Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:22 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Hujan air batu kejutkan Bukit Jalil, perkhidmatan LRT turut terjejas

Posted: 03 Jun 2016 05:30 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic




KUALA LUMPUR: Penduduk di Bukit Jalil di sini petang tadi dikejutkan dengan kejadian hujan air batu di beberapa kawasan, berikutan cuaca ribut yang turut menumbangkan beberapa batang pokok besar termasuk di Taman Teknologi Malaysia.

Hujan ribut itu bermula pada jam 6 petang hingga mencetuskan panik dalam kalangan pekerja pejabat kerajaan dan swasta di sekitar kawasan berkenaan.

Beberapa pekerja pejabat yang baru hendak pulang dari kerja terkejut apabila melihat beberapa buah kenderaan turut rosak teruk akibat dihempap pokok.

"Kami sedang berada dalam pejabat ketika terdengar bunyi yang kuat di luar bangunan. Seperti ada kekecohan berlaku, saya dan teman pejabat bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

"Kami terkejut apabila mendapati kira-kira 10 buah kenderaan di kawasan pejabat saya dihempap pokok.


Kira-kira dua atau tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk ," ujar seorang pengarang radio, Mogan Muniandy kepada Astro AWANI.

Hujan ribut itu bermula pada jam 6 petang hingga mencetuskan panik dalam kalangan pekerja pejabat kerajaan dan swasta di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Prasarana Berhad memberitahu Astro AWANI, perkhidmatan LRT terjejas antara stesen Cheras dan Sri Petaling akibat gangguan bekalan kuasa.

Pihak Prasarana menyediakan bas perantara bagi kemudahan penumpang yang terjejas.

Ketika ini, beberapa pihak difahamkan mula mengalihkan serpihan objek yang menghalang laluan.


Kesetiaan pengundi UMNO bakal pecah di Kuala Kangsar?

Posted: 03 Jun 2016 05:21 AM PDT

 
Isu 1MDB dan RM2.6 bilion membuatkan ahli UMNO marah, walaupun ada yang tidak menunjukkan kemarahan mereka, kata Datuk Kamilia Ibrahim.


Kamilia-Ibrahim_umno_kuala-kangsar_600


KUALA LUMPUR: Skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion, perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar dan calon bukan pilihan semua menjadi antara faktor yang akan menguji kesetiaan pengundi tegar UMNO dalam PRK Parlimen itu pada 18 Jun depan.

Bekas naib ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai segmen pengundi yang setia kepada parti masing-masing, sama ada UMNO atau PAS, terutama di kawasan luar bandar.

"Namun tidak mustahil kesetiaan pengundi UMNO akan pecah atas pelbagai sebab. Misalnya isu 1MDB dan RM2.6 bilion membuatkan ahli UMNO sendiri marah, walaupun ada yang tidak menunjukkan kemarahan mereka.

"Begitu juga faktor calon yang tidak dipersetujui semua, selain perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar akibat perbalahan sesama sendiri," katanya dalam wawancara bersama FMT semalam.

Kamilia yang juga bekas ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar berkata isu 1MDB dan RM2.6 bilion juga mungkin mampu menyebabkan pengundi luar yang biasanya tidak mengundi dalam PRK – yang cenderung menyokong pembangkang, pulang untuk menunjukkan suara mereka.

Bekas senator yang 30 tahun menjadi ahli UMNO itu dipecat pada 2013, selepas mengambil tindakan nekad bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar pada PRU13 sebagai tanda protes kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Sementara itu, Kamilia menyambut baik spekulasi yang menyatakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir mungkin 'menaja' bekas ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat tahun lalu untuk turut bertanding sebagai calon bebas.

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan penentangan Mahathir terhadap Najib sudah bersifat terlalu peribadi.

"Saya percaya apa yang beliau lakukan adalah perjuangan. Ramai orang lupa kalimah 'perjuangan' ini.

Untuk mewujudkan negara yang lebih bersih, tidak rasuah dan berpegang kepada prinsip kenegaraan yang tulen.

"Saya pun rasa mahu bertanding kalau ada pasukan yang bagus. Ini (menentang kepimpinan Najib) adalah perjuangan yang bagus. Saya sudah lama dalam politik, dan perjuangan tidak pernah mati," katanya.

Seorang lagi pemimpin UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail juga dikatakan akan menjadi calon bebas.

Namun setakat ini hanya UMNO, PAS dan Pakatan Harapan yang mengesahkan akan bertanding di Kuala Kangsar.

Parti komponen diarah turunkan bendera BN di Sg Besar

Posted: 03 Jun 2016 05:18 AM PDT

 
Ketua-ketua Bahagian parti komponen BN diarah menurunkan bendera parti itu di 12 lokasi. 


MBSB


PETALING JAYA: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dikatakan telah mengarahkan pemimpin-pemimpin BN di Sungai Besar menurunkan bendera parti itu.

Surat yang dihantar kepada Ketua UMNO, MCA dan GERAKAN di Bahagian Sungai Besar itu mengarahkan bendera BN di 12 lokasi diturunkan.

Menurut surat bertarikh 1 Jun itu, pemasangan bendera tersebut telah melanggar U.U.K 4 Undang-undang Kecil Pilihan Raya (MDSB) 2007 kerana dilakukan tanpa permit MDSB.

"Oleh itu, melalui peruntukan U.U.K 9(1)(b) Undang-undang Kecil Iklan Pilihan Raya (MDSB) 2007 dengan notis ini diberi, pihak Datuk/Tuan dikehendaki menurunkan bendera Parti Barisan Nasional dengan serta-merta," demikian menurut surat itu.

