Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:10 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Cabaran Sg Besar dan Kuala Kangsar

Posted: 14 May 2016 03:57 AM PDT


DALAM tampalan Facebook saya pada 10 Mei lalu mengenai pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, saya menulis:

"PRK yang sangat besar implikasinya kepada BN. Pada PRU 2013, BN menang kecil di Sungai Besar dan kemenangan di Kuala Kangsar tidak besar. Mohd Najib "duit itu raja" akan buat apa saja untuk tidak kecewa. Boleh guna Teluk Intan sebagai panduan. Wallahuaklam."


Jadi kita sudah boleh bayangkan apa yang Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak, akan lakukan.

Tidak ada beras, gandum, dedak, duit, kain batik, projek dan janji yang tidak akan beliau taburkan untuk mengekalkan dua kerusi hidup mati itu.

Setelah Adenan Satem mempersembahkan Mohd Najib dengan kemenangan 72-10 dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Mohd Najib terpaksa buktikan yang beliau masih ada "magic" untuk mengekalkan dua kerusi tipis itu.

Kita kena ingat, dalam PRU 2013 ketika mana imej Mohd Najib belum tercalar dan slogan "I Love PM" masih ada sedikit harga, BN menang kecik di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar.

Di Sungai Besar, daripada 36,991 undi Allah yarhamha Noriah binti Kasnon memperoleh majoriti 399 sahaja. BN ditentang oleh PR-PAS manakala di Kuala Kangsar, Allah yarhamhu Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad mendapat majoriti 1,082 daripada 27,801 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan PR-PAS dan bebas.

Antara Sungai Besar, di mana kemenangannya kecil, dan Kuala Kangsar, di mana kemenangannya tidak besar, Mohd Najib dan anak kapal penisi Bugisnya sekali lagi dilambung badai.

Tetapi jangan terkejut kalau Pahlawan Bugis yang terkenal dengan strategi "cash is king" berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi itu.

Persoalan

1. Adakah sungai wang masih mengalir bagi membolehkan beliau meneruskan strategi duit itu raja? Kita tahu kewangan negara sempit sehingga berlaku pemotongan teruk di sana sini sementara tabung politik tersekat kerana duit "derma Arab" sudah dipulangkan dan banyak akaun luar negara berkaitan ibu duit 1MDB telah dibekukan.

2. Berpandukan PRN Sarawak, sungai wang nampaknya masih mengalir dan strategi "cash is king" masih laku di kalangan pengundi luar bandar dan orang miskin.

3. Adakah asmara dana tiga penjuru di kalangan Mohd Najib, Abdul Hadi Awang dan Harun Din akan menyebabkan PAS tidak bertanding?

4. Kalau (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang mempunyai cengkaman kuku besi ke atas PAS seperti Mohd Najib ke atas Umno, PAS bukan sahaja tidak bertanding malah mungkin menyokong BN.

5. Akan tetapi kalau pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, juga ada kuasa maka Abdul Hadi dan Harun mungkin dipaksa tidak memberi laluan mudah kepada BN. Setelah berpecah menjadi dua dan ditolak oleh pengundi Sarawak, PAS terpaksa membuktikan yang ia masih ada oomph di Semenanjung.

5. Dalam situasi di mana BN berlawan dengan Pakatan Harapan (PH) harapan BN lebih cerah kecuali parti-parti PH betul-betul bersatu padu dan tidak memanjangkan pertelingkahan ketika PRN Sarawak. Tetapi kalau berlaku pertandingan tiga penjuru di kalangan BN, PAS dan PH, harapan BN menang lagi besar.

6. Sejarah memihak kepada BN dalam PRK kerana ia boleh menumpukan segala jentera, tenaga manusia dan wang di satu tempat. Dalam konteks sekarang di dua tempat.

7. Contohnya ketika isu 1MDB mula panas dan ekonomi mula menurun, BN berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP dalam PRK tahun 2014. Dalam PRU 2013 DAP menang dengan majoriti 7,313 tetapi dalam PRK 2014 BN menang dengan majoriti 283. Taburan dedak dan janji projek menyebabkan pengundi mabuk.

8. Tetapi imej Mohd Najib kini calar-balar akibat pelbagai skandal manakala Umno pula telah berubah daripada parti kebangsaan Melayu yang terangkum (untuk semua) kepada parti eksklusif untuk Mohd Najib dan konco-konconya saja.

Kesimpulannya, sekalipun Mohd Najib masih boleh menggunakan wang, janji dan taktik tidak demokratik untuk menang, namun cabarannya lebih besar daripada PRU 2013.

Tetapi beliau akan lakukan apa saja untuk menang kerana kekalahan mempunyai implikasi yang sangat buruk terhadap kelangsungan (survival) beliau.

Kalau BN kalah di Sg Besar dan Kuala Kangsar, hatta penyokong tegar beliau pun akan berfikir dua kali sebelum meneruskan sokongan kepada beliau.

Wallahuaklam.

Ujang: Sekali pun Zunar tak pernah makan rasuah

Posted: 14 May 2016 03:52 AM PDT

MALAYSIAKINI




Ketika beberapa menteri terus 'menyerang' Zunar, seorang kartunis mempunyai pandangan ringkas tetapi tegas untuk pelukis karikatur politik itu.

Menulis di Facebook semalam kartunis Ujang memberitahu dia mengenali Zunar sejak lebih tiga dekad lalu.

Perkenalan mereka bermula di majalah satira yang sangat terkenal dan berpengaruh suatu ketika dulu - Gila-Gila.

Di majalah itu Zunar dikenali dengan siri kartun Liza Cinta Tak Semesti Bersatu, manakala Ujang menghidupkan watak Atuk yang menampilkan pasangan seorang budak bersama datuknya.

Kata Ujang, dia bersahabat dengan Zunar - atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque - sejak lebih 35 tahun lalu.

