Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:05 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


HIDUP MELAYU PAS UMNO

Posted: 31 May 2016 07:39 AM PDT

 shahbudindotcom


 
 
Selama ini, Pas selalu berbangga dengan perjuangan Islam yang dibawanya dan menolak sama sekali sebarang bentuk pengagungan terhadap bangsa.

Bagi Pas, perjuangan mengenai bangsa adalah assabiyah dan tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan oleh Islam.

Malah, kerap juga kita mendengar, di akhirat nanti yang ditanya malaikat ialah keIslaman seseorang dan bukan sama ada seseorang itu Melayu, Cina, India atau  sebagainya.
 
 
 
 
Sebab itu, jubah dan kopiah putih adalah tradisi pakaian yang amat dibanggakan dalam Pas kerana ia dilihat lebih melambangkan keIslaman yang tiada tolok bandingnya berbanding berbaju Melayu dan bersampin.

Tetapi sejak berbaik-baik dengan UMNO, Pas nampaknya sudah mula berbeza.

Buat pertama kali di Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan, ciri-ciri pakaian Melayu telah ditampilkan. 
 
 
 
 
Pimpinan Pemuda Pas, Nik Abduh Nil Aziz dan lain-lain barisan kepimpinannya tampil segak dengan pakaian seperti pahlawan Melayu, siap dengan tanjak dan keris terselit di pinggang.

Mujur tidak ada adegan cium keris, kalau tidak, sebiji macam Pemuda UMNO.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang menjadi perasmi muktamar juga hadir lengkap sepersalinan bak Pahlawan Melayu zaman dulu-dulu.
 
 
 
 
Sebelum ini, jika kita masih ingat,  Hadi Awang juga rela berpakaian Melayu merah jambu sedondon dengan Najib Razak di sebuah majlis multaqa ulama sedangkan selama ini pakaian yang menjadi kebiasaan Presiden Pas ialah jubah yang kerapkali  dipakai bersama kot berwarna gelap.

Apa sudah jadi kepada Pas sebenarnya? Kenapa baru sekarang mahu menunjuk ciri-ciri keMelayuan sedangkan berpuluh-puluh tahun lamanya hanya ciri Islam yang ditekankan?

Apa tujuan perubahan ke arah Melayu ini dilaksanakan? 

Tidak memadaikan dengan Islam saja dijadikan modal dendangan dalam perjuangan, lalu soal bangsa juga mahu diheret sama?

Apakah Pas akan mula menyeimbangkan resepi  agama dan assabiyah dalam hidangan perjuangannya selepas ini atau sewalnya bermula di Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
 
 
 
 
Mungkinkah selain Allahu Akbar, kita juga bakal mendengar laungan Hidup Melayu di mana-mana program Pas tidak lama lagi?

Akhirnya, mana satu slogan yang betul - "Pas ganti UMNO" atau "Pas bersama UMNO?" 


'PRK kali ini pelik,' kata Hamidah

Posted: 31 May 2016 07:30 AM PDT

 Datuk Hamidah Osman
Datuk Hamidah Osman


IPOH - "PRK Kuala Kangsar kali ini agak pelik kerana BN meletakkan calon yang tidak boleh turun berkempen," demikian reaksi bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman.

Menurutnya, kempen adalah peluang terbaik kepada calon untuk mengenali pengundinya namun, beliau melihatkan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid adalah sekadar meraih simpati rakyat.

"Berkempen bukan sahaja berjumpa pengundi tetapi turun mendengar masalah rakyat dan menyelami masalah setempat. Kalau menang nanti, bolehlah rakyat dibantu segera. Kalau kali ini calon tidak turun langsung untuk berkempen, maka ia satu kekurangan.

"Kalau sekadar meraih simpati itu bukan kredibiliti Umno atau BN sebab selalunya mereka meletakkan calon bukan sahaja untuk menang tetapi berkhidmat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Hamidah berkata, sekiranya pembangkang menang pada kedua-dua kerusi Parlimen termasuk Sungai Besar, menunjukkan mesej tersembunyi kepada pimpinan daripada rakyat.

"Sekiranya pembangkang menang ia adalah faktor rakyat menolak BN itu sendiri. Kekalahan kedua-dua kerusi berkenaan tidak menjejaskan BN yang masih kekal memerintah.

"Tetapi ini peluang terbaik untuk rakyat hantar isyarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa akar umbi sudah menolak beliau," katanya.


Tangguh usul pinda Akta 355 untuk beri ruang kepada bukan Islam - Tuan Ibrahim

Posted: 31 May 2016 05:53 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya tindakan menangguhkan usul meminda Akta 355 mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat minggu lalu akan membuka ruang kefahaman kepada bukan Islam.
 
Katanya, PAS juga bersedia mengadakan dialog dan perbincangan mengenai rang undang-undang itu dengan golongan berkenaan.
 
"Inilah kelebihan yang ada pada PAS. Kita bukan ambil sikap tergopoh-gapah. 
 
"PAS sedia dengan sebarang dialog dengan mana-mana pihak untuk memahami tanggungjawab kita untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
"Kita kemukakan gagasan penyelesaian cara Islam bukan bermakna tidak mengiktiraf agama lain. Kita membawa penyelesaian Islam sebab kita yakin Islam bersifat rahmat untuk manusia," katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 di Kelantan Trade Centre, petang tadi.
 
Tuan Ibrahim juga membidas tindakan MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut meletakkan jawatan sekiranya Umno-Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan PAS berkenaan RUU itu.
 
"Kita saksikan bagaimana munculnya pelbagai bantahan daripada komponen BN, iaitu MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut meletak jawatan kalau menerima enakmen tersebut.
 
"Sepatutnya mereka meletak jawatan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berani beri amaran kepada kerajaan supaya letak kerajaan atas bebanan ditanggung rakyat," tegasnya.
 
Khamis lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 walaupun rang undang-undang persendirian itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada sidang Parlimen baru-baru ini.
 
Hadi memohon usul itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.
 
Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang 'masa' kepada ahli Parlimen.
 
Sementara itu Tuan Ibrahim menyifatkan penganjuran muktamar pada tahun ini sebagai satu kejayaan 'membersihkan' kumpulan yang menentang Hadi, sebagaimana yang berlaku pada Muktamar PAS ke-56, tahun lalu.
 
Bagaimanapun tegasnya, krisis yang berlaku pada ketika itu tidak langsung menggoncangkan PAS secara keseluruhannya.
 
