Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:07 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


K'jaan akan jelaskan semua hutang - gabenor Bank Negara

Posted: 11 May 2016 07:33 AM PDT

MALAYSIAKINI




Gabenor baru Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim yakin kerajaan akan menjelaskan semua hutangnya berhubungan dengan 1MDB.

"Saya yakin kerajaan akan membayar semua hutangnya," katanya kepada pemberita pada Forum Kewangan Islam Global di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya sebaik isu 1MDB diselesaikan, sentimen pasaran akan bertambah baik.

1MDB menghadapi kemungkinan bayaran ingkar apabila kupon untuk bon terbitannya yang bernilai AS$1.75 juta matang esok.

Bulan lalu, ia juga gagal membayar faedah AS$50.3 juta ke atas bon lain yang juga berjumlah AS$1.75 bilion.

Kedua-dua bon itu dijamin oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi tetapi terbabit dalam pertikaian dengan 1MDB berhubung hutang berbilion-bilion dolar kepada firma itu.

Jika 1MDB gagal atau enggan membayar, ini akan mencetuskan satu lagi pusingan kemungkiran silang pada hutang lain, termasuk sukuk AS$1.83 bilion (RM7.4 bilion) yang diterbitkannya itu, lapor Channel News Asia.

IPIC bayar faedah selepas 1MDB ingkar lagi

Posted: 11 May 2016 07:30 AM PDT

MALAYSIAKINI




Syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) milik Abu Dhabi hari ini berkata bahawa mereka telah membayar faedah sebanyak AS$52.4 juta bagi bon yang matang yang dijaminnya selepas firma pelaburan negara, 1MDB ingkar lagi hari ini.

IPIC berkata ini kali ketiga kemungkiran oleh 1MDB. Menurut syarikat Abu Dhabi itu, mereka ini akan memperhebatkan tuntutan bayaran itu kepada 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai bayaran pampasan.

Katanya, 1MDB kini berhutang AS$1.2 bilion dengan tambahan faedah terkumpul.

1MDB mempertikaikan tanggungjawabnya kepada IPIC mengikut perjanjian penyusunan semula hutang yang melibatkan syarikat itu Jun lalu.

Bon 1MDB jatuh ke paras terendah akibat pertikaian

Posted: 11 May 2016 07:15 AM PDT

MALAYSIAKINI





Bon 1MDB jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua minggu lalu berikutan keputusan firma pelaburan negara itu untuk mungkir pembayaran faedah kerana pertikaian dengan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi.

1MDB hari ini mesti membayar AS$52.4 juta faedah ke atas bon AS$1.75 bilion pada kadar 5.99 peratus yang matang pada 2022, tetapi dijangka mungkir lagi.

"Nota 5.99 peratus jatuh kepada 1.79 sen bulan ini kepada 100.54 sen, yang paling rendah sejak 22 April, mengikut harga yang disediakan oleh Bloomberg," lapor portal kewangan itu.

Bon itu dijamin bersama oleh IPIC.

"Mengapa bayar kupon seterusnya jika yang terakhir mungkir" soal Zafar Nazim, seorang penganalisis kredit di JPMorgan Chase & Co yang berpangkalan di London memberitahu Bloomberg.

"Tiada apa yang berubah. Tetapi kita tidak tahu mengenai perbincangan tertutup antara IPIC dan 1MDB, jadi kita tidak boleh menolak kemungkinan resolusi sementara dengan mengambil kira pembayaran kupon," katanya.

1MDB bulan lalu gagal membayar AS$50 juta bagi kupon bon berasingan yang juga dijamin oleh IPIC.
IPIC enggan membuat bayaran, dengan mendakwa bahawa 1MDB tidak membayar fi yang dipersetujui bagi menjamin bon berkenaan.

Menurut 1MDB, bayaran telah dibuat kepada anak syarikat IPIC yang berdaftar di British Virgin Island, tetapi IPIC menafikan ia mempunyai kaitan dengan firma BVI itu.

Semalam, Agensi Penarafan Fitch berkata kemungkiran 1MDB boleh memberi kesan kepada negara kerana ia boleh membawa fokus yang lemah berhubung dasar dan ketidakstabilan politik.

Fitch berkata, risiko untuk Malaysia adalah rendah walaupun pada hakikatnya kemungkiran bon berkenaan pada 2022 boleh mencetuskan keingkaran silang ke atas 1MDB yang sukuk AS$5 juta terbitannya yang dijamin oleh kerajaan akan matang pada 2039.

"Menurut jaminan itu, bayaran hanya diperlukan sekiranya pemegang bon mengundi untuk mempercepatkannya mengikut klausa keingkaran silang.

"Kami percaya bahawa tidak terdapat kemungkinan majoriti di kalangan pemegang bon akan menuntut bayaran mereka dipercepatkan," katanya.

Pemimpin PKR 'membisu' tentang PRK kerusi Parlimen

Posted: 11 May 2016 07:13 AM PDT

Alyaa Alhadjri

 


Pemimpin PKR 'membisu' mengenai rancangan parti itu untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan datang.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabatnya malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sesebuah parti politik sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Kami sudah bersedia. Kami adalah parti politik, kami sentiasa sedia untuk pilihan raya," kata Wan Azizah sejurus selepas tengah malam tadi.

Ditanya lanjut mengenai perkara itu, beliau enggan mengulas lanjut, sebagai menghormati Allahyarham MP Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan MP Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini, yang membawa kepada pilihan raya kecil itu bakal diadakan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengambil pendirian yang sama apabila diminta mengulas mengenai hasrat parti PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
"Saya tak tahu (yang PAS mahu bertanding). Tarikhnya belum ditetapkan lagi.

"Kami akan tunggu dan lihat. Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengumumkan (tarikh pilihan raya) pada hari Jumaat bukan?" kata menteri besar Selangor yang juga MP Gombak itu.

SPR dalam satu kenyataan semalam mengesahkan menerima notis kekosongan dua kerusi berkenaan dan berkata ia akan bermesyuarat pada hari Jumaat untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan kedua-dua PRK tersebut.

Ditanya sama ada kesan pertembungan antara PKR dan DAP di Sarawak akan melimpah ke pilihan raya kecil itu, Azmin berkata, beliau yakin para pemimpin dalam Pakatan Harapan, dan juga PAS, akan mempunyai kerendahan hati untuk mendengar suara rakyat.

"Sebagai pemimpin, kita perlu ada keberanian untuk duduk dan berbincang dan bergerak ke hadapan."

