Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:43 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Azwan bangga berjaya patahkan cubaan guling Najib

Posted: 03 Aug 2016 08:09 AM PDT

Zulaikha Zulkifli


LIHAT VIDEO DI SINI


Naib Ketua Umno, Khairul Azwan Harun menganggap, laporan polis yang dibuat ke atas tiga 'Tan Sri' sebelum ini sebagai satu kejayaan pegerakan Pemuda Umno.

Menurutnya, beliau berjaya menghalang 'cubaan' untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan membuat laporan polis pada 27 Julai lalu.

"Yang penting sekarang ini kita berjaya patahkan satu cubaan, menghalang satu cubaan.

"Saya dah buat laporan polis supaya polis boleh menyiasat dan dengan harapan perkara tak diingini tidak berlaku. Dan alhamdulillah, tidak berlaku," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita, Khairul enggan menjelaskan secara terperinci berhubung 'kejayaan' dan 'cubaan menjatuhkan Najib' seperti yang didakwanya.

Malah, pada sidang media selama kira-kira 25 minit hari ini, suasana tegang apabila Khairul hanya menjawab "rujuk laporan polis" berulang-kali ketika pelbagai soalan diajukan pemberita berhubung laporannya serta tindakan pihak polis menutup kertas siasatan.

"Rujuk laporan polis saya. Saya buat laporan berdasarkan keyakinan dan kepercayaan saya," katanya pada sidang media di Kelana Jaya.

Ditanya sama ada mana-mana pihak yang mengarahkannya untuk membuat laporan polis sebelum ini serta dirinya dijadikan 'kambing hitam', Khairul secara ringkas berkata: "tidak".

Khairul pada laporan polis bertarikh 26 Julai lalu mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia yang sah.

Katanya, ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran.

Khairul juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka juga memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka

Najib kena belasah, pemimpin Umno diam?

Posted: 03 Aug 2016 07:58 AM PDT

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Al-Habshee


SHAH ALAM - Barisan pemimpin Umno sepatutnya mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pemimpin nombor satu parti itu teruk 'dibelasah' pembangkang dalam isu-isu yang meragukan.

Namun malangnya, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, hanya beberapa kerat sahaja yang tampil dengan berani membalas serangan itu.

‎"Pemimpin kena berani mempertahankan kedudukan Presiden kerana beliau dipilih oleh ahli parti. Itu tanggungjawab pemimpin dan ahli parti.

‎"Apabila kita berdiam diri, membiarkan rakyat dihujani dengan pelbagai pertanyaan, akibatnya Umno yang menjadi cemuhan," katanya melalui blog Umno Cheras, semalam.

‎Dalam pada itu, beliau mengingatkan tindakan pemimpin parti yang berdiam diri hanya akan merugikan parti dan rakyat bakal diselubungi dengan pelbagai tafsiran.

‎"Keadaan akan menjadi lebih sukar dan kusut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan pelbagai isu untuk kepentingan politik.

‎"Tidak perlu kita berasa malu atau takut (untuk mempertahankan Najib) sebabnya kita berjuang atas landasan parti, demi rakyat dan negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Umno perlu dipertahankan kerana hanya parti itu mampu menjadi pelindung kepada masa depan orang Melayu.

"Parti mana lagi yang ada selain Umno? Parti baharu yang khabarnya akan ditubuhkan belum tentu lagi mampu memberi manfaat kepada orang Melayu.

"Penubuhan sesebuah parti politik kerana dirasuk rasa marah, dendam dan kecewa lazimnya tidak bertahan lama," katanya.

Mangsa terjatuh sebelum digilis treler

Posted: 03 Aug 2016 07:51 AM PDT

Mangsa terjatuh sebelum digilis treler
Van yang dipandu mangsa remuk teruk dalam kejadian itu. Gambar kecil: Muhammad Nazreen


SUNGAI BESAR - Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila terjatuh daripada van Toyota Hiace yang dipandunya sebelum digilis dan diseret sebuah treler sejauh 50 meter dari arah sama selepas terlibat dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, mangsa, Muhammad Nazreen Khuzaini Ab Rahman, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adik angkatnya yang juga penumpang van itu, Amar Ma'aruf Abd Halim, 17, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku apabila van yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu.

"Rempuhan kuat itu mengakibatkan lori terbabit terbalik dan melintang di laluan lorong kiri, manakala sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang datang dari arah sama lori terbabit melanggar van itu yang berada di lorong kanan jalan berkenaan.

"Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa di dalam van tercampak keluar daripada kenderaan mereka sebelum sebuah treler dari laluan bertentangan hilang kawalan lalu menyeret Muhammad Nazreen," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa yang digilis dan diseret treler meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian badan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat cedera teruk pada organ anggota dalaman," katanya.

Nor Azmi berkata, penumpang van yang terjatuh dikejarkan ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Himpunan 'Tangkap Malaysian Official1' Bukan Haram Jika Aman, Kata Peguam

Posted: 03 Aug 2016 07:40 AM PDT

Oleh: TAN YI LIANG 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 tidak boleh diisytiharkan sebagai haram sekiranya ia dilakukan secara aman, kata peguam, Syahredzan Johan.

