Followers

Nuffnang

Episode Sebuah Perjuangan

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 12:42 PTG | Posted in

sumber :-

Episode Sebuah Perjuangan


Jual Saham Proton : Bisnes atau Politik?

Posted: 25 Aug 2016 10:37 AM PDT

Saya agak terkejut apabila berita penjualan keseluruhan saham Proton kepada pelabur luar diwar-warkan di media pada minggu lalu. Adakah ini sebahagian syarat yang terdapat dalam terma pembiayaan kerajaan kepada DRB-Hicom?
Adakah penjualan ini juga sebahagian daripada respon DRB-Hicom terhadap keengganan kerajaan mengambil alih Proton? Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan desas-desus ini juga berkaitan dengan sentimen politik kem Najib (kerajaan) dan kem Mahathir-Muhyiddin (DRB-Hicom).

DRB-Hicom telah cuba memohon pembiayaan mudah daripada kerajaan berjumlah RM 1.5 bilion sejak suku pertama tahun 2016. Namun, status pembiayaan tersebut masih belum jelas kerana kerajaan telah menetapkan pelbagai syarat untuk menstruktur semula perniagaan syarikat automotif negara termasuk membayar hutang kepada vendor-vendor Proton. Penjualan saham Proton juga boleh berlaku bagi mendapatkan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan keupayaan Proton ke aras yang lebih baik.

Persoalannya, ke manakah hala tuju Proton? Adakah desas-desus ini disebabkan oleh sentimen politik-bisnes yang sedang berlaku dalam UMNO hari ini? DRB-Hicom sedang bergelut dengan komitmen kewangan yang tinggi akibat daripada prestasi jualan Proton yang semakin lemah disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Disebabkan itu, tidak mustahil penjualan keseluruhan atau sebahagian besar saham Proton boleh berlaku dalam masa terdekat sekiranya DRB-Hicom gagal untuk meneruskan komitmen perniagaannya.

Adakah hasrat penjualan Proton kepada pelabur luar adalah jalan terbaik untuk memulihkan status kewangannya? 

Adakah Proton boleh diselamatkan atau ia akan mengulangi nasib seperti MAS?

Proton bukan sekadar syarikat automotif bahkan ia mempunyai nilai sentimen dan maruah rakyat serta negara. Saya berharap pelan pemulihan Proton mesti diagendakan supaya ia tidak lagi terus menanggung kerugian pada masa-masa akan datang.

Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) Alternatif Terbaik Ganti PTPTN

Posted: 25 Aug 2016 10:32 AM PDT

Mekanisma pemberian hutang kepada para pelajar menerusi PTPTN nyata bukan lagi kaedah terbaik bagi membiayai pendidikan tinggi negara. Perkara ini bukan sahaja melihat kepada aspek hutang, malah juga bebanan "tambahan" untuk membayar hutang yang terpaksa ditanggung oleh para graduan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Dalam muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pada Jun yang lalu mengusulkan agar sistem wakaf dijadikan teras kepada pembiayaan pendidikan tinggi negara dengan nama Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) sebagai alternatif bagi menggantikan seribu satu masalah yang dihadapi PTPTN.

Sistem wakaf pendidikan tinggi telah diaplikasi semasa era pemerintahan Islam dahulu. Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Morocco yang dibina pada tahun 245 Hijrah merupakan universiti pertama yang dibina berasaskan sistem wakaf diikuti Universiti Al-Azhar di Kaherah yang dibina pada tahun 359 Hijrah. Model pembangunan dana wakaf yang sama juga dijadikan ikutan di universiti-universiti terkemuka.

Sistem dana wakaf pendidikan tinggi bukan sahaja mengelakkan bebanan hutang yang ditanggung selepas tamat belajar, malah memberikan peluang seluas-luasnya kepada para pelajar bagi menyambung pelajaran mereka dan dalam masa yang sama melahirkan rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan semua pihak bagi membentuk modal insan yang signifikan kepada pembangunan negara.

Sistem wakaf PTWPN perlu diluncurkan ke tengah masyarakat dengan asas permuafakatan dan dijana oleh semua pihak atas prinsip "fastabiiqul-khairat". Perkara ini selaras dengan gagasan melahirkan masyarakat yang bertamadun dan berilmu pada masa akan datang.

