Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:53 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


HADI AWANG BAKAL PERDANA MENTERI?

Posted: 17 Aug 2016 02:31 AM PDT

shahbudindotcom


Kerjasama politik antara Pas dengan Ikatan yang sebelum ini dikenali sebagai Blok Ketiga, kini diberi nama Gagasan Sejahtera.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Pas, Hadi Awang dalam suatu sidang media beberapa hari lalu yang turut dihadiri Presiden Ikatan, Kadir Sheikh Fadzir dan pemimpin-pemimpin kanan Pas yang lain.
 
 
 
 
Hadi Awang ketika mengumumkan perubahan nama itu memberitahu, persefahaman itu akan menjadi gagasan baharu kepada landskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan budaya politik yang memberi kesejahteraan kepada rakyat seluruhnya.

Gagasan baharu ini juga, tambah Hadi lagi, tidak terikat dengan dua jalur politik sedia ada iaitu BN dan Pakatan Harapan.

Ini kerana tegasnya, UMNO dan BN telah terbukti membawa budaya politik korup, kronisme dan nepotisme serta kegagalan dalam mengurus pentadbiran negara, manakala satu lagi jalur (Pakatan Harapan yang mungkin dicampur BERSATU) hanya menekankan politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli di kalangan rakyat.

Dalam ertikata lain, di mata Gagasan Sejahtera, baik BN yang ditunjangi UMNO atau Pakatan Harapan bersama dengan BERSATU, kedua-duanya adalah blok politik yang "tak boleh pakai" dan harus ditolak oleh rakyat.

Bayangkan, jika pengundi benar-benar bosan dan bersetuju dengan pandangan Hadi Awang itu, lebih-lebih lagi berdasarkan kedudukannya sebagai ulama besar yang menduduki kerusi nombor dua dalam Kesatuan Ulama Sedunia, lalu memberi kemenangan kepada Gagasan Sejahtera untuk mentadbir negara pada PRU 14 akan datang.

Maka, sudah tentulah Hadi Awang akan jadi Perdana Menteri, Kadir Sheikh Fadzir sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Nasharuddin Tantawi, Nik Abduh serta ramai yang lain akan mengisi jawatan-jawatan menteri.

Bolehkah dibayangkan? 


Penerima hak milik terkenang diketawakan di era BN bila bangkit isu tanah

Posted: 17 Aug 2016 02:23 AM PDT



OLEH NAZLI IBRAHIM


SABAK BERNAM: Penerima hak milik tanah di Kampung Batu 23, Sungai Nibong terharu apabila akhirnya diberi hak milik tanah yang didiami mereka selepas berusaha selama berpuluh tahun untuk mendapatkannya.

Penduduk asal kampung terbabit, Jamal Dasuki, 70an, berkata lebih terharu lagi apabila beliau pernah diketawakan pemimpin Barisan Nasional (BN), Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas beliau membangkitkan isu hak milik tanah pada majlis yang dihadiri Menteri Besar ketika itu, Dr Khir Toyo.

"Masa itu diperintah oleh Menteri Besar Dr Khir Toyo. Dia pernah datang sini pada masa itu. Tok Sidang dan AJKKK pun ada pada masa itu, semua ada.

"Saya bercakap di dewan pada masa itu, dia orang ketawakan saya macam seolah-olah saya tak percaya. Kemudian, kali kedua saya suarakan, pun saya diketawakan.

"Cuma disebut, arwah Tok Sidang tu kata tanah kelompok ini satu geran dan dipegang oleh AJKKK Kampung ini. Saya pun rasa kecewalah. Itu di zaman pemerintah BN," katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Desa Kasih, Kampung Batu 23, Sungai Nibong di sini, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan pada 11 Ogos lalu itu melibatkan 31 penerima yang turut merupakan penduduk asal kampung sama.

Katanya, beliau bersyukur kerana diberi hak milik tanah yang didiami sejak berpuluh tahun lalu.