"Di bawah Akta Perhimpunan Aman, kerajaan tidak boleh mengharamkan mana-mana perhimpunan aman.

Yang hanya boleh menghentikan perhimpunan sekiranya ia dilakukan di kawasan larangan atau lingkungan 50 meter di kawasan larangan, atau peserta himpunan melakukan kesalahan di bawah undang-undang," kata Syahredzan.

"Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa kerajaan mungkin memutuskan untuk menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara bagi mengisytiharkan kawasan keselamatan dalam tempat perhimpunan yang dimaksudkan.

"Jika sebuah kawasan keselamatan diisytiharkan, maka Angkatan Tentera boleh digerakkan untuk mengadakan sekatan terhadap orang ramai daripada memasuki kawasan itu. Ia adalah sangat tidak mungkin, tetapi ia adalah kemungkinan yang jelas terutama bila 'keselamatan negara' tidak ditakrif dalam Akta," katanya di sini, Selasa.

Dilaporkan bahawa satu kumpulan sedang mendapatkan permit daripada polis bagi mengadakan perhimpunan yang dianjurkan oleh satu gabungan kumpulan pelajar.

Mereka menyasarkan perhimpunan itu bakal dihadiri oleh 10,000 orang di mana ia dibuat bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa menangkap dan mendakwa 'MalaysianOfficial1' yang telah dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB ).

Jurucakap kumpulan itu, Anis Syafiqah Md Yusof pada sidang akhbar berkata, perhimpunan itu terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik.

"Isu 1MDB tidak lagi menjadi isu dalam negara ini, tetapi telah menjadi berita besar di seluruh dunia. Anak muda tidak lagi boleh menerima apabila negara menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa," katanya.

Kabali Kutip RM12 Juta Dalam Tempoh Seminggu

Posted: 03 Aug 2016 07:36 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Filem 'Kabali' yang dibintangi legenda filem Tamil, Rajinikanth bagai 'pisang goreng' panas dengan kutipan jualan tiket di pawagam di seluruh negara mencecah RM12 juta dalam tempoh tujuh hari ditayangkan.

Penerbit bersama filem itu Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata Kabali yang ditayangkan di 498 layar perak di seluruh negara sejak 22 Julai lepas masih mendapat sambutan luar biasa apabila kesemua tiket habis dijual di beberapa pawagam.

"Hasil jualan tiket Kabali di Malaysia sahaja telah mencatat RM12 juta setakat hari ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Rabu.

Abdul Malik yang juga pemilik syarikat Malik Streams berkata kutipan bagi Kabali versi Melayu pula masih tidak diketahui berikutan filem itu baru sahaja bertemu peminat pada Jumaat lepas di beberapa pawagan tertentu di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sambutan bagi filem yang dialih suara daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu buat kali pertamanya dalam dunia perfileman negara mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai kaum khususnya masyarakat Melayu.

Abdul Malik berkata filem versi Melayu itu ditayangkan di 48 pawagam di seluruh negara dan ia juga akan ditayangkan di Indonesia, Thailand dan China pada akhir bulan ini.

"Ramai yang menyukai versi Melayu kerana ia memberikan suatu pengalaman yang berbeza dan filem versi Melayu juga mempunyai klimaks yang agak berbeza dengan versi asal," jelasnya.

Abdul Malik juga berkata kutipan hasil jualan tiket bagi Kabali versi Tamil di seluruh dunia pula telah mencapai USD58.62 juta iaitu RM236 juta dalam tempoh tujuh hari dan merupakan kutipan paling banyak bagi filem Tamil setakat ini.

Dalam filem Kabali, Superstar Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak samseng Don di Malaysia, dan dikenali sebagai Kabaliswaran yang merupakan judul filem tersebut.

Filem sentuhan pengarah India Pa. Ranjith itu yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia termasuk di Kuala Lumpur dan Pulau Carey turut menampilkan pelakon tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan serta pelakon terkenal Taiwan, Winston Chao.
 
 

Ghazali Nafi Keluar Umno, Teguran Untuk Kebaikan Umno Terengganu

Posted: 03 Aug 2016 07:34 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Ghazali Taib
 
 
KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan  Ajil Ghazali Taib pada Rabu menafikan desas-desus yang tersebar kononnya beliau akan keluar Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri itu sebaliknya menegaskan beliau akan setia menjunjung amanat parti itu dan mempertahankan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada, saya orang Umno... takkan saya nak keluar parti. Umno akan saya junjung, presiden akan saya pertahankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Ditanya mengenai kenyataannya dalam laporan akhbar hari ini yang menegur pentadbiran negeri pimpinan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman, Ghazali berkata ia bertujuan memastikan rakyat merasa keberkesanan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

"Sebagai wakil rakyat yang mendengar suara rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan hasrat rakyat supaya negeri Terengganu, kerajaan negeri Terengganu disegani dan dihormati.