12 lokasi itu adalah hadapan Pejabat UMNO Sungai Besar, Jalan Tebuk Marso, Jalan Sungai Haji Dorani, Jalan Sungai Nibong, Pasir Panjang, Parit 10, Jalan Tali Air 8, Jalan Radin, Jalan Parit 8 dan hadapan Pejabat GERAKAN Sekinchan serta Jalan Sungai Labu dan Jalan Kuala Selangor Lama.

FMT sedangg cuba menghubungi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung arahan MDSB ini.

Polis buru 2 bekas pekerja taska disyaki dera bayi

Posted: 03 Jun 2016 05:14 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Pemilik taska itu mendakwa laporan kes dera dua bayi di pusat asuhan yang tersebar di laman sosial merupakan sabotaj dua pekerja yang baru tiga bulan bekerja dengannya.


ACP Rosly Hassan


PUTRAJAYA: Polis sedang menjejaki dua bekas pekerja sebuah taska di Presint 15 bagi membantu siasatan berhubung kes bayi yang disyaki didera dan gambar mereka menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata, kedua-dua bekas pekerja wanita itu dikatakan telah melarikan diri setelah gambar kes dera dua bayi itu tersebar di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, kes dera itu didakwa melibatkan seorang bayi lelaki berumur 13 bulan dan seorang bayi perempuan berumur empat bulan.

Rosly berkata, pemilik taska itu yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun telah menghantar gambar bayi lelaki dengan kesan lebam pada mukanya melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bayi itu.

"WhatsApp itu dihantar kepada ibu bayi itu yang merupakan seorang pegawai kerajaan kira-kira 4.10 petang pada 25 Mei lalu dan pada 8.42 malam, ibu bayi (pengadu) menerima satu lagi WhatsApp daripada pekerja taska memaklumkan anak pengadu didera pemilik taska," katanya.

Rosly berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada pemilik taska itu pada jam 5.40 petang Selasa lalu yang menerima WhatsApp bergambar berhubung anak-anak didera di taska itu.

"Pemilik taska mengesyaki perbuatan itu dilakukan dua bekas pekerjanya yang masing-masing berumur awal 20-an yang telah melarikan diri pada Sabtu lalu, sebelum mereka menyebarkan hingga menjadi viral gambar seorang bayi perempuan yang mulutnya ditutup dengan kain lampin dalam Internet," katanya.

Menurut Rosly, sebelum ini, pihak polis turut menerima aduan daripada ibu bayi itu yang mengatakan terdapat kesan lebam pada muka anak lelakinya akibat didera.

"Polis juga menerima laporan polis daripada bekas pekerja taska pada pukul 4 petang Rabu lalu (1 Jun) menafikan telah mendera kanak-kanak di taska dan mendakwa pemilik taska yang mendera kanak-kanak itu," katanya.

Sementara itu, pemilik taska berkenaan mendakwa laporan kes dera dua bayi di pusat asuhan yang tersebar di laman sosial merupakan sabotaj dua pekerja yang baru tiga bulan bekerja dengannya.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melakukan lawatan ke premisnya dua hari lalu untuk menyiasat dan taska itu masih beroperasi seperti biasa kerana mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mempunyai sijil asuhan di bawah program Permata Negara.– BERNAMA

Usah biar kerajaan asing ‘curi’ pelajar kita, DAP rayu komuniti korporat sedia biasiswa

Posted: 03 Jun 2016 05:07 AM PDT

tony jpa

Oleh HAFIZ ZAINUDDIN


PETALING JAYA: Komuniti korporat dirayu untuk membantu sembilan pelajar cemerlang yang terkandas mengikuti  program biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah kerajaan gagal melunaskan janjinya dengan merombak perjanjian biasiswa tersebut sebelum ini.

Rayuan ini dibuat setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk pertemuan dengan pegawai dan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon, Setiausaha Perdana Menteri Datuk Wong Nai Chee dan sebagainya menemui jalan buntu.

"Kita amat kecewa kerajaan memilih untuk menghampakan pelajar-pelajar cemerlang ini yang telah berjaya untuk memasuki universiti-universiti terbaik dunia seperti yang diiktiraf JPA sendiri," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee.

Menurutnya walaupun pelajar-pelajar tersebut diberi tawaran baharu untuk melanjutkan pendidikan ke universiti tempatan, sebahagian kursus yang ditawarkan di universiti luar negara mempunyai kualiti dan perbezaan yang amat ketara .

"Misalnya ada pelajar kita diterima melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di Universiti Cambridge, universiti ini hanya menawarkan 20 tempat kepada pelajar bukan rakyatnya dan Kesatuan Eropah.

"Namun, beliau tidak dapat lanjutkan pengajian kerana tidak mendapat biasiswa. Pihak keluarga juga tidak mampu menampung yuran pengajian yang tinggi di sana," jelasnya.

Meskipun kerajaan memberi alasan kekangan kewangan negara untuk merombak perjanjian program bursari JPA itu, Tony menegaskan bahawa biasiswa pendidikan bagi pelajar cemerlang negara ini tetap perlu diutamakan kerana ia merupakan satu pelaburan menguntungkan buat negara.

"Kita tidak mahu perkara terburuk berlaku apabila kerajaan asing 'mencuri' bakat-bakat cemerlang pelajar negara ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, pihaknya merayu dan meggesa pihak kerajaan supaya merombak semula keputusan dan perjanjian mereka supaya pelajar-pelajar cemerlang ini dapat meneruskan pengajian mereka ke universiti-universiti yang telah menawarkan peluang pengajian.

