Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 4:09 PG | Posted in

sumber :-

.


Ke mana akhirnya Muhyiddin, menyepi rasanya..

Posted: 25 Jun 2016 11:02 PM PDT

KATA PETANG

Petang ini Muhyiddin Yassin bersama Mukhriz Mahathir Mohamad akan membuat sidang akhbar kemudian akan berbuka puasa bersama hadirin. Satu notis dihantar ke whatsap saya agar ikut sama hadir ke sidang akhbar berkenaan. Digambarkan sidang akhbar kedua orang yang kena pecat dari Umno itu penting.

Sayang, petang ini saya sudah tetapjanji untuk hadir majlis berbuka puasa anjuran anak-anak Rantau Panjang. Majlis ini akan dihostkan oleh Senator Abdullah Mat Yassin. Tahun lepas saya sudah hadir majlis (iftar) anak-anak Rantau Panjang. Hadir untuk memberi sokongan moral dan menunjukkan solidariti sekampung.

Itu pun kerana si juaranya sdr Azram Ahmad menghubungi sendiri, telefon menjemput. Kalau setakat baca banner dalam facebooks saya pun tidak akan hadir. Terima kasih kepada Azram kerana masih ingatkan kepada saya.

Jadi kerana sudah ada tetapjanji itu maka saya terlepas untuk hadir sidang akhbar Muhyiddin dan Mukhriz itu. Kalau hadir pun setakat mengikut sidang akhbar dan berbuka di tempat lain. Ingin juga tahu apakah ulasan mereka berdua terhadap nasib yang menimpa diri mereka itu. Saya mengira sidang akhbar itu akan mengutarakan hala tuju ataupun gerakan mereka berdua selepas ini.

Biarlah kita dengar dahulu apa yang mereka hendak perkatakan. Kemudian baru kita sama-sama kaji dan teliti apakah apa yang disampaikan itu munasabah atau pun boleh memecahkan beras. Tidak adil kalau membuat ulasan tanpa melihat apa yang akan berlaku.

Bagaimana pun saya tidak tampak Muhyiddin dan Mukhriz dapat "menyawa"kan hayat politiknya dengan ura-ura agar ditubuh parti baru untuk mereka bergerak. Mereka khususnya Muhyiddin tidak ada penyokong peringkat akar umbi untuk mendokong parti baru itu. Pernubuhan parti baru hanya memperbanyakkan "mangkuk pingan" sahaja.

Saya setuju dengan pendapat yang diberikan beberapa orang sebelum ini nasib parti baru itu (kalau ditubuh) akan sama dengan gemulah parti-parti serpihan lain yang ditubuh apabila berlaku krisis atau perbalahan dalam Umno. Contoh klasiknya ialah parti Melayu Semangat 46.

Setakat ini hanya Parti Keadilan Nasional (PKR) yang disemangati oleh Anwar Ibrahim sahaja berjaya memanjangkan hayatnya. PKR dikira hebat dan istimewa kerana tidak sampai 20 tahun penubuhannya berjaya memiliki Selangor, dan menempatkan beberapa orang wakil rakyatnya di seluruh negeri.

Dan sekiranya sidang media itu diisi dengan maki hamu dan tuangan kekesalan mereka berdua kepada Umno sampai mengatakan Umno sekarang sudah berbeza dengan Umno dahulu ia sesuatu yang tidak penting dan menarik lagi. Kenapa Muhyiddin baru nampak Umno tidak relevan dan berbeza dengan Umno dahulu selepas beliau dipecat.

Sepatutnya ayat berkenaan terbit dari bibir Muhyiddin semasa Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim tahun 1998 dahulu lagi. Tetapi ketika itu Muhyiddin hanya membisu, jadi tikus jatuh ke dalam genak beras sahaja. Apa disuara dan diungkitkan Muhyiddin mengenai Umno itu sudah basi. Janganlah kita jadi musang yang tidak dapat anggur.

Apa-apa pun kita tunggu dan nanti apakah bunyi sidang akhbar Muhyiddin dan Mukhriz petang nanti. Selamat berbuka puasa. [wm.kl.1:52 t/hari 26/06/16]

Comments (0)