Followers

Nuffnang

tun faisal dot com

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 2:15 PTG | Posted in

sumber :-

tun faisal dot com


Puad Zarkashi - Tidak faham Laporan PAC, punca Muhyiddin dan Ezam desak tukar status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB

Posted: 13 Jul 2016 02:37 AM PDT


1. Terdapat kemungkinan Muhyiddin Yassin dan Ezam Mohd Noor tidak membaca secara teliti Laporan Jawatan Kuasa Kira Wang Negara (PAC) bertajuk Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setebal 106 mukasurat. Jika mereka membacanya sekalipun, mungkin mereka tidak memahami kandungannya. Sekiranya Muhyiddin dan Ezam benar-benar membacanya, pasti kedua-duanya tahu bahawa di dalam Laporan PAC tersebut sudah terkandung kesimpulan hasil siasatan Jabatan Audit Negara (JAN), selain dapatan dan kesimpulan dari PAC sendiri.

2. Muhyiddin secara berterusan menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal klasifikasi laporan audit ini. Muhyiddin gagal memahami bahawa ia merupakan permintaan Ketua Audit Negara sendiri. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin pada 4 Mac 2016, yang memaklumkan keperluan dan tindakan yang diambil oleh JAN untuk mengklasifikasikan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB sebagai dokumen rahsia rasmi. Dalam kenyataan itu disebut bahawa keputusan Jabatan Audit Negara ini dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibocorkan SECARA BERPILIH oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan PAC.

3. Muhyiddin juga secara sengaja berbohong dan memutar belit kenyataan berhubung arahan kepada Ketua Audit Negara. Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Mac 2015, jelas disebut bahawa "Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengarahkan Ketua Audit Negara melakukan pengesahan bebas (perkataan yang digunakan "verify") akaun syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Berhad, (1MDB). Laporan Ketua Audit Negara itu kemudiannya akan diserahkan (perkataan yang digunakan "will be passed") kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) parlimen untuk semakan (perkataan yang digunakan "inspection")." Turut disebut bahawa kenyataan media itu dibuat selepas wakil 1MDB dan wakil pengaudit syarikat itu, Deloitte dipanggil memberi penerangan kepada jemaah kabinet pada hari yang sama. Dinyatakan bahawa wakil 1MDB memberi penerangan berhubung situasi terkini syarikat dan turut memberikan jawapan terhadap pelbagai soalan yang dikemukakan anggota kabinet termasuk oleh Perdana Menteri dan timbalannya, manakala Deloitte pula memberikan gambaran menyeluruh hubungan dengan 1MDB dan mengesahkan audit akaun syarikat.

4. Telah dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri sejak hari pertama pengumuman mengenai arahan kepada Ketua Audit Negara dibuat bahawa "laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan kepada PAC yang dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk disemak secara telus". Adakah Muhyiddin gagal memahami bahasa mudah yang digunakan dalam kenyataan tersebut? Di manakah yang disebut bahawa Laporan Ketua Audit Negara akan didedahkan kepada umum? Muhyiddin memetik tulisan dalam blog Najib yang menyebut mengenai "fakta-fakta dari laporan Ketua Audit Negara dan PAC" untuk menuduh PM tidak menepati janii. Untuk pengetahuan Muhyiddin dan Ezam, fakta-fakta inilah yang digunakan dan dimasukkan di dalam laporan PAC. Silalah baca semula laporan PAC tersebut.

5. Dari segi proses dan prosedur, Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB adalah untuk dibentangkan kepada PAC agar laporan tersebut boleh diteliti dan semakan susulan boleh dibuat. Kenapa PAC dilibatkan? Penglibatan PAC penting kerana ia diberikan autoriti untuk memanggil pihak yang terlibat dalam isu 1MDB ini dan penjelasan konteks sesuatu peristiwa boleh ditanya. PAC juga penting kerana ia boleh memberikan pandangan yang objektif atas sifat dwi-partisannya yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Selepas PAC membuat semakan, mereka juga diberi autoriti untuk mencadangkan tindakan-tindakan susulan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu 1MDB ini.