"Muktamar kali ini dilakukan selepas berlaku sedikit gegaran, mungkin di tiga skala Ritcher.
 
"Sedikit ribut yang mematahkan ranting, dahan dan daun kering. Tetapi yakinlah yang akan menggantikan ranting, dahan dan daun kering itu adalah pucuk subur dan hijau yang akan menyemarakkan pokok itu," ujarnya sambil disambut laungan takbir perwakilan.
 
Tuan Ibrahim juga berkata PAS 'tidak kisah' hilang rakan dalam perjuangan politik asalkan parti itu tetap istiqamah dalam memperjuangkan agenda Islamnya.
 
Ia dipercayai merujuk kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada tahun lalu selepas DAP dan PAS menamatkan tahaluf siyasi kerana agenda parti Islam berkenaan membawa hudud.
 
"Kita hilang rakan sebab istiqamah dalam dasar yang kita bawa. Tetapi yakinlah selagi mana kita berada atas landasan sebenar, Allah tidak akan sia-siakan kita dan tidak akan mengecewakan kita," tegas pemimpin parti itu.
 
Perpecahan PR akhirnya membawa PAS membentuk Blok Ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam memperjuangkan budaya politik matang dan sejahtera.
 
Sementara PKR dan DAP bersama dengan parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) menerusi Pakatan Harapan (PH). 


Tiada kajian sahkan ikan keli ada 10,000 sel kanser

Posted: 31 May 2016 05:47 AM PDT

Ikan Keli Bakar
Gambar Hiasan.
 
 
SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan bahawa dakwaan yang mengatakan ikan keli mengandungi 10,000 sel kanser adalah tidak benar.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia melalui laman sosialnya memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan sedemikian dilaporkan menerusi laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, tiada sebarang rujukan kertas saintifik atau laporan saintifik mengenai penentuan bilangan sel kanser dalam ikan keli atau mana-mana ikan dari aspek keselamatan makanan.

Berhubung dakwaan yang mengatakan ikan keli diternak dipenuhi dengan steroid dan bahan kimia lain menggemukkan, Jabatan Perikanan memaklumkan bahawa tiada maklumat yang diperoleh (buat masa ini) mengenai kajian atau laporan spesifik berhubung  pengesanan hormon dalam makanan rumusan ikan termasuk ikan keli di negara ini.

Menurut kenyataan berkenaan, ikan keli adalah spesies ikan yang murah dan cepat membesar, maka tiada keperluan untuk menambah 'hormone' atau 'fattening chemicals' dalam formulasi makanan ikan keli yang hanya akan menambahkan kos pengeluaran.

Katanya, ikan keli yang diberi makan minyak berlebihan boleh menyebabkannya berubah rasa dan bau.

Dalam pada itu, ikan keli bukannya merupakan sumber asid lemak omega-3 yang baik seperti ikan marin malah ia seperti kebanyakan ikan air tawar lain yang mempunyai lebih banyak asid lemak omega-6 berbanding omega-3.

Difahamkan, tidak dinafikan pengambilan omega-6 yang tinggi mempunyai risiko seperti yang dinyatakan seperti di atas. Namun tiada kajian spesifik yang mengaitkan pengambilan ikan keli dengan penyakit yang disenaraikan.

Ugut letak jawatan tapi isu 1MDB semua senyap

Posted: 31 May 2016 05:43 AM PDT

Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar tindakan beberapa pimpinan komponen BN yang mengugut untuk meletakkan jawatan gara-gara Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016.

Namun, katanya ketika negara berdepan skandal melibatkan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiada pula mana-mana parti komponen kerajaan yang berbunyi.

"Komponen BN, MCA, MIC ugut nak letak jawatan kalau diterima enakmen tersebut. Sepatutnya mereka ugut letak jawatan ketika negara berdepan isu 1MDB. Sepatutnya mereka berani memberi amaran kepada kerajaan untuk meletakkan jawatan dengan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

"Ke mana mereka ketika negara sedang bergelut dengan kemelut 1MDB yang tak selesai, derma yang dipulangkan, bebanan rakyat GST termasuk isu melanda anak-anak muda kita yang tiada kerja?.

"Semua ini masalah rakyat yang perlu diberi perhatian bukan menyekat hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran dan agama mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Pemuda Pas ke-57 di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:MIC akan dapat pandangan PM berhubung RUU Persendirian]

Menurutnya lagi, Pas sentiasa bersedia mengadakan dialog dengan mana-mana pihak untuk memberi penjelasan.

"Kita bawa usul ini dan kita sedia beri ruang untuk dibahas. Inilah kelebihan yang ada pada Pas. Kita bukan gopoh-gapah. Kita beri ruang.

"Beberapa bulan akan datang adalah waktu yang perlu dijadikan masa dan ruang untuk dikaji akta tersebut. Pas bersedia mengadakan sebarang dialog dengan mana-mana pihak untuk memahami tanggungjawab kita untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Katanya lagi, Muktamar kali ini menjadi medan meraikan kejayaan Pas apabila Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya telah membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat, minggu lalu.


'Cukuplah Pas dipergunakan dulu'

Posted: 31 May 2016 05:41 AM PDT

'Cukuplah Pas dipergunakan dulu'
Ucaptama Nik Abduh pada Muktamar Pemuda Pas di Kelantan Trade Centre, di sini, hari ini. – Foto Sinar Harian oleh FAUZI YUNUS


KOTA BHARU - Pemuda Pas menyarankan pimpinan Pas mengkaji kembali agihan kerusi Dun dan Parlimen yang bakal ditandingi parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam pilihan raya yang lalu.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja.

"Sekiranya pimpinan ambil langkah berani tanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dlm PRU lepas, Pemuda Pas ikrar dan janji untuk ambil seribu satu langkah pastikan kemenangan berpihak kepada Pas," katanya ketika menyampaikan Ucaptama pada Muktamar Pemuda Pas di Kelantan Trade Centre, di sini, hari ini.

Katanya-katanya itu disambut dengan laungan takbir sebanyak tiga kali oleh para perwakilan.

Dalam pada itu, menurutnya pembahagian kerusi itu wajar mengambilkira aspek kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi disamping pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan.

Beliau juga mengingatkan ahlinya agar bersedia menyambut kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan mereka.

"Mereka sokong Pas tapi belum sedia jadi ahli. Mereka sinis dan cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi Facebook, Twitter, Whatsapp, Instagram dan lain-lain.