Azmin, selepas pilihan raya negeri Sarawak, telah menggesa semua pihak pembangkang termasuk PAS, merapatkan barisan dan bekerjasama sebagai satu pasukan menentang BN.

PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP dan digantikan dalam gabungan Pakatan Harapan oleh parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pada hari Isnin bahawa parti itu akan bertanding di pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kerana ia telah bertanding di situ semasa pilihan raya umum ke-13 ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini.

Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata parti itu hanya akan mengumumkan keputusannya pada 15 Mei.

Isu-isu berkaitan pilihan raya negeri Sarawak dan mengenai kedua-dua pilihan raya kecil itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Tidak pernah jemput PAS sertai PH, kata Wan Azizah

Posted: 11 May 2016 07:09 AM PDT

MB Selangor yang jemput PAS, tegas Presiden PKR




wan-azizah-pakatan


PETALING JAYA: Pakatan Harapan tidak pernah menjemput PAS menyertai pakatan itu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjemput parti Islam itu.

"Bukan kami yang jemput. Menteri Besar yang jemput," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan Azmin itu tidak salah kerana memang ada kerjasama antara PKR dan PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Penjelaskan Wan Azizah itu menandakan kali kedua beliau menepis kenyataan timbalannya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, bagi menjawab pertelingkahan antara PKR dan DAP mengenai pengagihan kerusi, Azmin mendakwa telah diberi mandat oleh Wan Azizah untuk mengizinkan Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian menandatangani surat pertauliahan untuk calon-calon yang mahu bertanding.

Wan Azizah kemudiannya berkata dirinya tidak terbabit dalam rundingan kerusi antara PKR dan DAP.
PKR dan DAP bertembung di enam kerusi walaupun kedua parti merupakan komponen dalam Pakatan Harapan.

LIHAT VIDEO DI SINI


1MDB: Bayaran mungkir kerana pertikaian dengan IPIC

Posted: 11 May 2016 07:00 AM PDT

MALAYSIAKINI




1MDB hari ini berkata ia memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah AS$52.4 juta kepada pemegang nota bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan anak syarikatnya, 1MDB Energy (Langat) Ltd..

Bagaimanapun menurut, firma pelaburan negara itu, ia kemungkiran pembayaran hari ini berikutan pertikaiannya ketika ini dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi .

1MDB juga menyatakan bahawa ia difahamkan bahawa pihak IPIC sudah membuat bayaran berkenaan.

"Walaupun 1MDB memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah itu, ia setakat ini belum melakukannya untuk Nota Tenaga itu dan bagi bayaran faedah awal untuk nota AS$1.75 bilion berkadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat)," katanya.

"Semua hak 1MDB adalah terpelihara berikutan pertikaian itu," kata firma pelaburan negara itu dalam satu kenyataan media.

Syarikat pelaburan strategik itu turut menegaskan bahawa ia komited untuk bekerjasama secara terbuka dengan IPIC bagi menamatkan pertikaian mereka.

IPIC hari ini juga mengisytiharkan bahawa ia bercadang menghantar bil berhubung jumlah yang dibayarnya untuk faedah berkenaan bersama-sama dengan bayaran AS$50.3 juta bagi Nota Langat kepada 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia, ditambah dengan faedah serta tuntutan lain yang berjumlah sebanyak AS$1.2 bilion.

Ini adalah menurut kenyataan IPIC yang dihantar ke Bursa Saham London berhubung perkara tersebut.


Dalam kenyataan sama, 1MDB juga berkata bahawa ia baru-baru ini sudah memulakan proses rundingan dengan para pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada mereka sifat pertikaiannya dengan IPIC.

"Malah, pertemuan bagi semua pemegang bon dalam denominasi dolar Amerika Syarikat itu akan diadakan pada 23 Mei ini," kata kenyataan itu.

Seperti yang dijelaskan dalam beberapa kenyataan sebelum ini, 1MDB berharap ia boleh menerangkan kepada pemegang bonnya bahawa kemungkiran baru-baru ini bukan kerana kekurangan dana tetapi kerana pertikaian undang-undang.

Tindakan itu agar para pemegang bon tidak akan mengaktifkan klausa syarat bon yang akan membolehkan mereka menuntut pembayaran dipercepatkan yang boleh menimbulkan masalah kepada 1MDB.

Ancaman Penggal Kepala Tebusan Muncul Lagi

Posted: 11 May 2016 06:52 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KOTA KINABALU: Ancaman untuk memenggal kepala empat warga Malaysia muncul kembali selepas penculik militan Abu Sayyaf menetapkan "awal" Mei sebagai tarikh akhir untuk mengadakan perbincangan terhadap proses pembebasan mereka.

Aktivis anti-penculikan, Prof Octavio Dinampo berkata, ugutan membunuh tawanan menjadi lebih mudah bagi kumpulan militan berikutan tindakan memenggal kepala Bernard Then pada 17 November tahun lepas dan warga Kanada, John Ridsdel pada 25 April di Pulau Jolo.

"Mereka tidak mempunyai keraguan untuk melaksanakan perkara itu kepada tebusan. Mereka tidak mempunyai hati dan perasaan dan sanggup melakukan tindakan yang kejam," katanya kepada The Star pada Rabu.

Tambahnya, penggal kepala tidak hanya dilakukan untuk memberi tekanan kepada keluarga dan kerajaan untuk berunding tetapi bagi mengurangkan tahanan yang sakit dan bermasalah.

Octavio berkata, operasi tentera Filipina telah memaksa militan dan tawanan mereka untuk sentiasa bergerak di kawasan pedalaman pergunungan pulau Jolo.

Tebusan yang lambat dan lemah akan berhadapan tindakan itu.

Dalam kejadian pada 1 April lalu, empat warga Malaysia diculik kumpulan bersenjata yang memintas kapal tunda dinaiki mereka di perairan Pulau Ligitan, Semporna.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Siong, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, manakala enam lagi kru kapal tunda berkenaan warga Indonesia dan Myanmar dibebaskan.

Kumpulan bersenjata itu dalam panggilan telefon kepada keluarga mangsa dilaporkan menetapkan awal Mei sebagai tarikh akhir bagi mereka untuk memulakan rundingan supaya tebusan 'dibebaskan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada 4 Mei bahawa, laporan perisikan menunjukkan empat tawanan Malaysia itu telah dilayan dengan baik oleh penculik bersenjata dan mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Pertemuan Vida - Rayani Air Sedang Diatur - Sumber

Posted: 11 May 2016 05:20 AM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Vida.
 