"Peristiwa diketawakan itu semasa pemerintahan BN. Kita ini dari zaman arwah atuk saya memang orang sebelah 'itulah', bukan yang sekarang sebab kita masa masa tu tak tahu tetapi tak apalah, kita bersyukur nampaknya orang sekarang inilah dibuka pintu hatinya dan dihormati," kata Jamal lagi.

Zainuddin Samingan, 56, pula berkata perasaannya sangat gembira kerana penantiannya selama lebih 20 tahun akhirnya berakhir.

"Syukur kerana inilah penantian selama 20 tahun dan syarat yang diberi juga tak membebankan, boleh diterima," katanya.

Sementara itu, Noryatimah Sanury, 57, pula memberitahu beliau pernah memohon hak milik tanah semasa di era BN tetapi ditolak mentah-mentah.

"Saya mula tinggal di sini sejak 1974. Sebelum ini pernah memohon tetapi tidak dapat, jadi perasaan tu memang gembira kerana dah lama menanti baru sekarang dapat," kata Noryatimah.EZY



Henti Jual Topi Keledar Kura-Kura

Posted: 17 Aug 2016 02:18 AM PDT

Gambar hiasan hasil carian Google.

MSTAR ONLINE
 
 
LARUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran menghentikan penjualan topi keledar separuh atau lebih dikenali sebagai topi keledar kura-kura kerana ia membahayakan nyawa penunggang motosikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata pihaknya mendapati ramai penunggang motosikal yang gemar membeli topi keledar itu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

"Selain daripada tindakan pihak berkenaan, orang ramai juga seharusnya mempunyai kesedaran dengan tidak membeli dan menggunakan topi keledar yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Selama, dekat sini pada Selasa.

Kempen tersebut diadakan bersempena Program Pemukiman Menteri Besar Perak di Parlimen Larut selama lima hari mulai hari ini.

Pada majlis itu, Zainol Fadzi turut mengedarkan 100 topi keledar, 100 jaket pantulan cahaya dan 30 topi keledar kanak-kanak kepada penunggang motosikal.

Ditanya mengenai kempen tersebut, Zainol Fadzi berkata ia merupakan antara usaha untuk mendidik masyarakat terutama penunggang motosikal dan pemandu kereta supaya mengutamakan keselamatan diri serta orang lain ketika di jalan raya.

"Kita dapati ada penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dengan betul, manakala pemandu dan penumpang kereta pula tidak memakai tali pinggang keledar," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Zainol Fadzi berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk melaksanakan projek pendawaian elektrik baharu di 10 buah rumah golongan kurang berkemampuan dalam Parlimen Larut.

"Setiap rumah yang dipilih oleh ketua kampung menerima peruntukan sebanyak RM1,500 bagi pemasangan pendawaian elektrik," katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik pemasangan elektrik di Kampung Teluk Mas di sini.

Zainol Fadzi berkata bantuan dan projek pendawaian itu diadakan dari semasa ke semasa bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama Datuk Mohd Daud Yusoff berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM700 bagi setiap rumah di DUN berkenaan untuk pendawaian elektrik.

Katanya sejak projek itu dilaksanakan di DUN Selama pada 2004, sebanyak 78 buah rumah telah menerima manfaat.

“Saya Sedia Jumpa PPIM” – Pemilik Rayani Air

Posted: 17 Aug 2016 02:14 AM PDT

 
 
Ravi Alagenddran.
 
 
PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagenddran sedia mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi membincangkan mengenai usaha untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Bercakap kepada mStar Online, Ravi mengalu-alukan sokongan PPIM yang meminta kerajaan supaya memberi jaminan untuk meluluskan permohonan lesen sekiranya memenuhi syarat, antaranya dengan mengemukakan pelabur bagi suntikan dana.

"Saya berterima kasih kepada PPIM terutama ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan kerana memberi sokongan dalam usaha menghidupkan kembali Rayani Air.

