Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:26 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Seruan 'gencatan senjata' Tuan Ibrahim bukan untuk sertai PH - Dewan Ulama

Posted: 14 Jul 2016 08:14 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


SHAH ALAM: Seruan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar parti pembangkang berhenti menyerang sesama sendiri dan menumpukan kepada musuh sebenar, Umno-Barisan Nasional (BN), bukan bermakna parti itu bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, PAS buat masa terdekat tidak bercadang untuk menyertai PH sebaliknya mahu semua parti pembangkang berhenti bercakaran dan 'bersatu' dalam menjayakan matlamat yang sama untuk menumbangkan Umno-BN.  

"Kita di dalam satu gabungan memang berbeza, tapi tak perlu untuk kita serang satu sama lain kerana matlamat kita bukan nak jatuhkan pembangkang atau menang sendiri walaupun kita masing-masing (berbeza).

"Kalau betul matlamat untuk jatuhkan Umno-BN maka itulah tumpuan kita perkukuhkan parti masing-masing. Untuk meraih undi daripada orang ramai tak perlu serang menyerang," katanya kepada Antarapos.

Semalam, Tuan Ibrahim menerusi satu kenyataan menyeru 'gencatan senjata' sesama pembangkang dan  menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN.

Menurut Tuan Ibrahim, sudah tiba masanya parti pembangkang mencari jalan keluar kepada permasalahan dan mencari titik kompromi walaupun masing-masing mempunyai dasar parti yang berbeza.

Senada dengan saranan tersebut, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor menambah, perbezaan dasar atau prinsip parti masing-masing perlu dihormati dan bukan diserang.

"Tak ada gunanya untuk kita salahkan satu sama lain, tapi kalau kita perkukuhkan parti masing-masing dan tak perlu salahkan satu sama lain, maka walau kita tak sama (dasar), tapi kalau semua mahu jatuhkan Umno, mestilah sapa yang menang maknanya ia tetap pembangkang," ujar beliau.

Mahfodz dalam pada itu turut menolak dakwaan yang mengatakan PAS sebagai punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR dan DAP sebelum ini.

"Masing-masing punyai prinsip, jadi apabila prinsip PAS dipersoalkan maka PAS bertindak balas dengan kita keluar dari PR, dan bukan PAS yang memulakan sebaliknya DAP kerana apa jua yang disuarakan PAS tidak dipersetujui," katanya.

Hubungan PAS, DAP dan PKR yang dijalin menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR) 'terkubur' tahun lalu selepas DAP dan PAS berterusan bertelagah khususnya membabitkan soal pelaksanaan hukum hudud.

DAP dan PKR kemudian menganggotai sebuah pakatan baru yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) bersama parti serpihan PAS, iaitu Amanah pada September tahun yang sama.

PAS pula menubuhkan kerjasama bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menerusi Blok Ketiga.


Mohammad Nizar dapat ganti rugi RM200,000

Posted: 14 Jul 2016 08:08 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
 
Timbalan Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli membuat perintah tersebut ketika permohonan taksiran ganti rugi dengan kehadiran peguam Mohd. Fitri Asmuni mewakili Mohammad Nizar dan peguam Lim Qi Shi bagi pihak TV3.
 
Mohd. Fitri memberitahu pemberita, jumlah ganti rugi itu merangkumi ganti rugi teladan dan keterlaluan ditetapkan setelah mempertimbangkan beberapa faktor antaranya status Mohammad Nizar ketika itu sebagai bekas Menteri Besar, tindakan TV3 selepas fitnah dibuat, liputan meluas yang dibuat, kesan kepadanya dan fitnah tersebut menyentuh institusi beraja.
 
Pada 26 Februari 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering Perak itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini.
 
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan syarikat televisyen itu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Mohammad Nizar selain mengarahkan agar taksiran ganti rugi dibuat di Mahkamah Tinggi.
 
Mohammad Nizar selaku pihak plaintif memfailkan saman berhubung penyiaran berita mengenai isu nombor pendaftaran WWW 1 milik Sultan Johor yang dimenangi melalui proses bidaan berjumlah RM520,000.
 
Pada 12 April 2013, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Mohammad Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam. 
 
 

Amanah mahu pengesahan sebelum ulas "gencatan senjata"

Posted: 14 Jul 2016 07:56 AM PDT

 HAZRI NAWAR
 
 
Terlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan IbrahimTerlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan Ibrahim


Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub tidak mahu mengulas terlalu awal berhubung seruan "gencatan senjata" yang dilontarkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Sebaliknya, Salahuddin berkata beliau mahu satu pengesahan sebelum membuat komen sama ada kenyataan Timbalan Presiden Pas itu pendirian rasmi parti Islam itu atau hanya pandangan peribadinya sendiri.
"Saya minta satu pengesahan adakah kenyataan itu peribadi dia atau rasmi daripada Pas.

"Kalau itu pandangan Tuan Ibrahim secara peribadi, saya tak mahu ulas," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Tuan Ibrahim hari ini agar gencatan senjata sesama pembangkang bagi membina kesepaduan menumbangkan BN.

Tuan Ibrahim berkata, Pas dan parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Salahuddin sebelum ini antara pemimpin awal menyatakan cadangan agar Pas kembali ke meja rundingan untuk bersama Pakatan Harapan yang disertai PKR, Amanah dan DAP bagi berhadapan dengan Umno BN.

Bagaimanapun Pas dalam reaksi oleh beberapa pemimpinnya menolak mentah-mentah cadangan itu dengan mendakwa tidak akan berkerjasama dengan DAP dan Amanah yang didakwa mereka sebagai pengkhianat.

Selangor tawar bantuan kewangan pelajar UNISEL

Posted: 14 Jul 2016 07:54 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Universiti SelangorUniversiti Selangor


Pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL) kemasukan Jun layak menerima manfaat pembiayaan pendidikan dan kemudahan pembelajaran ditawarkan Kerajaan Negeri.