"Masa terlalu suntuk, kita akan terus menggesa kerajaan untuk menunaikan dan melaksanakan perjanjian sebelum ini, kami juga merayu kepada komuniti korporat negara ini untuk membantu menyediakan biasiswa kepada sembilan pelajar cemerlang ini untuk meneruskan pengajian ke luar negara," rayu Tony.

Pihak korporat yang berminat untuk memberikan biasiswa ujarnya boleh berhubung terus dengan wakil pelajar tersebut; Justine Jason Barnabas melalui email justine1706@yahoo.com atau melalui  telefon 011-10803855. – Roketkini.com


Kerajaan Pusat digesa tunai janji tangani masalah sumber air di Wilayah Utara

Posted: 03 Jun 2016 05:03 AM PDT

lin guan eng loji sungai dua

(Gambar ihsan Buletin Mutiara)

Roketkini.com
 

GEORGE TOWN: Perubahan cuaca mendadak yang mengakibatkan kemarau teruk di negeri-negeri Wilayah Utara mengundang Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengemukakan tiga langkah yang perlu diambil oleh kerajaan Persekutuan bagi memastikan sumber air yang mencukupi di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Kerajaan Persekutuan harus melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi membawa manfaat kepada penduduk Perak dan Pulau Pinang.

Jelasnya, langkah itu akan membolehkan kedua-dua negeri berkenaan meneroka sumber air mentah sebesar Sungai Muda dan seterusnya berjaya memenuhi permintaan air mentah sehingga tahun 2050.

Selain itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencadangkan agar kerja pembalakan di kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Muda dihentikan serta-merta oleh kerajaan Persekutuan bagi memelihara sumber air di kawasan tersebut.

"Kerajaan juga mesti meyakinkan Kedah untuk mewartakan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Muda itu secepat mungkin.

"Selepas itu, kerajaan perlu membayar pampasan kepada Kedah kerana melindungi dan memelihara kawasan yang mengumpul air mentah untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Pakej 12, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pagi tadi.

Selain dua langkah tersebut, Guan Eng menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan juga tidak boleh 'duduk diam' dan mesti campur tangan untuk menguruskan sumber air mentah di Utara dengan melakukan kerjasama peringkat serantau antara negeri-negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan merupakan satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa untuk menguruskan perkara itu selaras dengan perjanjian yang ditandatangani bagi Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negara pada 2011.

Perjanjian tersebut, kata Guan Eng, jelas menyatakan bahawa kerajaan Pusat mempunyai kewajipan untuk memenuhi keperluan air mentah di Pulau Pinang dan negeri-negeri Wilayah Utara yang lain.

"Kerajaan Pusat juga menggariskan bahawa matlamat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) adalah untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia dengan memanfaatkan kekuatan di rantau ini.

"Dengan berbilion-bilion ringgit yang terbabit dan nasib 4 juta penduduk yang menjadi pertaruhan, kita berharap mereka akan bertindak pantas serta mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.

Pakej 12 loji rawatan air Sungai Dua yang dirasmikan oleh Guan Eng tersebut akan merawat 80 peratus sumber air mentah Pulau Pinang serta mempertingkatkan simpanan air rawatan negeri itu kepada 36.3 peratus.

Sejak dibina pada tahun 1973, loji yang merawat air mentah diambil dari Sungai Muda itu telah dinaik taraf sewajarnya sebanyak tujuh kali bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat oleh penduduk. – Roketkini.com


Ratu Naga junjung Quran nafi dakwaan beli pangkalan data

Posted: 03 Jun 2016 04:31 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Ema @ Ratu Naga dengan diiringi abangnya bersumpah sambil menjunjung Quran menafikan dakwaan membeli pangkalan data untuk Deklarasi Rakyat. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehEma @ Ratu Naga dengan diiringi abangnya bersumpah sambil menjunjung Quran menafikan dakwaan membeli pangkalan data untuk Deklarasi Rakyat. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh


Pemilik Akaun Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah hari ini bersumpah di hadapan al-Quran bahawa beliau tidak mengenali Azharuddin Othman @Abdullah.

Azharuddin semalam mendakwa Ema terlibat dalam pembelian 900,000 nama dari pangkalan data penduduk Malaysia bagi mencukupkan 1.2 juta tandatangan Deklarasi Rakyat.

Ema berkata, beliau tidak mengenali dan tidak pernah berkomunikasi dengan Azharuddin seperti yang didakwa pengatur cara komputer bebas itu dalam sidang medianya semalam.

Justeru beliau bersumpah bagi membersihkan namanya.

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Saya Syarul Ema Rena binti Abu Samah buat sumpah ini di hari Jumaat yang suci bahawa saya tidak pernah mengenali atau bercakap atau berhubung dengan Azharuddin Othman @ Abdullah kad pengenalan 861022465285.

"Jika saya menipu, maka saya akan dilaknat," lafaznya sambil menjunjung al-Quran dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ema dalam sidang media menjawab tuduhan Azharuddin dan Che'gu Bard. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehEma dalam sidang media menjawab tuduhan Azharuddin dan Che'gu Bard. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh

Ema, 26 menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan yang sangat berat dan mahu bertemu sendiri dengan Azharuddin bagi 'menyelesaikan perkara itu' tanpa membuat laporan polis.

"Saya berharap dapat bertemu dengan budak yang dakwa dia kenal saya itu tapi dia tak datang pun," katanya yang ditemani abangnya.

Ditanya sama ada beliau tahu motif namanya dikaitkan dengan tuduhan tersebut, Ema berkata beliau tidak mengenali Azharuddin namun mengetahui latar belakang Badrul Hisham Saharin atau Che'gu Bard yang didakwa dalang di sebalik tindakan tersebut.