"Justeru, Pemuda Pas meraikan hasrat tinggi anak muda yang mahu mendalami sistem politik Islam, evolusi dan penyesuaiannya dalam konteks moden dikembangkan melalui penubuhan sekolah politik di bawah kendalian kita, insya-ALLAH," katanya.

Tambahnya, Pemuda Pas mesti lebih memahami psikologi politik anak muda Melayu di bandar dan pengundi atas pagar dalam memberi kefahaman kepada mereka.

Laporan audit 1MDB dalam blog Rafizi disahkan sama

Posted: 31 May 2016 05:37 AM PDT

SINAR HARIAN

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli


KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan, laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimuat naik dalam blog Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli, adalah sama dengan salinan laporan akhir 1MDB yang dimiliki Ketua Audit Negara itu.

Timbalan Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad@Mat, 49, berkata pengesahan itu dibuat olehnya bersama Ambrin pada 4 April lepas iaitu selepas beliau melihat ada perkongsian paparan sebahagian laporan itu dalam laman Facebook miliknya pada 28 Mac lepas.

"Sebaik sahaja melihat perkongsian di 'news feed' Facebook milik saya, saya membuka link URL blog yang tertera nama Rafizi Ramli, dan saya mengesyaki 'posting' dalam blog tersebut adalah berkaitan dengan laporan akhir 1MDB.

"Setelah membaca keseluruhan 'posting' dalam blog itu, saya dapati isu yang dibangkitkan dan dipaparkan adalah mengenai sebahagian Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk muka surat 98 yang turut dimuat naik dalam blog tersebut," katanya pada perbicaraan hari pertama kes Mohd Rafizi yang didakwa memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1MDB.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata dalam blog Mohd Rafizi itu juga turut dibangkitkan isu hubungan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikat lembaga itu, iaitu Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM).

Menurut Nor Salwani, sehingga kini, status laporan akhir 1MDB itu diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, serta kandungan laporan akhir itu hanya diketahui oleh pasukan pengauditan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, apakah  tindakannya selepas pengesahan dibuat olehnya dan Ambrin, Nor Salwani berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Persint 7, Putrajaya, pada 5 April lepas, agar siasatan selanjutnya dijalankan terhadap kebocoran maklumat laporan itu.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika pemeriksaan balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Mohd Rafizi, Nor Salwani bersetuju bahawa isu LTAT yang dinyatakan dalam blog anak guamnya itu adalah isu berkaitan kepentingan awam.
"Ya, saya bersetuju. Namun isu tersebut masih diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh diulas lanjut," kata Nor Salwani.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung 17 Jun depan.  – Bernama

Usul Hadi buka pintu buang aspek perundangan British?

Posted: 31 May 2016 05:25 AM PDT

 
Mereka yang menghalang usaha PAS adalah saki baki pemikiran terjajah, bidas Presiden PAS kepada semua penentangnya. 


hadi hudud


PETALING JAYA: Makalah terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah membayangkan matlamat parti Islam itu melalui Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016).

"Usul ini adalah membuka pintu ke arah mengisi kemerdekaan yang kita warisi bersama daripada generasi awal yang memperjuang kemerdekaan negara," tulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Harakah Daily hari ini.

"Kemerdekaan itu bukan sekadar menghalau penjajah asing keluar daripada tanah air kita, bahkan juga membuang segala peninggalan mereka, termasuklah aspek perundangan."

"Mereka yang menghalang usaha ini adalah saki baki penjajahan pemikiran yang wajib membebaskan fikiran mereka daripadanya."

Penghujung 'Kerana Islam atau kerana politik?' dilihat menyimpulkan aspirasi PAS melalui pembentangan usul Hadi yang akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam sebahagian besar makalah itu, Hadi menjustifikasikan usulnya sebagai memberi kebebasan kepada penganut agama Islam mengamalkan ajaran agama mereka sepenuhnya.

"Masalahnya Islam yang menjadi Agama Persekutuan ini masih tidak bebas, khusus bagi penganut Islam yang sudah dihimpit dengan masalah yang wajib diselesaikan dengan Syariat Islam."

"Maka campur tangan pihak lain terhadapnya boleh dianggap melanggar sempadan dan mahu memecah tembok perbezaan yang harmoni," kata Hadi memberi amaran.

Khusus kepada pindaan yang diingini dalam usul yang dibentangkan 26 Mei lalu, Hadi berkata ia bertujuan menyempurnakan prasarana sistem kehakiman Islam di Malaysia.

Beliau berkata sistem sedia ada meletakkan mahkamah syariah lebih rendah daripada mahkamah sivil walhal Islam merupakan agama negara dalam Perlembagaan.

"Usul ini sekadar menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan sebahagian daripada hukum syariat yang hukumannya dalam perkara umum, termasuk undang-undang keluarga, pusaka dan wakaf yang lebih rendah daripada mahkamah sivil paling rendah," jelas Hadi.

"Sepatutnya pihak bukan Islam tidak perlu takut kerana ini bukan urusan mereka, ini urusan penganut Islam sahaja."

Hadi berkata pada peringkat ini, hukuman jenayah yang disebut di bawah pindaan ini lebih banyak dalam perkara takzir (hukuman tidak dinyatakan dalam Quran atau Hadis) yang terlalu 'ringan'.

Penganalisis Wong Chin Huat bagaimanapun berpendapat beberapa hukuman hudud yang dinyatakan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 boleh diaktifkan sekiranya usul Hadi diluluskan, antaranya: zina antara mereka yang tidak berkahwin (100 sebatan), menuduh zina tanpa bukti (80 sebatan), mabuk (40 – 80 sebatan), keluar agama atau menyekutukan Tuhan atau menghina Tuhan dan nabi (perampasan harta, dipenjarakan)

Berhimpun dan merusuh, aktivis pembangkang didenda RM6,000

Posted: 31 May 2016 05:23 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap mereka. 


Safwan Anang


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau sembilan bulan penjara terhadap bekas Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin, aktivis pembangkang Adam Adli Abdul Halim, Muhammad Safwan Anang@Talib dan tujuh yang lain selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen, tiga tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap mereka.

Mahkamah memerintahkan mereka membayar denda itu hari ini dan menolak permohonan untuk menangguhkan bayaran denda itu.

Badrul Hisham atau Chegubard, 38, Adam Adli, 27, Muhammad Safwan, 26, yang juga Pengarah Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) serta tujuh individu itu didakwa menyertai perhimpunan itu bagi melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013.