"Teguran dan nasihat kerana ini kerajaan rakyat, jadi rakyat memerlukan yang sempurna bagi perkhidmatan yang terbaik. Kalau saya tak sampaikan bermakna saya telahpun tidak melakukan amanah rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermaksud beliau tidak percaya kepada kepimpinan sedia ada, Ghazali berkata: "Tidak! Sekarang ini setiap manusia ada kesilapan ada kelemahan bukan kita sempurna, ada masa kita melihat sesuatu itu secara positif, jika ada yang tak betul maka kita perbetulkan, yang tak elok kita elokkan, yang penting rakyat merasa nikmat perkhidmatan yang terbaik yang kita bagi".

Diminta mengulas sama ada tindakannya itu seolah-olah memihak kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, beliau berkata isu itu tidak timbul kerana teguran dilakukan untuk kebaikan Umno.

"Tidak timbul berpihak ... kita Umno... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan Umno kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu dan kita tak mahu ada rakyat yang rasa kesal mengundi kita kerana kita tak bagi perkhidmatan," katanya.

India keluar waran tangkap terhadap Ananda Krishnan

Posted: 02 Aug 2016 10:51 PM PDT

MALAYSIAKINI


Biro Penyiasatan India (CBI) mengeluarkan waran tangkap ke atas taikun perniagaan, Tan Sri Ananda Krishnan serta tiga yang lain berhubung kes pengubahan wang haram di New Delhi, India.

Selain Ananda Krishnan turut didakwa terlibat ialah Augustus Ralph Marshall serta empat syarikat iaitu Sun Direct TV Pvt. Ltd. (SDTPL), Maxis Communication Berhad, South Asia Entertainment Holding Ltd. dan Astro All Asia Network, lapor New Indian Press.

Waran itu dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram antara Aircel-Maxis yang turut melibatkan bekas menteri komunikasi India, Dayanidhi Maran serta saudara kandungnya Kalanithi Maran.

CBI India turut memberitahu Hakim Mahkamah Khas, OP Saini bahawa waran tangkap telah dikeluarkan tetapi masih belum disampaikan kepada tertuduh.

Badan Penguatkuasaan Direktorat (ED) pada 25 Mei lalu telah mengeluarkan saman di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) untuk memeriksa Ananda.

Kemudian badan itu mengeluarkan satu lagi saman untuk memeriksa Augustus dan kedua-dua saman itu telah dihantar ke Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, keluarga Maran mencabar bidang kuasa mahkamah khas dengan menyatakan bahawa kes tersebut bukan sebahagian daripada spektrum penipuan komunikasi dan skandal politik (2G) dan tidak boleh didengari oleh hakim yang ditetapkan untuk mengendalikan kes-kes 2G secara eksklusif.

Dayanidhi; Kalanithi; isteri kepada Kalanithi, Kavery Kalanithi; Pengarah Urusan Asia FM Ltd. (SAFL), K. Shanmugam dan syarikat-syarikat SAFL dan SDTPL adalah antara yang dipanggil oleh mahkamah sebagai tertuduh.

Dalam pada itu, ED menentang pengakuan adik beradik Maran dengan menyatakan aspek pengubahan wang haram masih disiasat dan berkemungkinan mengganggu bukti serta mempengaruhi saksi.

Mahkamah memerintahkan sebutan kes dilanjutkan pada 27 Ogos ini.


Khairy, kita bukan 'macai'

Posted: 02 Aug 2016 10:45 PM PDT

Zaid Ibrahim


ULASAN - Isteri saya terus mengingatkan supaya saya tidak lagi mengulas mengenai kenyataan menteri-menteri kabinet kerana kuathir saya akan terjerebak dengan lebih banyak masalah.

Sudah tentu, ini nasihat yang bernas dan lazimnya, saya menahan diri daripada berbuat demikian.

Tetapi apabila menteri kedua paling berkelayakan dalam kabinet, Khairy Jamaluddin (selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed), berkata 'tidak apalah untuk ahli Umno untuk menjadi balaci dan macai'- saya perlu bertindak balas.

Ketika membesar, rakan-rakan Cina saya sangat berhati-hati menggunakan perkataan "macai" ke atas orang Melayu di hadapan kami.

Dalam loghat Kantonis, perkataan berkenaan bermakna seseorang itu "diperkudakan" - ibarat budak suruhan yang dicucuk hidung.

Keturunan Melayu saya bangga dengan asal usul dan watak peribadi kami, walaupun kami ada yang miskin dan berasal dari kampung-kampung.

Kami pasti akan menentang jika dilabel sebagai "macai" sama ada oleh rakan-rakan Cina mahupun orang Melayu. Sebagai kanak-kanak, kami tidak pernah mahu membesar untuk menjadi seorang balaci atau macai kepada sesiapa sekali pun.

Tetapi saya rasa orang Melayu generasi baru yang diketuai oleh pemimpin seperti Khairy tidak sama sekali terjejas atau rasa terhina apabila orang lain melabelkan mereka sebagai "macai".