"Saya sedia berjumpa dengan beliau dalam waktu terdekat bagi membincangkan hal berkaitan pelabur dan masalah yang dihadapi Rayani Air," katanya.

Pada Selasa, PPIM menggesa kerajaan supaya memberi jaminan kelulusan permohonan lesen kepada Rayani Air sekiranya pemiliknya mendapat pelabur baharu.

Jaminan itu bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pelabur bagi menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih syarikat penerbangan tersebut.

Ravi berkata, permohonan lesen masih belum dikemukakan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana tumpuan pada masa ini adalah rundingan bersama bakal pelabur.

Katanya, ketika ini terdapat dua pelabur dalam rundingan membabitkan dokumentasi dan pengauditan Rayani Air.

"Kini dalam proses pengauditan melibatkan tunggakan gaji pekerja, baki bayaran balik tiket pelanggan dan kos operasi.

"Masalah gaji dan bayaran balik tiket antara keutamaan yang perlu dilakukan pelabur baharu yang akan mengambil alih pengurusan nanti," ujar Ravi.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Rayani Air perlu mengemukakan permohonan baharu kepada DCA dan Mavcom jika ia berhasrat memulakan semula operasinya.

Sementara itu, isteri Ravi, Datuk Karthiyani Govindan mengakui masih belum menghantar surat pemberhentian kerja kepada kira-kira 400 pekerja sebagaimana yang dijanjikan pada minggu lalu.

Karthiyani yang merupakan Pengarah Sumber Manusia dan Kewangan Rayani Air bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan dilakukan pada Rabu.

"Maaf, baharu selesai buat. Esok (Rabu) pekerja saya akan pos," katanya.

Wakil pekerja Rayani Air, Azharudin Mohd dalam sidang media PPIM pada Selasa memberitahu sehingga kini kakitangan syarikat penerbangan itu masih belum menerima notis pemberhentian kerja.

"Saya menggesa notis berkenaan dikeluarkan dengan segera," kata Azharudin yang turut mendakwa tunggakan gaji dan elaun pekerja selama lima bulan sejak Mac lalu berjumlah kira-kira RM8 juta, tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan ASL, serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi

Kapal Tangki 'Dirampas' Akibat Pertikaian Komersial - APMM

Posted: 17 Aug 2016 02:10 AM PDT

Oleh: MOHD FARHAAN SHAH
Adon Shalan.
 
 
JOHOR BARU:  Maklumat baharu mengenai sebuah kapal tangki minyak kononnya dirampas dan dilarikan ke Batam, Indonesia menunjukkan pemilik kapal tidak membayar bon kepada pihak berkuasa Malaysia bagi membenarkan kapal itu berlayar.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata bayaran bon adalah perlu untuk memastikan kapal itu bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku di perairan Malaysia.

"Jika tiada insiden seperti tumpahan minyak, jaminan bon itu akan dikembalikan kepada syarikat perkapalan tersebut," katanya.

Adon berkata dalam kes rampasan terbaharu membabitkan MT Vier Harmoni yang membawa bersama muatan minyak diesel sebanyak 900,000 liter bernilai RM1.57 juta, kapal itu boleh sengaja dibawa ke perairan antarabangsa disebabkan pertikaian komersial.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Kuantan berhubung perkara itu.

Jelas Adon, kapal itu yang meninggalkan pelabuhan Kuantan dalam perjalanan ke Indonesia.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengerahkan semua aset dengan serta merta termasuk sebuah helikopter untuk meninjau keadaan di perairan pantai timur Johor bagi mengesan kapal itu selepas laporan dibuat pada Rabu.

"Namun ibu pejabat APMM membatalkan operasinya selepas kami berjaya mengesan kapal itu dekat perairan Batam melalui bantuan rakan sejawatan dari Indonesia," kata Adon kepada The Star pada Rabu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ada kemungkinan berlaku beberapa pertikaian kewangan membabitkan syarikat itu yang membawa kepada kehilangan kapal tangki tersebut.