Antara tawaran bantuan pendidikan disediakan termasuklah bantuan wang sara diri, Hadiah IPT Selangor, Biasiswa Selangorku dan Pinjaman SUK Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad,berkata ia sejajar dengan falsafah "Peduli Rakyat" dalam fokus Kerajaan Negeri memacu sistem pendidikan.

"Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar cemerlang ini melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara," katanya kepada Selangor Kini.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM20.9 juta bagi tujuan pembiayaan pembayaran balik selain peruntukan RM60 juta bagi tujuan penambaikan sistem pendidikan.

Pada masa sama, Menteri Besar Dato'Seri Mohamed Azmin Ali melihat potensi UNISEL menggarap visi Smart Selangor terhadap pembangunan pendidikan negeri.

Beliau berkata, perubahan terhadap dasar pendidikan negeri mampu melonjakkan lagi teras pendidikan ke arah melahirkan graduan berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

"Kita memerlukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan. Usaha ini menuntut sistem pendidikan yang holistik untuk membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak tinggi," katanya.

Umno yakin Hadi tolak cadangan Tuan Ibrahim

Posted: 14 Jul 2016 07:52 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan Man


Belum sampai 24 jam cadangan 'gencatan serangan' di antara parti pembangkang bagi menumpukan usaha untuk menumbangkan BN dicadangkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yakin cadangan itu akan ditolak presiden Pas.

Malah Tuan Ibrahim dalam artikel terbarunya yang turut disiarkan Malaysia Dateline masih memperteguhkan keyakinan bahawa Pas rela bersendirian bila mana dasar Pas dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf (pakatan politik).

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, Shamsul Anuar berkata saranan Tuan Ibrahim itu sukar untuk menjadi pendirian rasmi parti.

Malah tambah beliau, sejarah banyak membuktikan pandangan timbalan presiden ditolak oleh presiden.
Tuan Ibrahim semalam menyeru parti pembangkang berdamai dan menumpukan kepada usaha menumbangkan BN.

"Rakyat ramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini.

"Semua tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti tenggelam," katanya.

Bagaimanapun dalam bahagian kedua artikel Tuan Ibrahim yang diterbitkan hari ini, beliau menegaskan keyakinan Pas bahawa hanya Islam dapat menjamin keadilan sejagat, keharmonian negara dan memperkasakan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

"Pas rugi jika istiqamah mendaulatkan Islam ini terhenti. Selagi istiqamah ini berterusan, Pas tidak akan rugi termasuklah dalam kerjasama politik.

"Kita berjuang kerana Islam dan untuk Islam. Inilah nilai perjuangan Islam yang menjadi pegangan kita. Inilah erti berjuang kerana Allah. yang membezakan Pas daripada parti-parti yang lain.

"Seperti yang disebut di artikel yang lepas, perbezaan ini perlu dihormati dan tidak perlu menjadi titik pertikaian. Sejarah membuktikan bahawa PAS rela bersendirian bila mana dasar PAS dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf," ujar Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim mesti dah dapat restu Hadi, kata ulama PAS

Posted: 14 Jul 2016 07:44 AM PDT

Alyaa Azhar


Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed percaya cadangan timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya gencatan senjata dilakukan sesama parti pembangkang sudah mendapat restu pemimpin nombor satu parti itu.

"Bila dia bercakap tu, mesti ada restu presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Ada orang tanya kenapa bukan presiden yang keluar (kenyataan). Takkanlah semua benda nak diurus oleh presiden," kata Mahfodz kepada Malaysiakini.

Mahfodz bagaimanapun berkata, pandangan Tuan Ibrahim adalah wajar supaya parti pembangkang tidak bercakaran sesama sendiri.

"Kalau objektif sama untuk jatuhkan BN, walaupun bukan dalam gabungan, kena kukuhkan parti (terlebih dulu).

"Kalau masing-masing kuat lawan dengan BN, mana-mana parti pembangkang boleh menang.

Tuan Ibrahim semalam menyeru "gencatan senjata" sesama pembangkang, sebaliknya menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN.

Katanya, parti-parti pembangkang perlu berkompromi dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP setelah perbezaan pendapat dan perbalahan berterusan dalam isu pelaksanaan hudud.

Langkah itu menyebabkan Pakatan Rakyat, yang dianggotai mereka bersama PKR terkubur.

DAP dan PKR kemudian membentuk gabungan dengan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Manakala PAS memilih kerjasama baru dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan bekas menteri Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


Hadi: PAS pakat dengan pihak yang ikut acuannya

Posted: 14 Jul 2016 07:42 AM PDT

MALAYSIAKINI


PAS sedia berpakat dengan mana-mana pihak yang setia dan dapat mengikut acuan parti itu demi menegakkan Islam, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan beliau itu muncul sehari selepas gesaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti-parti pembangkang melakukan 'genjatan senjata' bagi menentang BN.

"PAS terus sedia berpakat dengan semua pihak dan tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia dan bersedia bersama acuan PAS, berpandukan konsep yang ditunjuk oleh Al-Quran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan memetik ayat-ayat al-Quran, Hadi mengingatkan bahawa matlamat PAS adalah untuk menegakkan Islam dalam masyarakat dan negara.

"PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas tersebut. Semua pihak yang melanggar sempadan ini jangan cuba mengheret PAS terkeluar daripada landasannya.

"Ketahuilah bahawa perjuangan ini memandang dua belah mata, ke arah kemenangan akhirat yang paling besar dan kemenangan dunia yang diuji menjadi jambatan ke akhirat juga," katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily itu.

Menurutnya lagi, PAS mempunyai pendekatan tersendiri bersama Islam dan wajib beristiqamah dengannya.
"Istiqamah dijadikan perkataan penting kepada tema beberapa kali muktamar, sehingga mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat," katanya lagi.

"Teruskan Istiqamah, jangan diheret oleh musuh atau kawan yang berpura-pura, tangan kiri yang bergelumang memegang kita, tangan kanannya bergantung kepada lawan yang juga mengheret kita daripada "Al-Siratol Mustaqim"," kata beliau.