Menurut Khairy, selagi orang Melayu dan Umno berjuang untuk mempertahankan presiden parti dan perdana menteri, mereka tidak perlu berasa terhina untuk dipanggil "macai".

Sesungguhnya ini adalah transformasi budaya baru yang dibawa Umno kepada orang Melayu.

Saya hanya ingin merayu kepada anak muda Melayu untuk menolak "nasihat" Khairy.

Kita mesti berbangga sebagai satu bangsa dan kita tidak seharusnya membenarkan orang lain untuk menggunakan kita atau menggambarkan kita sebagai "macai".

Kita mesti bertanggungjawab untuk membangunkan semua orang Melayu dengan mengajar mereka nilai-nilai yang betul.

Khairy adalah berbeza. Beliau tinggal dan bekerja di "istana" dengan "maharaja" dan dikelilingi oleh panglima perang parti.

Untuk bertahan dalam autokrasi, sama ada Putrajaya atau (sebagai contoh) empayar Rusia, seseorang perlu menjadi "macai" pada setiap masa dengan harapan bahawa "maharaja" akan mempelawanya untuk menaiki takhta - dan sebaliknya, jika "baginda" tidak berkenan, individu itu akan dibuang ke suatu tempat terpencil.

Jadi y adalah betul bagi Khair untuk menjadi "macai" tetapi ia hanya betul buat dirinya. Kita tidak boleh berbuat demikian.


ZAID IBRAHIM adalah bekas menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio undang-undang.

Sah! BERSIH 5 desak tindakan ke atas skandal 1MDB

Posted: 02 Aug 2016 10:41 PM PDT

Alyaa Alhadjri 


BERSIH hari ini secara rasmi mengumumkan perhimpunan rakyat besar-besaran kali kelima akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya berkata, himpunan kali ini adalah untuk menuntut tindakan lanjut mengenai skandal 1MDB.

Katanya, untuk tidak mengadakan himpunan bukan lagi satu pilihan berikutan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang memfailkan saman sivil bagi merampas aset berkaitan dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

"Kami akan ganjurkan perhimpunan BERSIH 5 untuk memberi tekanan kepada akauntabiliti dan tindakan lebih besar.

"Tarikh dan butiran perhimpunan BERSIH 5 akan diumumkan dalam masa terdekat ...," katanya.

Jangan tunduk kepada Najib, Financial Times ingatkan Obama

Posted: 02 Aug 2016 10:39 PM PDT

MALAYSIAKINI


Akhbar kewangan Amerika, Financial Times mahu presiden negara itu, Barack Obama tidak tunduk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung kemelut 1MDB.

"Ketika tempoh perkhidmatannya di White House di penghujung, Obama harus menggalakkan semua agensi Amerika meneruskan siasatan penuh kes 1MDB mengikut undang-undang Amerika dan antarabangsa.

"Ini bukan sahaja terhad bagi kemungkinan mendakwa Najib dan rakan-rakannya, tetapi jugamembabitkan bank-bank dan syarikat-syarikat yang bersubahat dengan pengubahan haram lebih AS$3.5 bilion yang diselewengkan daripada 1MDB," katanya.

Financial Times juga menggesa Najib supaya berundur sehingga siasatan selesai dan namanya telah dibersihkan.

Najib, katanya, perlu melakukan ini "demi rakyat dan negara yang didakwanya beliau berkhidmat".

Menurut Financial Times, kes Malaysia itu hanya diberi tempoh masa yang singkat di Washington.

"Jika topik itu sampai ke meja Obama sekalipun ia biasanya dalam konteks sokongan kuat Najib terhadap perjanjian perdagangan perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atau peranan Malaysia sebagai benteng Islam sederhana menentang ekstremisme di Asia Tenggara.

"Pada malam Krismas, 2014, kedua-dua pemimpin bermain golf di Hawaii, sesuatu yang Najib sering sebut-sebutkan sebagai bukti sokongan Amerika.

"Beliau juga bijak dilamar China dalam apa yang menurut penganalisis sebagai amaran kepada Washington bahawa beliah boleh membawa Malaysia ke dalam lingkungan pengaruh Beijing sokongan Amerika mulai goyah," katanya.

Menurut akhbar kewangan itu, TPPA tidak lagi akan menjadi keutamaan Amerika kerana ditentang oleh kedua-dua calon presiden utama.

"Malaysia bersekutu dengan China adalah sangat tidak mungkin, memandangkan rekod buruk setengah-setengah pemimpin Umno dengan kumpulan minoriti Cina di negara itu sendiri," katanya.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika, baru-baru ini telah memfailkan saman sivil bagi menyita dan merampas aset yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB.

Jabatan itu menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga perdana menteri.

Antara lain, DOJ mendakwa dana 1MDB digunakan untuk membeli hartanah mewah, karya seni mahal, menyelesaikan hutang judi dan juga untuk membeli kapal terbang dan kapal layar.

Dalam samannya itu, DOJ mendakwa sejumlah AS$731 juta wang berasal dari 1MDB dikesan berada di akaun "Malaysian Official 1".