"Saya memang tak kenal Azharuddin tapi saya kenal Che'gu Bard, orang yang bawa budak itu buat pendedahan kononnya saya membeli data penduduk.

"Semua orang tahu Che'gu Bard memang berani buat perkara-perkara begini dan banyak pihak mengakuinya. Jadi tidak pelik kalau dia buat tuduhan begini terhadap saya," katanya yang sedang mengandungkan anak pertama.

Ema dalam pada itu berharap ada peguam sudi membelanya secara sukarela berhubung perkara ini.

"Saya tak buat laporan polis sebab saya tak ada peguam. Bila buat laporan polis sudah tentu saya kena lantik peguam. Saya memang tak ada duit nak bayar peguam.

"Jadi saya alu-alukan kalau ada peguam yang ingin ambil kes ini secara sukarela," katanya.

Semalam, Azharuddin mendakwa beliau dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000 bagi 900,000 nama dari pangkalan data namun hanya menerima sebayak RM1,000.

Ema dalam pada itu berkata, beliau langsung tidak terlibat dengan Deklarasi Rakyat dan tidak pernah berhubung dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pengumpulan tandatangan rakyat.

"Semua tahu Tun Mahathir memang 'tahi hidung masin'. Takkan dia bayar saya untuk buat perkara ini. Dan mana saya nak dapat duit untuk bayar orang buat perkara ini," tegasnya.

Saya sudah serik kerjasama dengan PKR, kata presiden Pas

Posted: 02 Jun 2016 10:20 PM PDT

BORHAN AHMAD
 
 
Hubungan Azmin dengan Abdul Hadi baik namun kini bermasalah menjelang PRK Sungai Besar Kuala Kangsar.Hubungan Azmin dengan Abdul Hadi baik namun kini bermasalah menjelang PRK Sungai Besar Kuala Kangsar.


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu sudah serik untuk bekerjasama dengan parti pembangkang terutamanya PKR.

Ini kerana kata beliau, PAS berkerja sepanjang masa sedangkan parti pembangkang lain hanya hadir ketika musim pilihan raya sahaja.

"Terang-terang saya sebut, banyak pilihan raya kita beri kepada rakan kita ini (PKR). Masa pilihan raya, dia datang, lepas pilihan raya, dia tak datang, jadi orang PAS yang bekerja.

"Sudah berapa kali pilihan raya, orang PAS yang bekerja kuat kerana PAS bekerja sepanjang masa. (Tetapi) apabila tiba pilihan raya, dia datang, nak kawasan (bertanding).

"Ini bukan sahaja di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sahaja, kawasan lain pun begitu juga,"katanya kepada pemberita di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada Jumaat lalu sebagaimana dilaporkan sebuah laman yang pro Pas, Tranungkite.net.

Ia juga turut dilaporkan oleh Buletin Utama TV3.

Kenyataan Abdul Hadi dipercayai kerana kesal dengan sikap PKR yang cuba merebut kawasan pilihan raya Sungai Besar untuk bertanding juga.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali mengaku beliau sedia terus berunding dengan Pas walaupun sudah beberapa kali gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga kini mesyuarat Majlis Pakatan Harapan sudah tiga kali ditangguhkan dan antara puncanya perundingan dengan Pas masih belum dimuktamadkan.

Menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu, Abdul Hadi telah membuat keputusan untuk meletakkan calon Pas di sekurang-kurangnya lima kerusi PKR walaupun kerusi itu telah diputuskan akan ditandingi oleh PKR dalam perundingan Pakatan Rakyat.

Ia termasuk tiga Dun di Terengganu dan Dun Kota Damansara di Selangor serta Dun Sungai Acheh di Pulau Pinang.

Alasan calon PKR menjadi agen pil kuda di Terengganu telah menyebabkan Abdul Hadi di saman oleh bekas calon PKR Bukit Besi, Terengganu.

Namun mahkamah telah menolak saman itu kerana Abdul Hadi tidak pernah menyebut secara jelas siapakah yang dimaksudkan oleh beliau walaupun ada unsur fitnah di situ.

Terkini, sikap ahli parlimen Marang ini selari dengan sikap Pas Terengganu dalam hubungan mereka dengan PKR.

Timbalan Pesurujaya Pas Terengganu, Yahaya Ali berkata, Pas patut bertanding di kerusi Dun Bandar, satu-satunya kerusi yang diwakili PKR di Terengganu sekarang. Ia dimenangi oleh Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dalam pilihan raya umum lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri juga berkata, Pas akan bertanding kesemua 32 Dun di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang atau pilihan raya negeri jika diadakan.

Kenyataan ini dibuat ketika Pas mempunyai tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR.

PKR tikam belakang, Pas beku hubungan di Kuala Kangsar

Posted: 02 Jun 2016 10:15 PM PDT

 
 
Dr Raja Ahmad Iskandar Al HissDr Raja Ahmad Iskandar Al HissPas Kuala Kangsar membekukan hubungannya dengan PKR serta-merta ekoran kehadiran pimpinan utama parti itu yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan malam tadi.

Yang Dipertua Pas Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata Pas 'terguris dan terhiris' dengan tindakan PKR itu kerana Pas dan PKR dakwanya masih rakan tahaluf.

"Bagaimana Presiden PKR boleh hadir menyokong calon yang akan menentang rakan tahalufnya.

"Pada hemat saya, ianya satu tindakan,tikam belakang terhadap kami di Kuala Kangsar,dan merupakan satu pengkhianatan kepada,tahaluf siyasi yang diasaskan bersama," katanya dalam satu tulisan nukilannya hari ini.

