan gajet elektronik seperti peralatan multimedia seperti persembahan slaid dan 'power point' membolehkan guru menyampaikan pelajaran dengan cara lebih 'hidup'.

Ia pembelajaran menyeronokkan yang memberi pengalaman audio dan visual kepada murid malah perhatian murid serta interaksi dengan guru lebih tinggi.

Bandar pintar 

Lihat saja perancangan bandar yang belum sempurna memandangkan kekangan tertentu. Teknologi boleh menjadikannya lebih baik.

Beberapa model bersepadu termasuk sistem trafik, pengawasan dan pengurusan kerajaan boleh diuruskan dengan teknologi yang tidak tertumpu kepada hanya tumbuhnya bangunan seperti cendawan semata-mata.

Diabetes boleh dikawal tanpa sebarang ubat

Posted: 04 Sep 2016 10:50 PM PDT

Rawatan diabetes secara konvensional didapati perlu dijalani bersama dengan rawatan fungsional bagi menjamin keadaan pesakit lebih baik berbanding bergantung kepada ubat-ubatan.

Pesakit diabetes perlu pendekatan lain kerana kebanyakan kes rawatan secara konvensional setakat ini menggunakan ubat-ubatan hanya mampu mengawal paras gula.

Bagaimanapun ia tidak melakukan apa-apa terhadap kerintangan insulin (insulin resistance ).
Akibatnya ialah masalah asas diabetes tahap tidak selesai serta berisiko pula terjadi toksisiti insulin kepada pesakit.

Ini jelas dilihat dalam beberapa kajian besar yang sangat penting seperti Accord 2008.
Dalam kajian Accord,mengawal Kencing Manis dengan intensif (dengan ubat-ubat kencing manis termasuk insulin) menyebabkan kadar kematian yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang diberikan rawatan biasa.

Antara yang berlaku ialah mereka yang diberikan rawatan intensif kencing manis mengalami lebih kerap episod hypoglycemia dan bertambah berat badan.

Mereka juga mengalami lebih banyak serangan jantung, strok kematian kerana penyakit kardiovaskular. Jelas bahawa ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan rawatan diabetes apabila pesakit yang terkawal elok paras gulanya, akhirnya lebih menderita.

Kerana itulah maka rawatan diabetes secara fungsional ada peranannya. Antara kelebihan rawatan Kencing Manis secara fungsional ialah:

1) Dapat menghilangkan kerintangan insulin (Insulin Resistance ) lalu "menyembuhkan" diabetes

 2) Mengembalikan "insulin sensitivity"

3) Tiada kesan toksik insulin atau diabetes konvensiona
.
4) Bersesuaian dengan patofisiologi penyakit kencing manis tahap dua iaitu pesakit yang menghidap ini mempunyai paras insulin yang tinggi, maka rawatan secara fungsional menurunkan paras insulin yang tinggi tadi lalu menguasai risiko kesan buruk paras insulin yang tinggi, lalu mengurangkan risiko kesan kesan buruk paras insulin yang tinggi.

5) menyembuhkan disfungsi sel Beta di pankreas.

Yang eloknya ialah tiada sebarang dilema sedemikian pada rawatan diabetes secara fungsional.

Rawatannya menarik, mudah dan memperkasakan pesakit serta jauh lebih rendah kosnya kerana tiada ubat yang digunakan.

Tiada ubat, bermakna tiada kesan sampingan ubat. Hasil akhirnya, pesakit boleh sembuh terus dari diabetes.
Sembuh daripada diabetes bermakna tiada sakit jantung, tiada strok,tiada kaki yang kena potong, tiada buah pinggang rosak dan kena dialisis, tiada buta kerana retinopati dan sebagainya.

Rawatan diabetes secara perubatan fungsional :

1) Diet Rendah Karbohidrat, tinggi lemak (RKTL): untuk mengurangkan paras insulin di dalam darah.

2)Puasa untuk mengurangkan paras insulin di dalam darah dan untuk memperbaiki kesihatan hati dan pankreas, juga menurunkan paras inflamasi

3)Meningkatkan sensitiviti insulin dengan penggunaan pemakanan seperti kulit kayu manis, kunyit, cuka dan juga suplemen seperti Vitamin C, minyak ikan, alfa lipoik asid,mineral seperti zink,vanadium dan lain lain lagi
4) mengurangkan inflamasi dengan Vitamin C, kurkumin, Omega 3 dan sebagainya

5) senaman latihan halangan progresif (PRT) untuk meningkatkan sensitiviti insulin dan juga kawalan paras gula. Diet rendah karbohidrat, RKTL - Ini antara diet rendah karbohidrat yang digunakan agak meluas akhir-akhir ini untuk mengawal diabetes.

Ada diet rendah karbohidrat lain seperti diet Ketogenik, diet alkali dan sebagainya.
Perbezaan diet-diet ini adalah pada peratusan karbohidrat, lemak dan protin. Diet RKTL yang ketat mensyaratkan komponen karbohidrat tidak lebih dari 20 gram sehari.