6. Kenapa butiran laporan Ketua Audit Negara tidak wajar didedahkan kepada umum? Seperti yang disebut tadi, permintaan dan tindakan JAN untuk mengklasifikasikan laporan ini sebagai rahsia rasmi adalah kerana terdapat kecenderungan untuk menggunakan dapatan audit ini SECARA BERPILIH dan tidak bertanggung jawab. Cebisan-cebisan daripada laporan Ketua Audit Negara ini boleh diambil SECARA BERPILIH tanpa pengetahuan mengenai konteks sebenar cebisan maklumat tadi. Ia boleh membuka ruang kepada pelbagai spekulasi sedangkan jelas sekali pihak yang membuat spekulasi ini tidak mempunyai autoriti untuk memanggil semua pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Akhirnya isu ini akan dibicarakan tanpa kesudahan dalam mahkamah pendapat umum dan dibicarakan melalui media, sedangkan pihak yang berautoriti dan diwakili oleh wakil rakyat BN dan pembangkang telah membuat semakan dan memberikan pelbagai cadangan kepada kerajaan mengenai tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh 1MDB.

9. Rumusan PAC ini boleh di baca di mukasurat 103 hingga 106 laporan tersebut. Antara lain menyebut mengenai kelemahan tadbir urus, kekangan 1MDB dalam melaksanakan peranannya, cadangan-cadangan untuk memperbaiki tadbir urus syarikat dan siasatan susulan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB. Apakah tanggung jawab kerajaan selepas PAC mengemukakan laporan dan cadangan? Tanggung jawab kerajaan adalah untuk melaksanakan cadangan-cadangan PAC seperti yang sedang dilaksanakan sekarang, termasuk melakukan siasatan ke atas bekas CEO 1MDB. Siasatan ini sedang dilakukan oleh pihak PDRM dan tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang atau perilaku jenayah.

10. Kenapa Muhyiddin dan pembangkang mahu dokumen ini dideklasifikasikan? Mereka sekadar mahu menangguk di air keruh dan ingin polemik 1MDB berterusan serta dibicarakan melalui media, bukan kerana mereka mahu isu 1MDB diselesaikan. Mereka adalah pihak yang paling rugi jika isu 1MDB dapat diselesaikan.

Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

#Throwback: Laporan PAC, 1MDB: Muhyiddin ternyata banyak berbohong - Puad Zarkashi

Posted: 12 Jul 2016 07:13 PM PDT



Jelas sekali bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak melakukan pembohongan apabila seringkali beliau mendakwa tidak tahu, tiada maklumat, tidak pernah diberi taklimat dan tidak faham mengenai 1MDB.

Ini kerana mana mungkin selepas membuat pendakwaan tersebut Muhyiddin mampu mengeluarkan 17 hujah mengenai 1MDB.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi segala persoalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin ternyata bercanggah dengan apa yang dilaporkan oleh PAC.

Malah ia sekaligus telah menjeratkan diri Muhyiddin sendiri apabila yang turut menyokong dan meluluskan penubuhan 1MDB pada 2009 disaat beliau masih berada dalam kabinet dan antara Ahli parlimen yang meluluskan ketika pembentangan Bajet 2010.

Berikut kenyataan penuh Puad Zarkashi.

1. Amat menghairankan apabila tiba-tiba sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai 17 hujah mengenai 1MDB sedangkan sebelum ini, dia sering mendakwa tidak tahu, tiada maklumat, tidak pernah diberi taklimat dan dia tidak faham mengenai 1MDB melainkan selepas membaca The Edge dan pelbagai alasan lagi. Adakah 17 hujah ini ditulis oleh penulis ucapannya?

2. 17 hujah serupa dengan soalan lazim Tony Pua, Ahli Parlimen Dap yang telah dijawab berkali-kali oleh 1MDB. Tony Pua adalah anggota PAC dan perlu diingatkan bahawa laporan PAC telah diterima secara konsesus oleh setiap anggotanya yang terdiri dari Ahli Parlimen BN dan pembangkang. Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC, yang juga merupakan Ahli Parlimen Dap telah menyindir Tony Pua dan mengesahkan Najib tidak bersalah kerana RM2.6 bilion bukan dari 1MDB dan RM42 bilion tidak lesap seperti dakwaan Muhyiddin dan sekutunya Tun Dr Mahathir.