Tuan Ibrahim semalam menyeru "gencatan senjata" sesama pembangkang bagi menggembleng tenaga untuk menumbangkan BN.

Katanya, parti-parti pembangkang perlu berkompromi dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Gesaan itu turut disambut baik oleh beberpa pemimpin PKR dan DAP.

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP setelah perbalahan berterusan dalam isu pelaksanaan hudud.

Langkah itu menyebabkan Pakatan Rakyat yang dianggotai bersama DAP dan PKR terkubur. Manakala sebahagian lagi pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan AMANAH.

SKMM sekat 11 laman web, 22 pautan bahasa Melayu

Posted: 14 Jul 2016 07:25 AM PDT

SINAR HARIAN
militan IS
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - "Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat 11 laman web dan 22 pautan URL terlibat dalam penyebaran ideologi IS dalam bahasa Melayu," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, tindakan itu diambil berikutan pemantauan SKMM ke atas outlet media baharu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

"Adalah diharapkan pemantauan berterusan dan tindakan oleh SKMM dan lain-lain agensi akan membendung penyebaran ideologi oleh organisasi pengganas ini melalui media sosial," katanya kepada Bernama hari ini.

Salleh berkata, kerjasama semua pihak adalah penting dan kerajaan ingin mendapatkan bantuan daripada orang awam untuk memaklumkan kepada SKMM jika mereka mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini.

"Memandangkan IS sangat aktif dalam mewujudkan laman web baharu dan akaun media sosial, kami merayu kepada orang ramai untuk melaporkan kepada SKMM jika mereka mempunyai apa-apa maklumat mengenai perkara ini, "katanya.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis juga memantau rapi penerbitan IS dalam bahasa Melayu, dipercayai dikendalikan oleh pengikut kumpulan itu di Malaysia dan Indonesia. - Bernama


TMJ: Pemain kebangsaan sudah keletihan

Posted: 14 Jul 2016 07:25 AM PDT

TMJ: Pemain kebangsaan sudah letih
Tunku Ismail
 

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim  berkata, tindakan beberapa pemain Johor Darul Ta'azim (JDT) mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan adalah disebabkan sudah letih dengan panggilan latihan yang tidak sewajarnya.

Tunku Ismail berkata, pemain kebangsaan perlu menghabiskan masa selama berbulan-bulan di kem latihan yang dilihat tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

"Untuk memahami keadaan ini, anda perlu menggunakan otak anda, walaupun kebanyakan anda tidak menyukainya.

"Pemain ini sayangkan negara mereka. Mewakili negara adalah penghormatan terbesar yang pernah mereka lalui dalam kerjaya mereka.

"Mereka bukan melakukannya kerana tidak suka kepada Malaysia. Mereka melakukan kerana mereka adalah manusia seperti anda dan saya," katanya menerusi kemas kini status di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

Selain daripada itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa para pemain terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengendahkan hal ehwal kebajikan mereka dan hanya berdiam diri apabila ada di antara pemain yang tidak menerima bayaran gaji daripada kelab masing-masing.

Tunku Ismail mendakwa, para pemain juga terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat.

"Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak mengetahui nama mereka dan kewujudan mereka.

"Mereka juga terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan.

"Terdapat lebih ramai lagi pemain yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan mereka,"katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa beberapa pemain harimau selatan yang mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan sebelum ini telah bertemu dengannya terlebih dahulu bagi menyatakan hasrat mereka tersebut.

Menurut Tunku Ismail, pihaknya menyokong keputusan yang dibuat oleh pemain itu malah ada di antara mereka turut meminta bantuannya bagi membuat pengumuman melalui laman rasmi JDT.

"Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media sosial mereka sendiri kerana terdapat ramai peminat bolasepak yang tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan tindakan mereka,"katanya.



LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

Posted: 14 Jul 2016 07:23 AM PDT

SINAR HARIAN
LPT2
LPT2


KEMAMAN - Keputusan Kabinet untuk melaksanakan pembayaran tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula selepas tengah malam ini, bukanlah keputusan tergesa-gesa.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, LPT2 sejauh 184km dari Jabor di Pahang ke‎ Kampung Gemuroh, Terengganu telah dibuka sepenuhnya sejak 31 Januari tahun lalu, malah pengguna menikmati kemudahan itu secara percuma dalam tempoh tersebut.

"LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan...jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

"Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai.

"...tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang...kosnya juga telah meningkat berkali ganda," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rosli berkata, kadar caj tol yang dikenakan juga adalah sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 sen bagi sekilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta) dan ia masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

Mengenai fasiliti di LPT2, Rosli berkata, lebuh raya itu dilengkapi 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah mempunyai kemudahan seperti tandas, kedai makan dan surau yang sudah beroperasi sepenuhnya.

"Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal...saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembinaan stesen minyak di R&R lain.

"Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan," katanya.

Ditanya mengenai tuntutan pembayaran balik kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat, Rosli berkata pada dasarnya kerajaan Pusat bersetuju membayar balik tuntutan tersebut.

"Perbincangan dibuat menteri besar bersama kerajaan Pusat dan pada dasarnya kerajaan Pusat bersetuju membuat pembayaran balik dan kini kedua-dua pihak sedang meneliti kaedah pembayaran semula dan tempoh pembayaran, tapi kita yakin kita akan dapat balik bayaran tersebut yang mana kita gunakan duit dana khas untuk bina LPT3.

"Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, kerajaan Pusat juga kini dalam proses untuk menaik taraf jalan Persekutuan dari dua lorong kepada empat lorong bermula dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat.

Sekarang yang belum dinaik taraf ialah dari Awana Kijal ke Simpang Empat Kemasik di Kemaman serta dari Rantau Abang, Dungun ke Marang...saya difahamkan Kementerian Kewangan bersetuju memberi sebahagian peruntukan untuk kita laksanakan kerja menaik taraf jalan ini. Projek ini akan bermula awal tahun depan, bagaimanapun saya belum menerima maklumat jumlah peruntukan sebenar.