Diet RKTL yang sederhana pula,kandungan karbohidratnya antara 20 ke 50 gram sehari. Kandungan zat protein diet pula adalah di dalam anggaran 1gram bagi setiap kilogram berat badan, selebihnya ialah zat lemak.

Begitu pun, pesakit yang memerlukan diet ini tidaklah perlu menimbang berat makanan. Cukup sekadar menganggarkan komponen makanan di dalam diet mereka.

Cara yang paling mudah ialah dengan memberikan garis panduan kepada pengamal diet ini seperti berikut :

Jangan ambil GKB (gula, kentang atau ubi, bijirin) kerana semua ini akan meningkatkan paras insulin dengan tinggi.

Makan banyak dan berbagai sayuran kerana sayur kaya dengan berbagai khasiat anti-oksida, zat mineral, vitamin,serat serta rendah kandungan karbohidrat.

Makan telur,ikan dan makanan laut kerana zat protein dan lemak serta daging, ayam, minyak kelapa, minyak kelapa sawit, minyak zaitun dan sebagainya.

Makan bila lapar dan berhenti sebaik sahaja mula kenyang. Jangan makan sekiranya tidak lapar. Dari pengalamanitu biasanya sudah memadai sebagai garis panduan untuk pengamal diet.

Biasanya seseorang pengamal diet akan segera terjumpa rentak dan cara hidangan diet RKTL yang sesuai dengan keperluannya.

Bila paras insulin mula menurun, akan terasa kurang lapar,lebih cergas, lebih bertenaga. Paras gula segera menurun dan simptom diabetes jauh berkurangan.

Kerapnya pesakit diabetes terus merasa terangsang dan motivasi untuk terus mengamalkan diet ini selepas seminggu dua merasai perbezaan positif pada badannya.

Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah perlu minum air secukupnya ketika mengikuti diet ini.
Pengambilan air yang secukupnya akan mengelakkan dehidrasi, sakit kepala dan sembelit. Ini kerana biasanya air datang bersama karbohidrat di dalam diet,maka mengurangkan karbohidrat membawa risiko dehidrasi.

Satu lagi risiko pada penghidap diabetes yang mengambil ubat insulin ialah hipoglisemia apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengurangkan dos ubat diabetes dan dos insulin. Biasanya dikurangkan dos sehingga 50 peratus.

Sekiranya perlu, naikkan balik dos itu secara bertakat-takat kemudian berdasarkan hasil ujian darah.
Sekiranya pesakit hanya mengawal diabetes dengan diet sahaja, tiada masalah.
Mengambil ubat yang tidak meningkatkan paras insulin seperti Metformin, juga tiada masalah. Setelah mengamalkan diet sebegini sebulan dua, biasanya berat badan akan turun dalam dua hingga tiga kilogram dan seluar juga mula longgar akibat daripada pengurangan lemak di abdomen.
Lemak di sekitar abdomen inilah yang sangat bahaya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Ini adalah sesuatu yang baik.
Penurunan berat badan ini biasanya berterusan sehingga dapat mencapai 10 ke 15 peratus daripada berat badan ketika diet dimulakan.
Meskipun kedengaran sedikit,biasanya sudah cukup untuk memberikan kesan yang cukup positif kepada paras gula, paras insulin serta kesihatan badan seluruhnya.

Sekiranya penurunan berat badan tiba-tiba terhenti, periksa balik perkara-perkara berikut:

1) Pengambilan gula yang terselindung. Kerap sekali gula ditambahkan kepada masakan yang  pedas bila seseorang makan di luar. Lagi pedas, lagi banyak gula tambahan. Ini akan meningkatkan paras insulin, maka merencatkan penurunan berat badan. Gula juga digunakan sebagai pengawit dalam banyak masakan proses.

2) Meskipun zat lemak dan protein tidak meningkatkan paras insulin dengan tinggi macam karbohidrat , sekiranya diambil terlalu banyak protin dan lemak, ini akhirnya merencatkan penurunan berat badan juga. Jadi kena dikawal pemakanan. Jangan makan sekiranya tidak lapar
.
3) Semua makanan rendah lemak (low fat) hendaklah dielakkan. Makanan rendah lemak bererti zat lemaknya telah digantikan dengan zat karbohidrat. Jadi tidak sesuai untuk diet RKTL. Apabila diet RKTL diamalkan bersama dengan puasa secara berselang-selang tetapi berterusan selama 6 bulan ke satu tahun, kebanyakan pesakit diabetes mengalami perubahan yang sungguh positif di dalam penurunan taraf penyakit diabetes mereka.

Kesihatan mereka memang bertambah baik sehingga boleh mengurangkan pengambilan ubat dan insulin dengan sangat ketara.

Dalam pengalaman saya,sebahagian besar pesakit malah boleh mengawal diabetes tanpa sebarang tanpa sebarang ubat pun . Mereka juga jadi lebih cergas dan bertenaga

Buaya gergasi berjaya ditangkap

Posted: 04 Sep 2016 10:44 PM PDT

Seekor buaya gergasi air masin yang 'memburu' lembu-lembu di stesen ternakan lembu di Australia berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Yang "marah" gergasi lembu air masin buaya memburu di sebuah stesen lembu Australia utara telah ditangkap dan dipindahkan ke sebuah ladang pembiakan.