Sehubungan itu katanya, kedudukan hubungan kedua-dua parti itu akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Pas Perak untuk memutuskan tindakan lanjut.

Pendirian Pas Kuala Kangsar ini juga dilihat selari dengan usul Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kelantan kelmarin yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Sementara itu, pada majlis yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar malam tadi selain Wan Azizah, pimpinan PKR yang hadir termasuk Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Saifuddin Nasution.

Wan Azizah ketika berucap malam tadi turut menegaskan bahawa PKR memeberi sokongan penuh kepada calon Amanah sebagai mewakili Pajatan Harapan di sini.

"Inilah masa dan waktunya kami nyatakan setiakawan kami dengan sokong calon Pakatan Harapan daripada Amanah," katanya.

Selain PKR, program malam tadi juga turut dihadiri pemimpin DAP yang diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti Tony Pua dan penasihat DAP Perak Ngeh Ko Ham.

Sebagai ketua pembangkang, Dr Wan Azizah telah menyerahkan watikah perlantikan kepada calon Amanah di Kuala Kangsar, Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli bagi mewakili Pakatan Harapan.

Calon lelaki tunggal itu akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ahmad Termizi, 61, calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. Pemegang Diploma Fizik Pengionan dan memiliki Ph.D dalam bidang Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.

Beliau juga bekas profesor di Jabatan Fizik Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dalam NGO beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.

Wan Azizah ketika berucap di Kuala Kangsar telah dianggap sebagai menikam rakan tahalufnya dari Pas.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari W. Salleh.Wan Azizah ketika berucap di Kuala Kangsar telah dianggap sebagai menikam rakan tahalufnya dari Pas.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari W. Salleh.

Trajedi MH17: Enam waris kemuka saman kepada MAS dan MAB

Posted: 02 Jun 2016 10:09 PM PDT

BERNAMA


Enam waris kru penerbangan MH17 menamakan menamakan MAS dan MAB sebagai defendan pertama dan kedua.Enam waris kru penerbangan MH17 menamakan menamakan MAS dan MAB sebagai defendan pertama dan kedua.



Waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 hari ini memfailkan saman kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap Malaysia Airlines System (MAS) dan Malaysia Airport Berhad (MAB) berhubung kehilangan anggota keluarga mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai 2014.

Waris kepada Shazana Mohamed Salleh, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, Sanjid Singh Sandhu, Mohd Ghafar Abu Bakar, Lee Hui Pin dan Chong Yee Pheng memfailkan saman itu melalui Tetuan Thomas Philip di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Mereka menamakan MAS dan MAB sebagai defendan pertama dan kedua.

Mengikut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa MAS telah cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui berada di bawah konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan kematian.

Mereka mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang daripada 1,000 kaki atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu iaitu ketinggian yang tidak digunakan oleh pesawat lain.

Plaintif mendakwa MAS juga telah cuai kerana menghantar dan melaksanakan penerbangan MH17 di bahagian paling utara Koridor Penerbangan Komersial Ukraine, gagal mempunyai apa-apa sistem penilaian risiko dan gagal mengambil kira ketidakstabilan berkenaan penerbangan di bahagian timur Ukraine.

Mereka juga mendakwa MAS telah melanggar kontrak dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat kakitangan untuk penilaian risiko, anak kapal penerbangan dan kakitangan operasi.

Kesemua plaintif menegaskan bahawa defendan kedua iaitu MAB bertanggungjawab di sisi undang-undang dan fakta untuk menanggung kerugian plaintif dan menjamin pembayaran ganti rugi yang diperintah untuk dibayar oleh MAS kepada plaintif.

Mereka juga menegaskan bahawa MAS dan MAB bertanggungjawab di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal 1999 dan/atau Akta Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.

Mereka memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, ganti rugi menurut Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi kecederaan psikiatri trauma, kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.

Plaintif juga menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah, kos dan apa-apa relif lanjut dan/atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Ahmad Termizi akui baharu dalam politik, sedia galas tanggungjawab

Posted: 02 Jun 2016 10:06 PM PDT

 
 
Dr Ahmad Termizi Ramli Dr Ahmad Termizi Ramli
Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli jujurnya mengakui beliau masih baharu dalam parti politik namun amat mengenali ramai pemimpin politik pembangkang secara peribadi antaranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah  Mohamad Sau.

 "Abg Mat (Mohamad Sabu) ni saya nyaris-nyaris nak sama sel dengan dia. Gambar saya ditayangkan, cuna saya lari lah.

"LGE (Lim Guan Eng) saya kenal rapat dengan ayah dia Uncle Lim Kit Siang. Uncle Lim sama mengaji dengan tok guru saya Shiekh Rashid Garnaouchi. Rakan seperguruan la tu.

"Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) rakan sekelas isteri saya. Kenal lama dengan Anwar juga.

"Alfadhil Ustaz Ahmad Awang juga saya kenal lama.

"Ngeh ko ham saya kenal lama dalam NGO," ujarnya sejurus berucap selepas diumumkan sebagai calon  Pakatan Harapan di PRK Kuala Kangsar.

Ahmad Termizi yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa juga akui memikul satu tanggungjawab berat dipilih menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

"Ini adalah tanggungjawab besar buat saya apabila dipilih oleh kepimpinan antara lain adalah usaha demi masa depan anak-anak kita nanti.

"Ini satu tanggungjawab berat yang saya perlu pikul untuk membawa titik sejarah yang akan merubah negara ini. Ini tanggungjawab yang mesti kita lakukan bersama dan tiada pilihan lain.