"Selepas siap sepenuhnya kerja menaik taraf jalan ini, pengguna mempunyai pilihan masing-masing untuk menggunakan LPT2 ataupun jalan Persekutuan yang mana kedua-duanya selesa untuk pengguna," katanya. - Bernama


Khairy mahu jumpa TMJ minta penjelasan

Posted: 14 Jul 2016 05:35 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang timbul sehingga menyebabkan beberapa pemain Johor Darul Takzim (JDT) mengumumkan persaraan mereka.
 
Justeru pihaknya akan menghubungi Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik kelab JDT untuk meminta penjelasan.
 
"Tugas saya ialah mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan TMJ ini supaya dapat diatasi.
 
"Sekiranya berjaya diatasi kita dapat memilih barisan pemain yang terbaik dalam Piala AFF nanti," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di sini hari ini.
 
Terdahulu TMJ ada mengeluarkan kenyataan berhubung kecederaan dialami pemain semasa sesi latihan skuad kebangsaan baru-baru ini yang mungkin menjadi penyebab pemain JDT bersara daripada skuad kebangsaan.
 
Hari ini, dua lagi pemain pasukan JDT Amirul Hadi Zainal dan S. Kunanlan mengumumkan persaraan mereka menerusi laman web johorsoutherntigers.com.my dan Facebook pagi ini.
 
Kedua-duanya mengikut jejak langkah Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan kelmarin.
 
Khairy berkata persaraan mereka merupakan satu perkara yang serius.
 
"Saya berharap pemain tempatan menganggap peluang untuk bermain mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan yang besar.
 
"Dan saya harap mereka tak buat keputusan secara terburu-buru, tanpa melihat kepada penghormatan yang datang dengan mewakili negara," katanya.
 
Beliau pada masa sama turut menggesa orang ramai agar tidak cepat menghukum mana-mana pihak berhubung persaraan pemain terbabit daripada pasukan kebangsaan.
 
"Saya lihat dalam media sosial banyak komen pro dan kontra. Banyak yang memberi komen negatif kepada pemain yang mengumumkan persaraan mereka, dan ada komen negatif terhadap FAM," katanya.
 
Khairy berkata pihaknya juga masih ada masa untuk menyiasat dengan lebih mendalam mengenai persaraan pemain itu.
 
 

PAS mahu pembangkang berhenti bercakaran, sasar serangan kepada Umno-BN

Posted: 14 Jul 2016 05:30 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS hari secara terbuka menyeru parti pembangkang berhenti menyerang sesama sendiri dan menumpukan kepada musuh sebenar, Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah tiba masanya parti pembangkang mencari jalan keluar kepada permasalahan dan bukannya berterusan ingin menjadi wira yang berjaya menumbangkan musuh.  
 
"Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar (Umno-BN).
 
"Jangan pedulikan tulisan murahan cybertrooper yang suka melagakan antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat.
 
"Apa yang penting dilihat ialah masa depan negara. Kerana masa depan rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya kestabilan negara.
 
"Kedua ialah mencari titik kompromi, di mana ia tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain," katanya dalam posting di laman Facebook beliau.
 
Mengakui sukar untuk semua parti mencapai titik kompromi, namun ujar Tuan Ibrahim, apa yang penting adalah pembangkang melihat kepada persamaan yang lebih banyak dikongsi bersama berbanding satu dua perkara saja yang menjadi perbezaan. 
 
"Dalam mewujudkan toleransi politik yang baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan.
 
"Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada.
 
"Dengan niat yang betul, kompromi boleh dicapai dengan hanya memokuskan apa yang boleh disumbangkan oleh setiap parti tanpa perlu menggadaikan dasar parti masing-masing," ujarnya.
 
Malah tambah Tuan Ibrahim, PAS sebelum ini sudah membuktikan ia parti berjiwa besar apabila sanggup mengorbankan kerusi, berkongsi jentera serta memberikan bantuan kewangan kepada rakan-rakan parti ketika masih dalam satu pakatan sebelum ini.
 
"Jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti pembangkang bersedia untuk menang jadi arang, kalah jadi abu di PRU akan datang.
 
"Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN," ujarnya lagi.
 
Hubungan PAS, DAP dan PKR yang dijalin menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR) 'terkubur' tahun lalu selepas DAP dan PAS berterusan bertelagah khususnya membabitkan soal pelaksanaan hukum hudud. 
 
DAP dan PKR kemudian menganggotai sebuah pakatan baru yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) bersama parti serpihan PAS, iaitu Amanah pada September tahun yang sama.  
 
Manakala PAS pula menubuhkan kerjasama bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh fadzir menerusi Blok Ketiga.

David mungkin berdepan tindakan dibuang parti - Presiden PAP

Posted: 13 Jul 2016 05:39 PM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Alternatif Rakyat (PAP), David Dass bakal berdepan dengan tindakan dibuang parti selepas mengadakan pertemuan dengan Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) baru-baru ini.
 
Presidennya, Zulkifli Mohd Noor tidak menolak tindakan sedemikian kerana mendakwa David bertindak bersendirian dan sehingga kini tidak memberi sebarang penjelasan kepada pimpinan parti.
 
"Kita akan berpandu kepada perlembagaan parti. Jika terpaksa singkir, kita singkir. Jika terpaksa gantung, kita gantung. Atau beri amaran. Terpulang kepada suara majoriti. Tetapi kita akan lihat betapa bahayanya tindakan sebegini kepada parti dan negara," demikian menurut Zulkifli ketika ditemui Antarapos, hari ini.
 
Sehubungan itu PAP akan mengadakan satu mesyuarat di Pulau Pinang pada 17 Julai ini bagi mempertimbangkan tindakan yang akan diambil terhadap David.
 
Selain David, pimpinan PAP lain yang turut hadir dalam pertemuan pembentukan Saksama itu adalah Naib Presiden, Santokh Singh dan Setiausaha Antarabangsa, Balachanthar. 
 
Saksama adalah gabungan parti-parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. 
 