"Kami Masih Suami-Isteri" - Vida

Posted: 17 Aug 2016 02:07 AM PDT

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM
 
 
Gambar Vida bersama suaminya yang dimuatnaik dalam IG baru-baru ini.
 
 
PETALING JAYA: "Kami masih suami isteri dan bahagia seperti dulu."

Demikian tegas pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman ketika diminta mengulas mengenai isu rumah tangganya yang didakwa sedang bergolak.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin tidak selalu di sampingnya kerana sibuk dengan tugas sebagai ejen insurans.

"Orang kata suami saya tidak perlu bekerja selepas berkahwin dengan saya tetapi dia bukan jenis lelaki yang suka menumpang kesenangan hasil perkahwinan kami.

"Walaupun kami sudah berkahwin, dia masih setia dengan kerjaya yang diceburinya sejak 10 tahun lalu. Saya pun tidak halang dia. Kadang kala dia akan jumpa klien kalau saya ada program di Kuala Lumpur," kata Vida dalam satu temubual bersama mStar Online.

Vida yang juga aktif berkongsi rutin harian dengan pengikutnya di laman media sosial, Instagram (IG) menegaskan suaminya itu tidak suka 'interframe' dalam video atau gambar yang dimuatnaik.

"Baru-baru ini kami sekeluarga bercuti bersama rakan-rakan di Royal Belum Resort, suami saya ada sekali. Kami ada bergambar bersama cuma dia tak selalu ada dalam video yang saya rakam untuk dikongsi bersama peminat.

"Kalau saya ajak bergambar, dia amat sporting tapi dia tak adalah nak sentiasa ada dalam gambar atau video yang saya ambil. Jika kebetulan saya rakam video suami ada pada waktu itu, dia pun akan beri kerjasama. Suami saya memang tahu saya suka selfie dan rakam video untuk tatapan peminat," katanya.

Sehingga hari ini, Vida mempunyai seramai 885,000 pengikut di IG.

Vida sering berkongsi rutin hariannya dengan peminat di laman sosial media itu.

Ditanya mengenai zuriat hasil perkahwinannya dengan Fairuz, Vida berkata beliau sering berdoa kepada Allah agar diberi kesempatan untuk merasai semula nikmat melahirkan anak.

"Sebagai pasangan suami isteri sudah tentu kami mahukan anak menerusi perkahwinan ini. Namun rezeki masih belum ada lagi. Dengan adanya zuriat saya percaya ia mampu menguatkan lagi hubungan kami sebagai suami isteri," katanya.

Tikar Beracun?

Posted: 17 Aug 2016 02:03 AM PDT

DR SUHAZELI ABDULLAH





Saya terkesima sekejap membaca ulasan akhbar tempatan yang menyeru orang ramai berhati-hati dengan tikar beracun. Tikar murah yang banyak di pasaran telah dikatakan mengandungi bahan kimia beracun seperti Bisphenol A (BPA) dan Phtalates.[1] Kedua-dua bahan ini dikaitkan dengan penyebab kanser dan penyakit kegemukan serta kencing manis di kalangan kanak-kanak.

Terlintas juga dalam benak minda ini, anak-anak saya obese mungkin akibat tikar beracun ini? Tetapi tak mungkin sebab mereka bukannya makan tikar tu. Kami menggunakan sekali sekali apabila bersenda mesra piknik di tepi pantai. Mohon dijauhkan bahaya pada masa depan agar anak-anak saya tidak dihinggapi penyakit kanser.

Saya buat sedikit carian melalui rujukan yang berautoriti seperti PubMed, NIH, WHO dan FDA.[2,3] Rupa-rupanya terdapat beberapa buah negara yang melarang penggunaan pembungkusan makanan seperti bekas air, bekas makanan dan botol susu bayi yang mengandungi BPA/phtalates.