 
PETALING JAYA: Wakil pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman telah menghubungi Rayani Air pada Selasa untuk menyampaikan hasrat membeli saham syarikat penerbangan itu, demikian menurut sumber.

Menurut sumber dalaman Rayani Air kepada mStar Online pada Rabu, setakat ini, hasrat Hazmiza yang lebih dikenali sebagai Dr Vida hanya dinyatakan menerusi perbualan telefon masih di peringkat perbincangan awal.

"Wakil Vida ada menghubungi kami semalam (Selasa). Mereka bertanyakan sama ada Rayani Air masih memerlukan penyumbang dana.

"Mereka ada menyuarakan minat untuk membeli saham. Tetapi ia masih di peringkat awal perbincangan, belum ada kata putus," katanya.

Pada Rabu, dilaporkan usahawan tersebut sedang mengintai peluang untuk membeli saham syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu.

Tambah sumber itu, pertemuan dijangka diadakan minggu ini antara Rayani Air dan wakil Vida berhubung hasrat berkenaan.

"Kita tunggu pihak Vida untuk menetapkan pertemuan. Kita jangkakan minggu ini, tetapi semuanya bergantung kepada mereka," katanya.

Sumber itu bagaimanapun menegaskan masih terlalu awal untuk membincangkan perkara lanjut kerana pertemuan bersama pihak Vida masih belum dibuat.

"Ada banyak perkara yang perlu diteliti. Di pihak kami, sudah tentu perlu melihat tawaran Vida dan apakah pelan perniagaannya," katanya.

mStar Online sebelum ini melaporkan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran sedia melepaskan pegangan saham kepada pelabur baharu bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan penggantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.

Calon PRK Sungai Besar: "Saya Akan Tolak Secara Baik" - Jamal

Posted: 11 May 2016 05:16 AM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

 

Jamal Md Yunos.
 
 
PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengakui akan menolak secara baik jika dipilih sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Malah Jamal akan berusaha meyakinkan pucuk pimpinan parti bahawa beliau akan terus berdiri teguh menyokong parti sebagai ketua bahagian termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.

Tambah Jamal, beliau selama ini tidak pernah berdepan masalah dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon sepanjang hayatnya.

"Selama ini saya sebagai ketua bahagian dan arwah sebagai Ahli Parlimen, kami tidak mempunyai sebarang masalah. Saya menjaga parti dan arwah sebagai wakil rakyat.

"Saya terbuka dan memberi laluan kepada muka-muka baharu mahupun pemimpin-pemimpin yang berpengalaman," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian mengenai nama beliau disebut-sebut sebagai antara calon bagi PRK Sungai Besar berikutan kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian dan Pengerusi BN di kawasan itu.

Ia bagi menggantikan penyandang kerusi itu, Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada minggu lalu.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ditanya mengenai calon lain, Jamal berkata, ia merupakan hak mutlak Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan calon yang bertanding mendapatkan kemenangan.

"Kita mengamalkan kepentingan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.

"Kita perlu akur untuk taat setia dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Mengenai persiapan PRK Sungai Besar, Jamal berkata, pihaknya telah bersiap sedia seratus peratus untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat ini.

"Semalam saya mengadakan mesyuarat pengurusan dan malam tadi mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian, kita mengarahkan semua jentera Umno bahagian diaktifkan.

"Bilik gerakan juga telah ditubuhkan serta-merta. Malam ini pula saya akan adakan mesyuarat untuk mengaktifkan semua jentera Barisan Nasional (BN)," katanya.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkaitan PRK di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Jumaat ini.

"Telefon Saya Dicuri Dengar" - TMJ

Posted: 11 May 2016 05:10 AM PDT

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
 
PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim 'tidak faham' apabila mendakwa pergerakannya telah dipantau oleh Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Tunku Ismail mendakwa unit itu turut mempunyai fail berkaitan dirinya dan ayahandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Saya tidak faham mengapa telefon saya dicuri dengar. Saya tidak faham mengapa pergerakan saya dipantau oleh SB.

"Saya tidak faham mengapa mereka perlukan fail mengenai saya dan ayahanda saya di Bukit Aman," katanya dalam status terbaru di laman Facebook Johor Souther Tigers, petang Rabu.

TMJ berkata demikian dalam satu temuramah khas menjelang perlawanan akhir Piala FA, antara JDT dan PKNS FC, malam Sabtu.

Tunku Ismail menjawab soalan terakhir wartawan iaitu: "Ada apa-apa mesej untuk penyokong atau pemain? Atau apa sahaja yang Tunku mungkin mahu tambah?"

Tambah Tunku Ismail, beliau bukannya seorang pengganas sebaliknya seorang yang prihatin terhadap rakyat.

"Saya bukannya pengganas. Saya tidak berbahaya.

"Saya tidak pernah membunuh sesiapa kecuali membunuh bola sepak Malaysia," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa tiada apa-apa yang diharapkan daripada perlawanan itu kerana menganggap melangkah ke perlawanan akhir adalah satu pencapaian.

"Jika kami menang, bagus. Jika kami tewas, cuba lagi," jawabnya ringkas.

Katanya, kedua-dua pasukan tidak mempunyai perbezaan walaupun JDT dikatakan mempunyai kelebihan dari segi jumlah penyokong.

Beliau memberi contoh PKNS yang menewaskan Perak dengan kehadiran penyokong yang sedikit manakala JDT menewaskan South China di Hong Kong, juga dengan sokongan penyokong yang lebih rendah.
 
 

Undi kawasan bandar rosak, pengajaran pada DAP, PKR

Posted: 11 May 2016 05:06 AM PDT

 
Undi rosak itu dikatakan sebagai protes terhadap DAP dan PKR.


dap-pkr


KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berkata undi rosak dalam PRN Sarawak baru-baru ini kebanyakannya dari kawasan bandar.

Pensyarah Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kajiannya mendapati rakyat di bandar bosan dengan pertelingkahan DAP dan PKR.

Katanya, undi rosak itu dilihat lebih kepada protes terhadap DAP dan PKR.

"Undi rosak ini kita lihat sebagai undi protes.

"Misalnya pertelagahan DAP dan PKR. Mereka rasa tindakan itu wajar mereka buat. Mereka merosakkan undi itu sendiri sebagai jalan selamat," katanya.

Dr Awang berkata pertembungan kerusi antara PKR dan DAP juga memberi kekuatan kepada BN dalam meraih kemenangan di PRN Sarawak.