Walaupun pihak berkuasa di Malaysia membisu dalam isu ini, pembangkang mendakwa bahawa ia merujuk kepada Najib.

Perdana Menteri telah menafikan dirinya menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan dakwaan itu kepada kumpulan yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Saya dengar ada parti Peter Pan dalam pembangkang - KJ

Posted: 02 Aug 2016 10:35 PM PDT

 
 
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


"UMNO peduli apa dengan parti baharu yang khabarnya akan ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebab sudah terlalu banyak parti pembangkang di negara ini hinggakan parti Peter Pan (Parti Amanah Negara) pun ada.

"Apa yang penting, UMNO di bawah naungan Barisan Nasional (BN) akan bertemu dengan semua parti pembangkang ini pada pilihan raya umum (PRU-14) nanti dan kami telah siap untuk bertempur." kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin ketika ditanya tentang penubuhan parti baharu yang akan dibentuk oleh Mahathir pada sidang media di Cheras pagi tadi.

Bagi Khairy, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa pun boleh menubuhkan parti politik jika mahu asalkan memenuhi syarat.

"Saya cuma kenal parti Pas, DAP dan PKR sahaja kerana parti-parti ini telah lama ditubuhkan. Nama parti lain saya tak tahu tetapi ada dengar kewujudan parti Peter Pan yang merupakan parti pembangkang," ujarnya.

Kata Khairy, seberapa banyak pun parti pembangkang yang ditubuhkan, beliau yakin BN tetap akan menjadi pilihan rakyat pada PRU-14 nanti.--MalaysiaGazette


6,180 belia terima manfaat Insentif Perkahwinan

Posted: 02 Aug 2016 10:31 PM PDT

ZAINAL
 
 
Amirudin Shari berkata seramai 3802 daripadanya beragama Islam sementara 2378 lagi merupakan bukan IslamAmirudin Shari berkata seramai 3802 daripadanya beragama Islam sementara 2378 lagi merupakan bukan Islam


Seramai 6,180 belia menerima manfaat Program Insentif Perkahwinan Belia setakat April 2016, melibatkan peruntukan berjumlah RM3.09 juta.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata seramai 3,802 daripadanya beragama Islam sementara 2,378 lagi merupakan bukan Islam.

"Insentif kepada golongan belia ini selari dengan matlamat Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli.

"Ia juga merupakan satu inisiatif mensejahterakan rumahtangga dan keluarga di Selangor," katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung program berkenaan.

Amirudin berkata, sejak diperkenalkan pada 2013, sejumlah 11.3 juta dibelanjakan bagi menjayakannya dengan lebih 26,000 belia menerima manfaat.

Pada 2013, seramai 5,952 peserta dengan peruntukan RM1.19 juta, tahun berikutnya meningkat kepada 6,451 peserta (RM3.2 juta) dan pada 2015 pula seramai 7,555 peserta (RM3.7 juta).

Tidak tahu cukai tersembunyi: Menteri KPDNKK wajar letak jawatan

Posted: 02 Aug 2016 10:27 PM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Menteri KPDNKK patut letak jawatan, kata RafiziMenteri KPDNKK patut letak jawatan, kata Rafizi


Ahli parlimen Pandan kecewa dengan kenyataan balas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa beliau tidak tahu mengenai cukai minyak tersembunyi dan harga minyak setiap bulan ditetapkan mengikut purata harga pasaran bulan sebelum itu.

"Saya telah membawa isu cukai tersembunyi ini sejak tahun 2014 lagi apabila penetapan harga minyak yang dijual kepada pengguna (RON95, RON97 dan diesel) terdedah kepada keputusan politik yang menyebabkan rakyat sentiasa rugi," kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, isu ini mula-mula timbul bermula Julai 2014 apabila kerajaan tidak menurunkan harga minyak sedangkan harga minyak mentah sedunia jatuh merudum.

Bagi beliau, sikap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kesempatan dengan mencukai rakyat secara senyap pada ketika harga minyak mentah jatuh merudum telah di bawa di dalam Parlimen dan ke pengetahuan umum sejak 2014 lagi.

Sebagai tindakbalas kepada desakan termasuk ugutan untuk mengadakan demonstrasi pada 31 Disember 2014 sekiranya harga minyak tidak diturunkan selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah; pentadbiran Najib memperkenalkan sistem apungan harga berdasarkan pasaran seperti yang ada sekarang.

"Malah, saya turut disaman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor ekoran dari kritikan saya terhadap tindakan Perdana Menteri menghapuskan subsidi minyak yang saya sampaikan di dalam satu ceramah di Bandar Tun Razak mengulas dasar penetapan harga minyak pada ketika itu," katanya.

Oleh yang demikian, kata Rafizi, alasan Hamzah Zainuddin bahawa beliau tidak tahu mengenai kewujudan cukai minyak tidak boleh diterima.

Ini kerana KPDNKK sendiri tahu mereka berdepan dengan timbang tara dari Rafizi berkaitan apa-apa keputusan melibatkan harga minyak.