Ia terdiri daripada STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) dari Semenanjung.
 
Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo berkata gabungan parti baru itu ditubuhkan kerana gabungan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), selain perpecahan antara pembangkang yang menampakkan ketidaksehaluan sesama mereka.
 
Zulkifli, dalam wawancara bersama Antarapos juga menegaskan PAP selesa bersendiri sekaligus tidak akan sesekali mengadakan gabungan bersama parti-parti politik lain.
 
Beliau turut memaklumkan satu laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) sudah dibuat semalam berhubung penyalahgunaan PAP dalam Saksama, selain menggesa satu siasatan polis terhadap penglibatan pemimpin partinya.
 
"Jika pemimpin dan ahli-ahli PAP berhubung dengan pihak Gabungan Rakyat, ia dilakukan secara peribadi dan tidak mendapat kebenaran pemimpin parti. 
 
"Malah kita mahukan siasatan dari pihak polis mengapa sekiranya pemimpin dan ahli-ahli PAP berinteraksi dengan Gabungan Rakyat, mengapa ia terjadi? 
 
"Adakah mereka dibeli, diberi imbuhan atau ditaja keperluan perjalanan, makan, tempat tinggal atau wang belanja, atau mungkin agenda politik yang besar," ujarnya lagi.
 
Untuk rekod, David pada semalam memberitahu Antarapos bahawa pertemuannya dengan Saksama hanya untuk mendengar taklimat sahaja dan bukan majlis 'memeterai perjanjian'.
 
David juga menafikan kenyataan Lina bahawa parti itu bersama dengan Saksama, sebaliknya PAP masih belum memberi kata putus berhubung penyertaannya.
 
 

Nazri ingatkan Muhyiddin, semak fakta sebelum tuduh Najib

Posted: 13 Jul 2016 05:22 PM PDT

Zikri Kamarulzaman

LIHAT VIDEO DI SINI

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menyemak fakta sebelum menuduh

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memungkiri janjinya untuk mengambil tindakan ke atas 1MDB, kata seorang menteri Umno.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, mereka yang bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB adalah lembaga pengarah syarikat pelaburan negara itu dan mereka telahpun meletak jawatan.

Bagaimanapun, dakwaan jenayah lain yang berkaitan dengan 1MDB, kata Nazri, perlu disiasat terlebih dahulu oleh pihak berkuasa.

"Kesalahannya apa? (Katakanlah) bawa lari duit. Siapa yang bawa lari duit.

"Kena kenal siapa buat. Kalau tidak, nak ambil tindakan kepada siapa?" soalnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas tuduhan Muhyiddin bahawa Najib memungkiri janjinya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melakukan salah laku dalam isu skandal 1MDB.

Katanya, bekas bosnya berjanji untuk mendedahkan laporan audit 1MDB yang kini masih dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan Pemuda Umno di ibu pejabat DAP semalam dengan melontarkan duit neraka, Nazri berkata tindakan itu adalah tidak betul.

"Dua kesalahan tidak membetulkan sesuatu," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata kesalahan masih terletak pada Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, yang dikatakan tidak sensitif mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Pada 6 Julai lalu, Nga dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.

Nga juga mengundang masalah apabila memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri.

"Sebagai Ahli Parlimen beliau perlu lebih bertanggungjawab dengan apa yang beliau perkatakan," kata Nazri.


Ismail Sabri ingatkan Dr M pada nasib Semangat 46

Posted: 13 Jul 2016 05:22 PM PDT

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI

Pemimpin Umno tidak melihat kemungkinan penubuhan parti serpihan Umno pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ancaman.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah mengingatkan nasib parti serpihan Umno, Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.

"Sebenarnya sudah ada banyak parti ditubuhkan sebelum ini.

"Ku Li (Razaleigh) sebelum ini pun menganggap parti Semangat 46 kuat, tapi tak mampu kalahkan Umno," kata Ismail dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Anggota Semangat 46, termasuk Razaleigh bagaimanapun akhirnya kembali ke pangkuan Umno.

Bagaimanapun, Umno ketika krisis itu dipimpin oleh Mahathir sendiri.

Ismail juga berkata, nasib sama menimpa PKR yang diasaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti baru Parti Amanah Negara (AMANAH) pimpinan Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat kuat masa beliau jadi timbalan perdana menteri tubuhkan PKR pun masih lagi tak mampu gugat Umno.

"Jadi dalam negara kita ini kita bebas, masing-masing nak tubuh parti tubuhlah.

"Mat Sabu pun rasa dia layak tubuh parti dia, jadi tak ada masalah," kata Ismail.

Hak masing-masing

Sementara itu, Ismail berkata, dalam sebuah negara demokrasi, semua orang berhak menubuhkan parti masing-masing.

"Kalau Tun M nak tubuh parti dia kita tak ada halangan pun. Tubuhlah, tak ada masalah," katanya lagi.
Spekulasi bertiup kencang bahawa doktor perubatan 91 tahun itu bakal menerajui parti baru, yang terdiri daripada bekas anggota Umno.

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kemungkinan itu sedang dipertimbangkan dan penerimaan pembangkang menggalakkan.

Cadangan penubuhan sebuah parti baru timbul beberapa minggu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dipecat daripada Umno kerana bekerjasama dengan pembangkang.

Malaysiakini difahamkan bahawa pembangkang berbelah-bahagi sama ada Dr Mahathir harus mengetuai parti berkenaan.

Nafi mungkiri penoreh

Sementara itu, Ismail juga menolak dakwaan PAS bahawa kerajaan gagal menunaikan janji untuk memberi bantuan khas RM500 seorang kepada penoreh Risda susulan kejatuhan harga getah.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Muhammad Sanusi Md Nor dalam sebuah harian Ahad lalu.

"Tuduhan Muhammad sanusi ini tak berasas sebab kita dah buat bayaran insentif RM500 pada pekebun kecil dan penoreh getah," kata anggota parlimen Bera itu.