3. Muhyiddin menyatakan bahawa "saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara". Muhyiddin mungkin terlupa bahawa dia merupakan anggota Jemaah Menteri yang meluluskan penubuhan 1MDB pada tahun 2009 dan jaminan kerajaan untuk pinjaman Islamic Medium Term Notes sehingga RM5 bilion pada 1 April 2009. Muhyiddin juga lupa dia juga merupakan antara anggota Dewan Rakyat yang meluluskan peranan 1MDB bagi menarik pelaburan asing dari Timur Tengah, China dan India seperti yang dibentangkan dalam Ucapan Bajet Tahun 2010 pada 23 Oktober 2009.

4. Muhyiddin mempersoalkan kononnya pelan rasionalisasi 1MDB dan penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin penyelesaian hutang 1MDB. Muhyiddin sekali lagi sengaja berbohong dan menafikan fakta bahawa 1MDB tidak pernah gagal membayar hutang dan faedah daripada mana-mana hutangnya seperti yang tercatat dalam Jadual 10, mukasurat 42 hingga 47 Laporan PAC. Pada Februari 2015, 1MDB telah membayar hutang sebanyak RM2 bilion kepada konsortium peminjam tempatan. Pada Jun 2015, 1MDB telah menyelesaikan hutang berjumlah RM3.6 bilion dari konsortium bank luar negara lebih awal dari tempoh matang, iaitu Ogos 2015. Pada 1 April 2016, 1MDB telah membayar baki hutang berjumlah RM3 bilion kepada konsortium peminjam tempatan, juga lebih awal dari tempoh matang pinjaman, iaitu Mei 2024. Pada 8 April 2016, 1MDB telah membayar penuh jumlah pokok dan faedah Kredit Tersedia sebanyak RM950 juta yang disediakan oleh kerajaan. Selain itu, melalui penjualan Edra Energy Global, hutang 1MDB telah berjaya dikurangkan sehingga RM17 bilion. Penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia boleh mengurangkan sehingga RM7 bilion lagi hutang 1MDB. Semua ini dilakukan tanpa 'bail-out' dan bantuan dari kerajaan.

5. Muhyiddin dengan angkuh menyebut, "saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan." Kejahilan Muhyiddin mengenai peraturan syarikat, undang-undang negara dan ajaran Islam, menyebabkan dia tidak memahami bahawa "sebarang pihak tidak bersalah melainkan selepas dibuktikan bersalah" dan undang-undang syarikat, negara dan hukum Islam menuntut penyiasatan dibuat terlebih dahulu berdasarkan bukti dan saksi yang ada sebelum hukuman boleh dijatuhkan. Tindakan memecat dan menghukum sebelum mereka dibuktikan bersalah menunjukkan sikap tidak usul periksa dan Muhyiddin. Pada waktu yang sama, Muhyiddin tersalah fakta bila menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah 'telah meletak jawatan' sedangkan kenyataan sebenar Lembaga Pengarah sebulat suara "menawarkan perletakan jawatan" mbagi memudahkan siasatan susulan oleh pihak berkuasa.

6. Muhyiddin berbohong dan sengaja mengelirukan rakyat dengan menyatakan dia dihukum oleh Perdana Menteri kerana menyatakan kebimbangan mengenai 1MDB di dalam kabinet. Hakikat sebenarnya adalah dia digugurkan dari kabinet selepas beberapa kali membuat tuduhan melulu terhadap Perdana Menteri di luar mesyuarat kabinet sebelum siasatan dibuat. Dia membuat kenyataan yang membelakangkan keputusan Jemaah Menteri di luar mesyuarat kabinet. Tindakannya yg tidak mengamalkan collective responsibility punca besar dia digugurkan sebagai TPM dan anggota kabinet. Muhyiddin juga telah beberapa kali membuat kenyataan di luar Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan membelakangkan keputusan MT tersebut.