Di sebalik perkenalan yang begitu lama, kata Ujang, tiada sekali pun Zunar diketahuinya mengambil rasuah.

Turut mengiringi kenyataan Ujang itu ialah rakaman gambar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Kelmarin Salleh berkata tindakan Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui karyanya dalam satu pameran di Geneva, Switzerland disifatkan sebagai menghina pemimpin yang telah dipilih rakyat.

Selain memalukan negara, kata Salleh, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur gabungan yang mahu menjatuhkan perdana menteri.
Itu melucukan

"Saya kesal dengan perbuatannya. Kalau ada pun perbezaan pendapat dan sebagainya, uruslah dalam Malaysia.

"Tidak salah jika kita berbeza pendapat, bahkan tidak salah juga jika tak setuju dengan pandangan kerajaan tapi kenapa perlu libatkan negara lain?" katanya.

Kenyataan itu kemudian dibalas Zunar dalam jawapan panjang lebarnya semalam.

Antara lain, kata Zunar, jika dakwaan Salleh bahawa kartunis boleh menjatuhkan seorang perdana menteri, ia bukan suatu kesalahan "tetapi kelucuan".

Hari ini pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi kenyataan mengulas mengenai Zunar.

Kata naib presiden Umno itu walaupun negara meraikan perbezaan pendapat namun ia bukannya bertujuan untuk menghina mana-mana pihak, terutama pemimpin.

"Kita semua mempunyai perbezaan pendapat, tetapi bukan untuk menghina seseorang, apatah lagi pemimpin," katanya.

Ujang - atau nama sebenarnya Ibrahim Anon - bersama Zunar adalah memeriahkan majalah Gila-Gila sejak 1980-an.


SALLEH, JANGAN CUBA MAHU 'MENGAJAR' AGONG, NANTI DIKATA 'KURANG AJAR'

Posted: 14 May 2016 03:48 AM PDT

shahbudindotcom




Kenapa agaknya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak kelihatan begitu gusar dan susah hati terhadap Deklarasi Rakyat yang akan dipersembahkan kepada Istana Negara dengan seolah-olah cuba mengingatkan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri, Najib Razak?

Apakah rasa gusar dan susah hati itu bukan saja mengenai dirinya, tetapi juga mewakili masa depan Najib sama?





Apakah dengan mengingatkan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Najib dipecat, Salleh sedang cuba "mengajar" Yang Dipertuan Agong  mengenai bidang kuasa baginda?

Apakah tidak dilihat "kurang ajar"  apabila seorang menteri yang hanya masuk kabinet melalui pintu belakang cuba berbuat demikian kepada Yang Dipertuan Agong yang dianggap payung kepada seluruh rakyat jelata?

Semalam, Tun Mahathir Mohamad yang mengetuai Deklarasi Rakyat mengumumkan sejumlah 1,271,997 tandatangan telah berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua bulan dan sedang menunggu tarikh untuk menghadap Yang Dipertuan Agong untuk menyerahkannya.

Dalam masa yang saja, pengumpulan tandatangan akan terus dikumpulkan dari semasa ke semasa sebagai membuktikan penolakan rakyat terhadap Najib turut tidak pernah berhenti selagi beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Tujuan deklarasi itu diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong ialah untuk mengulangi sejarah bagaimana Malayan Union juga ditolak oleh Raja-Raja setelah mendapat desakan yang kuat daripada rakyat.

Dalam kes Najib, walaupun tujuan deklarasi itu bertujuan mengundurkan Najib, tetapi tidak pernah pun sama ada Tun Mahathir atau sesiapa pernah menyebut mengenai perlunya Yang Dipertuan Agong memecat Perdana Menteri.

Yang dimahukan ialah Najib diundurkan.

Jadi, apa sebabnya yang Salleh terloncat-loncat gusar dan susah hati dengan kemungkinan pemecatan Najib setelah Yang Dipertuan Agong menerima timbunan tandatangan deklarasi itu?

Sesuatu yang harus Salleh sedar dan buka mata hatinya luas-luas ialah skandal kewangan berkaitan Najib ini sudah begitu memalukan negara di seluruh dunia sehingga ia bukan saja diperkatakan olah sesiapa saja di semua penjuru alam, bahkan kerananya juga negara kita dikaitkan dengan imej rasuah yang begitu memalukan.

Dalam masa yang sama, beberapa Sultan dan Raja juga semakin kerap bercakap mengenai bahaya dan bahana rasuah sejak timbulnya isu berkaitan Najib itu.

Tidakkah ini menunjukkan Raja dan Sultan kita juga turut prihatin dengan apa yang sedang berlaku dalam negara?

Jika demikian, setelah menerima bukti penolakan rakyat dari semasa ke semasa yang semakin besar nanti, apakah tidak mustahil jika Yang Dipertuan Agong memberi teguran kepada Najib atau membawa hal berkaitan deklarasi itu kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan?



Bukankah sebelum ini Majlis Raja-Raja buat pertama kali pernah mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB yang jelas memberi gambaran keprihatinan yang mewakili keresahan rakyat jelata?

Jika Yang Dipertuan Agong tidak berhak memecat, apakah tidak boleh baginda menasihatkan Najib agar berundur atau meletakkan jawatan secara baik berikutan perlakuannya berkaitan skandal kewangan terlalu mencemar imej negara dan bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat?

Apa-apa tindakan yang bakal dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong atau Majlis Raja-Raja, tidak perlulah Salleh cuba "mengajarnya".  Baginda ada kebijaksanaannya sendiri.

Kalau pun juga tidak memecat, tetapi Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebenarnya ada banyak cara untuk berbuat sesuatu yang menggambarkan pihak istana bersama rakyat jelata dan turut tidak gembira dengan kepimpinan serta tingkah laku Najib sebagai Perdana Menteri.