Sinar Harian melaporkan Sanusi sebagai berkata pengumuman pemberian bantuan khas itu bersifat "rasuah politik" menjelang pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.


Tiada rancangan bubar DUN Pulau Pinang - DAP

Posted: 13 Jul 2016 05:15 PM PDT

MALAYSIAKINI


DAP Pulau Pinang tidak ada rancangan untuk membubarkan dewan undangan negeri sekaligus mengendurkan spekulasi akan berlaku pilihan raya di negeri itu.

Spekukalasi itu bertiup kencang berikutan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy bahawa DAP sedang mengkaji dua pilihan sebagai tindak balas kepada dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Salah satu pilihan tersebut adalah mengadakan pilihan raya negeri, selain menunggu pilihan raya umum akan datang sebelum Ogos 2018 untuk mengukur sokongan rakyat terhadap Lim, DAP dan kerajaan negeri.

"Kami belum membuat sebarang keputusan untuk mempertimbangkan membubarkan dewan undangan negeri," kata Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam sidang akhbarnya hari ini.

"Tidak ada keputusan untuk membawa isu ini kepada parti negeri atau jawatankuasa peringkat pusat.

"Selain itu, ini adalah satu isu lama, saya telah jelaskan sebelum ini dan tidak mahu menambah apa-apa lagi," kata Exco berkenaan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Chow menerima RM18,500 daripada Bersih Shanghai dan Suzhou, China sebagai derma untuk kempen solidariti Guan Eng.

Pada pukul 3.45 petang hari ini, kempen itu telah berjaya mengumpul RM1,881,635.61.

Lim ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 29 Jun dan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah berkaitan pembelian banglonya di Jalan Pinhorn.



Pulau Pinang diingatkan kemuka dokumen untuk jambatan ketiga

Posted: 13 Jul 2016 05:05 PM PDT

Fadillah Yusof
 
Fadillah Yusof


Kementerian Kerja Raya mengesahkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang masih belum mengemukakan sebarang dokumen atau menetapkan tarikh menemui kementerian berhubung projek jambatan ketiga.

Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata kementeriannya menegaskan lagi bahawa ia komited dalam membuat penilaian adil terhadap cadangan jambatan ketiga itu, untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar.

"Kami mengingatkan kerajaan Pulau Pinang agar berkongsi dengan kami semua dokumentasi relevan, agar kami dapat membuat keputusan bermaklumat demi kepentingan rakyat," kata beliau.

Beliau menambah satu daripada dokumen utama yang dikehendaki ialah kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk bernilai RM305 juta yang hampir siap yang telah ditauliahkan dan dibayar oleh Kerajaan Pulau Pinang untuk projek terowong bawah laut dan hubungan jalan raya berkaitan.

Fadillah berkata dua bulan lepas, kerajaan Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa kajian berkenaan yang berkaitan dengan tiga jalan raya berhubungan telah siap 100 peratus sementara kajian kebolehlaksanaan bagi terowong itu sendiri siap 83 peratus.

"Seperti dinyatakan terdahulu, memperkenalkan link ketiga boleh mengubah dinamik aliran lalu lintas dalam sistem jalan raya Persekutuan dan negeri.

Oleh itu kesan aliran penyuraian lalu lintas mestilah dikaji secara terperinci dan dikemukakan sebagai bahagian daripada proses.

"Kita tidak mahu memburukkan lagi keadaan lalu lintas yang sudah sedia sesak di pulau itu," kata beliau.

Beliau berkata kajian selanjutnya diperlukan bagi menentukan impak jambatan ketiga terhadap operasi perkapalan dan pesawat penerbangan dengan jajaran yang dicadangkan sekarang.

Fadillah menegaskan kementeriannya berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang secara profesional demi menentukan kebolehlaksanaan dan penetapan masa link ketiga yang dicadangkan ke tanah besar.

Pada 16 Jun, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan yang beliau akan memohon pertemuan dengan Menteri Kerja Raya bagi membincangkan projek jambatan ketiga itu.

Jambatan itu yang akan menghubungkan Pesiaran Gurney di Pulau Pinang dengan Bagan Ajam di tanah besar dianggarkan menelan kos RM1.8 bilion.-- BERNAMA


Mavcom tidak bercadang benar Rayani Air sambung operasi

Posted: 13 Jul 2016 05:03 PM PDT

MALAYSIA GAZETTE
 



Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) buat masa ini tidak bercadang membenarkan Rayani Air menyambung operasi selepas mengambil kira hutang yang ditanggungnya.

Sinchew Daily yang memetik sumber melaporkan, Rayani Air yang berkonsepkan penerbangan patuh syariah dianggarkan mempunyai hutang melebihi RM17 juta.

Rayani Air juga dilaporkan berhutang sebanyak RM400,000 dengan pelanggan yang sudah membeli tiket sebelum ini.

"Disebabkan gagal membayar sewa, dua pesawat yang disewa turut diambil balik oleh syarikat penyewa," kata sumber.

Untuk mengelakkan Rayani Air terjeremus ke dalam masalah yang lebih besar, Mavcom memilih untuk menggantung lesennya.

Ditanya mengenai penumpang yang gagal mendapat pulangan wang, sumber itu menjangka Mavcom bakal menerima aduan berkenaan dan sedia membantu penumpang yang teraniaya.

"Mavcom akan memulakan siasatan selepas menerima aduan," katanya.

Suruhanjaya tersebut pada 13 Jun lalu telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air.


Apa makna Brexit, UK keluar EU

Posted: 13 Jul 2016 05:01 PM PDT

Hishamuddin Rais 


Pada 24 Jun yang lalu warga United Kingdom (UK) telah menjalankan pungutan suara: terus bersama Kesatuan Eropah (EU) atau keluar daripadanya. Pungutan suara ini dikenali sebagai Brexit.

Kita semua telah membaca, mendengar dan menonton di kaca TV dan tahu apa jawapan warga UK.

Tulisan ini bertujuan memberi pencerahan untuk memahami latar belakang EU, untuk memberi satu lagi jalur pandangan tentang apa yang telah berlaku.