Tujuh individu itu ialah Norazimah Mohamad Nor, Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Lim Sue Pei, Edy Noor Reduan, Md Sani Md Shah dan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama mereka didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara dan pertuduhan kedua denda RM4,000 atau enam bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan lima yang lain iaitu Muhammad Aiman Hakim Zainal, Annie Ooi Siew Lan, Mah Chee Hoe, Tong Chan Sang dan Abdullah Hassan membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara atas pertuduhan menyertai perhimpunan sama.

Terdahulu, tiga peguam yang mewakili kesemua 15 tertuduh iaitu Mohd Radzlan Jalaludin, Haijan Omar dan G. Sivamalar memohon hukuman denda yang ringan memandangkan tiada kecederaan berlaku sepanjang perhimpunan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran agar kesalahan sama tidak berulang.– BERNAMA

PAS disaran tarik balik kerusi yang diberi pada PKR, DAP

Posted: 31 May 2016 05:17 AM PDT

 
Jentera PAS digunakan PKR dan DAP untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya lepas, tetapi sumbangan itu tidak dikenang.


Nik-Mohamad_pas_600


KOTA BHARU: Selepas berjaya menyingkirkan kumpulan 'progresif' yang menentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pemilihan lepas, parti Islam tampil dengan semangat baru pada muktamar kali ini.

Mengukuhkan aspirasi untuk menggantikan UMNO sebagai parti majoriti Melayu-Islam yang disegani, semangat ditunjukkan dalam Muktamar Pemuda PAS ke-57 menerusi ucaptama ketua sayap pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

"Besarlah hasrat dan hajat Pemuda PAS agar pucuk pimpinan parti mengkaji semula agihan kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi PAS dalam PRU-14 akan datang," katanya memulakan bicara mengukuhkan kedudukan PAS menghadapi cabaran PKR, DAP dan BN.

Ucapannya ditandai dengan kewaspadaan terhadap kerjasama dengan parti-parti lain, seraya menunjukkan PAS tidak mahu melupakan layanan parti-parti sepakatan dahulu terhadap mereka.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran dimana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan diperguna oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian ditinggalkan begitu sahaja.

"Justeru sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam PRU yang lepas, kami Pemuda PAS memberi ikrar dan janji akan mengambil seribu satu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS," kata Nik Abduh.

Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) tampak berbeza apabila tetamu-tetamu kehormat tampil dengan pakaian tradisional Melayu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang hadir sebagai perasmi majlis menggayakan baju Melayu Pahang warna hijau bersama jaket, tengkolok dan sampin warna sepadan, dan keris tersemat.

Kepada perwakilan pemuda yang hadir, Nik Abduh menegaskan komitmen mempertahankan kepimpinan ulama yang dirintis pimpinan terdahulu.

"Gagasan ini bukanlah gagasan bermusim, ia merupakan tunjang yang menjaga dasar perjuangan PAS selama ini dan menentukan halatuju serta prospek masa depan PAS.

"Kepimpinan ulama adalah DNA yang menjadikan PAS sebuah gerakan Islam yang unik dan istimewa dibandingkan gerakan Islam yang lain pada mata para pengkaji hari ini," katanya.

Penegasan itu dipercayai merujuk kepada serpihan pimpinan dan ahli PAS yang membentuk AMANAH. Serpihan itu membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Harapan.

PAS dan Pakatan Harapan dijangka bertembung dalam PRK yang akan diadakan tidak lama lagi.

Karpal kekal bersalah di bawah akta hasutan, terima pencen

Posted: 31 May 2016 04:13 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Karpal case1Karpal case1

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan sabitan bersalah di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi dua tahun lalu, terhadap mendiang Karpal Singh.

Bagaimanapun, panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Mohtaruddin Baki yang membacakan penghakiman tidak mencapai keputusan sebulat suara dengan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang tidak bersetuju dengan penghakiman itu, manakala Hakim Datuk Kamardin Hashim bersetuju.

Mahkamah turut membuat keputusan untuk mengurangkan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi kepada RM1,800.

"Beliau (Karpal Singh) tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," jelas Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang mewakili mendiang ayahnya seperti dilaporkan Roketkini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal yang turut mewakili mendiang Karpal menjelaskan kepada mahkamah bahawa mendiang yang juga ketika itu seorang Ahli Parlimen dan seorang peguam telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada sistem perundangan negara.

Menurutnya, denda RM4,000 yang ditetapkan Mahkamah Tinggi akan mengakibatkan mendiang Karpal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, sekaligus menjejaskan bayaran pencen yang berhak diterima oleh balu mendiang.

Sewaktu krisis rampasan kuasa negeri Perak pada Februari 2009, Karpal didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Almarhum Sultan Perak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau kemudian didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Meski Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 telah memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Karpal kemudiannya diputuskan bersalah pada Mac 2014, dan didenda RM4,000 kurang sebulan sebelum beliau meninggal dunia.

Selain keluarga mendiang, turut hadir ke mahkamah pagi ini adalah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Bila penggunaan katil hospital sampai ke tahap 93%

Posted: 31 May 2016 04:11 AM PDT

 
 
Ketiga-tiga hospital di Wilayah Selatan, iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSA), Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Perkara tersebut telah pun saya bangkitkan dalam persidangan Parlimen baru-baru ini.

Menurut maklum balas yang saya terima daripada Datuk Seri Dr S Subramaniam, menteri kesihatan, kadar penggunaan katil HSA telah mencapai tahap 93 peratus dan terdapat keperluan untuk menaik taraf fasiliti di sana.

Menurut jawapan tersebut, usaha-usaha untuk menaik taraf HSA dan membina semula sebahagian fasiliti HSA telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2005 sehingga sekarang dan ia akan diteruskan bagi disesuaikan dengan keperluan.

Menurut menteri kesihatan, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), sebanyak tiga projek telah dilaksanakan di HSA dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM30,073,840.00 termasuk membekalkan peralatan Brainsuite bagi perkhidmatan neurosurgeri HSA.

Sebanyak lima projek lagi yang telah diluluskan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Ini termasuk projek pembinaan bangunan baru jabatan patologi HSA yang sedang di peringkat memuktamadkan rekabentuk terperinci dan dijangka untuk tender sebelum hujung tahun 2016.

Selain itu, dalam tahun 2015, terdapat sebanyak lapan projek naik taraf kecil yang telah diluluskan dengan jumlah nilai RM2,272,550.

Dalam rolling-plan 1 RMK-11, kementerian juga bercadang membina pusat rawatan harian (ACC) dan Kompleks Pakar Hospital Sultanah Aminah.