Jika Salleh ingin lebih memahaminya, rajin-rajinlah menyelak helaian sejarah bagaimana di masa lalu ada Menteri Besar tiba-tiba berhenti di tengah-tengah perkhidmatan, ada yang ditolak setelah dinamakan, ditarik gelaran dan bermacam-macam lagi yang semuanya memberi isyarat peneraju kuasa tidaklah semata-mata boleh dijatuhkan dengan pilihanraya atau melalui undi sahaja. 





Siasatan S'pura: 'Nik Faisal lulus pindah RM48j dari SRC ke sekutu Jho Low'

Posted: 14 May 2016 03:46 AM PDT

MALAYSIAKINI




Siasatan pihak berkuasa Singapura didakwa mendapati bahawa Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, meluluskan pemindahan AS$11.95 (RM48 juta) dana syarikat itu kepada sekutu Jho Low - Tan Kim Loong.

Tan, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), adalah benefisiari asal syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Tanore Finance, yang telah menghantar AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tanore Finance dilaporkan menerima dana, melalui perantara, dari syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Aabar Investments PJS Limited di mana AS$3.5 bilion dana 1MDB didakwa dilencongkan.

Business Times Singapura melaporkan bahawa penemuan pihak Singapura itu terkandung dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah Singapura pada hari Khamis sebagai sebahagian daripada pertuduhan ketujuh terhadap bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei.

Pertuduhan terbaru terhadap Yeo itu adalah kerana mempermudahkan, melalui cara penipuan, pemindahan AS$11.95 juta dari SRC International kepada Affinity Equiti International Partners Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki Tan.

"Pemindahan dana kepada Affinity Equiti International Partners Ltd dilakukan melalui Pacific Harbour Global Growth Fund AA4 - dana yang SRC International Malaysia langgani.

"(Ia) diselia oleh Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB Terence Geh dan diberi kuasa oleh Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah urusan SRC International Sdn Bhd dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pendakwa raya Singapura mendedahkan," kata laporan itu.

SRC International Malaysia, yang didaftarkan di British Virgin Islands, dimiliki sepenuhnya oleh SRC International Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Ia adalah bekas anak syarikat 1MDB, sebelum diletakkan secara langsung di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

Surat ditandatangani Nik Faisal

Business Times juga melaporkan bahawa antara dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah termasuk surat yang ditandatangani Nik Faisal bagi pihak SRC International Malaysia mengakui bahawa Pacific Harbor Global Growth Fund telah menyalurkan AS$11.95 juta kepada Affinity Equiti.

Sebelum ini, selain SRC sebagai bekas anak syarikat 1MDB, ia tidak dikaitkan secara langsung dengan jaringan transaksi multi-bilion dolar 1MDB.

Transaksi kontroversi SRC International sebelum ini dilihat sebagai bebas daripada 1MDB, antaranya pemindahan RM42 juta dan RM27 juta, melalui perantara, ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada transaksi tersebut dengan alasan bahawa perdana menteri tidak tahu mengenainya.

Walaupun transaksi multi-bilion 1MDB kini menjadi subjek siasatan antarabangsa termasuk di Singapura, Switzerland, Luxembourg, United Arab Emirates dan Amerika Syarikat, namun sedikit yang diketahui tentang apa yang berlaku kepada RM4 bilion dari SRC International.

SRC International telah mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) - dana pencen untuk kakitangan kerajaan - yang dikatakan untuk pelaburan dalam sektor tenaga di Mongolia.

Nik Faisal dipercayai berada di Indonesia sejak dia meninggalkan Malaysia pada Julai tahun lepas.

Zahid tak risau sejuta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat

Posted: 14 May 2016 03:35 AM PDT

Geraldine Tong

 


Tiada akan ada sebarang hasilnya daripada sejuta tandatangan yang dikumpulkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' untuk Deklarasi Rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam mana-mana undang-undang, katanya, tidak ada perkara seperti dengan satu juta tandatangan, sebarang tindakan undang-undang atau tanggungjawab moral perlu dilakukan.

Zahid menyatakan demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri hari keluarga Kementerian Dalam Negeri yang diadakan di Cheras hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan itu boleh mengemukakan tandatangan tersebut kepada sesiapa yang mereka suka, kerana ia adalah usaha mereka.

Semalam, kumpulan Selamatkan Malaysia mengumumkan mereka telah berjaya mengumpul 1.27 juta tandatangan menyokong Deklarasi Rakyat dan akan menyerahkannya kepada Yang Di-Pertuan Agong secepat mungkin.

Deklarasi itu mndesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga untuk pembaharuan institusi.

S'wak mungkin dapat lebih dari 3 TKM, kata Zahid

Posted: 14 May 2016 03:31 AM PDT

Geraldine Tong




Sarawak mungkin mempunyai lebih daripada tiga timbalan ketua menteri (TKM) kerana perlembagaan negeri itu mungkin dipinda untuk membolehkan tambahan jawatan berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak mahu mengesahkan ini tetapi terdapat usaha yang dibuat supaya perlembagaan negeri dipinda untuk membolehkan lebih daripada tiga TKM dilantik," kata Zahid dalam sidang akhbar selepas program Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Cheras hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan cuba untuk meyakinkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk melantik lebih ramai menteri dari kaum Cina, malah bagi jawatan TKM.

Ini ekoran kontroversi yang timbul berkaitan kabinet baru diumumkan Adenan di mana tiada TKM yang dilantik dari kaum Cina, walaupun beliau sebelum ini menggesa pengundi Cina supaya menyokong BN jika mereka mahu melihat wakil kaum itu dilantik ke jawatan tersebut.

Ketika mempertahankan langkah beliau, Adenan menafikan pernah menjanjikan jawatan TKM untuk kaum Cina, dengan menyatakan ia mungkin dilakukan hanya jika BN menang di semua kerusi majoriti pengundi Cina.