"Kita di Kuala Kangsar tiada pilihan melainkan menyelamatkan negara atau menjadi talibarut memusnahkan negara kita," katanya.

Ahmad Termizi juga berkata, beliau membawa bukan sahaja hasrat  pengundi Kuala Kangsar tetapi juga rakyat Malaysia amnya yang mahu melihat sejarah perubahan politik negara bermula di PRK ini.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dikalangan pimpinan tertinggi parti gabungan Pakatan Harapan.

Dengan pengumuman Ahmad Termizi maka pengundi di Parlimen Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua calon wanita iaitu Datin Mastura Mohd Yazid dari BN dan Dr Najihatussalehah Ahmad dari Pas pada hari pembungan undi 18 Jun ini.

Ahmad Termizi  ketika berucap sejurus selepas diumumkan sebagai calon PRK di Kuala Kangsar.Ahmad Termizi ketika berucap sejurus selepas diumumkan sebagai calon PRK di Kuala Kangsar.
 

PAS hilang undi lepas keluar PR, akui perwakilan

Posted: 02 Jun 2016 10:03 PM PDT

MALAYSIAKINI


Perwakilan Terengganu meminta supaya PAS bersungguh-sungguh untuk menubuhkan blok ketiga pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Malah, wakil PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, blok ketiga itu tidak hanya di tulis di atas kertas semata-mata sebaliknya ia perlu dilaksanakan di semua peringkat parti.

Katanya, blok ketiga itu juga penting bagi memastikan PAS dapat menarik kembali pengundi selepas kegagalan parti Islam itu bersama Pakatan Rakyat.

"Selepas berpisah dengan Pakatan Rakyat, kita akui perpisahan ini menyebabkan kita kehilangan pengundi.

"Kita harap PAS dapat bersungguh-sungguh kerana ini peluang terbaik untuk tarik pengundi golongan atas pagar.

"Kita kena sungguh-sungguh supaya blok ketiga ini dapat tenggelamkan Pakatan Harapan kerana mereka pesaing kita sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan.

PAS membentuk blok baru pembangkang pada Mac lalu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Kerjasama itu dilakukan bagi membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman yang lebih tersusun dan diharapkan setanding Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 namun ia berkubur selepas mengalami masalah sesama parti.


Pusat penamaan calon PRK K.Kangsar di Dewan Jubli Perak Ahad ini

Posted: 02 Jun 2016 07:40 PM PDT

 BERNAMA
 
 
poster PRK Kuala Kangsarposter PRK Kuala Kangsar


Pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar pada Ahad ini.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata pusat penamaan calon itu akan dibuka selama sejam bermula 9 pagi.

"Saya akan membuat pengisytiharan (calon) antara jam 10.15 hingga 10.30 pagi selepas semakan nama calon selesai dilakukan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tempoh kempen untuk semua parti yang bertanding akan bermula selepas selesai proses penamaan calon itu sehingga 12 tengah malam 17 Jun.

Pengundian PRK itu diadakan pada 18 Jun dan dewan berkenaan juga akan digunakan sebagai pusat penjumlahan undi, katanya.

Mior Muhammad Jamil turut meminta semua penyokong parti yang bertanding supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung.

"Penyokong perlu berhemah, elakkan provokasi supaya proses penamaan calon berjalan dalam keadaan aman damai," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sehingga kini PRK Kuala Kangsar akan menyaksikan berlakunya pertandingan tiga penjuru membabitkan calon  dari BN, Pakatan Harapan dan Pas.

Mahfodz mohon maaf guris hati rakyat Sarawak

Posted: 02 Jun 2016 07:30 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar
Post Pic
 
 
PENGKALAN CHEPA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataannya mengenai Islam di Sarawak yang telah mengundang rasa terkilan rakyat beragama Islam di negeri berkenaan. 
 
Ujar beliau, kenyataan tersebut tidak langsung berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak, sebaliknya ia adalah pandangan yang dilontarkan berikutan kekalahan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, awal bulan lalu.   
 
"Kepada rakyat serta perwakilan PAS Sarawak, saya dengan rendah diri mohon ampun dan maaf sekiranya kenyataan saya mengenai Islam di sarawak tak tepat dan mengguris hati.
 
"Saya nyatakan antara faktor PAS belum menang di sana kerana adalah kerana  ramai di sana tak faham politik Islam, bukan kerana tidak menghayati ajaran Islam," ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahuna  PAS Pusat kali ke-62, di sini hari ini.
 
 

PAS digesa gunakan DHPP tarik sokongan bukan Islam

Posted: 02 Jun 2016 07:21 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
PENGKALAN CHEPA: Sebahagian orang bukan Islam memilih untuk menyertai PAS menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kerana perjuangan parti itu berteraskan agama dan bukan perkauman, kata wakil dewan itu, Dr G. Balachandran.
 
Justeru katanya, adalah penting untuk PAS sentiasa melibatkan DHPP dalam pelbagai program parti bukan saja untuk menarik sokongan orang bukan Islam, tetapi lebih kepada menangani persepsi 'negatif' daripada orang bukan Islam terhadap parti itu.   
 
"Tolong bawa kita bersama supaya orang nampak kita. Sebab ramai yang tak boleh terima yang orang bukan Islam boleh bersama PAS. Sebab mereka diajar yang penting adalah bangsa. Bila jadi begitu, orang bukan Islam lagi takut.
 
"Kenapa kita bersama PAS? Kita bersama PAS sebab akidah perjuangan PAS berteraskan agama, bukan perkauman. Hidup Melayu takkan janji Islam selamat, tapi hidup Islam kita semua selamat," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62, di sini, hari ini.  
 
