Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:15 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


10 kaki pancing hilang ditemui selamat

Posted: 21 May 2016 05:47 PM PDT

SINAR HARIAN

12 orang hilang di Pulau Aur ditemui selamat
Bot nelayan yang membawa 12 warga tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Aur, Mersing semalam berjaya dikesan oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili petang tadi. - Foto Bernama


JOHOR BAHRU - Bot nelayan yang membawa 12 orang termasuk 10 kaki pancing yang hilang di persekitaran Pulau Aur, Mersing sejak Selasa, ditemui selamat hari ini.

Bot itu dikesan pada 6.15 petang tadi oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bot nelayan bawa 12 orang hilang di Pulau Aur]

"Semua mangsa selamat," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Selatan APMM Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata APMM telah mengerakkan aset lautnya ke lokasi bagi menyelamat dan menunda bot itu ke jeti Tanjung Sedili.

Kawasan mencari dan menyelamat mangsa dari Pulau Aur, Mersing sehingga Tanjung Sedili, Kota Tinggi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi, katanya.

Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.

Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, Mersing, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman.

Menurutnya laporan kehilangan mereka dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang semalam setelah gagal menghubungi suaminya.

Sebahagian daripada mangsa dikenali sebagai Roslan Husin, 34 (tekong), pemancing - Mohd Firdaus Jalil (tidak diketahui umur), Mansor Ibrahim, 63, Syaril Mohamad, 33, Muhamad Arham Salim, 24, Emran Firdaus Mohd Said, 30, Abd Rashid Saian, 44, Mohd Zaini Mohd Dekan, 50, dan Tan Seng Foo, 55.
Tiga lagi belum diketahui identiti mereka. - Bernama


Umno Kedah bimbang berhadapan PRU14

Posted: 21 May 2016 05:45 PM PDT

Ahmad Bashah Md Hanipah
Ahmad Bashah Md Hanipah
 
 
ALOR SETAR - Umno Kedah berasa bimbang untuk menentukan kemenangan dan mengekalkan kuasa pada PRU14, akui pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut Ahmad Bashah, ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan muafakat seluruh jentera dan parti komponen BN.

"Kita harus bermula dari awal kerana persiapan untuk menghadapi satu-satu kerja besar bukan perkara mudah. Itu adalah pengalaman yang kita lalui selama ini.

"Walaupun kita dah lalui pilihan raya banyak kali, tapi kalau kita tak buat persiapan dan tak tumpu kepada gerak kerja di semua peringkat, tak mungkin kita berjaya mengekalkan kuasa apabila pihak lawan juga membuat persiapan sama," katanya.

Berucap melancarkan Jentera Gerak Kerja PRU14 Wanita Umno Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini, beliau berkata, semua ahli dan jentera parti tidak boleh terlalu yakin dengan berpeluk tubuh dan selesa dengan apa yang dimiliki ketika ini.

Ini kerana katanya, PRU14 akan menentukan sama ada BN berjaya atau tidak dengan pelbagai halangan dan rintangan yang ada.

"Bergantung kepada gerak kerja dan komitmen kita untuk menghadapi kerja besar yang akan menentukan kuasa kita di peringkat pusat dan negeri.

"Sebelum ini Kedah berada di tangan orang lain dan kita menjadi pembangkang suatu ketika dulu. Bukan suatu perkara mudah untuk kita berdepan dalam PRU14," kata Ahmad Bashah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, keputusan yang diperoleh BN pada PRN Sarawak baru-baru ini juga tidak boleh menentukan kemenangan BN di Kedah kelak.

"Sebab itu kita mesti merenung ke hadapan. Kadang-kadang kita memerlukan komitmen begitu besar kalau nak terus berjaya dan mengekalkan kuasa yang ada sekarang.

"Saya nak semua jentera parti di peringkat Kedah buat persiapan untuk memantapkan tenaga kerja di peringkat bawahan kerana dengan semangat itu dapat membantu kita pada PRU14," katanya.

Ini ujar beliau sejajar dengan harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Umno dan BN Kedah cukup tinggi disebabkan ia pernah kalah pada PRU12 lalu.

"PRU12 kita (BN) hadapi kekalahan lima negeri, kita pun tak sangka Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh kepada pembangkang. Kelantan itu tak apa lah memang kita dah jangka akan kalah.

"Kalah ini bermakna tak ada pun dalam bayangan kita BN akan mengalami kekalahan di lima negeri. Tapi itu sudah pun terjadi dan nasib baik Perak kita dapat berkuasa semula," katanya.

Ahmad Bashah berkata, pengalaman selama lima tahun lalu membuatkan BN bekerja sebagai pembangkang dalam keadaan yang cukup tertekan.

"Kita berusaha dengan parti komponen untuk rampas semula Kedah. Ini hakikat kalau berperang tak boleh buat kerja sorang-sorang, ktia mesti bermuafakat sama ada dia menang atau kita menang.

