Followers

Nuffnang

kalam Perantau

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 12:23 PG | Posted in

sumber :-

kalam Perantau


Ganukite oh Ganukite…

Posted: 04 Aug 2016 06:43 PM PDT

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Terengganu terus dilanda krisis Menteri Besar sejak 'Istana' tidak bersetuju Datuk Idris Jusoh dilantik sebagai Menteri Besar semula untuk penggal kedua selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke12 pada 2008. Ekoran kemelut itu, beberapa kain rentang yang berbunyi "Kami nak Idris, natang" dalam loghat Terengganu, yang bermaksud "kami hendak Idris, binatang" telah dipasang di depan kediaman rasmi bekas Menteri Besar Terengganu itu dan beberapa tempat strategik oleh orang yang tidak diketahui telah menimbulkan persepsi berlaku penderhakaan secara terbuka kepada institusi beraja di negara ini.

Kemelut tersebut reda seketika bila akhirnya, Datuk Seri Ahmad Said ADUN Kijal yang mendapat perkenan Sultan Terengganu berjaya dilantik sebagai Menteri Besar ke-13 menggantikan Idris Jusoh. Namun Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempertikai hak Sultan melantik Menteri Besar, dengan berkata bahawa pelantikan Ahmad Said "tidak mengikut Perlembagaan".

Selepas PRU ke-13 ramai penganalisis politik menjangkakan kerajaan Umno/BN Terengganu berjalan dalam keadaan 'tempang' dan bakal berdepan dengan krisis terbaru politik Terengganu selepas Ahmad Said 'dipaksa meletak' jawatan Menteri Besar pada Mei 2014 kerana Umno/BN hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis, dengan perbezaan 2 kerusi iaitu 17 (BN) -15 (PAS 14, PKR 1) dalam DUN yang mempunyai 32 kerusi.

Ahmad Razif Abdul Rahman, ADUN Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu ke-14 menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014. Pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar pula menjadi perhatian kerana Ahmad Said yang terkenal dengan gelaran 'nelang' atau 'berani melawan' pada mulanya enggan meletak jawatan dan mengugut keluar parti sebaik meletak jawatan Menteri Besar bersama 2 ADUN lain (Bukit Besi dan Ajil) menyebabkan kerajaan pimpinan Razif 'terumbang ambing' tanpa majoriti beberapa hari ekoran kemelut ini walaupun akhirnya mereka akhirnya akur terus kekal dalam BN.

Selepas setahun petadbiran Ahmad Razif, sekali lagi Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu menggegarkan negara bila dia memfailkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran Menteri Besar tetapi berjaya diselamatkan oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong bila usul itu ditolak.

Krisis yang membara bak 'api dalam sekam' meletup sekali lagi bila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Pelucutan dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu itu berkuat kuasa Jumaat 22 April 2016.

Sekali lagi spekulasi pertukaran Menteri Besar sekali lagi menjadi hangat kembali hinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 'terpaksa' mengadap Sultan Mizan untuk memohon penangguhan pertukaran Menteri Besar Terengganu. Sungguhpun pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa tetapi hubungan Menteri Besar dengan Sultan tetap 'dingin'.

Setakat ini, rasanya belum dalam sejarah negara seorang Menteri Besar dimalukan sebegini rupa, tetapi tindakan Ahmad Razif tidak meletakkan jawatan seolah-olah tidak faham akan isyarat terang lagi bersuluh yang cuba disampaikan.

Ahmad Razif dikatakan bernasib baik kerana PAS tidak membuat 'onar' tidak akan masuk campur isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang hangat diperkatakan dan tetap berpegang kepada semangat demokrasi yang ada bila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ADUN Rhu Rendang berkata PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat tanpa mencampuri apa yang disifatkannya sebagai ‘msalah rumah tangga UMNO’

Saya tidak pasti siapa penasihat di belakang Menteri Besar yang mencadangkan Ahmad Said, mantan Menteri Besar dilantik sebagai Timbalan Exco, sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu rombakan portfolio yang diumumkan beliau berkuatkuasa pada 1hb Ogos nanti.

Menerusi penstrukturan itu, tiga exco kekal dengan portfolio masing-masing, manakala tujuh yang lain termasuk Ahmad Razif mempunyai pertambahan dan pertukaran tugas. Tiga exco yang kekal dengan dengan portfolio masing-masing ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, (Perindustrian dan Perdagangan Negeri), Datuk Rozi Mamat (Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri) dan Rosli Othman (Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri).

Ahmad Razif selain memegang portfolio Menteri Besar, turut memegang portfolio Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan. Portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang dipegang beliau sebelum ini kini disandang Datuk Mohd Jidin Shafee, yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan.

Portfolio Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan kini dipegang Nawi Mohamad yang bertukar portfolio dengan Roslee Daud. Roslee Daud kini menyandang portfolio Kesihatan, Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini dipegang Datuk Muhammad Pehimi Yusof, yang kini memegang portfolio Pertanian, dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan kini dipegang A Latiff Awang, yang bertukar portfolio dengan Ghazali Taib yang kini memegang portfolio Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas.

Kesilapan Ahmad Razif adalah melantik Ahmad Said sebagai Timbalan Exco. Bagaimanapun Ahmad Said tidak menerima perlantikan tersebut. Malah mendakwa, "Sebagai seorang bekas Menteri Besar, saya anggap Ahmad (Razif) mempersendakan saya apabila melantik sebagai timbalan EXCO," katanya Ahmad berkata, "Antara punca menyebabkan saya menolak tawaran ini kerana Ahmad (Razif) tidak mengiktiraf saya sebagai wakil rakyat apabila bertindak memotong peruntukan pembangunan di DUN Kijal, selain melantik orang lain sebagai Pengerusi Pembangunan DUN.

Pada saya setidak-tidaknya kalau Menteri Besar hendak dilantik juga Ahmad Said dalam pentadbiran kerajaan, kenapa tidakf melantik Ahmad Said sebagai exco kerana satu jawatan exco masih lagi dikosongkan sejak Ahmad Razif menjadi Menteri Besar.

Masalah Ahmad Razif pula adalah bagaimana dia hendak mempersembahkan perlantikan exco baru kepada Sultan dalam keadaan hubungan kedua yang tidak mesra? Apapun punca krisis itu bermula, kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dikatakan ibarat 'nyawa di hujung tanduk' kerana sebagai ketua pentadbir sebuah kerajaan, Menteri Besar mesti mempunyai hubungan sangat baik dengan Sultan Terengganu. Sekali lagi ramai penganalisis politik berpendapat, jalan terbaik selesaikan krisis Menteri Besar-Sultan adalah menggantikan Menteri Besar baharu.


Comments (0)