KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengajak Pas untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi PRU14.
Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam, yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.
"Justeru, Parti Amanah Negara dan Pas haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan di sini.
Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.
DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. Pas dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.