Tetapi cadangan tersebut adalah melalui kaedah penswastaan / "land swap" tanah milik kementerian di Tampoi.

Kertas kerja cadangan penswastaan tersebut telah dikemukakan oleh kementerian kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada bulan 4 Mac 2016 untuk dipertimbangkan.

Sebenarnya, kerajaan negeri Johor juga telah memohon pembinaan Hospital Sultanah Aminah Dua atas tapak milik KKM di Tampoi dan Pasir Gudang.

Menteri Besar Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah membuat pengumuman tersebut pada tahun 2014.

Tujuan cadangan ini adalah untuk menyelesaikan masalah pesakit yang terlalu ramai di tiga hospital kerajaan di kawasan Iskandar Malaysia termasuk HSA, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

Jadi, apa yang saya ingin tanyakan di sini, adakah cadangan kerajaan negeri Johor tersebut masih akan dilaksanakan oleh kementerian?

Secara dasarnya saya menyokong cadangan kerajaan negeri Johor kerana di hospital kerajaan rawatan dapat diberikan secara percuma kepada semua rakyat khususnya rakyat Johor yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan kehidupan mereka.

Pada ketika kini sudah terdapat banyak hospital swasta di dalam Wilayah Iskandar Malaysia, jadi sudah sampai masanya kerajaan pusat menambah dua lagi hospital kerajaan di sini untuk kegunaan dan kemudahan rakyat jelata.

TEO NIE CHING anggota parlimen Kulai merangkap naib pengerusi DAP Johor.


Malaysia jatuh lima tangga - negara paling berdaya saing

Posted: 31 May 2016 04:08 AM PDT

MALAYSIAKINI


Malaysia jatuh lima kedudukan dalam negara paling kompetitif di dunia mengikut senarai Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2016 (WCY) yang diterbitkan oleh pusat daya saing dunia, Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Malaysia kini berada di tempat ke-19 berbanding tempat ke-14 pada tahun lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan, kemersotan itu adalah berikutan kejatuhan harga komoditi, dolar yang kukuh dan penyusutan lembaran imbangan dalam sektor awam dan swasta.

Ranking itu dinilai bagi 61 negara tahun ini berbanding 60 tahun lalu.


Mustapa berkata Malaysia mendahului Finland (tempat ke-20), Israel (ke-21), Belgium (ke-22), Iceland (ke-23), Austria (ke-24), tanah besar China (ke-25), Jepun (ke-26), Republik Czech (ke-27), Thailand (ke-28) dan Korea Selatan (ke-29).

Dalam ringkasannya, WCY menyenaraikan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 31 negara dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita kurang daripada US$20,000, mengekalkan kedudukan pertamanya selama tiga tahun berturut-turut.

"Dalam kalangan 28 negara dengan penduduk melebihi 20 juta, Malaysia berada di kedudukan ketujuh. Dalam Asean, Malaysia kekal di kedudukan kedua dan di kedudukan keenam dalam kalangan 14 negara di rantau Asia Pasifik," kata menteri itu.

Beliau berkata berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia, Malaysia perlu meningkatkan usaha.

Mustapa berkata ranking berkenaan jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi semasa bukan bermakna jaminan daya saing di masa depan, dan corak yang sama yang dapat dilihat dalam kalangan semua negara dalam 20 ekonomi terbaik iaitu peraturan mesra perniagaan serta infrastruktur fizikal.

Malaysia pada kedudukan ke-14 dalam Kecekapan Perniagaan dan antara 10 terbaik dalam Pasaran Tenaga Kerja pada tempat keenam (2015:keempat) dan amalan Pengurusan pada kedudukan kesembilan (2015:keenam), manakala meningkat tiga kedudukan dalam Produktiviti dan Kecekapan ke tempat ke-21 (2015:ke-24).

Kedudukan negara susut dalam Kewangan dan Sikap dan Nilai, masing-masing sebanyak lima dan tiga kedudukan, kepada kedudukan ke-20 dan ke-11.

Mustapa berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh penting untuk memastikan Malaysia mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Dalam konteks ini, inisiatif kita di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi akan teruskan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Strategi pembangunan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11menggariskan produktiviti sebagai pengubah untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

"Kita juga memberi tumpuan kepada usaha mengubah industri pembuatan selaras dengan perubahan pesat hasil daripada apa yang dikatakan oleh sesetengah orang sebagai 'Revolusi Perindustrian Keempat'," katanya.

WCY 2016 berdasarkan kepada analisis lebih daripada 340 kriteria yang diperoleh daripada empat faktor: Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.

Malaysia turun lima anak tangga dalam Prestasi Ekonomi ke tempat ke-11daripada tempat keenam pada 2015.

Penurunan dalam sub-faktor Ekonomi Dalam Negeri kepada ke-22 (2015: ke-15), Perdagangan Antarabangsa kepada ke-21 (2015: ke-11) dan Pelaburan Antarabangsa kepada ke-16 (2015: kelapan) menyumbang kepada penurunan keseluruhan faktor Prestasi Ekonomi, manakala negara mengekalkan kedudukan 10 teratas dalam dua sub-faktor iaitu Pekerjaan di tempat kesembilan (2015: ketujuh) dan Harga di kedudukan ketujuh (2015: ketiga).

Calon boleh menang kriteria terpenting, kata pemuda Amanah

Posted: 31 May 2016 04:03 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Peguam Amanah di semua Dun bertandingPeguam Amanah di semua Dun bertandingCalon orang muda atau veteran bukan kriteria utama dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya Naib Pengerusi Pemuda Amanah Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, faktor boleh menang dan kedekatan calon dengan pengundi serta isu setempat perlu diberi perhatian sebelum memutuskan calon di kedua-dua kerusi.

Beliau berkata, Pemuda Amanah menerima apa juga ketetapan parti jika perkara tersebut diberikan keutamaan.

"Pemuda setuju dengan sesiapa sahaja yang telah diputuskan oleh parti untuk mewakili Amanah dalam dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Kita patut patuh terhadap siapa sahaja yang dicalonkan oleh parti dalam dua PRK tersebut sama ada orang muda atau bukan orang muda asalkan pertimbangan yang sewajarnya telah dibuat.

"Apa yang paling penting dan teratas adalah parti dan bukan mana-mana individu atau golongan tertentu dalam parti," katanya kepada Malaysia Dateline.

Pakatan Harapan akan mengumumkan calon mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masing-masing pada 1 dan 2 Jun ini.

Bagaimanapun parti mana yang akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut masih menjadi teka-teki selepas tiga kali mesyuarat Pakatan dibatalkan.