Selain dari kenyataan media yang berterusan, Rafiz berkata, beliau juga telah mengemukakan banyak soalan di Parlimen mengenai cukai tersembunyi akibat dari dasar penetapan harga oleh kerajaan ini.

"Jawapan beliau bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata bulan lepas bukanlah satu jawapan kerana itu diketahui umum.

"Isu yang saya timbulkan kini ialah kenapakah kerajaan melanggar formula yang ditetapkan mereka sendiri apabila kiraan berdasarkan formula (mengikut harga pasaran purata bulan Julai) menunjukkan harga RON95 bagi Ogos 2016 sepatutnya RM1.65 seliter; bukannya RM1.75 seliter yang ditetapkan KPDNKK," katanya.

Politik Terengganu kembali bergelora menjelang sidang 8 Ogos

Posted: 02 Aug 2016 10:24 PM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Politik Terengganu kembali panas menjelang sidang Dun 8 Ogos ekoran cadangan agar Ahmad Said dipecat oleh Terengganu.Politik Terengganu kembali panas menjelang sidang Dun 8 Ogos ekoran cadangan agar Ahmad Said dipecat oleh Terengganu.


Menjelang sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu 8 Ogos ini, politik Terengganu semakin panas apabila besar kemungkinan berlaku sekali lagi undi tidak percaya terhadap kerajaan negeri ekoran cadangan memecat bekas MB Datuk Seri Ahmad Said dari Umno.

Ia dinyatakan sendiri oleh Exco kerajaan negeri yang juga Adun BN Ajil, Ghazali Taib dalam satu kenyataannya hari ini.

Ghazali Taib, Exco dan juga Adun Ajil.Ghazali Taib, Exco dan juga Adun Ajil.Exco Komunikasi dan Multimedia dan Pengerusi Jawatankuasa Tugas Khas itu berkata, ini berikutan desakan menteri besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman agar bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said dipecat dari Umno.

"Kebimbangan dilihat di kalangan orang Terengganu dan majoriti Adun disebabkan oleh senario politik keliru dan tidak stabil di negeri ini.

"Mereka tidak pernah mencari satu senario di mana seorang MB telah dilucutkan gelaran negerinya (Datuk dan Datuk Seri dari MB Terengganu).

"Ini sudah merupakan petunjuk kepada semua orang bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di negeri ini," kata Ghazali dalam kenyataan itu.

Baru-baru ini, Razif meminta Majlis Tertinggi Umno bertindak memecat Ahmad Said.

Ekoran itu, ketika berucap di Kemaman baru-baru ini, Ahmad Said yang lebih mesra dengan panggilan Mat Said itu berkata, masa beliau dalam Umno kini sangat terbatas.

"Saya hanya ada masa sedikit saja lagi untuk membuat keputusan, samada saya meninggalkan Umno atau Umno meninggalkan saya," kata Ketua Umno Bahagian Kemaman itu dalam satu ucapannya di Kemaman baru-baru ini.

Menurut Ghazali, rakyat tidak berpuashati kerana mereka tidak tahu bagaimana kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu jika Mat Said dikeluarkan kerana bilangan kerusi antara kerajaan dan pembangkang akan menjadi sama iaitu 16:16.

"Apabila kita tidak tahu bagaimana untuk menguruskan kerajaan negeri, terutama mempunyai keadaan yang rapuh dengan hanya majoriti dua kerusi. BN 17, PAS 14 dan PKR 1.

"Dengan apa-apa kerajaan rapuh kita tidak mampu untuk mempunyai Umno yang dibahagikan dengan pemecatan penyandangnya.

"Kita perlu mengetepikan perbezaan kita, sama ada kita suka atau tidak, dan menyatukan semua ahli dan wakil rakyat," kata Ghazali yang dipercayai ditujukan kepada cadangan memecat Mat Said oleh MB Terengganu itu.

Terlalu awal tentukan nasib parti baharu

Posted: 02 Aug 2016 10:17 PM PDT

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal


SHAH ALAM - Penganalisis menjangkakan terlalu awal untuk menentukan potensi parti baharu yang bakal ditubuhkan di Sabah oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, meskipun pelbagai ura-ura mengaitkan ramai di kalangan ahli Umno bertindak keluar parti bagi memberi sokongan terhadap parti Ahli Parlimen Sempoerna itu, ia boleh dikatakan sebagai gimik politik.

"Parti ini belum pun ditubuhkan. Kita tunggu dan lihat perkembangannya. Jika dibuktikan ada sokongan di kalangan ahli Umno sendiri, Umno berkemungkinan akan tergugat," katanya mengulas penubuhan parti baharu oleh Mohd Shafie yang dilaporkan akan dilancar pada bila-bila masa.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat menjangkakan penubuhan parti baharu itu hanya akan mewujudkan perpecahan dalam Umno.

Ini kerana katanya, pengaruh Mohd Shafie sebagai orang kuat pemimpin Umno di Sabah sudah tentu memainkan peranan penting.