Negara kita juga pernah (2012) membuat larangan yang sama, melarang penjualan botol yang mengandungi bahan tersebut.[4] Namun tiada pula larangan ke atas penjualan yang berbentuk tikar atau peralatan rumah lain. Mungkin juga pada masa tersebut masih belum ada lagi di pasaran bahan berkenaan yang dijadikan bahan asas dalam pembuatan tikar plastik.

Dari sudut kajian sains perubatan, kedua-dua bahan tersebut masih belum terbukti secara sahih boleh mengakibatkan kanser atau ganguan sistem endokrin manusia (yang menyebabkan kegemukan dan kencing manis).

Terdapat beberapa kajian yang dilakukan di Kanada, Eropah dan Jepun yang cuba mengaitkan risiko kanser serta gangguan endokrin, tetapi semua kajian berkenaan tidak dapat membuktikan dakwaan (inconclusive). Tambahan lagi, kajian tersebut dilakukan ke atas tikus dengan kaedah memberi bahan BPA/Phthalates secara terus.

Dan hasil kajian yang mereka kemukakan adalah: Kajian lanjut diperlukan dan mengambil masa yang lebih lama bagi membuktikan teori seperti yang didakwa. In bermakna tiada pertalian terus antara BPA/P dengan kejadian penyakit kanser, kegemukan dan kencing manis apabila kita menggunakan tikar atau alatan rumah berkenaan.

Cuma, para pengkaji berandaian risiko kejadian mungkin berlaku jika sekiranya mengambil BPA/P secara oral (melalui bekas yang digunakan). Oleh yang demikian, beberapa buah negara termasuk Malaysia juga mengharamkan botol BPA.

"Semoga Bermanfaat"

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
‪#‎MedicalMysthBustersMalaysia‬
‪#‎MedTweetMY‬
16.8.16

Rujukan silang:
[1] Laporan akhbar. https://pixelperfext.blogspot.my/…/alamak-tikar-beracun.html
[2] Phtalates. https://toxtown.nlm.nih.gov/text_version/chemicals.php?id=24
[3] Bisphenol A. http://www.who.int/…/fs_mana…/No_05_Bisphenol_A_Nov09_en.pdf
[4] Malaysia melarang guna BPA. http://www.thestar.com.my/…/2…/03/01/bpa-bottles-now-banned/

Polis digesa tangkap Nawawi selepas mendakwa ‘MO1’ merujuk Agong

Posted: 17 Aug 2016 01:55 AM PDT

DETIK DAILY
 



PETALING JAYA: Seorang peguam kanan hari ini menggesa polis menangkap Datuk Nawawi Ahmad selepas ahli Parlimen Langkawi itu mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan "Malaysian Official 1" (MO1), ungkapan yang digunakan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mendakwa salah laku dan kecurian dana dari 1MDB.


Rosli Dahlan melahirkan rasa terkejut dengan Nawawi yang dianggapnya sebagai biadap terhadap Agong, dan berharap semua pihak mengutuk kenyataan itu.

"Tidak ada yang lebih gila dan keji daripada apa yang dikatakan dalam Facebook beliau (Nawawi)," kata peguam terkemuka itu.

Katanya, sekiranya peguam negara tidak bertindak, beliau sendiri akan membuat permohonan untuk mendakwa Nawawi demi mempertahankan institusi raja dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam beberapa komen bersama pengguna Facebook, Nawawi berkata ungkapan "MO1" itu merujuk kepada Agong, dengan memberi alasan pegawai nombor satu negara menurut Perlembagaan Persekutuan adalah Agong.

"MO1 ialah Malaysian Official No 1. Mengikut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari 3 entiti utama yang berasingan dan independent iaitu 1) badan kehakiman diketuai chief justice atau ketua hakim negara 2) badan perundangan parlimen diketuai Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar dan 3) badan eksekutif diketuai oleh YAB Perdana Menteri.

"Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab pada DYMM Agong. Maka mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong," tulis Nawawi dalam Facebooknya baru-baru ini.