"Sebelum ini kita cuma menang empat kerusi parlimen pada PRU12, tapi dalam kekalahan itu kita dapat menang 10 kerusi parlimen pada PRU13. Dun Kedah pula kita menang 15 kerusi Dun pada PRU12, tapi dapat bentuk semula kerajaan selepas menang 21 kerusi pada PRU13," katanya.


Potong gaji sudah 4 tahun, bila rumah nak siap?'

Posted: 21 May 2016 05:43 PM PDT


'Potong gaji sudah 4 tahun, bila rumah nak siap?'
Pembeli yang menzahirkan rasa kecewa semalam.


PASIR PUTEH - Ratusan pembeli rumah kecewa apabila terpaksa menanggung pembiayaan menerusi pemotongan gaji sejak empat tahun lalu sedangkan rumah yang dibeli belum disiapkan pemaju sehingga ke hari ini.

Kebanyakan pembeli rumah di kawasan perumahan di Cherang Ruku dan Jeram Pasu deka sini, merupakan anggota dan bekas anggota tentera kerana syarikat terbabit menawarkannya di kem mereka.

Seorang pembeli, Afandi Yahya, 36, berkata, dia bersetuju membeli rumah yang ditawarkan dengan harga RM108,000 pada tahun 2010 lalu.

"Sepatutnya rumah itu dah siap tapi malangnya ia terbengkalai sehingga sekarang yang menyebabkan saya terpaksa menyewa rumah," katanya yang merupakan pesara tentera.

Lebih menyedihkan katanya, pencennya sudah dipotong sebanyak RM620 sebulan untuk pembelian rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

"Pencen saya RM1,100 sebulan, dipotong RM620 untuk bayaran rumah dan sewa rumah sekarang RM400, apa lagi yang saya ada, kalau macam ni, saya dan keluarga nak makan apa.

"Syarikat itu kini menggunakan nama baharu mungkin kerana ingin lari daripada masalah ini tapi kami sebagai pembeli tetap menuntut hak kami sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Seorang lagi pembeli, Amran Awang, 36, berkata, dia sudah beberapa kali ke pejabat syarikat yang terbabit dengan pembinaan rumah berkenaan tetapi wakil syarikat berjanji akan menyiapkan seberapa segera.

"Sekali kita tanya, dia kata tiga atau empat bulan akan siap, kali kedua tanya jawapannya lebih kurang macam tu juga," katanya ketika bersama puluhan pembeli mengadakan piket di perumahan di Jeram Pasu dekat sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap rumah yang dibeli disiapkan tahun ini juga kerana dia tidak mampu menampung kos potongan untuk pembelian dan kos sewa rumah serentak.

"Sepatutnya saya sudah menerima kunci menduduki rumah enam tahun lalu tapi sampai sekarang tak siap, sesetengah rumah dinaiki semak. Kebanyakan pembeli sudah bersara dan terpaksa menyewa rumah di merata tempat.

"Pembeli yang kecewa berharap pihak berwajib memandang serius masalah itu serta membantu menyelesaikan masalah rakyat yang menjadi mangsa penipuan pihak tertentu," katanya.

Sedia sebarang kemungkinan selepas PRK

Posted: 21 May 2016 05:41 PM PDT

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


MELAKA - Pas bersedia sebarang kemungkinan termasuk menghadapi dakwaan 'kata dua' Menteri Besar Selangor supaya tiga Exco Selangor dari parti itu meletakkan jawatan jika bertegas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, soal kedudukan ahli Exco adalah urusan sesebuah negeri malah pelantikan dilakukan harus mendapat perkenan Sultan.

"Saya cuma mendapat khabar berita angin dan ia mungkin betul dan mungkin salah.

"Kalau benar pun dia nak minta Exco letak jawatan, soal pelantikan Exco adalah urusan kerajaan negeri manakala hal meletak calon dalam pilihan raya adalah soal parti.

"Lagipun, pelantikan Exco harus mendapat perkenan sultan menerusi dan ada angkat sumpah. Sebab itu kita bersedia dengan segala kemungkinan, perkara ini terpulanglah pada Sultan. Apa pun saya harap perkara ini adalah khabar angin," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas spekulasi berhubung dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan tiga Exco Selangor daripada Pas meletak jawatan jika parti itu bertegas mahu calonnya bertanding dalam PRK Parlimen Sungai Besar.

Terdahulu, Pas Selangor semalam turut menyangkal spekulasi berhubung dakwaan 'kata dua' dari Azmin supaya tiga Exco kerajaan negeri daripada parti itu meletak jawatan jika parti itu bertegas mahu calonnya bertanding dalam PRK Sungai Besar.

Malah Azmin juga turut menafikan perkara berkenaan.


Comments (0)