PASIR MAS - "Tun Dr Mahathir Mohamad hilang jati diri sebagai negarawan Melayu jika bantu pembangkang merampas kerusi dari Umno pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar," tegas bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Hussein Ahmad.
Beliau berkata, tindakan Mahathir itu juga seolah-olah mengkhianati perjuangan Melayu yang sering dilaungkan beliau sebelum ini.
"Dr Mahathir selalu sebut beliau seorang pejuang Melayu sejati, namun kenapa kali ini beliau begitu ghairah membantu pembangkang.
"Saya nak tanya, adakah beliau sudah lupa dengan semua itu," katanya kepada pemberita di rumahnya, semalam.
Terdahulu, Hussein menerima kunjungan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan, diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Idris Muhamood sempena Sambutan Hari Guru 2016.
Hussein adalah bekas pendidik dan menamatkan khidmat pada 1964 di Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga Chetok, selepas menceburi bidang politik pada waktu itu.
Mahathir ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia, di Shah Alam, Sabtu lalu menggesa BN ditewaskan pada PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya Pas menang.
Kedua-dua kerusi Parlimen  itu kosong berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
Hussein berkata,  Mahathir perlu membantu Umno dalam mempertahankan dua kerusi Parlimen tersebut daripada jatuh ke tangan pakatan pembangkang.
"Jadi saya cabar Dr Mahathir, buktikan beliau pejuang Melayu sejati dengan bantu Umno," katanya.