ALOR SETAR - Rakyat harus bersatu dan ketepikan ideologi fahaman politik demi menyelamatkan masa depan negara.
Demikian menurut bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, yang turut menzahirkan rasa sedih dan bimbang terhadap isu yang sedang berlaku dalam negara bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita perlu fikirkan soal bangsa dan masa depan negara. Kita perlu bersatu dan ketepikan (perbezaan politik) semua untuk menjatuhkan Najib. Kita tak setuju dengan cara dia memerintah.
"Sepatutnya kita cari atau sedia peluang pekerjaan kepada rakyat untuk buat benda yang boleh menghasilkan duit, bukan bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya pada program Pidato Selamatkan Malaysia di pekarangan Wisma Harapan, di sini, malam kelmarin.
Beliau berkata, kehadirannya dalam program itu bukan mewakili parti, tetapi sebagai rakyat yang mahu nasib anak bangsa terbela.
"Kita hadir (pidato Selamatkan Malaysia) bukan sebab nak (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri semula. Pengiring (Mahathir) pun dah ditarik balik. Kita cuma memikirkan soal masa depan," katanya.
Sementara itu, bekas pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan sebahagian besar siswa di universiti awam memilih untuk menolak kepimpinan Najib.
"Saya buat tinjauan dalam 10 universiti awam terpilih melibatkan 5,606 responden. Soalannya adakah mereka menyokong Najib sebagai perdana menteri? Hasilnya 91 peratus belia Malaysia menolak kepimpinan Najib.
"Lebih menyedihkan apabila pelajar di luar negara juga seolah-olah tidak mahu pulang sebab bimbang peluang pekerjaan yang semakin menurun," katanya.