Followers

Nuffnang

Anak Sungai Derhaka

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 10:01 PG | Posted in

sumber :-

Anak Sungai Derhaka


Pertama Kali Selepas 18 Tahun.. Mahathir Bersalam Dengan Anwar..

Posted: 05 Sep 2016 01:40 AM PDT


Jarang-jarang berlaku, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Bekas perdana menteri pernah memecat Anwar pada 1998, ketika itu timbalannya, diiringi oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini senada menentang akta itu dan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.



Anwar, yang juga bekas ketua pembangkang, memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN bertentangan dengan perlembagaan.

Mahathir setakat ini enggan mengulas kehadirannya di mahkamah itu hari ini.

Mereka malah bertegur sapa dan bersalaman dalam mahkamah ketika tiada sidang, sambil diperhatikan oleh anggota polis dan hadirin yang hadir.

Tangan kiri Anwar juga kelihatan menggenggam tangan kiri Mahathir. Sementara Mahathir pula kelihatan menepuk bahu Anwar.

Kedua-dua mereka tiba di mahkamah hampir jam 3 petang ini.

Pertemuan hari ini dipercayai yang pertama dirakam sejak pemecatan Anwar pada 18 tahun lalu.

Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan penglibatan dalam kes liwat, yang kemudian membawa kepada kes mahkamah.

Ia menyebabkan perpecahan besar Umno yang membawa kepada gerakan reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Nasional (kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, membentuk Parti Keadilan Rakyat atau PKR).

Selepas Anwar dimasukkan dalam penjara selepas disabitkan kes Liwat II, Mahathir memainkan peranan penting sebagai pengkritik utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan penuh dan lagi gambar lihatlah di SINI

ADUN DAP Akui Pernah Dimaklumkan Bapanya Terima Rasuah Setahun Lalu

Posted: 04 Sep 2016 11:00 PM PDT


Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim mengakui pernah menerima panggilan telefon daripada Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi lebih setahun lalu memaklumkan bapanya menerima rasuah untuk permohonan rumah mampu milik.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah lupa perbualan mereka berdua pada tahun lalu dan tidak mengambil serius dakwaan itu kerana Liew daripada parti lawan.

"Ketika itu, dia kata kenal keluarga saya dan suami saya, kemudian kata ayah saya 'buat hal' di luar.



"Saya kata perlu memahami apa yang sudah berlaku, kerana saya tidak tahu apa yang berlaku dan dia pula ialah orang PCM," kata Siew Khim kepada China Press ketika beliau mengunjungi pejabat akhbar berbahasa Cina itu semalam.

Perbualan Siew Khim dengan wartawan China Press itu dirakamkan dan dimuat naik ke chinapress.com.my.

Wakil rakyat DAP itu dipalit kontroversi, susulan pendedahan klip video pertama pada Ahad minggu lalu menunjukkan rundingan antara bapanya, Lim Keat Seong dan pemohon rumah mampu milik yang menuntut wang mereka dikembalikan.

Ketika itu, Siew Khim menjelaskan beliau tidak tahu dan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah bapanya.

Semalam, satu lagi klip video selama 3 minit muncul menunjukkan seorang individu mendakwa jurucakap kepada pelanggan terkilan, menghubungi Siew Khim dan bercakap dengannya hampir 8 minit.

Siew Khim berkata, beliau tahu orang tengah dalam klip video pertama itu ialah Liew dan klip itu dirakamkan lelaki terbabit kerana beliau cam suara Liew memandangkan mereka adalah jiran dan akan bertegur sapa setiap kali berjumpa.

Liew ketika dihubungi China Press bagaimanapun enggan mengulas dan memberi alasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggilnya untuk mengambil keterangan.

Dalam pada itu, Siew Khim mengakui bapanya yang kini ditahan reman atas dakwaan menerima sogokan untuk rumah mampu milik sering menimbulkan masalah sejak beliau kecil lagi.

Beliau turut mengesahkan pemuda berbaju merah yang muncul dalam klip video pertama itu ialah sepupunya, Ong Hock Hin yang dianggap adiknya kerana dibesarkan keluarganya sejak kecil lagi, tetapi tidak tahu kenapa dia ada bersama bapanya ketika itu.

"Secara jujurnya, saya sangat sibuk. Adik tidak beritahu saya banyak perkara, seperti saya tidak beritahu banyak perkara kepada ibu saya, kerana tidak mahu beliau bimbang," katanya.

Wanita itu berkata, adiknya juga pernah mendengar khabar angin mengenai bapanya 'membuat hal' di luar dan akan mengadu kepadanya.

Tetapi, setiap kali mereka bertanya mengenai khabar angin itu, pesara berusia 68 tahun itu akan berkata:

"Suruh mereka datang cari saya, cari awak buat apa? Awak sering dengar orang cakap apa, saya cakap tidak buat, maknanya tak buatlah".