Paling penting untuk meneliti perkara-perkara yang tersorok dan yang sengaja disorokkan dalam EU dan Brexit ini.

Media Eropah berbondong-bondong – yang kanan dan yang liberal – mengambil garis bahawa UK wajib terus berada dalam EU.

Media-media ini telah berdendang tentang 'bahaya' jika UK meninggalkan EU. Sahinggakan di UK, akhbar liberal rasional seperti The Guardian dan juga BBC mengambil garis yang sama.

Kerana hampir semua media Eropah cuba menghalang UK dari keluar dari EU, maka kita wajib bertanya apa sebenarnya Brexit ini? Apa itu EU?

Dan kenapa UK keluar dari EU membahayakan Eropah?

Daripada segi sejarah, EU muncul sesudah Perang Dunia Kedua. Berjuta-juta warga Eropah telah gugur selepas berbantai sesama sendiri dalam dua perang dunia.

Maka, pada tahun 1948 diadakan Kongres Hague melibatkan enam negara.

Belgium, Belanda, Luxembourg, Jerman Barat, Perancis dan Itali telah membuat perjanjian perniagaan. Di sini jelas ekonomi adalah punca segala punca.

Telah diuar-uarkan bagaimana Eropah akan menjadi aman damai permai jika pertelagahan tidak wujud. Perang akan lenyap.

Eropah yang menjadi panggung dua perang dunia akan menjadi wilayah contoh. Diimpikan warga Eropah akan bekerjasama untuk kesejahteraan umat manusia. Apakah ini tepat dan benar?

Daripada satu segi, hingga ke satu tahap, memang benar apa yang dipropagandakan. Ekonomi Eropah maju jaya. Taraf hidup rakyat baik. Tetapi, di sebalik propaganda ini ada lagi satu projek rahsia terbuka.

Ketika EU mula meluas, Perang Dingin sudah bermula. Rusia yang memimpin USSR dan blok Sosialis Eropah Timur dilihat sebagai musuh. Sesudah tamat Perang Dunia Kedua, kuasa imperial Britain jatuh ke tangan Amerika.

Amerika yang memonopoli bom atom menjadi kuasa empayar baru. Maka, muncullah konsep kuasa imperial Anglo-Amerika.

Sesudah Perang Dunia Kedua, negara-negara kapitalis di Asia, Afrika dan Amerika Latin dijajah semula oleh kuasa baru - kuasa imperial Anglo-Amerika. Imperialis Great Britain telah digantikan dengan imperialis Amerika.

Sistem ekonomi kapitalis tetap kapitalis kecuali di Eropah Timur, di China, Cuba, Korea Utara dan di Vietnam.

Kempen 'orang jahat'

Di belakang projek EU ini ialah kuasa imperialis Anglo-Amerika. Amerika menyokong kuat kewujudan EU.

Ketika Perang Dingin berjalan negara-negara EU ini menjadi tempat Amerika mendirikan pangkalan tentera – darat, laut dan udara. Amerika memasang bom nuklear dan peluru berpandu di negara-negara EU.

Bom nuklear dan soldadu Amerika dapat bergerak di Eropah kerana negara EU ini bekerjasama dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Ini adalah perjanjian ketenteraan Eropah Barat dengan Amerika. Hakikatnya negara EU telah menjadi tanah jajahan Amerika.

Nato melihat Rusia dan blok Sosialis sebagai musuh mereka. Justeru senjata nuklear dan peluru berpandu semuanya diarahkan ke Moscow. Suasana ini meruncingkan keadaan Perang Dingin.

Ini ditambah pula dengan Perang Vietnam yang menyaksikan kuasa bala tentera Amerika dibantai oleh gerila yang dibantu oleh Rusia dan blok Sosialis.

Pada awalnya Perancis bawah Presiden Charles de Gaulle (1958-1969) tidak bersetuju dengan rancangan Amerika yang mahu menjadikan Eropah tanah jajahan.

Justeru Perancis menarik diri daripada Nato. Tetapi hari ini tidak ada negara Eropah yang berani berdiri merdeka seperti Perancis bawah pimpinan de Gaulle.

Sesudah Tembok Berlin runtuh pada tahun 1989, Jerman Barat dan Jerman Timur bersatu. Blok Rusia runtuh.

Suasana ini menjemput banyak negara Eropah Timur untuk menjadi warga EU. Daripada sini muncullah EU yang terdiri dari 28 buah negara. Hari ini ia telah menjadi 27 tolak satu (tanpa UK).

Justeru apabila warga UK bersuara untuk keluar daripada EU, ini bermakna mereka secara tidak sedar atau secara tidak sedar telah mensabotaj rancangan induk kuasa imperial Anglo-Amerika.

Apabila UK keluar EU, bermakna segara perancangan licik kuasa imperial Amerika yang mahu mendominasi Eropah digagalkan.

Perkara ini bukan susah untuk difahami. Kita lihat siapa yang datang untuk menyokong dan berkempen untuk meyakinkan warga UK agar tidak meninggalkan Eropah.

Yang datang menyokong kempen untuk terus dalam EU ialah: Barack Obama, George Soros, setiausaha Nato, pengerusi IMF dan Bank Dunia, akhbar Financial Times, majalah Economist.

Berdasarkan nama-nama ini, kita sudah dapat mencium bahawa mereka semua ini adalah 'orang jahat'.

Kalau orang jahat sokong kerja kita bermakna kerja yang kita buat tidak baik. Maka apabila kaum pemodal kapitalis berbondong berkempen agar UK jangan keluar EU, maka kita wajib sedar keluar EU adalah langkah bijak untuk menggagalkan projek kapitalis.

Betul dan tepat - apabila 52 peratus warga UK memilih untuk keluar EU - nilai pound sterling jatuh.

Pasaran saham tunggang-langgang

Pasaran saham Eropah tunggang-langgang. Pasaran saham Amerika dan Jepun tunggang terbalik. Apa maknanya ini?

