Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:49 PG | Posted in

sumber :-

.


Nasib Ahmad Razif bagaikan telor di hujung tanduk

Posted: 05 Aug 2016 10:41 PM PDT

MENAKSIR POLITIK PENYU

Razif: Nyawa-nyawa ikan.
Ribut utara yang menimbulkan kekalutan di Pulau Pinang dua minggu lepas yang mesenandungkan hasrat DAP untuk membubar Dun Pulau Pinang bagi diadakan pilihan raya negeri (Pirane) di situ, tampaknya sudah beralih dan bertukar haluan.

Ribut itu kini bergerak kencang melanda Terengganu pula. Peralihan ribut itu menyebabkan paras air laut dan ombak lautan China Selatan yang sudah pun bergelombang sebelum ini menjadi naik mendadak.

Rakyat Terengganu khasnya yang peka politik kini laksana nelayan yang mencari makan dengan turun ke laut, tidak senang duduk, kerana dihumbam dengan cerita politik negeri Penyu itu yang bergelora. Mereka menunggu dan menanti masa sahaja bila DUN Terengganu akan dibubarkan?


Walaupun rakyat Terengganu sudah "muhib" dengan laut, ombak dan badai, namun gelora lautan politik itu menyebabkan mereka terpanggil untuk memerhatinya. Mereka menunggu dengan penuh minat apakah gelora itu sehingga memaksa DUN dibubarkan dan Pirane diadakan sebagai titik nokhtahnya. Setengah mereka suka kalau DUN dibubarkan kerana ia memberi peluang untuk mereka mengutip rezeki jatuh.

MB Ahmad Razif sendiri membayangkan dia seakan lebih suka kalau Dun dibubarkan dan pilihan raya diadakan. Baginya alternatif itu terbaik buatnya? Beliau yakin BN akan menang besar dengan mengukur keupayaan itu kepada masalah yang melanda parti-parti pembangkang kini.

Ghazali tentang Razif.
Syed Azman layak jadi MB.
Pun begitu gara-gara ribut di luar musim itu, menyebabkan kedudukan MB Ahmad Razif Abdul Rahman tidak tenteram. Razif kini serba salah, duduk tidak kena berdiri mudah lenguh lutut. Al maklumkan kawan baharu menjadi MB dan belum nikmat peluang itu sebanyaknya. Belum pun dapat "mengokok" harta untuk bekalan di masa depan seperti kenyakan menteri besar lain? Maaf.

Memerhati apa yang berlaku di Terengganu itu, bersandarkan perkembangan muasir, meletakkan keadaan Razif dan Umno Terengganu bagaikan telor di hujung tanduk. Razif kini seakan sedang bernyawa-nyawa ikan. Bila-bila masa sahaja nafas politiknya akan lucut. Air kuasa yang menjadi penyambung hayatnya kian menyurut menampakkan bongkah-bongkah kekecewaan.

Dalam melihat realiti di Terengganu itu, sore semalam saya kebetulan dihubungi oleh Adun Bandar yang juga kawan lama sdr Azan Ismail. Jadi dapatlah saya meninjau dan bertanyakan pandanganya berhubung perkembangan dan senario politik di negeri Penyu itu serta apa yang bakal berlaku dalam Dewan.

Lama juga berbicara dengan Azan, termasuk bertanya khabar tentang peluang dan hubungan PKR dengan parti agama (Pas) Terengganu.

Menurut maklumat dan "ikhtisar" oleh Azan, kedudukan Ahmad Razif kini sangat-sangat mencemaskan. MB itu katanya sudah hilang kekuatan dan naungan (maruah) untuk melindungi kekuasaanya. Kata Azan, justeru beliau harus membuat sesuatu tindakan segera.

Bagi Pengerusi PKR Terengganu itu, tindakan paling baik untuk diambil oleh Razif ialah dengan menghadap Sultan memohon agar DUN Terengganu dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya diadakan. "Tidak ada cara lain paling baik bagi Ahmad Razif, melainkan minta Sultan perkenan untuk dibubarkan Dun."

Menurutnya Razif sudah hilang tiga kuasa naungan (maruah) dimana dengan kehilangan ini MB itu sudah tidak ada kekuatan dan maruah lagi. "Kalau ambo jadi dia, ambo berundur dengan terhormat untuk jaga maruah. Ambo ambil jalan pintas sebelum dipintasi," tekan Azan sedikit berfalsafah.