"Katanya, pertelagahan pembangkang juga menjadi faktor utama kepada kemenangan BN di Sarawak.

"Rakyat dilihat bosan dan memilih untuk merosakkan undi sebagai pengajaran kepada DAP dan PKR," katanya.

PRN Sarawak ke-11 menyaksikan pertembungan PKR dengan sekutunya di enam kerusi iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah.

BN mencatat kemenangan besar dengan memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi yang ditandingi di PRN itu.

Manakala pembangkang hanya menang 10 kerusi.


Isham Rais: Sang Penghasut

Posted: 11 May 2016 05:00 AM PDT

hisyamrais

Oleh Izmil Amri


Aku jumpa Hishamuddin Rais buat kali pertama di sebuah 'kafe' bersebelahan ruang upacara pengebumian di jirat Bukit Petaling. Sambil bersembang dan minum air 100 Plus, Isham kelihatan mengunyah kulit kacang. Separuh sisa kulit kacang yang kami jamah bersama, habis dimakannya. Bantu penghadaman kata dia.

Semudah itu aku pun percaya. Isham Rais berjaya menghasut aku untuk percaya bahawa kita patut makan kulit kacang untuk membantu penghadaman. Entah betul entah tidak. Padan lah ramai betul yang takut dengan kemahiran menghasut yang dimiliki Isham Rais.

Aku pun dengan bodohnya pergi kunyah kulit kacang, sekadar berasakan keyakinan yang terbina daripada hasutan Isham. Demikian cerita betapa hebatnya si penghasut tegar, Isham Rais.

Mungkin saja aku ni bangang, semudah itu percaya dengan hasutan Isham Rais supaya kunyah kulit kacang. Namun kau harus beri pengiktirafan, hasutan dia memang berkesan.

Kalau Isham Rais boleh hasut aku untuk buat sesuatu sebodoh makan kulit kacang tanah yang buat aku terbatuk-batuk dan hampir tercekik, kita tidak hairan kalau ramai pihak bimbang sekiranya dia berjaya menghasut orang lain supaya buat benda cerdik.

Selain kunyah kulit kacang, Isham Rais juga telah menghasut aku untuk makan petai jeruk. Ke mana sahaja dia pergi makan, akan ada lah sebotol petai dalam beg. Aku boleh bayang Isham bising dalam penjara nanti 'Oi.. petai jeruk takde? Aku nak petai!'

Menurutnya, "I'm a 17-year-old boy, trapped in the body of a 60-year-old gentleman, but still looking 25; all thanks to my Petai." Isham Rais, budak muda remaja 17 tahun usia, terperangkap dalam tubuh lelaki berumur 60 tahun, namun kekal kelihatan 25, hasil mengamalkan makan berulam petai. Majalah Siasah keluaran Julai 2003, Isham Rais lah yang menjadi penghias muka depannya, dengan wajah awet muda hasil makan petai.

Antara kejayaan menghasut Isham Rais yang lain ialah memaksa restoran Old Town Kopitiam di Brickfields supaya menjalankan operasi selama 24 jam. Bukan sahaja itu, dia juga berjaya mendapatkan sebuah meja khas di luar, untuk dia duduk dan memesan makanan dari kedai mamak di sebelah.

Sebut tentang makan, benda paling aku menyampah tentang Isham Rais ialah bila dia buka gigi palsunya sebelum makan. Potong selera betul, meski Isham sentiasa sahaja berselera. Isham memang suka makan, malah ada sebuah buku tentang jelajah seleranya. Dan dia tidak membazir, kalau ada makanan lebih, dia akan bungkus untuk 'anak-anak' di rumah. Beberapa ekor kucing dan haiwan lain termasuk seekor kura-kura.

Aku hanya pernah menjadi 'driver' Isham Rais sekali saja. Jemput di rumahnya di belakang Istana Negara sana, bawa ke restoran makanan laut jauh di Kayu Ara. Waktu itu musim jerebu. Dia murung betul melihat jerebu. Isham memang orang yang sentiasa menjaga kesihatan, jadi sebarang ancaman terhadap kesihatannya memang buat dia murung. Dalam penjara barangkali dia tak murung kerana ada khidmat kesihatan percuma.

Jadi ceritanya begini; Isham Rais akan disumbat ke penjara atas kesalahan menghasut dan seminggu ini ramai orang menyatakan setiakawan dengan nasib malangnya itu. Tempoh hari sewaktu Malam Baca Puisi Madrasah Seni aku sudah nyatakan solidariti dengan tulis puisi segera, kemudian dibaca si Young Syefura. Isham kongsi puisi itu di blog Tukar Tiub sehari kemudian. Terharu juga aku.

Blog Tukar Tiub itulah sumber hasutan sepanjang zaman, selain sumber pecah berita 'terNOW' senarai gagalis tahunannya sempena hari kekasih. Aku hanya pernah masuk senarai gagalis itu sekali sahaja. Isham jauh lebih gagal. Meski sekampung dan satu sekolah dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Isham tidak berjaya menawan hati Rosmah.

Tulisan Isham di blog itu barangkali telah berjaya melahirkan lebih ramai penghasut. Kalau kau kira bilangan aktivis yang dilatih Isham Rais, kau akan faham kenapa banyak pihak begitu bersungguh mahu mengurung Isham.

Isham Rais adalah induk dan simbol semangat melawan. Kita bercerita tentang Isham Rais supaya orang tidak lupa apa yang telah dia buat untuk negara, dan kenapa negara mahu kurung Isham. Kita bercerita tentang Isham Rais kerana dia, seperti kita, melawan kerana cinta dan kerana itu akan dikurung bukan kerana jahatnya, tapi kerana semangat melawannya.

Ditanya 'kamu kerja apa' oleh hakim dalam salah satu siri perbicaraannya, Isham menjawab "Saya ini pemikir". Apabila hakim sedikit keliru, Isham menegaskan "I'm a thinker, Yang Arif.  I think everyday."

Barangkali sudah tiba masa topeng muka Guy Fawkes itu kita tukar guna muka Isham Rais, si penghasut yang menurut Saudara Fathi Aris Omar, 'wajar dipenjara' supaya 'anak muda tahu hidup itu bukan untuk selfie sewaktu demo sahaja!'