Sementara itu, Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam sidang medianya Jumaat lalu berkata, parti itu meletakkan beberapa nama sebagai calon di kedua-dua kerusi antaranya Presiden Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Wan Anwar juga berkata, Pemuda Amanah bersetuju parti itu bertanding di kedua-dua kerusi jika Amanah bertindak sebagai pengganti Pas dalam Pakaan Harapan.

"Sifirnya mudah iaitu mana-mana kerusi yang ditandingi oleh Pas dalam Pakatan Rakyat dahulu akan ditandingi oleh Amanah dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar melainkan Pakatan Harapan melakukan rundingan semula terhadap semua kerusi parlimen dan Dun pada pilihan raya yang akan datang," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah.

Majlis pengisytiharan calon Pakatan Harapan bagi Sungai Besar akan diadakan di Dewan Sri Sekinchan pada jam 8.30 malam manakala bagi Kuala Kangsar di Kota Lama Kanan, Jambatan Sayong Kuala Kangsar pada jam 9.00 malam.

Presiden MCA, MIC dan Gerakan gertak je, tidak berani letak jawatan, kata Pas

Posted: 31 May 2016 03:55 AM PDT

BORHAN AHMAD
 
Presiden MCA MIC Gerakan gertak je, tetapi takut, kata PasPresiden MCA MIC Gerakan gertak je, tetapi takut, kata Pas


PAS mencabar mana-mana pemimpin bukan Islam yang mengugut mahu meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan, agar berbuat demikian segera dan jangan tangguh lagi sekiranya mereka berani.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,  Satiful Bahri Mamat menganggap, tindakan beberapa pemimpin MCA dan MIC itu tidak akan dilaksanakan, kerana ia hanyalah satu gertakan semata-mata.

Mereka gertak je, kata Satiful BahriMereka gertak je, kata Satiful Bahri"Hari ini kita boleh tengok, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah 'apabila dikatakan kepada mereka………marilah kita pakat melaksanakan apa yang diturunkan oleh Allah dan Rasul, kami akan mendapati golongan munafik akan menentang sekeras-kerasnya.

"Orang kafir jangan kiralah. Berapa orang (Menteri) dah nak letak jawatan. Moleklah………letaklah. Kita nak tengok (betul atau tidak), (tapi ia hanya) gertakan sahaja, kerana dunia ini menjadi matlamat mereka,"tegas Pesuruhjaya PAS Terengganu itu, lapor media rasmi mereka, Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru PAS Terengganu 2016 di Markas Tarbiah PAS Kuala Terengganu pada Isnin 30 Mei semalam.

Sementara itu, Pensyarah UniSZA Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah turut menggesa menteri daripada MCA, Gerakan dan MIC meletak jawatan dengan segera.

"Saya minta menteri daripada MCA, Gerakan dan MIC meletak jawatan dengan segera. Tidak perlu menunggu hari lain.

"Dasar muka tak malu. Menang pilihan raya atas ehsan undi Melayu dan mendapat kerusi Kabinet, langsung tidak bersyukur,"ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian setelah mengumumkan keluar daripada MCA sebagai membantah tindakan parti itu yang kini memusuhi Islam, apabila menentang usaha memperkemas undang-undang syariah menerusi pembentangan usul Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Beliau kesal dengan MCA kerana sepatutnya parti itu sudah memahami Islam dan cara hidup bangsa Melayu setelah Malaysia merdeka hampir 60 tahun.

Beliau turut menggesa MCA dan Gerakan supaya keluar dari negara ini dan menubuhkan parti masing-masing di negara komunis.

Pemuda mahu Pas ambil semula kerusi yang dipinjamkan PKR dan DAP dahulu

Posted: 31 May 2016 03:49 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Nik Abduh dan pimpinan Pas di muktamar pemudaNik Abduh dan pimpinan Pas di muktamar pemuda


Pemuda Pas menyarankan pimpinan Pas mengkaji kembali agihan kerusi Dun dan Parlimen yang bakal ditandingi parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam pilihan raya yang lalu.

'Cukuplah Pas dipergunakan dulu," katanya ketika menyampaikan Ucaptama pada Muktamar Pemuda Pas di Kelantan Trade Centre, di sini, hari ini.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja." katanya

"Sekiranya pimpinan ambil langkah berani tanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dlm PRU lepas,

"Pemuda Pas ikrar dan janji untuk ambil seribu satu langkah pastikan kemenangan berpihak kepada Pas," ujar beliau.

Zahid bertegas Rosli dipecat dari Umno jika jadi calon bebas

Posted: 31 May 2016 03:47 AM PDT

BERNAMA
 
 
Syed Rosli Syed Harman JamalullailSyed Rosli Syed Harman JamalullailAnggota Pemuda UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail akan dipecat daripada parti sekiranya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti menegaskan tindakan itu adalah selaras dengan dasar parti yang sudah termaktub selama ini.

"Dia (Syed Rosli) berhasrat begitu, tetapi secara demokrasi kita tak boleh halang sesiapa.

Kalau seseorang itu bertanding (mewakili) parti selain mewakili UMNO dan Barisan Nasional maka, harga yang terpaksa dibayar adalah beliau kehilangan keanggotaan. Itu pasti.

"Itu memang dasar Lembaga Disiplin (UMNO) iaitu sesiapa yang bertanding (dan) bukan diwatikahkan oleh Presiden UMNO dan Pengerusi BN (Barisan Nasional), secara automatiknya dipecat," jelas beliau.

Timbalan perdana menteri memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia di sini pada Selasa. Beliau dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak Ahad.

Syed Rosli, penolong setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Taman Cempaka, mengumumkam di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas kerana kecewa dengan keputusan BN berhubung pemilihan calon.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calonnya pada PRK itu.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun ini.

Selepas berpecah, Pas buat perubahan besar kepada parti

Posted: 31 May 2016 03:46 AM PDT

BORHAN AHMAD
 
 
Pas membuat perubahan besar selepas berpecah iaitu menjadi pahlawan Melayu.Pas membuat perubahan besar selepas berpecah iaitu menjadi pahlawan Melayu.


Selepas berpecah dalam muktamar tahun lalu, pemimpin Pas membuat perubahan besar dalam muktamar mereka tahun ini, dari berjubah kini mereka berpakaian pahlawan Melayu lengkap berkeris dan bertanjak.