7. Muhyiddin cuba meletakkan kelemahan tadbir urus pengurusan 1MDB ke atas bahu Perdana Menteri dengan menggunakan Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB. Muhyiddin gagal melihat bahawa penglibatan Perdana Menteri hanyalah pada peringkat DASAR dalam keputusan-keputusan berkaitan pelantikan dan pemecatan pengurusan atasan serta komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan. Penglibatan Perdana Menteri pada peringkat dasar ini adalah disebabkan kehendak undang-undang dalam Memorandum dan Artikel penubuhan 1MDB yang mesti dipatuhi oleh beliau dan tidak sama sekali bermaksud beliau terlibat dalam urusan PELAKSANAAN operasi syarikat. Tanggung jawab ini hampir sama seperti tanggung jawab Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Menteri di kementerian masing-masing dalam meluluskan keputusan-keputusan dasar dan bajet. Penglibatan mereka dalam memutuskan perkara-perkara dasar adalah berdasarkan keperluan undang-undang dan peraturan kewangan. Ia tidak bermaksud mereka terlibat secara langsung pada peringkat pelaksanaan. Sebagai contoh banyak sekali pembinaan sekolah sekolah baru yang terbengkalai, maka apakah beliau sebagai bekas Menteri Peajaran yang meluluskannya ketika itu patut dihukum dan meletak jawatan? Cadangan PAC agar Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 Memorandum dan Artikel penubuhan syarikat dimansuhkan, bukan kerana jenayah telah dilakukan, tetapi perlu dilihat sebagai tindakan membebaskan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dari kehendak peraturan ini seterusnya memelihara integriti institusi Perdana Menteri.

8. Muhyiddin sekali lagi sengaja mengelirukan rakyat apabila menyebut "Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah USD1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat KELULUSAN bertulis daripada Perdana Menteri" yang boleh memberi maksud kelulusan dari segi DASAR. Bagaimanapun pada ayat yang menyusul selepas itu, Muhyiddin dengan sengaja menggantikan perkataan "KELULUSAN" dengan "ARAHAN" dengan menyebut, "saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima ARAHAN daripada Perdana Menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal," bagi menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri campur tangan dalam urusan PELAKSANAAN keputusan-keputusan yang dibuat.

9. Muhyiddin seterusnya membuat tuduhan liar apabila menyatakan "baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib", sedangkan laporan Ketua Audit yang dirujuk PAC pada mukasurat 25 menyebut, "berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa PAC pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009." Dapatan Jabatan Audit Negara ini konsisten dengan kenyataan media PetroSaudi pada 1 Mac 2015 yang menjelaskan bahawa semua dana daripada 1MDB pergi kepada entiti milik Petrosaudi dan sebarang andaian lain adalah palsu.

10. Muhyiddin tanpa merujuk laporan PAC, membuatkan kesimpulan berlebihan apabila menuduh "PENYELEWENGAN dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang." Muhyiddin menyembunyikan hakikat bahawa 1MDB hanya diperuntukkan sejumlah RM1 juta sebagai modal permulaan dan terpaksa bergantung kepada hutang (pinjaman bank, bon dan sukuk) sebagai modal syarikat. Dalam laporannya, PAC tidak menyebut sama sekali PENYELEWENGAN sebagai punca 1MDB gagal menjana pendapatan, sebaliknya merumuskan pada mukasurat 104, "model perniagaan 1MDB terlalu bergantung kepada pinjaman dan ini amat membebankan syarikat dan tidak mampan kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman dan kos operasinya." Sekiranya Muhyiddin benar-benar merujuk laporan PAC, dia akan mendapati di mukasurat 34, pada tahun 2013 1MDB menjana pendapatan sebanyak RM2.59 dan pada tahun 2014 sebanyak RM4.259 bilion. 1MDB juga mencatatkan keuntungan pada tahun 2010, sebanyak RM424 juta, 2011 sebanyak RM544 juta, 2012 sebanyak RM44 juta dan 2013 sebanyak RM778 juta. Cuma pada tahun 2014, selepas beroperasi selama lima tahun, PAC menyebut di mukasurat 104, 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM665 juta akibat menghadapi masalah ketidakseimbangan aliran tunai akibat bebanan hutang, bukan PENYELEWENGAN.