Jadi begitulah. Sudah cukup modal untuk kau Google siapa Isham Rais dan persoal kenapa dia akan dipenjara di bawah Akta Hasutan 1948 Isnin hadapan. – Roketkini.com


*Rencana ini telah disiarkan di Malaysiakini.com

Prasarana sedia perkhidmatan tren lebih mantap di Makkah

Posted: 11 May 2016 04:22 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


perkhidmatan MMMSL akan bermula 8 hingga 14 Sept menggunakan 15 tren dengan memuatkan lebih 350,000 penumpang sehari khususnya pada hari kemuncak 9 dan 10 Zulhijjah.perkhidmatan MMMSL akan bermula 8 hingga 14 Sept menggunakan 15 tren dengan memuatkan lebih 350,000 penumpang sehari khususnya pada hari kemuncak 9 dan 10 Zulhijjah.


Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini giat melakukan persiapan rapi bagi menyediakan perkhidmatan tren lebih mantap mengangkut jemaah pada musim haji di Tanah Suci tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata ini berikutan kejayaan perkhidmatan sulung Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) pada musim Haji tahun lepas.

Beliau berkata persiapan itu dilakukan bersama pihak berkuasa Arab Saudi sejak akhir tahun lepas secara berperingkat.

"Operasi sebenar perkhidmatan MMMSL adalah tujuh hari sahaja tapi persiapan yang kami lakukan adalah berterusan sepanjang tahun.

"Ini termasuk operasi pra-percubaan selama 30 hari (6 Jun hingga 5 Julai) sebelum operasi, percubaan selama 60 hari (9 Julai hingga 6 September) dan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP - Emergency Response Plan) yang telah kami rancangkan pada 1 September ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini adalah projek keutamaan Prasarana khususnya PRIME (Prasarana Integrated Management dan Engineering Services) yang kini sedang membuat bidaan untuk beberapa projek lain di Timur Tengah.

Ia sebagai inisiatif untuk meningkatkan hasil bagi Kumpulan Prasarana dan membuka pintu kepada syarikat-syarikat Malaysia yang lain, katanya.

Azmi berkata, pada musim haji kali ini, perkhidmatan MMMSL akan bermula 8 hingga 14 September  menggunakan 15 tren dengan memuatkan lebih 350,000 penumpang sehari khususnya pada hari kemuncak 9 dan 10 Zulhijjah.

"Ketika tempoh operasi itu, kami akan mempunyai lebih 7,000 orang petugas termasuk kira-kira 400 rakyat Malaysia khususnya daripada Prasarana dan anak-anak syarikatnya.

"In-sya-Allah, tahun ini Prasarana dapat membuat persiapan lebih awal... Operasi di sana jauh berbeza daripada operasi tren kami di Kuala Lumpur," katanya.

Mengenai kerja-kerja penyelenggaran tren, Azmi berkata usaha itu dilakukan secara berterusan selepas musim Haji tahun lepas tetapi pada kadar minimum dan meningkat mengikut jadual tugasan.

"Kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan untuk semua sistem semboyan dan bekalan elektrik.

"Kesemua sistem sudah pun diselenggara dan diuji," katanya.

Perkhidmatan MMMSL meliputi rangkaian sepanjang 18.1 kilometer yang menghubungkan lokasi-lokasi ibadah haji dengan mempunyai sembilan stesen.

Naib Presiden Pas sertai Deklarasi Rakyat di Shah Alam

Posted: 11 May 2016 04:15 AM PDT

BORHAN AHMAD


Poster Deklarasi RakyatPoster Deklarasi Rakyat
Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad akan menyertai pentas himpunan Deklarasi Rakyat yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam Sabtu ini.

Menurut poster program yang diedarkan itu, Iskandar, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu akan menyertai Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis itu.

Ini adalah satu berita baik kerana sebelum ini hanya seorang sahaja pemimpin kanan Pas yang menyertai program ini iaitu Datuk Mustafa Ali, pengarah pilihan raya Pas.

Mustafa adalah antara 25 pemimpin pertama yang menandatangani deklarasi ini ketika ia mula dilancarkan.

Ekoran itu, bekas ketua penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Iskandar kerana menyertai usaha untuk menyelamatkan Malaysia itu.

"Alhamdulillah, YB Datuk Iskandar Naib Presiden Pas menjejaki saya yang lebih dahulu bersama dipentas selamatkan Malaysia bersama Tun M dan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang politik untuk menuntut Najib berundur dari jawatan PM sekarang.

"Tahniah YB Datuk Iskandar," tulis Mahfuz melalui Facebooknya.

Himpunan di Shah Alam adalah siri himpunan jelajah seluruh negara yang dianjurkan oleh gerakan Selamatkan Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini mereka telah berhimpun di Kota Bharu, Muar, Alor Setar, Pulau Pinang dan lain-lain tempat lagi.

Kemuncak adalah penghantaran Deklarasi Rakyat yang mengandungi 37 perkara ini kepada Majlis Raja-raja Melayu memohon perkenan baginda agar menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar berundur sebagai perdana menteri.

Perlukah rakyat menanggung bayaran faedah bon 1MDB? soal Pua

Posted: 11 May 2016 04:13 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Tony PuaTony PuaTimbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia sama ada mereka perlu  menanggung bayaran faedah dengan kegagalan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membayar bagi bond kedua bernilai USD1.75 bilion.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata demikian, selepas Johari dilaporkan berkata bahawa penglibatan 1MDB dengan pemegang bon dolar AS adalah satu langkah yang baik ke arah mengembalikan keyakinan di pasaran.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata Johari mesti 'hidup di planet yang berbeza', menunjukkan bagaimana 1MDB di ambang kegagalan untuk membayar bayaran faedah bagi bond kedua bernilai USD1.75 bilion.

Pua berkata, 1MDB telah dipaksa untuk melibatkan diri dengan pemegang bon untuk menghadkan kerosakan kewangan kepada kedua-dua syarikat dan pemegang saham - Kementerian kewangan (MoF).

"Dan lagi, di bawah keadaan yang mengerikan itu, Johari boleh (katakan) semuanya 'hunky-dory', 'penglibatan 1MDB dengan pemegang bon mendenominasi dolar AS adalah satu langkah yang baik.

"Ini mesti menjadi salah satu kenyataan paling tidak bertanggungjawab oleh Timbalan Menteri Kewangan yang baru dilantik, yang menggantikan Ahmad Maslan," selar Pua.

Beliau juga kesal sikap angkuh MOF dalam kemelut ini apabila mendakwa bahawa ia tidak mahu campur tangan kerana ia adalah di antara dua entiti korporat untuk menyelesaikan masalah mereka.

Walaupun perjanjian dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC), Pua menegaskan bahawa Kementerian Kewangan telah menyediakan tuntutan ganti rugi untuk IPIC bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh IPIC.