Atau pun kalau tidak berundur, tegasnya bubarlah Dewan dan adakan pilihan raya semula untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat, biar rakyat menentukan siapa berhak. Razif kena faham kedudukannya kini sebagai MB adalah umpama meminjam kuasa Ahmad Said," sambungnya.

Azan wakiil tunggal PKR.
Tiga kuasa atau naungan dimaksudkan Azan itu ialah, Ahmad Razif sudah tidak mempunyai (persepsi) hubungan baik dengan Sultan lagi apabila darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya telah ditarik balik.

Penarikan itu memberi gambaran Sultan tidak berkenan dengan beliau dan ada sesuatu yang meretakkan hubungan Istana dengan pejabat MB. Adalah sukar untuk seorang MB menjalankan tugasnya apabila hubungan dengan Istana tidak lendik.

Azan juga menceritakan ekoran perkembangan tidak sihat itu menyebabkan mesyuarat mingguan Exco tidak berjalan dengan lancar dan beberapa keputusan demi kepentingan rakyat juga tidak dapat dibuat dengan baik.

Kuasa naungan kedua yang hilang daripada Razif ialah, sokongan dikalangan Exco. Mungkin masih ada Exco bersamanya. Tetapi kenyataan terbuka oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Ghazali Taib itu satu pukulan buat Razif. Pendedahan Ghazali bahawa ada krisis kepimpinan dalam kerajaan Terengganu sangat menjejaskan kedudukan Razif sebagai MB. Ia memberi gambaran Razif gagal menyelesaikan kemelut kepimpinan di Terengganu.

Keseriusan kenyataan Ghazali itu dipamerkan pula oleh tindakan Ketua Penerangan Umno Terengganu Wan Hakimi Wan Mokhtar yang mendesak Ghazali meletak jawatan. Apa yang dapat disuluh dalam kasus ini, Ghazali seakan bersama bekas MB Ahmad Said, manakala tindakan Wan Hakimi membela Razif. Situasi ini menjelaskan kerajaan Razif tidak kompak.

Ertinya usaha Razif meredakan kemelut dan krisis kepimpinan di Terengganu gagal selepas beliau mengganti Ahmad Said. Tindakannya menyusun semula barisan Exco dan perubahan porfolio juga tidak memberi bekas, bahkan ia makin merebakkan krisis di negeri Penyu itu sekaligus meletakkan kerajaan Terengganu tidak stabil.

Sementara kuasa atau naungan ketiga yang sirna atau hilang daripada Razif ialah sokongan daripada partinya sendiri. Beliau katanya sudah membawa kes Ahmad Said ke pengetahuan Najib Razak dan Majlis Tertinggi (MT) Umno. Razif mahu Umno bertindak memecat Ahmad Said daripada Umno.

Malangnya, Najib atau MT tidak sedia akur kepada desakan Razif itu. Keengganan MT itu menunjukkan suara Razif tidak laku dan dipedulikan oleh partinya sendiri dan ini menjatuhkan maruahnya. Lantaran itu tegas Azan sekiranya MB itu ada maruah dan rasa malu, Razif perlu melakukan sesuatu yang kontradik dengan gesaan itu, beliau kena melepaskan jawatan MB.

"Tidak ada guna menjadi MB kalau tidak ada maruah," kata Azan.

Seperti mana kata Azan, maruah Razif sebagai MB sudah tidak ada lagi, melainkan beliau (Razif) melakukan sesuatu tindakan bagi menjaga maruahnya. Baginya tindakan terbaik ialah dengan membubar DUN Terengganu. Pembubaran DUN Terengganu boleh mengembalikan maruah Razif.

"Saya dah kata kepada Razif, beliau perlu mengambil tindakan bubarkan DUN Terengganu dan adakan pilihan raya. Itu sahaja cara sebaik-baiknya untuknya menjaga air mukanya," singgung Azan. Sambungnya lagi Razif juga boleh minta bubar DUN, dan selepas itu beliau terus letak jawatan sebagai MB dan bersara dalam politik. "Cara ini tidak sangat menelanjangkan Razif dengan kemaluan."