Bagaimanapun dalam sidang akhbar hari ini, Zahid juga berkata ia terpulang kepada Adenan untuk wmelantik sesiapa yang beliau mahu sebagai TKM.

HARAPAN dicadang tanding satu kerusi saja

Posted: 14 May 2016 03:25 AM PDT

MALAYSIAKINI




Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak hari ini mencadangkan supaya gabungan pembangkang itu hanya bertanding di satu kerusi - sama ada Kuala Kangsar atau Sungai Besar - dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan dan memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kerusi yang lain.

Dalam satu kenyataan, HARAPAN Perak berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat majlis pimpinan negeri semalam.

"Cadangan sedemikian adalah bukti keikhlasan Pakatan Harapan untuk memastikan satu lawan satu dalam kedua-dua PRK tersebut," katanya sambil menambah bahawa ia demi memastikan kemenangan untuk rakyat.

Menurutnya lagi, semua komponen Pakatan Harapan berjanji akan menggerakkan semua jentera pilihan raya parti masing-masing untuk memastikan kemenangan rakan dalam Pakatan seandainya wakil Pakatan diberi peluang untuk bertanding sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar.

Sebagai persiapan menghadapi PRK itu bulan depan, Pakatan Harapan Perak telah menubuhkan jawatankuasa kerja PRK Kuala Kangsar yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Anggota lain jawatankuasa tersebut termasuk Ahli Parlimen PKR Lumut, Laksamana Imran dan ADUN DAP Tronoh, Yong Choo Kiong.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong ekoran penyandang kerusi berkenaan, Datuk Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 5 Jun dan pengundian pada 18 Jun.

Pakatan Harapan masih belum mengumumkan parti komponen mana yang akan meletakkan calon bertanding dalam PRK tersebut.

Dalam pilihan raya umum ke-13, PAS bertanding dan kalah kepada Umno di kedua-dua kerusi berkenaan apabila parti itu masih bersama dengan Pakatan Rakyat ketika itu.

LGE: DAP tak minat bertanding di K Kangsar dan Sg Besar

Posted: 14 May 2016 03:23 AM PDT

MALAYSIAKINI




DAP hari ini menyatakan pendiriannya bahawa parti itu tidak berminat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang enggan mengulas lanjut berhubung calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil itu, bagaimanapun berkata segala keputusan akan dibuat selepas mesyuarat peringkat Majlis Presiden atau Majlis Tertinggi Pakatan Harapan diadakan.

"Terlalu awal untuk memperkatakan tentang perkara ini. Kita serahkan kepada mesyuarat yang akan diadakan nanti di peringkat Majlis Presiden atau Majlis Tertinggi Pakatan Harapan yang tentu kami akan hadiri dan kami akan bincang dahulu sama-sama. Baru ada semangat setiakawan.

"Dari DAP kami tidak berminatlah... kami tidak berminat untuk bertanding di dua kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang Anime Matsuri-Magical Summer 2016 di George Town hari ini.

Mengulas lanjut, Lim turut menyifatkan perkara berkenaan pilihan raya kecil di Parlimen Sungai Besar seharusnya diajukan kepada Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dahulu kerana kawasan terbabit adalah di negeri Selangor.

"Kita masih ada masa yang panjang untuk perbincangan kerana hari penamaan calon adalah pada 5 Jun. Masih belum terasa bahang-bahang pilihan raya kecil... ada tiga minggu lagi, marilah kita bersabar. Apa yang penting DAP hanya akan menyokong calon Pakatan Harapan sahaja," katanya.

Semalam Lim menegaskan DAP hanya menyokong calon Pakatan Harapan dalam kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan dan tidak akan menyokong calon PAS kerana parti itu bukan sekutunya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon terkoran dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sebuyau, Sarawak.

Dalam Pilihan Raya Umum 2013, Wan Muhammad Khair-il, daripada Barisan Nasional, mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi,
manakala Noriah mengekalkan kerusinya setelah mengalahkan calon PAS Mohamed Saleh M Hussain dengan 399 undi.- Bernama


Mayat bayi ditinggalkan di gerai pisang goreng

Posted: 14 May 2016 03:08 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Mayat berkenaan dipenuhi semut di bahagian kaki dan badan masih bertali pusat.


bayi


TANAH MERAH: Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di sebuah gerai pisang goreng di Kampung Belimbing di sini, hari ini.

Pemilik gerai tersebut, Anisah Awang Senik, 46, menemui mayat bayi yang masih bertali pusat itu yang dibalut dengan sehelai tuala diletakkan di atas meja di gerai berkenaan.

Ketika itu beliau baru tiba untuk memulakan perniagaan pada 10.00 pagi.

Anisah berkata mayat berkenaan yang dipenuhi semut di bahagian kaki dan badan kemudian diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamad ketika dihubungi berkata mayat tersebut dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.– BERNAMA

Banjir KL: Kerajaan siasat unsur rasuah dalam projek pembangunan

Posted: 14 May 2016 03:06 AM PDT

 
Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.


zahid hamidi


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak berlaku lagi. Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

"Mungkin ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan…saya akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, hari ini.

Turut hadir Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat penyiasatan susulan tindakan kartunis politik tempatan, Zulkifli Anwar Ulhaque atau Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui karyanya pada satu pameran di Geneva, Switzerland.

"Dari segi pengendalian, saya serahkan kepada pihak polis…itu pendekatan saya, atau beberapa pihak lain dari segi pelaksanaan penyiasatan dan tindakan undang-undang," katanya yang berpendapat isu itu turut membabitkan aspek moral, akhlak, dan integriti individu berkenaan.

"Mengkritik tidak jadi masalah, tetapi menghina adalah satu perkara lain… saya terima kritikan terutama yang membina sebagai sesuatu yang sihat tetapi menghina adalah sangat berbeza.

"Saya fikir dalam hal ini saya minta supaya Allah buka hati mereka supaya segera bertaubat dan segera untuk menggunakan pendekatan lain kalaupun mahu meraikan perbezaan pendapat," katanya.