"Jika ia adalah semata-mata 'pertikaian' antara 'dua entiti korporat', maka mengapa Kementerian Kewangan bersetuju untuk memberi ganti rugi untuk IPIC dalam lembaran ditandatangani antara IPIC dan 1MDB pada Mei tahun lepas?"soalnya.

Bagi 1MDB, yang dipaksa untuk melibatkan diri dengan pemegang bon untuk 'memulihkan keyakinan pasaran' dan 'mengelakkan panik', Pua mempersoalkan bagaimana pula, bagi pembayar cukai Malaysia yang kini bertanggungjawab ke atas bailout.

"Tidakkah  Johari melihat ia perlu untuk 'memulihkan kembali keyakinan' dan 'mengelakkan panik' oleh rakyat Malaysia?" Soal beliau.

Pua berkata, Johari telah berjanji di Parlimen tahun lalu bahawa 1MDB akan menyelesaikan 'isu hutang dan aliran tunai dengan lebih cepat, tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Adakah jaminan ini masih sah?"

"Kedua-dua Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan Presiden 1MDB Arul Kanda telah bercakap bahawa rasionalisasi itu telah berjaya dan selesai. Adakah kedua-dua mereka berbohong kepada rakyat Malaysia untuk menyediakan kenyataan palsu untuk 1MDB?

"Jika jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah atas Johari, maka dia mesti memujuk bosnya, Najib yang juga Menteri Kewangan, untuk menjelaskan berkaitan 1MDB kepada rakyat Malaysia," kata Pua.

Semalam, 1MDB mengumumkan telah melantik Alvarez & Marsal Asia Ltd (A & M) sebagai penasihat kewangannya setelah memulakan proses rundingan dengan pemegang bon susulan keingkaran ke atas nota USD1.75 bilion dengan kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat).

1MDB turut melantik D.F. King Ltd, 'Orient Capital Company' (D.F. King), atau "Ejen Pengenalan dan Maklumat", untuk terus melaksanakan proses pendaftaran dan pengenalan pemegang bon.

Menurut 1MDB, pertemuan bagi semua pemegang bon yang menggunakan mata wang dolar AS akan diadakan pada 23 Mei ini.

Pemuda Amanah kecam salah guna Akta Hasutan, bersolidariti bersama Isham Rais

Posted: 11 May 2016 04:08 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Lawan akta hasutan solidariti bersama Isham RaisLawan akta hasutan solidariti bersama Isham Rais


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan kerajaan yang menggunakan Akta Hasutan terhadap ahli politik dan aktivis sosial seperti terjadi kepada Hishamuddin Rais.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata kes Hishamuddin adalah lambang pencabulan hak asasi dan demokrasi di negara ini.

"Pemenjaraan ke atas beliau pasti akan menjadi episod hitam kepada perjuangan demokrasi di negara ini.

"Saudara Isham Rais adalah ikon rakyat yang tidak pernah putus asa menyedarkan rakyat peri pentingnya amalan demokrasi yang adil dan bebas dituntut demi kebebasan dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta Hasutan menurut beliau adalah salah satu juzuk undang-undang 'draconian' yang digubal oleh pemerintah negara ini sejak sebelum merdeka lagi.

"Kini Isham Rais akan berhadapan dengan penentuan akhir pendakwaan terhadap beliau bawah akta zalim ini pada 16 Mei 2016 di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan rayuan juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau bukan sahaja didapati bersalah, malah dikenakan hukuman penjara selama 8 bulan," kata kenyataan itu.

Pemuda AMANAH katanya yang berjuang atas prinsip keadilan, kebebasan, hak demokrasi dan perlembagaan tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan perlu ditentang dan dihapuskan.

"Ia jelas satu akta yang bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sejagat dan konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi.

"Keadilan dan kebebasan adalah prinsip yang dianjurkan Islam dan jelas akta ini bertentangan dengan prinsip-prinsip ini," katanya

Kini katanya, rakyat tidak boleh membiarkan ikon rakyat sendirian.

"Pemuda Amanah menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan dan pembebasan beliau pada 16 Mei 2016 ini.

"Rakyat juga diseru untuk hadir beramai-ramai ke Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada perjuangan saudara Isham Rais," katanya

PM/KM seluruh rakyat; bukan BN saja

Posted: 11 May 2016 03:56 AM PDT



 
Oleh Lanhh

DI tepi sebuah persimpangan jalan berlampu trafik, saya lihat ada satu papan tanda gergasi memaparkan gambar Perdana Menteri (PM) Najib Razak. Perkataan yang ditulis menyatakan sokongan satu Umno Bahagian kepada PM. Di bawah sekali ada ditulis #Respect My PM (Hormati PM Saya).

Saya memikir-mikirkan maksud slogan itu. Ya, ada yang tak kena. 'Respect My PM' boleh bermaksud meminta seseorang atau sesuatu pihak itu 'menghormati PM saya'...orang atau pihak yang diminta menghormati PM itu seolah-olah ada PM mereka sendiri.

Pada pandangan hamba yang daif ini, slogan itu seharusnya ditulis 'Respect Our PM'. Barulah ia bermaksud 'saya' dan 'kamu' perlu menghormati PM kita. Sekalipun 'kesilapan' (maklum balas daripada pakar-pakar bahasa amat dialu-alukan) slogan itu dari segi bahasa dan kefahaman mungkin dianggap kecil sesetengah pihak, tetapi menyingkap bahawa ada di kalangan kita terlalu taksub berpolitik sehingga terlupa pemimpin yang menang dalam pilihan raya seterusnya dilantik untuk sesuatu jawatan dalam kerajaan seperti Perdana Menteri adalah PM untuk semua rakyat bukan PM Umno atau PM BN dan sebagainya.

Jadi, jika PM mewakili semua rakyat; adalah janggal untuk memakai slogan #Respect My PM. Seseorang itu mungkin berkata, "itu PM awak, awak punya pasallah...buat apa aku 'respect' sebab aku ada PM sendiri."
Bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei nanti, pemimpin yang dipilih sebagai KM perlulah ingat bahawa beliau adalah KM bagi seluruh rakyat Sarawak bukan KM BN atau KM Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tidak lama dulu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin beriltizam menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan bukan Menteri Belia BN. Permintaan Khairy untuk menjadi seorang menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mengukuhkan lagi dakwaan bahawa selama ini pemimpin BN termasuk PM dan anggota Kabinetnya berkhidmat untuk kepentingan BN. 