Ini bermakna rancangan kaum pemodal, ini bermakna rancangan kuasa imperialis Amerika untuk mendominasi Eropah dan dunia, telah digagalkan.

Ini bermakna projek kaum kapitalis telah berjaya dibantutkan. Apabila kaum kapitalis dalam kesusahan, ini bermakna rakyat dunia mendapat rahmat.

Apa yang jelas projek dunia baru bawah telunjuk Amerika telah gagal di Eropah.

Harus difahami dan wajib diingat, kuasa imperial ini dikenali sebagai kuasa Anglo-Amerika. Ada kerjasama yang intim antara pemodal British dan kaum pemodal Amerika.

Mereka menetas dari reban yang sama. Yang di Amerika itu berasal usul dari United Kingdom juga. Mereka muntah kedarah melalui Bank of England.

Sebelum wujud Wall Street kaum kapitalis ini menjarah harta kekayaan dunia melalui City of London.
Apa yang berlaku apabila hanya 48 peratus warga UK yang bersetuju mahu terus menetap dalam EU?

Media propemodal yang sebelum hari pungutan suara telah menakut-nakutkan warga UK tentang malapetaka jika UK meninggalkan EU.

Apabila keputusan sampai, media membuat propaganda untuk membuktikan bahawa warga yang menolak EU ini adalah rasis. Tidak mahu menerima 'orang lain' masuk ke dalam UK.

Kenyataan pemimpin parti kanan Eropah diberi layanan muka hadapan seolah-olah projek tinggalkan EU ini adalah projek parti kanan.

Justeru kita hanya membaca ucapan tahniah kepada warga UK yang berjaya meninggalkan EU daripada Marine Le Pen - parti Front Nasional Perancis, daripada Geert Wilders, Freedom Party Belanda dan juga Heinz-Christian Strache, pemimpin Freedom Partry Austria.

Semua ini pemimpin parti berhaluan kanan.

Suara intelektual kiri seperti Tarik Ali, Pual Craig Roberts atau Socilist Workers Party yang menyokong kempen keluar EU langsung tidak dipungut oleh media arus perdana.

Memang betul ada agenda menolak kemasukan pendatang baru dalam kempen Brexit. Memang betul terlalu ramai warga asing meluru masuk ke UK.

Ini hasil dari perjanjian EU. Warga EU boleh keluar masuk ke mana sahaja dalam 27 negeri ini. Mereka boleh mencari pekerjaan dan boleh bermastautin.

Hakikatnya EU telah menjadi satu negara tanpa sempadan.

Cuba tanya diri sendiri, apabila Zahid Hamidi awal tahun ini merancang untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh ke Malaysia, kita menentang langkah ini. Apakah kita rasis?

Ahli parlimen 'patung mainan'

Apabila watak kampung dan pekan kita, tempat tinggal kita, kondo kita mula dipenuhi oleh warga Nigeria dan kita merasa tidak selesa, adakah kita rasis?

Justeru, mempertahankan tanah air sendiri daripada berubah bentuk dan demografi pasti bukan sikap rasis.

Berita yang amat-amat memberangsangkan apabila UK meningglkan EU ialah sentimen anti-EU dan anti-Brussels makin melonjak.

Kempen keluar EU di UK telah membawa pencerahan. Ramai warga Eropah baru sedar bahawa undang-undang dan hukum-hakam di EU bukan dibuat oleh parlimen Eropah tetapi birokrat yang digaji dan tidak dipilih oleh suara ramai.

Anggota parlimen EU hanya patung mainan. Hukum-hakam muncul dihasilkan oleh para pelobi kaum pemodal.

Pencerahan sedemikian telah menaikkan semangat warga Belanda, Itali dan Portugal untuk mengadakan pungutan suara seperti yang dijalankan di UK.

Jika ini berlaku, maka rancangan besar imperialis Amerika untuk menjadikan Eropah sebagai koloni dan Rusia sebagai musuh telah gagal.

Kenapa pula Brexit ini penting untuk kita fahami?

Jangan lupa kalau kita di Malaysia ada TPPA. Dalam perjanjian TPPA ini Najib telah menjual Malaysia kepada kaum pemodal Amerika.

Rakyat Eropah juga hampir terjual sama melalui Transatlantic Trade and Investment Partnership (TTIP).

Brexit telah menyelamatkan warga Eropah. Apabila UK keluar EU, maka projek TTIP ini boleh dianggap telah musnah.

Kejayaan warga UK meninggalkan EU adalah kekalahan kuasa imperialis Anglo-Amerika. Kekalahan kekalahan kuasa imperialis Anglo-Amerika adalah kemenangan rakyat dunia.

Gagalnya TTIP ini akan membawa pengaruh untuk rakyat Asia dan kita di Malaysia khasnya untuk menggagalkan projek TPPA milik imperialis Amerika.

Suaram bidas Nur Jazlan nafi suspek pengganas diseksa

Posted: 13 Jul 2016 04:51 PM PDT

MALAYSIAKINI


Sebuah NGO hak asasi manusia terkejut dengan jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed bahawa seksaan tidak digunakan terhadap suspek pengganas yang didakwa di Malaysia.

Suaram menyifatkan Nur Jazlan sebagai "menteri yang menerima maklumat salah atau jahil mengenai isu-isu di bawah portfolio beliau".

"Suaram telah merekodkan kes yang tidak terkira banyaknya dan insiden di mana penyeksaan telah digunakan sebagai cara utama untuk mendapatkan pengakuan atau untuk memaksa pengakuan palsu daripada suspek yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan."

"Amalan keganasan juga digunakan terhadap suspek pengganas yang didakwa dan kejadian itu telah didokumenkan secara menyeluruh dan dilaporkan oleh Suaram sepanjang tahun," kata Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy.

"Keluarga mangsa penyeksaan juga telah membuat laporan masing-masing kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk siasatan," katanya.

Sevan mengulas pandangan Nur Jazlan bahawa Malaysia mengamalkan pendekatan undang-undang yang 'lembut' dalam menangani isu keganasan.

Comments (0)