"Bagi ahli yang merasakan parti tidak lagi menepati cita rasa mereka, sudah tentu akan bersama-sama dalam perjuangan parti baru itu. Ini akan menyebabkan perpecahan dalam Umno," katanya.


Bagaimana Azmin tukar status tanah Paya Wetland? – Ahmad Bhari

Posted: 02 Aug 2016 10:00 PM PDT

 
 
Ahmad Bhari Abd Rahman
Ahmad Bhari Abd Rahman


Alumni 4B Selangor mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya memberi penjelasan mengenai status tanah Paya Wetland yang kini khabarnya telah ditukar kepada pembangunan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman berkata, tanah tersebut tidak sepatutnya ditukar status kerana ia telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Warisan Dunia.

"Kami dapat maklumat daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai mengatakan tanah tersebut telah ditukar statusnya kepada tanah pembangunan.

"Pertukaran status tersebut tidak langsung dibawa kepada pendengaran rakyat apa lagi untuk mendapatkan pandangan sama ada sesuai atau tidak.

"Bagaimana boleh ditukar statusya dan tindakan ini seperti ternyata telah menyalahgunakan kuasa yang ada pada Menteri Besar yang membuat kelulusan," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi.

Jelas Ahmad Bhari, sebagai Menteri Besar, Mohamed Azmin seharusnya mendapatkan pandangan rakyat khususnya penduduk di kawasan terbabit sebelum membuat keputusan.

"Bukan dia (Mohamed Azmin) tidak tahu kawasan tersebut adalah kawasan hutan simpan dan juga kawasan tadahan air utama untuk Selangor.

"Lebih membimbangkan rakyat, jika kawasan tersebut dibangunkan, ia akan memberi kesan buruk seperti menjejaskan alam sekitar, menjejaskan kawasan tadahan air dan menyekat rezeki penduduk di Tanjung Dua Belas yang rata-rata adalah pekebun kecil," ujarnya.

Persoalan yang timbul kata Ahmad Bhari, apakah kerajaan negeri Selangor sudah melakukan kajian impak alam sekitar?

"Kita harap, Mohamed Azmin dapat memberi penjelasan sepenuhnya mengenai status tanah tersebut dan perkara ini juga akan dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang sedang berlangsung sekarang.

"Sekiranya Mohamed Azmin tidak memberi sebarang penjelasan dalam tempoh terdekat ini, pihak kami akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk membuat semakan kehakiman dan seterusnya membatalkan tindakan tukar status yang dibuat oleh kerajaan negeri," tegasnya. - Malaysia Gazette


Moga Dzulkifli diberi keberanian menangani rasuah - Idris

Posted: 02 Aug 2016 09:52 PM PDT

 
 
Idris Ahmad
Idris Ahmad


Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berharap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu diberikan keberanian menangani masalah rasuah.

Menurutnya, Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam iklim dan isu integriti begitu panas.

"Isu 1MDB, derma RM2.6 bilion dan pendedahan DOJ mengenai RM4 bilion pengubahan wang haram yang menggunakan instrumen kewangan di Amerika Syarikat. Kesemuanya isu yang mencabar untuk beliau hadap dan tekuni," ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.

Idris dalam masa yang sama memuji komitmen pegawai SPRM yang dikenalinya sebagai berazam mahu menangani masalah rasuah.

"Memang track record pegawai SPRM di negara kita boleh dipuji memang terbukti dan teruji. Tetapi kuasa pendakwa tidak berada di tangan mereka. Ini yang menjadi halangan kepada mereka untuk bertindak kepada naga-naga besar," dakwanya lagi.--MalaysiaGazette


UMNO Perlis tak halang ahlinya dengar ceramah lain- Shahidan

Posted: 02 Aug 2016 06:39 AM PDT

Oleh Bernama
 
 
Shahidan Kassim
Shahidan Kassim


UMNO Perlis tidak melarang anggotanya mendengar ceramah atau kempen mana-mana pihak di negeri ini namun mereka dilarang terlibat dengan penganjurannya, kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata tindakan disiplin akan diambil ke atas anggota-anggota parti yang didapati terbabit menganjur ceramah atau berkempen untuk pembangkang.

"Saya ingin mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak melanggar disiplin sebaliknya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri di sini, malam tadi.

Shahidan mengulas dakwaan ramai anggota UMNO menghadiri ceramah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Arau pada malam Khamis lepas.

"Ahli-ahli UMNO mesti meletakkan disiplin mereka pada tahap tertinggi, sayang dan cintakan parti kerana UMNO satu-satunya parti yang terbukti memperjuangkan bangsa, agama dan meletakkan negara pada tahap kukuh," katanya.

Sehubungan itu, Shahidan mahu pemimpin-pemimpin parti lebih kerap mendampingi rakyat, menyelami masalah dan membantu mereka menyelesaikannya.

Beliau berkata mesyuarat tersebut memutuskan perasmian persidangan UMNO bahagian Kangar, Padang Besar dan Arau termasuk ketiga-tiga sayap dibuat serentak secara berkelompok pada 3 Sept depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan 2020 yang dijangka dihadiri lebih 7,000 orang perwakilan.