Berdasarkan situasi ini, wujudlah pelbagai masalah dan pihak paling teruk menerima akibatnya adalah rakyat. Ini kerana bukan semua rakyat mendapat perkhimatan sama rata - banyak pihak termasuk kerajaan negeri tersisih semata-mata kerana mereka tidak sealiran politik.

Keazaman Khairy untuk menjadi menteri bagi semua, adalah satu lonjakan ke arah politik baru yang insya-Allah akan membuka dimensi baru senario politik tanah air. Sekalipun PM dan anggota Kabinet selama ini banyak berkhidmat untuk kepentingan BN, kita tidak mengharapkan politik balas dendam sebaliknya mengesyorkan pemimpin BN bermuhasabah diri; Khairy sudah menunjukkan jalan, mulai sekarang berkhidmatlah sebagai PM dan menteri untuk semua rakyat.

Sebagai pemimpin semua rakyat, adalah wajar untuk mereka menghentikan segala amalan kurang sihat seperti menafikan hak kerajaan negeri dalam Persekutuan, hak ahli Parlimen dan Adun pembangkang mendapat peruntukan pembangunan dan mengamalkan politik peras ugut yang berleluasa ke atas agensi dan kakitangan kerajaan. Sewajarnya PM bertindak sebagai seorang negarawan dan bukan pemimpin parti politiknya. PM dan barisan kepimpinannya perlu dapat membezakan antara 'negara', 'kerajaan' dan 'parti politik'. 

Sesebuah masyarakat bakal mengundang krisis sekiranya gagal membezakan ketiga-tiga identiti ini. Misalnya Umno adalah sebuah parti politik dan jika ia dan gabungannya ditakdirkan diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi sebuah kerajaan, maka kerajaan ini perlulah berkhidmat untuk semua rakyat termasuklah mereka yang menyokong dan menentangnya.

Sebarang kemudahan termasuk peruntukan disediakan adalah untuk semua rakyat; ini kerana dana awam diperolehi adalah sumber negara yang dimiliki semua rakyat. Penentang Umno tetap membayar cukai seandainya Umno-BN memerintah. Sesiapa sahaja boleh menegur dan menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya bebas dan adil, tetapi menentang kerajaan tidak bermaksud antinegara. Rakyat menegur dan mengkritik kerajaan demi kebaikan negara. 

Namun apa yang berlaku selama ini, rakyat dikelirukan untuk mempercayai bahawa parti politik yang menang pilihan raya (Umno BN) adalah kerajaan dan negara; justeru itu siapa saja penentang Umno-BN dianggap sebagai pengkianat kepada kedua-dua identiti ini.

Media massa arus perdana mempromosi seolah-olah Umno BN itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno BN. Sebarang percubaan mengkritik atau langkah untuk menggantikan Umno BN sekalipun melalui pilihan raya dilabelkan sebagai tindakan pengkhianat sedangkan pihak yang bertindak sedemikian melakukannya dalam kerangka demokrasi berperlembagaan yang menjadi teras sistem pemerintahan negara.


“Kami tak dapat balas jasa baik MB”

Posted: 11 May 2016 03:52 AM PDT

OLEH NAZLI IBRAHIM


PUCHONG: Rosli Abdul Rahim terharu apabila menerima sumbangan RM10,000 dihulurkan Menteri Besar bagi menampung kos pendidikan anaknya, Ahmad dan Muhammad yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan untuk membiyai perbelanjaan harian dan peralatan pembelajaran pasangan kembar berkenaan.

CP2A5052"Terima kasih kepada Dato' Seri Mohamed Azmin Ali kerana memberi sumbangan ini kepada anak saya.

Kami sekeluarga tidak dapat membalas budi baik Menteri Besar. Terima kasih tidak terhingga.

"Sumbangan ini digunakan untuk Ahmad yang memang memerlukan komputer riba sebagai pelajar jurusan grafik dan lain-lain untuk perbelanjaan harian mereka berdua. Kos memang agak tinggi," katanya kepada SelangorKini.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafie ketika melawat Ahmad dan Muhammad di kediamannya di Kampung Tengah di sini, hari ini.

Ahmad dan Muhammad masing-masing melanjutkan pelajaran mereka selepas memperolehi keputusan baik pada peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.

CP2A5067Ahmad melanjutkan pelajaran dalam jurusan Reka Bentuk Grafik manakala Muhammad pula memilih jurusan Teknologi Maklumat (IT).

Sementara itu, ketika menyentuh perkembangan rawatan diperlukan Ahmad dan Muhammad, Rosli berkata, pembedahan pangkal kaki bagi membolehkan anak-anaknya memakai kaki palsu baru terpaksa dibatalkan selepas mendapat nasihat doktor.

"Pembedahan kaki untuk kaki palsu baru tidak dapat dibuat kerana risiko tinggi. Doktor pakar bius kata paru-paru mereka tidak kuat dan boleh terjejas. Saya sudah bincang dengan Ahmad dan Muhammad, mereka kata pada saya tidak perlu buat.

"Kebetulan kerusi roda baru pun sudah ada, jadi lebih mudah pakai kerusi roda sahaja untuk membawa beg dan sebagainya tetapi kalau pakai kaki palsu memang agak susah sikit," katanya.-AA-


Bincang saman Pentadbiran Adenan Satem minggu ini.

Posted: 11 May 2016 03:45 AM PDT

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR : KEADILAN akan menentukan sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Sarawak berhubung sekatan kemasukan pemimpin parti pada minggu ini.

nurul-izzah-140126bNaib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, hal tersebut akan dibincangkan semasa mesyuarat biro politik parti itu pada Isnin.

"Keutamaan akan terus kepada calon-calon tempatan kami dan kehidupan seterus mereka berbanding maruah kami yang dicalar.

"Kami mahu mereka menerima sepenuhnya kehadiran kami dan menyokong semasa berkempen," katanya dipetik Malaysiakini.

Lebih 40 ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik termasuk beliau sendiri dihalang memasuki Sarawak ketika tempoh tersebut.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda KEADILAN Sarawak, Simon Siah dilaporkan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Sarawak atas halangan kemasukan tersebut.

Anggota biro perundangan KEADILAN negeri berkata, pihaknya akan menunggu sehingga pilihan raya selesai untuk berbuat demikian.

KEADILAN tubuh jawatankuasa bedah siasat PRN Sarawak

Posted: 11 May 2016 03:42 AM PDT

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: KEADILAN akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjalankan bedah siasat mengenai proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Wawi lagiPresidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa itu untuk menambahbaik pengendalian proses pilihan raya dan harapan tinggi rakyat terhadap KEADILAN.