"Ayah saya buat hal sejak dahulu lagi. Saya anggap ia seperti makan nasi dan minum air.

"Saya tidak terbabit dengan kegiatan dia. Ini jelas adalah komplot yang sasarkan saya. kalau betul orang tengah itu hendak membantu pengadu menegakkan keadilan, dia patut bawa mereka membuat laporan di balai polis," katanya yang pernah cuba menghubungi bapanya selepas klip video pertama didedahkan, namun lelaki itu bertindak menutup telefon bimbitnya.

Beliau berkata, tiada mangsa yang pernah bersemuka dengannya dan beliau tidak mempunyai maklumat saksi untuk membuat laporan polis.

Jumaat lalu, perintah reman tujuh hari dikeluarkan ke atas Keat Seong kerana didakwa terbabit dalam skandal "rasuah untuk rumah mampu milik", selepas dia menyerah diri di pejabat SPRM sehari sebelumnya lapor FMT



Lawan Tetap Lawan, Saya Tak Takut Mahathir, Kata Najib

Posted: 04 Sep 2016 09:29 PM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan beliau tidak gentar menghadapi musuh dan tidak akan sesekali berundur daripada perjuangannya, meski pun menerima serangan bertubi-tubi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata perjuangannya dipacu oleh semangat kebersamaan, perpaduan dan sokongan yang diterima daripada semua pihak khususnya daripada parlimen Pekan, yang menjadi kubu politiknya sejak menyertai bidang itu.

"Berbekalkan semangat itu, kita akan bangkit semula. Lawan tetap lawan. Saya tidak takut pada sesiapa, hanya takut pada Allah SWT.

"Saya tidak takut pada orang yang khianati Umno selepas jadi pemimpin sepanjang 22 tahun. Patutkah saya takut pada orang yang sudah beusia 92 tahun?

"Kita tidak payah cakap banyak tentang orang yang sudah banyak terbabas. Insya Allah, kita boleh mencapai kemenangan berkat kebersamaan kita," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap menggulung perbahasan persidangan perwakilan Umno bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurutnya, semangat perjuangan beliau tidak pernah luntur walaupun pernah berhadapan detik hitam pada pilihan raya umum (PRU) ke-10 pada 1999 apabila hanya menang dengan majoriti 241 undi.

"Ramai yang suruh saya pindah ke kawasan lain kerana kata Pekan tidak selamat lagi buat saya. Namun, saya tolak cadangan berpindah sebab saya nekad.

"Saya bermula di Pekan dan politik saya akan berakhir di Pekan," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang juga ketua Umno bahagian Pekan meminta supaya 148 cawangan Umno di Pekan berjuang bersamanya bagi memperoleh majoriti melebihi 40,000 undi pada PRU akan datang, sekali gus menjadi jawapan paling utuh kepada mereka yang menyerangnya.

Beliau turut mengingatkan anggota perwakilan supaya sentiasa menjaga akar umbi masing-masing dan tidak bercakaran sesama sendiri selain menyelesaikan masalah dalaman secara bertoleransi.

"Saya kena jaga gelanggang yang lebih luas. Saya perlu ke hulu dan ke hilir. Saya perlu mentadbir isu negara yang semakin hari semakin kompleks termasuk dimensi luar yang lebih luas.

"Janganlah memeningkan kepala saya dan jangan sampai menimbulkan apa-apa yang boleh membawa persepsi negatif tentang bahagian Pekan," pintanya kepada anggota perwakilan berkenaan.

Pada masa yang sama, Najib yang juga menteri kewangan berjanji akan mencari dana tambahan untuk Bajet 2017 bagi melaksanakan lebih banyak pembangunan di luar bandar dan mengurangkan bebanan masyarakat kampung.

"Kita akan cuba kaedah kreatif untuk tambah peruntukan kerana sedar dengan kesusahan yang terpaksa ditanggung mereka... mereka ini jugalah sanggup hidup mati bersama Umno.

"Jadi, kita mesti jaga orang kampung sebab mereka inilah saban tahun penyokong tegar kita, penyokong berani mati kerana kita, dan tidak pernah menyerah kalah kepada musuh politik... kerana merekalah Umno masih mampu berdiri tegak sehingga hari ini,"katanya.

Sementara itu, Najib yang juga presiden Umno, meminta jentera parti dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara supaya bersiap sedia menghadapi corak gerak kerja baharu untuk memenangi PRU Ke-14 nanti.

Menurutnya gerak kerja itu akan menggunakan kaedah yang lebih baik, tersusun serta menggunakan teknologi dengan cara yang lebih dinamik.

"Jika ada sesuatu yang membuatkan hasil menjadi lebih baik, kita akan lakukan kerana kerana politik itu bersifat dinamik.

"Jika kita menggunakan kaedah lama, kita akan tewas... jika menggunakan kaedah baharu, kita akan ke hadapan dan boleh tewaskan semua musuh," tegas beliau lapor MMO



Comments (0)