Katanya mesyuarat cawangan ketiga-tiga bahagian itu telah selesai sementara tarikh persidangan bahagian akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMNO Perlis akan mengusulkan pengambilan pekerja asing oleh mana-mana pihak dibuat mengikut formula atau nisbah 1:1 dan dijadikan syarat wajib.

Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat mengambil 1,000 pekerja asing, mereka mesti mengambil 1,000 pekerja tempatan, kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada orang asing sehinggakan hal-hal kecil yang mudah seperti urusan rumah tangga dan pengawal keselamatan pun mesti orang asing yang melakukannya.

"Saya fikir kebergantungan ini (pada orang asing) mesti dihentikan kecuali dalam sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan," kata Shahidan.-- BERNAMA


Parti Mahathir akan tenggelam - Ahmad Bhari

Posted: 02 Aug 2016 06:39 AM PDT

Ahmad Bhari Abd Rahman 
Ahmad Bhari Abd Rahman


"Parti baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak akan bertahan lama dan akan tenggelam akhirnya kerana tiada sambutan,".

Itu kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman kepada wartawan MalaysiaGazette yang memintanya mengulas tentang parti pembangkang baharu yang akan ditubuhkan oleh Mahathir.

"Yang menubuhkan parti ini adalah ahli-ahli serpihan UMNO yang kecewa dan niat mereka hanyalah untuk membalas dendam.

"Berdasarkan kepada pengalaman lalu, tidak ada parti serpihan yang akan kekal dalam politik kerana semuanya akan hanyut dan akhirnya tenggelam," katanya.

Jelasnya, biarpun ramai beranggapan penyokong Mahathir ramai, itu dilihat sebagai tanggapan yang belum pasti.

"Sebenarnya, tanggapan orang sahaja yang mengatakan penyokong Mahathir ramai dan mampu menggugat kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Hakikatnya, rakyat semakin menjauhi bekas Presiden UMNO itu kerana tidak sanggup lagi untuk melayan karenahnya yang tidak putus-putus memburukkan orang," ujarnya.

Tambahnya, Mahathir harus sedar pengaruhnya telah berkurangan dan sewajarnya kembali ke pangkal jalan dalam menghabiskan usia tuanya. - MalaysiaGazette


Selangor catat kadar tertinggi kelahiran anak luar nikah

Posted: 02 Aug 2016 06:19 AM PDT

 
 
Yaakob Sapari
Yaakob Sapari


Selangor mencatatkan kadar kelahiran anak luar nikah tertinggi setiap tahun iaitu suatu jumlah yang amat membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, sejak 2008 sehingga akhir 2015, perangkaan menunjukkan kira-kira 4,000 kelahiran setahun, dengan tahun 2013 mencecah sebanyak 4,900 kelahiran.

Katanya, jumlah itu adalah suatu yang membimbangkan dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah tertentu untuk menanganinya.

Menurut beliau, selain kadar kelahiran anak luar nikah yang tinggi, jumlah ibu tunggal di Selangor juga mencatatkan jumlah membimbangkan.

"Ibu tunggal ini berusia awal 20-an hingga 50-an. Mereka bergelar ibu tunggal atas faktor bercerai, ditinggalkan dan kematian suami.

"Saya minta kerajaan negeri menerusi anggota Exco berkenaan memikirkan suatu inisiatif segera bagi membela nasib mereka ini," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Menurut Yaakob, golongan itu juga harus diserapkan melalui program atau skim khas sebagai langkah dan usaha kerajaan negeri memberi perlindungan kepada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Shariff membidas Yaakob yang hanya bercakap untuk membela nasib ibu tunggal, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan bantuan kepada golongan itu sejak 2008.

"Sejak tahun 2008 sehingga hari ini, mana skim bantuan yang dijanjikan kerajaan negeri untuk membela nasib ibu tunggal?

"Lapan tahun golongan ini tidak menerima apa-apa bantuan di bawah skim yang diperkenalkan kerajaan negeri di awal pemerintahannya dulu," ujar beliau. - MalaysiaGazette

RISDA akur jika kerajaan tolak cadangan tanam ketum

Posted: 02 Aug 2016 06:19 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PASIR MAS: RISDA akur sekiranya kerajaan menolak cadangan menanam ketum bagi tujuan eksport, kata Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi berkata, cadangan itu tiada niat lain kecuali untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga RM1,000 sebulan dari kawasan seluas satu hektar, berbanding hanya RM200 sehingga RM300 sebulan hasil sawit dari keluasan sama.

"Itu hanya cadangan selepas dapat permintaan dari Amerika Syarikat dan Eropah. Jika Malaysia tidak bersetuju, mereka akan minta dari negara lain," katanya selepas Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016, di sini hari ini.

Sebelum ini, RISDA bercadang menanam pokok ketum bagi memenuhi permintaan pasaran luar negara untuk kegunaan dalam bidang perubatan dan farmaseutikal.

Ketum disenaraikan dalam Akta Racun 1952 di Malaysia.


Comments (0)