11. Muhyiddin terus berbohong apabila menuduh, "tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang USD700 juta dan USD330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low" sedangkan dalam laporan PAC dan kenyataan akhbar Petrosaudi, telah disebut bahawa Good Star telah dibuktikan sebagai subsidiari Petrosaudi. Kenyataan media Petrosaudi pada 1 Mac juga telah menyebut bahawa tiada dana dalam usaha sama tersebut yang hilang, malah "kesemua pelaburan 1MDB telah dipulangkan secara penuh – bersama keuntungan." Tidak timbul lagi soal untuk membawa dana ini kembali ke Malaysia jika perjanjian pertukaran aset dengan hutang antara IPIC dan 1MDB direalisasikan. Perjanjian ini boleh mengurangkan lagi hutang 1MDB sehingga RM16 bilion.

12. Muhyiddin sekali lagi membuat tuduhan melulu bahawa 1MDB adalah satu skim untuk menipu. Katanya, "IPIC atau unitnya Aabar Investment PJS menafikan telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB." Untuk makluman Muhyiddin, tiada kenyataan media dari IPIC yang menafikan sebarang kaitan dengan 1MDB. IPIC dan Aaabar hanya menafikan kaitan dengan Aabar BVI, bukan dengan 1MDB. Jika betul Aabar BVI tiada kaitan dengan IPIC dan Aabar PJS, kenapa sejak 2013, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh IPIC dan Aabar PJS mengenai status Aabar BVI dan kehilangan deposit? Kenapa pula IPIC terlibat dalam pelbagai urusan pembayaran hutang 1MDB termasuk memberikan AS$1 bilion pada 4 Jun 2015, bagi membantu pembayaran hutang 1MDB? Jika deposit ke dalam Aabar BVI tidak berkaitan dengan Aabar PJS dan IPIC, kenapa pula IPIC tidak membatalkan jaminan ke atas sukuk dan bon 1MDB, serta membuat laporan polis berkaitan kehilangan wang ini? Menurut 1MDB, mereka mempunyai segala dokumen kemasukan wang dan individu yang terlibat. Ia telah diaudit dan transaksinya tetap boleh dikesan. Tetapi jika sekiranya 1MDB menjadi mangsa "scam" oleh pihak tertentu maka biarlah pihak berkuasa membuat siasatan.

14. Di hujung kenyataannya, Muhyiddin terus menyerang Perdana Menteri dan menuduh beliau terlibat dan bertanggung jawab dalam penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB dan mendesak beliau meletak jawatan. Mungkin Muhyiddin tidak tahu bahawa Naib Pengerusi PAC yang merupakan juga Ahli Parlimen Dap, Tan Seng Giaw berkata bahawa tidak benar untuk mengaitkan Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat berkenaan sedangkan segala urusan 1MDB ditentukan oleh Lembaga Pengurusan.
Muhyiddin mungkin sudah lupa bahawa siasatan audit forensik oleh Jabatan Audit Negara merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015 yang memutuskan supaya jabatan ini menentusahkan akaun 1MDB dan laporan berkenaan perlu diserahkan kepada PAC yang dianggotai oleh Ahli Parlimen BN dan pembangkang, untuk siasatan susulan. Keputusan ini merupakan bukti komitmen, keberanian dan keikhlasan Perdana Menteri untuk memastikan isu 1MDB disiasat secara telus dan tidak berpihak. Masalah TS Muhyiddin ialah dia semakin suka memutarbelitkan fakta dan membuat kenyataan provokasi walaupun terpaksa berbohong. Tetapi itulah Tan Sri Muhyiddin sekarang.

Comments (0)