3.5 juta pengguna jalan raya tiada lesen - JPJ

Posted: 14 May 2016 02:50 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
POKOK SENA: Sekurang-kurangnya 3.5 juta rakyat negara ini dikesan tidak memiliki lesen memandu dengan 60 hingga 70 peratus daripadanya pengguna jalan raya yang tinggal di luar bandar. 
 
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob, berkata pemantauan JPJ mengesan 3.5 juta rakyat negara ini tidak memiliki lesen memandu, sama ada motosikal atau kereta. 
 
"JPJ melaksanakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dan program MyLesen dalam usaha membolehkan rakyat di negara ini memiliki lesen memandu. 
 
"Program SKSJ ini khusus untuk golongan berusia 45 tahun ke atas manakala bagi masyarakat Orang Asli bermula dari 21 tahun ke atas dengan bayaran RM180 bagi mendapatkan lesen. 
 
"Program MyLesen disediakan kepada golongan muda terutama pelajar berumur 16 tahun ke atas mendapatkan lesen," katanya. 
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan SKSJ daerah Pokok Sena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, di sini, hari ini. 
 
Yusoff berkata, sebanyak 234 program SKSJ sudah dilaksana di seluruh negara dan 93,461 peserta sudah memiliki lesen sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2009.
 
 

PKR mahu elak berlaku pertandingan tiga penjuru di Sg Besar, Kuala Kangsar

Posted: 14 May 2016 02:32 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seboleh-bolehnya PKR tidak mahu berlaku perebutan kerusi antara pembangkang pilihan raya kecil (PRK) di Sg Besar dan Kuala Kangsar seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
 
Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata sekiranya perkara itu berlaku, ia akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
 
"Kami tidak mahu ada persaingan untuk kerusi kerana apabila ada perlawanan tiga penjuru, maka kerusi itu jatuh ke tangan Barisan Nasional.
 
"Saya rasa ini juga pendirian yang akan diambil dalam mesyuarat PH nanti," kata Nurul Izzah di karnival Ibu Tunggal di Lembah Pantai di sini, hari ini.
 
Justeru katanya, perbincangan mengenai perletakan calon di kerusi-kerusi itu masih lagi berjalan.
 
"Perbincangan mengenai dua kerusi masih berjalan, tidak akan ada kompromi terhadap komitmen yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan," katanya.
 
Katanya lagi, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sendiri telah mengambil inisiatif untuk membincangkan perkara itu dengan semua pihak sebelum tampil dengan kenyataan rasmi berhubung calon yang akan diletakkan di kedua-dua kawasan tersebut.
 
Berkenaan hakikat bahawa kedua-dua kerusi itu secara tradisinya milik PAS, Nurul Izzah berkata beliau menghargai pendirian PAS dalam mengeluarkan perintah larangan sementara menanti tamatnya perbincangan rasmi mengenai pilihan raya kecil.
 
Semalam, PAS mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin dan ahli-ahlinya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemilihan calon sebaliknya ia akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat parti.
 
PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian wakil Parlimennya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak minggu lalu.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon dan pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil ialah 5 Jun dan 18 Jun masing-masing.
 
 

Seleweng peruntukan, DAP pecat ADUN Teluk Datuk

Posted: 14 May 2016 02:29 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: DAP bertindak memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Datuk, Loh Chee Heng daripada parti itu atas kesalahan menyeleweng peruntukan kerajaan negeri bagi kawasan DUN tersebut.
 
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi pendengaran hari ini yang turut memanggil Loh bagi membela diri.
 
Beliau berkata Jawatankuasa Disiplin sebelum ini telah meminta Jawatankuasa DAP Selangor untuk membuat siasatan dalaman, selepas menerima laporan berhubung perkara itu Mac lalu.
 
Katanya lagi, siasatan itu mendapati laporan tersebut berasas dan terdapat bukti Loh telah melakukan salahlaku.
 
"Selepas sesi pendengaran hari ini, Jawatankuasa Disiplin memutuskan ada bukti salahlaku yang serius oleh Loh, justeru sebulat suara memutuskan untuk membatalkan keahliannya secara serta-merta.
 
"DAP tidak boleh bertolak ansur dengan perkara ini. Salahlaku seumpama ini melanggari keyakinan awam yang diletakkan kepada wakil rakyat. Jawatankuasa Disiplin kesal dengan tindakan Loh yang telah mencemarkan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau turut mengingatkan kepada semua ADUN parti itu agar tidak sesekali mengulangi kesalahan Loh.
 
 

BNM tamatkan siasatan terhadap 1MDB

Posted: 13 May 2016 05:08 PM PDT

SINAR HARIAN
 
 
Muhammad Ibrahim
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim (tengah) ketika sidang media mengenai Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama Tahun 2016 di Bank Negara hari ini. Turut kelihatan dua Timbalannya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (kiri) dan Dr. Sukhdave Singh (kanan). - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, 1MDB telah menyatakan komitmen untuk membayar kompaun sebelum tarikh akhir pada 30 Mei 2016, menandakan tamatnya siasatan tersebut.

Syarikat pelaburan strategik negara berkenaan dikenakan kompaun oleh bank pusat susulan kegagalan melaksanakan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Bagaimanapun, Muhammad enggan memberitahu nilai kompaun yang dikenakan ke atas 1MDB, memandangkan ia bertentangan dengan amalan BNM bagi mendedahkan kuantum yang dikenakan terhadap individu khusus atau entiti kepada awam.

1MDB dijangka membayar denda tersebut.

Semasa taklimat media hari ini, Muhammad mengulangi bahawa kesemua siasatan di bawah bidang kuasa bank pusat dari segi peraturan, kawal selia dan undang-undang ditamatkan.

"Dari segi siasatan yang bukan di bawah peraturan, kawal selia dan undang-undang bank pusat, kita akan meneruskan kerjasama dengan badan berkuasa lain," katanya.