Tambahnya, orang bukan Islam tidak perlu menjadi 'Islam' apabila bersama PAS.
 
Sebaliknya kata wakil berbangsa India itu, apabila bersama PAS, seseorang itu ditarbiahkan menjadi insan yang lebih baik. 
 
"Kita tak perlu jadi org Islam dalam PAS. Menjadi seorang Islam atau tidak, itu adalah hak Allah. Yang penting kita ditarbiahkan menjadi insan yang baik. Nilai kita sebagai Hindu, Buddha dan Kristian, kita jadi seorang yang lebih baik. Itu yg penting. Bila kita baik tiada tempat untuk kejahatan," katanya lagi.
 
Menyentuh soal pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian, kata beliau, pihaknya memahami bahawa ia adalah untuk meminda Akta 355 bagi mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Beliau dalam pada itu mengkritik tindakan segelintir pihak yang menolak pembentangan pindaan akta berkenaan, kerana menyifatkan golongan berkenaan tidak memahami tujuan pembentangan RUU itu.  
 
"Walaupun sukar nak faham Islam, boleh panggil kita, kita boleh ajar dia.Sebab itu penting untuk kita diperkasakan," katanya.
 
 

Usul kaji semula tahaluf siyasi dengan PKR dibawa ke Majlis Syura Ulama

Posted: 02 Jun 2016 07:18 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar
  Post Pic

PENGKALAN CHEPA: Selepas Dewan Muslimat PAS meluluskan usul mendesak PAS Pusat mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi bersama PKR, Ketua Penerangannya, Nasruddin Hasan berkata ia akan dibawa ke peringkat Majlis Syura ulama untuk dikaji dan dinilai.

"‎Usul tersebut daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia.

"Usul tersebut meminta tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semua atas beberapa perkara berbangkit apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya," katanya ketika menyampaikan taklimat usul pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 hari ini.

Ujarnya, Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR ataupun sebaliknya.

Dalam pada itu katanya, terdapat juga beberapa usul yang ditolak kerana beberapa sebab, sama ada tidak menepati format ataupun berulang.

"Ada usul berbentuk cadangan dan kita akan teli‎ti cadangan tersebut tanpa dibahas.

‎"Ada usul yang diterima tanpa bahas dan diterima dengan dibahas," ujarnya.


Mana mungkin cinta PAS-PKR bertahan, kata wakil pemuda

Posted: 02 Jun 2016 07:15 PM PDT

 
 
Selepas Dewan Muslimat, kini perwakilan Dewan Pemuda PAS pula meminta parti Islam itu menilai kembali kerjasama politik bersama PKR.

Menurut wakil Dewan Pemuda Ahmad Fadli Shaari, PKR kini dilihat tidak mempunyai pendirian jelas untuk melakukan kerjasama politik bersama parti pembangkang.

"Kita faham ramai rakan dalam PKR masih sayangkan kita namun, mana mungkin cinta ini dapat bertahan sekiranya PKR dan DAP duduk bersama.

"Bahkan menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH). PKR kena jelas dengan siapa mereka mahu bersama, dengan PAS atau dengan DAP," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan.

Selain itu, Ahmad Fadli turut mempersoalkan masalah dalaman yang berlaku dalam sesetengah parti politik yang dilihat tidak mempunyai pendirian.

Walaupun semua parti politik di negara ini mempunyai masalah dalaman namun, berbeza dengan PAS, parti Islam itu masih berdiri teguh, katanya.

"Dalam sesetengah parti lain, ada kiblat bercampur aduk. Ada parti, terajunya di Pekan, sebahagian kiblatnya masih di Pagoh. Ada parti kiblatnya di Sungai Buloh, tetapi anggotanya menjalin hubungan dengan penaja Deklarasi Rakyat.

"Ada parti terajunya di Komtar (Pulau Pinang), namun bergolak di sesetengah negeri.

"Alhamdulillah, PAS insha Allah menjadi parti sebulat logonya," katanya tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Semalam, Dewan Muslimat PAS Kedah membawakan usul yang sama dan diterima tanpa bahas oleh perwakilan.

Usul itu menyatakan PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS apabila mengadakan kerjasama dengan AMANAH, yang didakwa memfitnah parti itu dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.

Susulan itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Polis tahan lelaki beli motosikal Johan Raja Lawak

Posted: 02 Jun 2016 07:07 PM PDT

Polis tahan lelaki beli motosikal Johan Raja Lawak
Motosikal Yamaha 125Z milik Johan Raja Lawak yang ditemui semula dengan tertangkapnya seorang lelaki dipercayai merupakan pembeli motosikal berkenaan.
 

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai membeli motosikal milik pelakon dan pelawak, Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, atau lebih dikenali Johan Raja Lawak yang dilaporkan dicuri di tempat parkir motosikal berhampiran Padang Bola Sepak Akademi Kuala Lumpur di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, lelaki berusia 30 tahun itu, ditahan di hadapan sebuah restoran di Desa Melawati, Wangsa Maju kira-kira jam 3.15 pagi, kelmarin.

Menurutnya, hasil semakan dapati motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam itu mempunyai rekod hilang di daerah Wangsa Maju.

"Kita telah buat semakan dan dapati lelaki tersebut tidak mempunyai rekod lampau selain negatif dadah.
"Lelaki ini direman selama tiga sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan," katanya.

Selasa lalu, pelawak berusia 31 tahun itu sedar motosikalnya yang diletakkan dalam keadaan berkunci hilang di lokasi kejadian kira-kira jam 11 malam.