"Inilah Penyelesaian Kita"

Hutang PTPTN : Teliti Semula Mekanisme Hutang Pendididkan Tinggi

Posted: 24 Aug 2016 10:33 AM PDT

Isu hutang pendidikan tinggi negara (PTPTN) merupakan isu yang seringkali mendapat perhatian rakyat terutamanya golongan muda yang ingin menyambung pelajaran mereka di IPTA dan IPTS. Status kegagalan para peminjam membayar semula hutang tersebut seharusnya dijadikan isu teras kepada perbincangan mekanisma pembiayaan dalam pendidikan tinggi negara.
Kenyataan Pengerusi PTPTN yang mengakui ketidakmampuan untuk memberikan pinjaman sepenuhnya kepada pelajar disebabkan kekurangan terhadap kadar kutipan balik pinjaman membuktikan mekanisma "hutang" bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara memerlukan kepada transformasi yang lebih segar.

Saya berpandangan belenggu kegagalan melangsaikan hutang bukan sahaja melanda pada aspek pinjaman pendidikan, malah juga pada aspek pinjaman-pinjaman yang lain.

Jabatan Insolvensi Malaysia mengeluarkan laporan pada 2015 menunjukkan seramai 24,953 orang berusia 35 tahun ke bawah telah diisyhtiharkan muflis. Maka, tidak mustahil puluhan ribu yang lain berada dalam keadaan yang tidak menentu bagi melunaskan hutang mereka. Statistik ini perlu mendapat respon yang proaktif daripada pihak kerajaan dan PTPTN.

Kerajaan seharusnya meneliti semula mekanisma hutang dalam pembiayaan tinggi negara. Di sebalik tekanan yang diberikan pihak kerajaan supaya para peminjam membayar balik pinjaman, langkah yang wajar ketika ini juga adalah melihat kepada aspek yang lebih effektif dalam membiayai pendidikan tinggi negara iaitu menerusi sistem wakaf seperti yang menjadi amalan di beberapa institusi pengajian awam dalam dan luar negara.

Kutuk Serangan di Syria dan Gaza

Posted: 21 Aug 2016 10:40 AM PDT

Saya menggesa Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan mengutuk tindakan kejam negara-negara tertentu yang mengakibatkan ribuan rakyat Syria dan Palestin yang terkorban sehingga ke hari ini.
Beliau akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermula pada  22 hingga 26 Ogos di New York.

Gambar viral seorang kanak-kanak lelaki, Omran Daqneesh yang berlumuran darah dan berdebu kerana serangan bom di Aleppo sudah cukup menjustifikasikan tindakan regim ke atas orang awam yang tidak berdosa. Malah, menurut laporan Local Coordination Committee (LCC), lebih 500 rakyat Syria terbunuh dalam tempoh 7 hari minggu lalu. Kita harap TPM tegas dan berani menyuarakan kutukan atas nama kemanusiaan dan keadilan.

Hari ini, di Gaza juga sedang berlaku serangan jet tentera zionis Israel dan membedil kawasan-kawasan tertentu sehingga memusnahkan kediaman dan kematian orang awam. Ramai rakyat di negara ini telah mengambil inisiatif menghantar bantuan ke negara bergolak seperti Syria dan Palestin menerusi beberapa NGO.

Kini, rakyat Malaysia mahukan penegasan politik di atas satu platform yang berautoriti untuk mengutuk tindakan kejam regim Rusia dan Amerika Syarikat sepertimana yang telah dilaporkan oleh pihak media.

Selain itu, selayaknya  TPM terus menuntut keadilan di atas ruang antarabangsa yang lebih terbuka ke atas mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terkorban pada bulan Julai 2014 yang lalu. Kita tidak mahu isu perbalahan Rusia-Ukraine menenggelamkan nasib mangsa yang terkorban.

Pra perbahasan UNSC beberapa hari lalu telah menyaksikan Rusia dan Ukraine bertikam lidah mengenai provokasi perang di wilayah Crimea, manakala laporan interim pasukan penyiasat antarabangsa MH17 yang diketuai oleh Belanda telah ditolak secara simplistik oleh Rusia.

Comments (0)