Menurut kenyataan 1MDB pada 28 April lepas, bayaran kompaun tersebut akan dijelaskan pada atau sebelum tarikh akhir.

Mengenai pertikaian antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company, Muhammad berkata, kedua-dua pihak tersebut perlu menyelesaikan perkara berkaitan dan bank pusat tidak akan campur tangan.

Selain itu mengenai kebimbangan terhadap kenaikan liabiliti luar jangka 1MDB disebabkan pertikaian kedua-dua pihak berkenaan, beliau berkata kerajaan akan memenuhi semua tanggungjawab hutangnya. - Bernama


Profesion guru setanding doktor

Posted: 13 May 2016 05:04 PM PDT

SINAR HARIAN


Guru
Gambar hiasan. Sumber internet.


KUALA LUMPUR - Profesion perguruan kini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat kerana ia hampir setaraf dengan bidang kedoktoran, kata Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, ini kerana mereka yang ingin menjadi guru harus melalui saringan yang ketat seperti perlu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tinggi dan perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal tinggi sebelum berdepan dengan cabaran mendidik yang sebenar kelak.    

"Setiap tahun lebih 100,000 belia memohon untuk menjadi warga pendidik, namun tidak lebih daripada 10,000 orang sahaja yang akan terpilih untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi mahupun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Malah sebagai contoh di negara barat, ada di antara guru yang mengajar di peringkat tadika dan sekolah rendah mempunyai kelulusan PhD ... ini merupakan suatu yang dilihat mampu memberi kualiti terhadap pembelajaran yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bernama Radio menerusi program Dalam Radar yang membicarakan topik "Terbelakah Kebajikan Guru" di Wisma Bernama malam tadi. ‎

Alimuddin berkata, peningkatan permohonan untuk menjadi warga pendidik juga disokong dengan kebajikan yang semakin terjamin dari segi gaji dan elaun.

"Kerajaan dilihat sentiasa menjaga kebajikan guru dengan mengambil kira bebanan yang dipikul oleh setiap warga pendidik.

"Dari segi pemberian gaji misalnya, semasa mula menjadi guru dahulu, saya mendapat gaji RM750 sebulan, tetapi pada hari ini difahamkan guru baharu mendapat lebih daripada RM2,000 dan menerima bermacam elaun misalnya elaun kenderaan, perumahan dan sara diri serta menikmati kenaikan pangkat," katanya.

Malahan, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di benua Asia dan Afrika, Malaysia merupakan antara negara terbaik dari segi menjaga kebajikan dan perkhidmatan yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam profesion perguruan.

Menerusi YGMB, Alimuddin berkata yayasan itu juga memainkan peranannya dalam menjaga kebajikan guru dengan menawarkan 16 faedah kebajikan kepada guru yang menjadi ahlinya dengan bayaran yuran bulanan RM10.

"Faedah itu meliputi khairat kematian, kemalangan, kecacatan kekal, elaun hospital, pelajaran dan malapetaka," katanya. - Bernama


Laporan tambakan tanah: DAP pertimbang saman The Star

Posted: 13 May 2016 05:01 PM PDT

MALAYSIAKINI




Akhbar berbahasa Inggeris, The Star bakal berdepan masalah berhubung satu tulisan berbentuk ulasan berita yang disiarkan mengenai Pakatan Harapan dan lima ahli dewan undangan negeri (ADUN) PKR Pulau Pinang yang mengambil sikap berkecuali dalam usul yang dicadangkan Umno mengenai penambakan tanah.

Disiarkan hari ini, tulisan itu meletakkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam keadaan kebingungan dan memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut dan penulisnya, K Suthakar yang merupakan pengarah serantau The Star.

"Saya akan meminta pandangan peguam sama ada boleh mengambil tindakan undang-undang. Ulasan tersebut adalah penipuan berniat jahat dan saya akan serahkan kepada peguam untuk menentukan," jelas Lim pada sidang akhbar di komplek dewan undangan negeri Pulau Pinang.

Dengan tajuk "Daya tahan Pakatan pada usul penambakan laut yang akan dibentangkan di sidang negeri", artikel itu mendakwa Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, memberi amaran kepada ADUN PKR semasa mesyuarat pra-majlis Pakatan Harapan bahawa partinya akan melakukan seperti 'Cara PAS' jika ADUN PKR masih mengambil pendirian yang sama.

Usul penambakan itu dikemukakan oleh ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid untuk kali kedua pada persidangan negeri kali ini.

Usul tersebut meminta kerajaan negeri agar "membatalkan kerja-kerja penambakan (tanah) melibatkan sekitar 4,000 ekar di selatan daerah pulau dan meninjau pembiayaan alternatif untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion.

Usul yang sama difailkan oleh Farid pada bulan November tahun lalu menggegarkan sidang dewan apabila undian menyaksikan lima ADUN PKR mengambil sikap berkecuali daripada mengundi menentang usul tersebut.

Presiden PAS khatam kuliah tafsir kali kedua

Posted: 13 May 2016 05:00 PM PDT

MALAYSIAKINI




Setelah selesai menyampaikan kuliah tafsir keseluruhan al-Quran 20 tahun lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan telah khatam kali kedua hari ini.

"Dua kali khatam selama 40 tahun merupakan satu perjalanan yang panjang akan tetapi ia sangat singkat bagi sesiapa yang menghargai masanya," kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

"Mudah-mudahan Allah menerima amalan ayahanda (Hadi) dan memberikan kekuatan kepadanya untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan diberikan kekuatan untuk mendepani cabaran-cabaran mendatang."

Hadi daripada dahulu terkenal konsisten menyampaikan kuliah tafsir setiap Jumaat di masjid dekat rumahnya di Rusila, Marang, Terengganu.