Buaya itu ditangap selepas kakitangan hidupan liar meletakkan perangkap di laluan air - lokasi ia membaham lembu di stesen yang terletak di utara tropika pulau itu.

Usaha itu bagaimanapun bukan mudah kerana kakitangan hidupan liar terpaksa menunggu beberapa hari dari awal minggu ini, menurut laporan NT News.

"Kami dapat tangkap yang besar," dakwa polis melalui laman Facebook.

Haiwan itu ditangkap selepas ia memasuki perangkap yang dipasang di dalam air.

Beberapa renjer digunakan untuk menarik buaya gergasi sepanjang 4.33 meter (14.2 kaki) ke tanah sebelum ia diikat dan dibawa ke sebuah ladang Darwin.

Buaya adalah haiwan biasa yang ditemui di utara Australia, yang mana jumlahnya telah meningkat sejak pengenalan undang-undang perlindungan pada tahun 1971.

Dianggarkan 100,000 ekor buaya di kawasan itu dan ia membunuh purata dua orang manusia setiap tahun di Australia.

Buaya air masin boleh membesar sehingga tujuh meter (23 kaki) panjang dan berat lebih daripada satu tan.

Pekak kisah tentang yang tidak mahu mendengar

Posted: 04 Sep 2016 10:41 PM PDT

Belum pun menemui penonton di Malaysia, filem Pekak telah pun mendapat pengiktirafan di International Motivational Film Bridge of Arts di Rusia.
 
Zahiril Adzim selaku pelakon utama dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan penulis skrip Alfie Palermo turut diiktiraf penulis skrip terbaik.
 
Terdahulu filem ini turut ditayangkan di Cannes sempena Marche du Film 2016.
 
Begitu jauh filem terbitan Lightbulb Pictures dan Grand Brilliance pergi. Namun untuk pasaran Malaysia, Pekak mula berada di pawagam 1 September lalu.
 
Pekak mengisahkan Uda (lakonan Zahiril) yang pekak bercita-cita mengumpul duit untuk menjalani pembedahan implan koklea bagi memulihkan pendengarannya.
 
Perjalanan Uda menemukan dirinya bersama Dara (Sharifah Amani).
 
Dara digambarkan sebagai pelajar sekolah bermasalah. Melur (Sharifah Sakinah) adalah orang yang berpengaruh dalam hidup Dara. Dia telah membawa Dara ke dunia dadah dan maksiat.
 
Pekak berlegar pada kisah anak muda yang sesat dalam pencarian mereka.
 
Alfie sebagai penulis skrip memilih sisi gelap muda mudi zaman sekarang.
 
Menarik mengenai naskah ini, Alfie tidak kedekut menceritakan golongan ini.
 
Kebiasaannya apabila menulis cerita tentang dadah atau maksiat, kebanyakkan penulis gemar mengambil sisi liar dan kekeliruan anak muda.
 
Malahan Alfie juga tidak klise dalam mengambarkan watak si pekak.
 
Tiada unsur-unsur simpati atau sedih ditonjolkan sebaliknya, Uda tampil sebagai manusia biasa yang juga membuat pilihan yang salah.
 
Menerusi Pekak, watak Uda dan Dara digambarkan terjerumus dalam dunia ini bukan kerana kemahuan mereka.
 
Uda terlibat kerana terdesak mencari duit, manakala Dara sekadar mahu lari daripada bapanya dan memuaskan hati Melur yang berterusan mendesaknya untuk menemaninya berjumpa dengan kekasihnya Azman (Amirul Affendi).
 
Secara keseluruhan Pekak menceritakan tentang kesunyian Dara kerana tiada siapa yang mahu mendengar kisahnya.
 
Bapanya berterusan mengongkong Dara kerana pengalaman pahit bersama ibu Dara.
 
Manakala Melur rakan baiknya hanya menggunakan dia sebagai batu loncatan untuk bersama kekasihnya.
 
Kehadiran Uda yang pekak telah membuatkan hati Dara berbunga. Walaupun Uda pekak namun hanya dia sahaja yang mahu mendengar cerita dari Dara.
 
Dalam filem ini, lagu Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah menjadi pilihan Uda tatkala di rumah dan Dara dalam pemain mp3.
 
Secara logiknya lagu itu terlalu jauh dengan golongan Gen Y ini, namun sebenarnya lagu ini menceritakan rintihan yang berlegar dalam hidup Dara.
 
Pujian boleh diberi kepada pengarahnya Khairul Azri kerana memampatkan Pekak menjadi filem yang menarik. Pemilihan lokasi dan penataan seni juga menyokong filem ini menjadi filem yang baik.
 
Selain itu, aksi para pelakon juga harus diberi pujian. Tak usah dipertikai nama-nama seperti Sharifah Amani, Zahiril Adzim, Amirul Affendi serta Eidil Putra kerana mereka adalah pemain lakon yang hebat. Sharifah Sakinah juga harus dikalungkan pujian kerana lakonannya yang bersahaja. - MalaysiaGazette

Comments (0)