Bagi pendapat Azan cara itu lebih baik daripada Razif berundur dengan dijatuhkan sama ada oleh partinya atau parti lawan. Jatuh secara begitu juga dianggap bermaruah dan bertanggungjawab.

Persoalannya kini, untuk menghadapi Sultan bagi memohon dibubarkan DUN, Razif akan berdepan dengan beberapa kemungkinan. Paling ditakuti ialah, sekiranya Sultan tidak sedia mendengar nasihat itu dan mencari resolusi lain bagi meneruskan kerajaan yang ada kini.

Menurut Perkara 16 Perlembagaan Tubuh Kerajaan Terengganu, Sultan boleh menerima pandangan MB untuk bubar Dewan, tetapi dalam masa sama, Sultan juga boleh meminta alternatif lain. Sekiranya ada mana-mana parti mendapat keyakinan anggota Dewan, maka wakil daripada parti itu boleh dilantik menjadi MB. Ertinya kerajaan Terengganu boleh dibentuk semula tanpa diadakan Pirane.

Apa dibimbangi Razif kini, Sultan tidak memberi perkenan untuk bubar Dewan. Akibatnya beliau bersama Exconya akan atau perlu meletak jawatan dan menyerahkan kepada budi biacara Sultan melantik MB yang baharu.

Berhubung pelantikan MB baharu, ia tidak mustahil parti agama (Pas) boleh mengemukakan salah seorang Adunnya untuk dilantik menjadi MB. Ini tidak mustahil, kalau Ahmad Said bersama sekurang-kurang dua Adun bersedia memberi sokongan kepada Pas melayakkan Pas mendapat suara lebih kemudian boleh melantik wakilnya menjadi MB.

Pas kini ada 14 orang wakil dicampur dengan seorang wakil PKR jadi 15, dan kalau dicampur dengan dua wakil daripada Umno, katanya Ahmad Said dan Ghazali ia menjadikan 17 dimana Pas mempunyai majoriti satu undi. Kelebihan itu sudah melayakkan Pas mencalunkan wakilnya. Perkara ini sebenarnya tidak pelik dan sangat mudah sekiranya parti agama ada political will. 

Sayangnya parti itu seakan sudah menopaus untuk mencari jalan memerintah Terengganu dengan mengambil kesempatan atas krisis yang berlaku dalam Umno.

Sudah beberapa kali saya katakan sekiranya keadaan di Terengganu hari ini kerajaan yang tipis itu dipimpin oleh Pas, sudah lama kerajaan itu bertukar tangan. Sekali lagi sayang Cik Minah bulu ketiak panang, kerana politik matang dan sedarhana menjadi amalan Pas menyebabkan keadaan yang ada kini tidak memihak kepada Pas.

Bercakap siapakah calon atau Adun yang layak untuk diangkat oleh Pas menjadi MB. Mungkin Adun itu bukan Abdul Hadi Awang. Hadi pernah jadi MB dan kerajaanya tumbang belum cukup lima. Kekalahan Pas di Terengganu (2008) sehingga hilang kerajaan ada kena mengena dengan kelemahan dan "keewekan" Hadi bermain politik. Untuk jadi MB ia tidak cukup sekadar hafal Hadith dan rapuh membaca firman Allah semata-mata.

Masih ada beberapa nama lain yang layak dan berwibawa. Bukan orang bernama Satifu Bahri? Dalam konteks politik sekarang nama paling layak ialah Syed Azman Syed Ahmad Nawawi,  Adun Batu Buruk. Syed Azman walaupun mewakil kawasan Batu Buruk tetapi pemikiran dan daya politiknya baharu dan progresif.

Selain Syed Azman, Adun Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar juga boleh diangkat menjadi MB. Pengalamannya sebagai bekas pegawai kanan Kerajaan melayakkan beliau menjadi MB.

Dalam pada itu dengan senario terbaharu di Terengganu kini, bekas Exco Kanan Terengganu, Mustapa Ali tidak menolak kemungkinan DUN Terengganu akan dibubarkan. Baginya keadaan kemelut politik Terengganu tidak akan pulih selagi Dun tidak dibubarkan. Ditanya apakah partinya ada peluang untuk rampas Terengganu, Mustapa hanya menjawab, "ada harapang", tanpa mahu menjelaskan lebih lanjut. [wm.kl.1:19 t/hari 06/08/16]

Comments (0)