PM ke UK selama 4 hari mulai 15 Mei

Posted: 13 May 2016 04:58 PM PDT

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke United Kingdom dari 15 hingga 18 Mei.

Kementerian Luar dalam kenyataan, hari ini, berkata Perdana Menteri akan merasmikan Malaysia-UK Investor Showcase Agenda anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perniagaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) pada 16 Mei di Marlborough House, London.

"Pameran itu bertujuan meningkatkan sinergi pelaburan dua hala antara kedua-dua negara serta mengenal pasti peluang bagi syarikat perniagaan Malaysia dan UK untuk berganding bahu sebagai rakan global dan Komanwel," katanya.

Menurut kenyataan itu, Najib juga menerima undangan daripada Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) untuk menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Tahunan Keenam GSIAC pada 17 Mei.

Tema utama mesyuarat itu ialah Meningkatkan Daya Saing & Pembangunan Lestari Malaysia Melalui Sains-Agenda Pemacu melalui dua segmen utama iaitu "Membina Masa Depan Malaysia: Industri Baharu, Pekerjaan Baharu"; dan "Cabaran Pembangunan Lestari: Mewujudkan Pekerjaan dan Menjana Kekayaan".
- Bernama


Anak-anak ahli politik Malaysia dalam Panama Papers

Posted: 13 May 2016 04:56 PM PDT

MALAYSIAKINI




Anak perdana menteri Nazifuddin Najib mencuri perhatian selepas didedahkan mempunyai akaun luar pesisir di British Virgin Islands.

Bagaimanapun, beliau bukan satu-satunya anak ahli politik Malaysia dalam senarai itu.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod-rekod bocor daripada firma Panama, Mossack Fonseca,
menunjukkan anak Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, anak Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berada dalam senarai.

Mossack Fonseca adalah syarikat undang-undang yang menawarkan perkhidmatan membentuk entiti di tempat undang-undang percukaian tidak ketat dan akaun-akuannya tidak dapat dijejak.

Dokumen-dokumen itu kini dirujuk sebagai 'Panama Papers'.

Walaupun akaun-akaun pesisir luar bandar membangkitkan persoalan berkaitan pelarian cukai, ia tidak semestinya menunjukkan terdapat aktiviti haram menggunakan wang itu atau menjadi satu kesalahan membentuk syarikat luar pesisir sendiri.

Fakhri Yassin Mahiaddin

Anak sulung Muhyiddin, Fakhri Yassin, dikaitkan dengan dua entiti. Kedua-duanya di British Virgin Islands, menurut semakan Malaysiakini.

Ketua pembangunan harta tanah Thriven itu membentuk Akila Way Limited BVI pada 11 Mac 2004 ketika berumur 28 tahun.

Ia dibuat selepas lima tahun berkhidmat sebagai penganalisis pelaburan di Hwang DBS – kerja pertamanya selepas tamat ijazah ekonomi perniagaan daripada Universiti London.

Akila Way dibentuk melalui WBC Limited, syarikat berpangkalan di Wan Chai, Hong Kong.

Sepuluh tahun kemudian, Fakhri menubuhkan Farsight Plan Investments Ltd pada 4 Jun 2011.

Tidak banyak maklumat bagaimana beliau menggunakan dua syarikat itu, atau sama ada ia mempunyai kaitan dengan pemberian saham majoriti Mulpha Land dengan harga RM2 juta secara tunai pada Mac 2015.

Mulpha Land dinamakan semula sebagai Thriven dan bapa 40 tahun kepada dua anak itu kemudian menjadi pengerusi eksekutif di syarikat tersenarai awam itu.

Fakhri memiliki 33.86 pegangan dalam Thriven dan menjadi pengarah di dua hospital Health Management International di Singapura (Mahkota Medical Centre dan Regency Specialist).

Beliau juga menjadi pengarah Eden Inc Bhd, syarikat katering tersenarai awam yang diasaskan oleh bapa mertuanya.

Malaysiakini telah menghubungi Fakhri melalui Thriven dan setiausaha akhbar bapanya tetapi belum mendapat jawapan.

Mirzan Mahathir

Ini bukan kali pertama anak sulung bekas perdana menteri dilaporkan memiliki syarikat luar pesisir pantai.
Pada 2013, Malaysiakini melaporkan Mirzan memiliki syarikat Crescent Energy Ltd, Utara Capital Ltd dan Al Saad Investments Pte Ltd. Semuanya berpangkalan di Labuan.

Dalam Panama Papers, Mirzan - pernah seketika menjadi pengarah syarikat Filipina, San Miguel Corp, sehingga April 2010 - disenarai memiliki sebuah firma di Kepulauan British Virgin pada 8 Mac 2002.

Bagaimanapun firma itu - Sergio International Ltd - dianggap tidak aktif pada 1 November 2006 dan dibubarkan pada tahun sama.

Mirzan, memiliki ijazah sarjana pengurusan perniagaan dari Universiti Wharton, kini ketua pegawai eksekutif Crescent Capital iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan dan perunding pelaburan.

Malaysiakini menghubungi Mirzan melalui Crescent Capital dan seorang wanita yang mendakwa sebagai seorang pengarah syarikat itu memberitahu, anak Dr Mahathir itu memang tidak terlibat dalam Crescent Capital.

"Kami boleh mengesahkan sepenuhnya Mirzan tidak terlibat atau ada kaitan sama sekali dengan Sergio International Ltd dan entiti luar pesisir itu juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Crescent Group of Companies.

"Saya berminat untuk mengetahui bagaimana Mirzan disenarai sebagai pengarah atau pemegang saham Sergio ketika dia tidak memberikan sebarang kebenaran untuk itu," katanya.

Pengarah itu yang enggan dinamakan menambah, Crescent tidak tahu pun kewujudan syarikat Sergio International Ltd sehingga dia dihubungi Malaysiakini.

