MESKIPUN mereka masing-masing pernah pegang jawatan yang sama – timbalan perdana menteri – aura Anwar Ibrahim sebagai ahli politik jauh mengatasi Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin tidak mampu tarik orang turun ke jalanan memprotes pemecatannya berbanding apa yang pernah Anwar lakukan. Malah pasca pemecatan Anwar – apa yang disebut orang sebagai era reformasi –  mereka yang tidak pernah ambil tahu hal politik pun, tiba-tiba meratib ayat-ayat politik siang malam.
Muhyiddin Yassin Tok Che Nah dari Kampung Nyior Sebatang, Lahar Yooi, Tasek Gelugor, yang sudah 80 tahun umurnya ketika itu dan sepanjang hidupnya tidak pernah sekalipun saya dengar dia bercakap walau sepatah tentang politik, tiba-tiba bertanya: "Awat depa jahat sangat buat kat Anwat sampai tara tu???"
Begitulah.
Anwar adalah seorang manusia politik yang hebat. Pidatonya memukau. Aura dirinya berjaya mengundang simpatisan hinggakan ramai anak-anak muda sanggup turun ke jalanan berdemonstrasi. Pelajar universiti pun sanggup memperjudikan nasib diri, dipacu emosi melakukan kacau-bilau di tengah-tengah Ibu Kota, apa yang tidak pernah berlaku dalam politik negara sebelum itu.
Ketika Musa Hitam meletak jawatan timbalan perdana menteri, keadaan tidak segawat itu meskipun sebelumnya, dia dianggap gandingan Mahathir yang paling berbakat, bakal pengganti yang sedang dilatih untuk mengambil alih kepimpinan negara. Gandingan mereka disebut sebagai '2M'.
Namun apabila Musa keluar dari kepimpinan, tiada demonstrasi besar-besaran melainkan hanya beberapa orang dari Umno Johor yang mendesak dia tarik balik surat letak jawatan.
Saya masih ingat, selepas Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 2 September 1998, wartawan veteran, A. R. Kamaludin (Allahyarham) ada mengatakan bahawa Parti Keadilan Nasional  (sebelum bertukar nama kepada PKR selepas bergabung dengan Parti Rakyat) yang diaktifkan oleh Dr. Wan Azizah untuk membela Anwar, tidak akan bertahan lama.
Ini katanya bersebab, tidak ada nama besar dalam politik ketika itu yang menyeberang untuk bersama Anwar melainkan beberapa orang muda  seperti Dr. Rahim Ghouse, Ruslan Kassim dan Saifuddin Nasution. Mereka yang sebelum itu dikenali sebagai orang Anwar seperti Kamaruddin Jaffar dari Institut Kajian Dasar (IKD), pun tidak menyertai Keadilan sebaliknya memilih Pas.
Ini tidak seperti ketika Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 selepas kalah kepada Mahathir dalam perebutan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti 1987. Begitu ramai nama besar dibawa Ku Li masuk parti baharu itu. Umno (Baru) yang kemudian ditubuhkan oleh Mahathir selepas diisytiharkan haram oleh mahkamah, hampir lumpuh.
Untuk beberapa ketika sebelum pendaftaran Umno (Baru) diluluskan, Dr. Ling Liong Sik yang ketika itu Presiden MCA memangku jawatan Pengerusi BN, suatu keadaan yang amat menyedihkan bagi orang Melayu.
Dr. Rais Yatim, Abdullah Ahmad Badawi, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Abdul Manan Osman, Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar, Tengku Paduka Raja Terengganu,  Zainal Abidin Zin, Rahmah Osman, Ibrahim Azmi Hassan, Zainol Abidin Johari (Allahyarham) – mereka daripada Team B Umno sebelum itu – bersama Ku Li menghidupkan Semangat 46. Sebilangannya adalah anggota Kabinet Mahathir sendiri.
Selepas itu, Semangat 46 bukan sekadar hidup sebaliknya menempa beberapa kejayaan. Bersama Pas, Hamim dan Berjasa di bawah gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), mereka berjaya mengambil alih Kelantan dari tangan BN, apa yang semestinya cukup sentimental bagi Ku Li sendiri sebagai anak Kelantan.