Pakaian ini menjadi satu yang luar biasa kepada sejarah muktamnar Pas kerana biasanya mereka berpakaian baju Melayu atau berjubah dalam majlis rasmi khasnya muktamar.

Ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas hari ini, semua pemimpin Pas termasuk Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang merasmikan muktamar itu berpakaian pahlawan Melayu lengkap.

Turut berpakaian demikian adalah Ketua Pemuda, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, timbalannya, Mohd Khalil Abdul Hadi dan naibnya, Khairul Nizam Khirudin.

Ke empat-empat mereka diarak bagaikan pahlawan Melayu dalam majlis perasmian  muktamar Dewan Pemuda Pas yang berlangsungnya petang ini.

Muktamar Tahunan PAS ke 62 bagi tahun 2016 dimulakan petang ini dengan acara perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat pada petang ini, 31 Jun 2016.

Ia akan disusuli dengan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama dan Dewan Muslimat pada malam ini.

Malam esok 1 Jun 2016, semua perwakilan akan hadir untuk mendengar Taklimat Khas Presiden yang merupakan suatu pembaharuan dalam susun atur acara muktamar.

Pada pagi 2 Jun 2016 acara kemuncak perasmian Muktamar Tahunan PAS ke 62 akan berlangsung dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan ucapan dasar muktamar kali ini.

Muktamar ini sangat penting untuk menentukan hala tuju Pas selepas parti itu berpecah dua selepas mukatamar tahun lalu apabila kumpulan profesional yang dikenali kumpulan erdogan disingkir secara blok dari kepimpinan Pas di semua tempat.

Kumpulan ini kemudiannya menubuhkan Amanah dan bergabung dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Harapan yang menyebabkan Pas terpinggir.

Ramesh Rao harap PM martabat Islam walau ditekan

Posted: 30 May 2016 10:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetap dengan pendirian memartabatkan Islam biarpun ditekan banyak pihak.

"Minta Najib jangan tunduk dengan ugutan MCA dan Gerakan.

"Banyak lagi yang lebih relevan dalam kalangan parti komponen sedia berkhidmat jika diberi peluang," katanya.

Beberapa pemimpin parti komponen mengugut keluar daripada kabinet jika rang undang-undang persendirian bagi bertujuan menambah kuasa Mahkamah Syariah diluluskan di Dewan Rakyat.Ramesh juga menegaskan bahawa undang-undang berkenaan adalah dikhususkan untuk umat Islam dan tiada sebab pihak lain masuk campur.

"Hudud hanya untuk orang Islam dan adalah tidak wajar untuk agama lain masuk campur dalam urusan agama orang lain," katanya.

Kerajaan minggu lepas mengusulkan supaya rang undang-udang persendirian yang dikemukakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercepat.

Hadi bagaimanapun mohon ia ditangguh ke sidang akan datang atas alasan kesuntukan masa untuk dibahas.

Pindaan itu dilihat pengkritik sebagai usaha melaksanakan hudud di Kelantan.

MCA bukan saja lawan hudud, malah anti nilai Islam - Ridhuan Tee

Posted: 30 May 2016 10:39 PM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
Dr Ridhuan Tee AbdullahDr Ridhuan Tee Abdullah


Penceramah bebas Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, tindakan beliau keluar daripada MCA bukan semata-mata kerana penentangan parti itu terhadap hudud sebaliknya sudah lama tidak berpuas hati dengan sikap MCA terhadap Islam.

Ridhuan yang sudah 20 tahun menjadi ahli MCA berkata, tidak guna lagi beliau terus berada dalam MCA kerana nasihat dan teguran beliau tidak diberi perhatian oleh parti orang Cina itu.
"Kalau saya terus ada dalam MCA pun mereka tak guna pun nasihat saya. Dah lama saya bagi nasihat, tegur mereka jaga sensitiviti orang Islam, tapi tak dipedulikan.
"Cuma dulu tidaklah seperti sekarang penentangan terhadap Islam. Bukan sahaja soal hudud tapi apa juga nilai-nilai Islam yang ingin dilaksanakan, ditentang.

"Yang kita rasa baik untuk orang Islam mereka terus tak setuju. Contohnya di Terengganu kita nak buat bonceng lelaki perempuan yang bukan mahram tak boleh dan MCA marah padahal bukan ada kaitan dengan orang Cina," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ridhuan juga berkata, masih banyak cara untuk berdakwah kepada orang bukan Islam selain menganggotai MCA.

"Dakwah ini terlampau banyak caranya bukan hanya melalui parti. Melalui NGO boleh, kita ada Persatuan Cina Muslim dan NGO-NGO lain.

Beliau menambah, niatnya menyertai MCA untuk menyebarkan Islam kepada mereka namun perkara itu dilihat semakin sukar kerana sikap MCA sendiri.

"Saya tak nak orang Cina fikir masuk Islam itu masuk Melayu. Cina ini begitulah. Bila masuk Islam maksudnya masuk melayu. Kita nak katakan kita masih lagi Cina. Agama sahaja berbeza.

"Atas dasar ini saya nak menyebarkan Islam secara tak langsung kita masuk MCA. Kita nak jadi jambatan kalau ada apa-apa masalah ada kekeliruan kita boleh jelaskan. Tapi nampaknya mereka tidak ada keinginan.

"Parti ini lebih kepada nak buat duit. Bertanding lawan DAP, lawan Cina tak pernah menang pun.
Kebanyaan menang dengan ihsan undi orang Melayu. Tapi buat kenyataan menyakitkan hati orang Islam, orang Melayu," katanya.

Semalam, Ridhuan mengumumkan keluar MCA sebagai tanda protes kepada penentangan berterusan parti itu terhadap hudud.

MCA antara parti komponen BN yang amat lantang dan konsisten menentang pelaksanaan hudud.
Parti itu malah mengugut keluar daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini susulan langkah kerajaan mengusulkan supaya rang undang-undang persendirian bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah dipercepat minggu lalu.

Pemimpin akar umbi Umno mahu tanding calon Bebas

Posted: 30 May 2016 10:33 PM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang ahli akar umbi Pemuda Umno hari ini mengisytiharkan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar.

Dalam posting di Facebook, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata kedua-dua calon dari BN dan PAS bukan anak tempatan  dari Kuala Kangsar.

"Saya selaku anak jati Kuala Kangsar mersakan kedua-dua calon PAS dan BN bukan anak tempatan.

"Ini sudah semestinya (mereka akan) gagal memahami apa kehendak dan keperluan rakyat Kuala Kangsar.