Beliau merujuk dokumen 136 muka surat DOJ bulan lalu membutirkan salah laku dan kecurian wang 1MDB, yang turut menyebut "MO1" sebanyak 36 kali.

Walaupun spekulasi mengaitkannya kepada perdana menteri, pemimpin Barisan Nasional (BN) berkata Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam siasatan DOJ itu.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, bagaimanapun berkata hanya "orang bodoh" yang tidak tahu identiti MO1.

Dokumen DOJ itu antara lain menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan jutawan Low Taek Jho.

Rosli berkata dalam "mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan", Nawawi merasakan wajar memburuk-burukkan institusi raja.

"Inilah yang berlaku sekiranya keadilan dibelakangi dan keluhuran undang-undang dipijak. Kita tidak boleh biarkan kelakuan sebegini menjangkiti masyarakat semata-mata mahu membela pegawai yang rasuah," kata Rosli.~FMT

Bagaimana Umno urus derma politik era 70-an? Ini cerita Musa

Posted: 17 Aug 2016 01:49 AM PDT

MALAYSIA TODAY


Musa-Hitam5


(FMT) – Teliti sungguh Tun Dr Ismail dengan wang derma kepada Umno – setiap sen direkodkan supaya aliran wang masuk telus, kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata Umno satu ketika dulu amat teliti dalam penerimaan derma politik sehinggakan penderma berasa tidak selesa ketika diberitahu tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Menulis dalam buku Frankly Speaking yang mengisahkan pengalaman sepanjang karier politiknya,
Musa yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno pada awal 1970-an kerap berjumpa timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang terkenal dengan ketegasan menguruskan wang.

Katanya, sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan, Umno akan mengumumkan parti itu bersedia menerima sumbangan kewangan bagi membiayai kempennya.

"Peraturan asas Tun Ismail ialah setiap sumbangan, termasuk dari sektor swasta, mesti diisytiharkan dan tidak boleh diterima secara peribadi," kata Musa, yang menganggap dirinya seorang jahil dalam soal mendapatkan dana bagi parti, walaupun ketika itu menjawat timbalan menteri perdagangan dan industri di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya amalan itu diteruskan pada era pentadbiran Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga menggantikan Razak.

"Malah, Tun Hussein Onn mungkin lebih teliti," tulis Musa.

"Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan.

"Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini."

Pas tak benar parti selain PKR bertanding

Posted: 17 Aug 2016 01:15 AM PDT

SINAR HARIAN

Mohd Amar Nik Abdullah


KOTA BHARU - Pas tidak membenarkan parti selain Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata, jika benar parti pembangkang ingin mengambil semangat satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang, mereka perlulah memberi laluan kepada Pas dan PKR untuk menentang BN di negeri itu.

"Kalau kita nak ambil semangat satu lawan satu dengan BN ini, maknanya parti selain Pas dan PKR, tak boleh bertanding di Kelantan (pada PRU akan datang).

(Jadi) jangan kacaulah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Sayyidatina Khadijah di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan Parti Amanah Negara (Amanah), parti serpihan Pas, bertanding di Kelantan pada PRU akan datang.

Ditanya mengenai ancaman Amanah di Kelantan, beliau berkata penubuhan parti itu setakat ini masih belum memberi kesan kepada Pas terutama di Kelantan.

"Kami setakat ini boleh tidur lena lagi," katanya. – Bernama


Pembantu rumah bukan Islam disekat?

Posted: 17 Aug 2016 01:08 AM PDT

Pembantu rumah bukan Islam disekat?
Gambar hiasan
 

JABATAN Imigresen dilaporkan mengeluarkan arahan terbaru dengan melarang majikan Islam mengambil pembantu rumah bukan Islam, lapor China Press.

Agensi-agensi pembantu rumah yang membantu melakukan proses permohonan untuk majikan Islam mengadu permohonan berkenaan ditolak disebabkan peraturan terbaru itu.