Namun wanita itu memberitahu Mirzan ada memaklumkannya dua pemegang saham Sergio International Ltd pernah menghubunginya antara tahun 2000 hingga 2002 untuk memulakan perniagaan landskap.

"Tetapi kami tidak mempunyai sebarang rekod mengenai perniagaan itu - sama ada menjadi kenyataan atau tidak, kami tidak tahu. Semuanya sangat pelik," katanya.

Ahmad Zachry Anifah

Tokoh termuda di kalangan anak empat ahli politik yang disebut dalam Panama Papers ialah Ahmad Zachry Anifah.

Dia adalah anak kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Ahmad Zachry, 32, menubuhkan Green Energy Management Solutions Ltd di Kepulauan British Virgin pada 13 Mei 2010 bersama seseorang dikenali sebagai Pang Su Yen dari Kuala Lumpur.

Alamat Ahmad Zachry dalam dokumen pendaftaran firma itu ialah sebuah peti surat di Beaufort, Sabah. Firma berkenaan ditutup ekoran tiada sebarang aktiviti pada 2013.

Tidak banyak maklumat mengenai Ahmad Zachry ditemui dalam carian umum kecuali dikatakan memiliki syarikat Powersport Events Sdn Bhd.

Ketika berusia 24 tahun Ahmad Zachry dan syarikat Powersport Events menganjurkan perlumbaan bot laju F2000 World Race di Kota Kinabalu, Sabah.

Dua tahun kemudian Ahmad Zachry - anak sulung daripada tiga beradik - dinamakan memiliki 0.9 peratus saham syarikat pengeluar plastik SLP Resources.

Adik kandungnya Ahmad Firdauss juga memiliki jumlah pegangan sama. Ia adalah tahun yang sama syarikat luar pesisir itu ditubuhkan.

Malaysiakini cuba menghubungi Ahmad Zachry melalui Anifah dan setiausaha akhbar menteri itu tetapi setakat ini belum mendapat sebarang reaksi.

Pemuda AMANAH tibai pemimpin HARAPAN berlagak baik

Posted: 13 May 2016 04:52 PM PDT

MALAYSIAKINI




Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan mengenai keperluan memartabatkan integriti pembangkang dalam persediaan berdepan pilihan raya kecil di Sungai Besar and Kuala Kangsar.

Ketuanya, Sany Hamzan dalam kenyataan berkata, rundingan berterusan parti-parti dalam HARAPAN mengenai calon-calonnya akan menjadi ujian kritikal demi meraih kepercayaan rakyat untuk dilihat berkemampuan menggantikan BN dan melaksanakan perubahan menyeluruh.

"Suka atau tidak, pertembungan antara parti-parti komponen Pakatan Harapan semasa pilihan raya negeri Sarawak sudah tinggal menjadi sejarah dan tidak harus diulangi oleh mana-mana parti," jelasnya.

Beliau merujuk kepada kekalahan teruk HARAPAN akibat pertembungan antara DAP dan PKR di enam kerusi.

Sany, bagaimanapun, menyedari kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara HARAPAN, BN dan PAS, dengan sokongan blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

"Rakyat bukan bodoh. Adalah sukar untuk mereka menerima pemimpin yang mengecewakan majoriti rakyat dengan membenarkan parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk bertembung di Sarawak, sekarang 'berlagak baik' dan cuba menghalang pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS.

"Apa sebenarnya mesej politik yang pemimpin ini cuba sampaikan? Terus cuba mengganggu Pakatan Harapan atau apa?" kata Sany tanpa menamakan sesiapa.

Sany, sementara itu, turut menekankan AMANAH patut diberikan peluang untuk bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Antara lain, beliau turut berkata kerusi yang majoritinya Melayu menjadi platform yang sesuai buat AMANAH untuk melebarkan pengaruh HARAPAN.

Servis Maybank dijangka tergendala Sabtu, Ahad ini

Posted: 13 May 2016 04:12 PM PDT

Servis Maybank dijangka tergendala Sabtu, Ahad ini


SHAH ALAM - Pelanggan perbankan Maybank dijangka menghadapi kesulitan untuk mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian dan menggunakan perkhidmatan mesin pengeluaran wang pada esok dan Ahad.

Memetik laporan TheStar Online, masalah tersebut disebabkan oleh latihan penyelenggaraan sistem bank secara tahunan.

"Sebagai contoh, perkhidmatan ‎pengeluaran wang daripada mesin pengeluaran wang tidak dapat dilaksanakan bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi.

"Manakala perkhidmatan perbankan atas talian, Maybank2u.com.my tidak akan dapat diakses daripada 3 pagi hingga 7 pagi," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal terbabit.

Dalam ‎satu notis yang dimuatnaik menerusi laman web rasmi Maybank, pihaknya turut mengingatkan para pelanggan untuk melakukan transaksi lebih awal.

Pihaknya akan cuba mengurangkan tempoh ketiadaan perkhidmatan dan memohon maaf sekiranya terdapat kesulitan.

Wanita ditelan ular sawa tidak benar

Posted: 13 May 2016 04:10 PM PDT

SINAR HARIAN


Wanita ditelan ular sawa tidak benar
Gambar ular sawa yang didakwa menelan seorang wanita di Taiping mulai viral hari ini.


IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak hari ini menafikan berita yang menjadi viral di laman sosial bahawa seorang wanita ditelan ular sawa di Taiping.  

Pengarahnya, Datuk Yahya Madis berkata perkara itu adalah tidak benar ‎dan pihaknya tidak pernah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu.  

"Mesej mengenai ular sawa telan manusia di Jalan Aulong, Taiping tersebut ‎adalah palsu yang pernah diviralkan dahulu dan kini disebarkan semula," katanya dalam satu kenyataan.  

Selain memaparkan gambar seekor ular sawa yang ditangkap pihak bomba, viral ‎tersebut menyatakan reptilia itu diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (Perhilitan) Perak.  - Bernama


Comments (0)