Mohamad Roy berkata, selepas usaha mencari di kawasan sekitar gagal, Johan membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang keesokan harinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


Jumpa mangga kunci dalam kari kepala ikan

Posted: 02 Jun 2016 07:02 PM PDT

SINAR HARIAN

Jumpa mangga kunci dalam kari kepala ikan
Mangga kunci dalam kari kepala ikan.


SINGAPURA - Apakah perasaan anda apabila kari kepala ikan yang dipesan mengandungi mangga kunci?

Itulah keadaan yang berlaku seorang lelaki ketika memesan makanan di sebuah kedai makanan di sini.

Pengalaman lelaki ini yang hanya dikenali sebagai Yaw Chong dikongsi ke dalam Facebooknya dan menerima perhatian daripada ramai netizen.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia memesan kari kepala ikan dan beberapa jenis sayur di sebuah restoran yang nama dan lokasinya tidak disebut.

Ketika kari kepala ikan yang baru siap dimasak dihidangkan kepadanya, lelaki itu pun mula mengaut kari dengan sudu sementara nasi sudah lebih awal berada di depannya.

Belum sempat makan, alangkah terkejutnya apabila kari tersebut mengandungi mangga kunci.

Dia kemudiannya mengadu kepada pemilik kedai yang akhirnya mengakui mangga kunci itu adalah mangga kunci almarinya yang dicarinya sejak semalam lagi.

Kata lelaki itu, pemilik kedai tersebut kemudian memohon maaf kepadanya akan berjanji akan membayar bil ubat sekiranya dia mengadu sakit.

Seterusnya, kata lelaki itu, dia tidak memarahi wanita itu tetapi segera meninggalkan kedai itu tanpa memberikan sebarang bayaran.


Amanah letak calon tempatan di Kuala Kangsar

Posted: 02 Jun 2016 06:57 PM PDT

Amanah letak calon tempatan di Kuala Kangsar
Majlis pengenalan calon Amanah bagi PRK Kuala Kangsar. - Foto Sinar Harian


KUALA KANGSAR - Pakatan Harapan mempertaruh calon tempatan apabila mengumumkan Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon mereka bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden parti itu, Mohamad Sabu pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan P067 Kuala Kangsar, di sini,  sebentar tadi.

Ahmad Termizi, 61, yang lahir di Kampung Suak Petai, Manong, di sini, merupakan bekas profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan ahli jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.

Pernah menjadi  Presiden Kesatuan Melayu United Kingdom ketika zaman pengajiannya di United Kingdom, Ahmad Termizi yang juga pakar nuklear banyak menyumbang kepada negara dalam bidang kajian tenaga atom dan nuklear.

Beliau merupakan Ahli Panel Pakar Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sejak tahun 1992 selain pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Persijilan Pegawai Perlindungan Sinaran, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Kementerian Teknologi dan Alam Sekitar tahun 1995-2003.

Dalam bidang politik pula, Ahmad Termizi merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa Amanah Nasional, Ahli Jawatankuasa Biro Politik Amanah Perak dan Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala Kangsar.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan yang lain.


PKR diberi kata dua tentukan hala tuju politik

Posted: 02 Jun 2016 06:52 PM PDT

PKR


KOTA BHARU - Pemuda Pas Pusat mengajak semua pimpinan dan ahli parti agar menilai kembali tahaluf siyasi (hubungan politik) dengan PKR.

Perwakilannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun masih ada ahli PKR yang setia bersama namun hala tujunya agak samar bila menjalinkan hubungan dengan parti yang tidak sehaluan dengan Pas.

"Pas faham ramai rakan PKR masih sayangkan kita tapi mana mungkin cinta ini akan bertahan sekiranya DAP dan PKR masih bersama.

"Dalam masa yang sama PKR menjalinkan hubungan mesra dengan sebuah parti baharu Parti Amanah Negara (Amanah). PKR kena jelas mana satu mereka mahu bersama," Katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas ke-62 di Pusat Tarbiyahnan Islamiyah Kelantan (Putik).

Beliau dalam pada itu turut memberi peringatan terhadap kumpulan yang mengkhianati parti dengan menubuhkan parti baru dan menjelaskan perbuatan tersebut tidak akan dilupakan sama sekali.

"Kami pemuda berpesan kepada anak cucu bahawa inilah kubur pengkhianat yang pernah menikam perjuangan kita," katanya.


Hamidah: Laluan BN di K.Kangsar sukar

Posted: 02 Jun 2016 06:49 PM PDT

Datuk Hamidah Osman
Datuk Hamidah Osman


IPOH - BN dijangka berdepan kesukaran untuk memenangi PRK Parlimen Kuala Kangsar kerana kegagalan memilih calon yang sesuai.

Bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu jelas kerana pergerakan dan penglibatan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang terbatas sepanjang kempen berlangsung.

"Kalau kita keluar (berkempen) pun orang susah nak bagi undi inikan pula kalau keadaan sebaliknya. Bagi saya, walaupun kita berada dalam dunia teknologi yang serba canggih namun, setiap calon wajib turun padang bertemu, bersua muka dengan rakyat. Jelaskan visi dan misi yang ingin dibawa," katanya.

Menurutnya, pemilihan Mastura selaku calon juga menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada dirinya bahkan banyak pihak termasuk ahli BN sendiri.

"Saya sendiri pun memang tak faham apa kriteria-kriteria yang menyebabkan beliau dipilih oleh BN untuk bertanding sedangkan kita tahu kedudukannya," katanya.

Ditanya mengenai kesahihan sama ada beliau bertanding di PRK tersebut sebagai calon bebas, Hamidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Gopeng enggan mengulas lanjut.

Katanya, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam senario politik negara pada ketika ini.

Comments (0)