Bagaimanapun, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) ketika memberikan reaksi, memberikan jawapan yang berbeza.

Menurut Timbalan Presiden Papa, Foo Yong Hooi, dasar tersebut sebenarnya telah lama berkuat kuasa sejak lebih 10 tahun lalu, namun mungkin ia agak longgar dari segi penguatkuasaan.

"Sebelum itu ada majikan Islam berjaya mendapatkan khidmat pembantu rumah bukan Islam. Ini mungkin berpunca daripada syarat yang tidak ketat dikenakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berpendapat, dasar itu diharapkan tidak akan menjejaskan sektor pengambilan pembantu rumah di negara ini dan meminta semua pihak tidak menggembar-gemburkan isu tersebut.

Sementara itu, Presiden Mama, Engku Ahmad Fauzi pula terkejut dan keliru dengan dasar baharu itu dan beranggapan ia adalah keputusan yang 'misteri'.

"Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menjelaskan, ia bukanlah dasar yang baru, namun pihak majikan tetap mempertikaikan apakah tujuan menguatkuasakan dasar tersebut yang mungkin boleh menimbulkan masalah untuk mengambil pembantu rumah," katanya.

Jelas beliau, pegawai Jabatan Imigresen menegaskan ia adalah peraturan lama, namun persatuannya mendapati pihak berkuasa tidak pernah menjalankan tindakan penguatkuasaan.

"Pihak persatuan kami akan sokong keputusan yang dibuat kerajaan. Harap Jabatan Imigresen tampil memberi penjelasan dan berbincang dengan pihak persatuan mengenai polisi tersebut. Biarlah kami memahami dengan lebih jelas," kata Engku Ahmad.

SPRM perlu lebih agresif

Tindakan drastik yang dilakukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad dengan membeku, menyita atau melucutkan hak harta yang diperoleh melalui perbuatan rasuah perlu disokong.

Lidah Pengarang Sin Chew Jit Poh menulis, walaupun baru dua minggu dilantik memegang jawatan tersebut, Dzulkifli telah bertindak dengan tegas dalam membendung perlakuan rasuah di negara ini.

Akhbar ini berpendapat, SPRM perlu lebih agresif dalam usaha membendung gejala rasuah memandangkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menyenaraikan Malaysia menduduki tangga ke-54 daripada 168 negara pada tahun lalu.

Selama ini, tindakan SPRM dikatakan hanyalah dikenakan ke atas 'ikan bilis' sehingga menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti badan tersebut.

Oleh itu, kejayaan atau kegagalan SPRM selain usaha pegawai-pegawainya sendiri, kerjasama daripada orang ramai turut diperlukan bagi melahirkan sebuah negara yang bersih daripada sebarang perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Chang Yeow tidak mahu konfrontasi

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menegaskan, beliau tidak sedia berkonfrontasi dengan pucuk pimpinan parti, tulis Sin Chew Jit Poh.

Katanya, perpaduan parti perlu diutamakan dan semua pihak perlu tahu bahawa musuh utama Gerakan ialah DAP dan bukan ahli partinya sendiri.

"Oleh itu, pusat parti juga perlu sedar keadaan ini. Jika tidak, kedua-dua pihak tidak memperoleh apa-apa kelebihan," jelas Chang Yeow ketika mengulas hubungan beliau dengan pusat parti yang dikatakan dalam keadaan genting.

Menurutnya, selama ini beliau tidak gemar memburuk-buruk pusat parti secara terbuka, namun akibat hilang sabar, beliau terpaksa bertindak dengan harapan pihak lawan tidak lagi terus berpolitik dan mempermainkannya.

"Sayalah pemimpin Gerakan yang paling faham keadaan parti di Pulau Pinang berbanding dengan pemimpin lain. Saya harap ketika parti sedang bersiap sedia hadapi PRU akan datang, jangan ada pemimpin parti yang cuba menikam dari belakang," terang Chang Yeow.


Comments (0)