"Saya selaku ahli Umno berasa amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal meletakkan calon yang jauhlebih layak dari (Datin) Mastura (Mohd Yazid) yang dicalonkan," kata Syed Rosli merujuk kepada balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Beliau juga mengakui dirinya tidak takut dipecat daripada Umno kerana mahu bertanding menentang calon parti.

"Sudah tiba masanya untuk buktikan kepada pimpinan parti kami ahli bawahan bukan Pak Turut sahaja," katanya.

Jika hasrat Syed Rosli untuk bertanding menjadi kenyataan, pilihan raya kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun ini bakal menyakikan pertandingan empat penjuru.

Setakat ini, Mastura sah akan berdepan dengan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Calon PAS dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak, itu berkelulusan Ijazah Perubatan dan Pembedahan dan pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

Pakatan Harapan pula dijangka mengumumkan calonnya pada 2 Jun iaitu tiga hari sebelum penamaan calon pada Ahad, 5 Jun ini.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pua: Mengapa tak letak jawatan kerana 1MDB?

Posted: 30 May 2016 10:28 PM PDT

MALAYSIAKINI


Lebih baik anggota kabinet BN meletak jawatan kerana 1MDB dan derma RM2.6 bilion diterima Datuk Seri Najib Razak berbanding isu hudud, kata Tony Pua.

Anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata tindakan "menunjuk-nunjuk" di kalangan pemimpin komponen BN berhubung rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan ketika isu 1MDB dan RM2.6 bilion dibangkitkan.

Keadaan itu, kata Pua, berlaku walaupun ketua audit negara mendapati pihaknya gagal mengesahkan apa berlaku ke atas transaksi AS$7 bilion, aset dan wang tunai 1MDB di luar negara.

"Jika pemimpin BN ini serius dengan kata dua mereka untuk meletak jawatan (dalam isu hudud), mengapa mereka tidak bertindak seperti itu dalam isu 1MDB dan skandal derma Najib?

"Adakah MCA, Gerakan, MIC, Upko, SUPP dan PBB boleh terus menyokong seorang perdana menteri yang dituduh secara langsung menyelewengkan berbilion-bilion dolar dari 1MDB yang juga anak syarikat Kementerian Kewangan?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak Abdul Hadi - yang juga presiden PAS - membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 355 Perlembagaan Persekutuan beberapa pemimpin parti komponen BN menyatakan hasrat mereka meletak jawatan jika ia diluluskan.

Kata Abdul Hadi usul berkenaan dibawa untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah di Kelantan.
Najib pula mengakui wujud "salah faham" di kalangan parti komponen BN mengenai rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi pada 27 Mei lalu.

Katanya, apa yang dibentangkan Abdul Hadi bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.

Menurut Pua Malaysia kini dikenali di dunia sebagai negara "kleptokrasi".

"Jika pemimpin BN yang menunjuk-nunjuk itu tidak meletak jawatan ekoran kecurian berbilion dolar dari pembayar cukai di Malaysia, maka ancaman mereka (dalam isu hudud) jelas sekadar mengurangkan kesan kerosakan akibat kemesraan hubungan antara Umno dan PAS," katanya.

Kleptokrasi merujuk kepada cara pentadbiran sesebuah kerajaan yang menghadapi masalah kronik tertentu disebabkan kegagalan sistem dengan pegawai awam atau kelas pemerintah yang menggunakan rasuah untuk menambah kekayaan peribadi serta kuasa politik mereka.

Letaklah jawatan, kata Armand pada komponen BN

Posted: 30 May 2016 10:25 PM PDT

MALAYSIAKINI


Begitu reaksi exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah terhadap ugutan pemimpin parti komponen BN jika Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan.

Beliau berkata apa yang berlaku menunjukkan mereka tidak faham isu selain terlupa tanggungjawab untuk "mempertahankan perlembagaan", lapor Astro Awani.

"Apa masalah presiden beberapa parti komponen BN dengan isu RUU Mahkamah Syariah yang akan dibentangkan di parlimen sehingga mereka mengugut hendak meletakkan jawatan. Kalau hendak letak jawatan, letaklah.

"Mungkin mereka lupa Perlembagaan yang sudah terang termaktub Islam sebagai agama persekutuan.

"Mungkin mereka lupa ketika mereka mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri kabinet dan ahli parlimen kepada agong selaku ulul amri atau ketua agama dalam negara untuk mempertahankan perlembagaan.

"Mereka tidak faham apa yang dibicarakan," beliau dipetik sebagai berkata.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dilapor mengugut meletakkan jawatan daripada kabinet jika RUU itu diluluskan.

Kerajaan minggu lalu mengusulkan supaya RUU yang dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercepatkan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun mohon penangguhan ke sesi depan atas alasan kesuntukan masa untuk perbahasan.

Undang-udang bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah itu dikhuatiri pengkritik membuka laluan kepada pelaksanaan undang-udang hudud.

Kerajaan menegaskan bahawa RUU itu bukan hudud.


Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS

Posted: 30 May 2016 10:20 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini disebabkan minat belian baru terhadap mata wang tempatan.
 
Pada jam 9.05 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1080/1130 berbanding dolar berbanding 4.1150/1190 pada 5 petang semalam.
 
Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.
 
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 2.9775/9828 daripada 2.9784/9831 penutup Isnin dan hampir mendatar berbanding yen pada 3.7022/7084 daripada 3.7022/7068.
 
Unit tempatan itu susut berbanding pound British kepada 6.0264/0342 daripada 6.0050/0133 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.5804/5864 daripada 4.5812/5873. 
 
 

Calon boleh tak hadir pada hari penamaan - SPR

Posted: 30 May 2016 10:18 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan dakwaan bahawa pencalonan akan menjadi tidak sah sekiranya calon tidak hadir pada hari penamaan calon, adalah tidak tepat.
 
Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata di bawah Peraturan 6 (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, borang pencalonan boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya, atau oleh mana-mana dua, atau mana-mana seorang daripada mereka.
 
"Berdasarkan peraturan ini amat jelas tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon tersebut tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada pencadang atau penyokong beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata di bawah peraturan itu, kertas penamaan calon mesti diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan antara 9 hingga 10 pagi pada hari tersebut.
 
"Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon sepertimana dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuatkuasa buat masa ini," katanya.
 
Isu timbul apabila terdapat pihak yang mendakwa pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak sah sekiranya beliau tidak hadir pada hari penamaan calon 5 Jun ini.
 
PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini, setelah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.- BERNAMA
 
 

Comments (0)