"Saya telah membentangkan perkara ini dalam Biro Politik yang bersidang semalam.

"Pasukan ini mendapat mandat sepenuhnya dari saya dan parti untuk menyiapkan laporan post mortem yang menilai pengendalian proses pilihan raya Sarawak secara terperinci serta menyeluruh," katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Azizah, bekas Senator yang juga Ahli Biro Politik KEADILAN, Dr Syed Hussin Ali dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut.

Antara pimpinan kanan yang menganggotai jawatankuasa tersebut adalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Tambah Wan Azizah, dapatan penambahbaikan pengendalian proses pilihan raya akan dibentangkan secepat mungkin.

"Saranan menambahbaik lagi pengendalian proses pilihan raya akan dibentangkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh selewatnya tiga minggu dari sekarang," ujar beliau

PH adakan mesyuarat khas PRN Sarawak, mantap organisasi menuju PRU 14

Posted: 11 May 2016 03:40 AM PDT

Oleh Nadia Hanafi


PETALING JAYA : Majlis Presiden Pakatan Harapan menetapkan satu penilaian tulus ikhlas dilakukan dan akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk mengenalpasti kesalahan dan mengatasi kekurangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu.

Wawi baruPerkara tersebut dinyatakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media petang ini bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang lain di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.

Selain itu katanya, mereka juga akan mengambil langkah yang perlu untuk memperbetulkan dan memperbaiki organisasi serta strategi khusus berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Wan Azizah, ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (KEADILAN, DAP, Amanah) telah memulakan post-mortem pada peringkat parti masing-masing.

"Perjuangan menegakkan kebebasan, kebenaran dan keadilan serta melaksanakan perubahan bukanlah mudah. Di sebalik segala cabaran yang dihadapi, kami tidak akan berputus asa.

"Sebaliknya, kami bertekad untuk berkumpul (re-group) dan memfokus semula (re-focus) serta meningkatkan iltizam untuk meneruskan perjuangan ini demi rakyat Malaysia," katanya.

Pakatan Harapan melalui Majlis Presidennya yang bermesyuarat sebelum itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang mengundi calon-calon Pakatan Harapan dalam PRN 7 Mei lepas.

"Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli parti, penyokong dan sukarelawan yang bekerja keras dan bertungkus lumus membantu calon-calon kami," kata Wan Azizah.

Pada masa sama, Wan Azizah juga berkata, kelemahan semasa PRN Sarawak memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

"Kami mendengar segala pandangan, keluhan dan kritikan daripada rakyat, pengundi, pekerja parti, penyokong, sukarelawan, calon dan pimpinan serta pelbagai pihak lain tentang persediaan, perjalanan dan prestasi kami dalam pilihan raya ini," katanya.

Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sarawak,Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu, Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Tian Chua, serta Teresa Kok mewakili DAP.

Teguhkan pendirian biarpun lawannya kawan

Posted: 11 May 2016 01:00 AM PDT



 
Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


SUASANA pasca Pilihan Raya Negeri PRN Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijangka berlaku terdekat ini menyaksikan perbahasan dua penyokong utama parti yang meletakkan Islam sebagai agenda perjuangan. Izinkan saya memberi pandangan kerdil saya berasaskan kefahaman saya dalam bidang perundangan dan perlembagaan negara.


Asas kepada perjuangan siasah Islam di dalam mana-mana sistem kenagaraan pun adalah berusaha meletakkan Islam itu pada tempat yang teratas agar Islam itu berdaulat.

Begitulah juga halnya di dalam negara ini. Adanya Parti Islam Se-Malaysia PAS dalam sistem politik demokrasi di Malaysia tidak lain tidak bukan berusaha sedaya mampu menjadikan Islam sebagai (gaya hidup) yang menguasai seluruh kehidupan, termasuk sistem pentadbiran dan perundangan negara.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya selain mensasarkan kemenangan, turut menjadi keutamaan di situlah terbentangnya medan dakwah bagi menyerlahkan Islam kepada rakyat.

Dalam menempuh perjalanan mendaulatkan Islam dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara, sejak awal saya berpendapat ia amat memerlukan iltizam bukan calang-calang daripada ahli-ahli politik Islam. Ia bukan sekadar memeiliki kuasa pemerintahan pusat atau negeri. Ia lebih dari itu.

Kekuatan ketumbukan siasah Islam itu amatlah penting dan tidak boleh dikompromi. Dengan perkataan lain, para pemain politik Islam wajib bersikap "kamu ikut kami, atau kami yang meninggalkan kamu". Islam itu perlu bersifat dituruti dan bukannya menuruti.

Berbalik kepada apa yang berlaku mutakhir ini, iltizam dalam kalangan pemain politik Islam itu pada pandangan saya perlu diperhalusi. Apakah kewajarannya berlaku kewujudan dua badan siasah yang mendakwa perjuangannya Islam?

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, mendaulatkan Islam di Malaysia meruntun suatu keiltizaman yang benar-benar bulat dan kuat dari seluruh pemain siasah Islam. Dengan wujudnya dua badan siasah Islam, pada saya ia adalah suatu ketirisan dalam memahami perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia.

Kewujudan PAS dan Parti Amanah Negara Amanah pada pandangan saya bukanlah memperhebatkan perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia bahkan ia merencatkan perjuangan itu sendiri.

Melihat bagaimana perpecahan dalam Pakatan Rakyat PR, seluruh pencinta Islam seharusnya berani memegang satu pendirian bahawa Islam adalah perjuangan kami.

Mempelawa kami untuk berpadu menentang United Malay National Organisation UMNO atau Barisan Nasional BN bermakna menerima iltizam kami dalam mendaualatkan Islam di Malaysia. Malang, penyatuan pendirian ini tidak berlaku bahkan laungan perjuangan Islam itu menjadi celaru hingga tertubuhnya parti baru.

Benar, sistem demokrasi memungkinkan tertubuhnya lebih daripada satu parti atau boleh saja berbilang parti. Mahu tidak mahu, kayu ukur yang mesti digunapakai bukanlah prinsip asas demokrasi itu sendiri tetapi apakah pandangan Islam yang disumberkan dari Quran dan Sunnah.

Justeru saya berpandangan suatu yang amat malang apabila PAS terpaksa berhadapan bukan hanya musuh tradisinya, tetapi terpaksa juga berhadapan dengan parti yang meletakkan Islam sebagai perjuangan.

Dalam hal ini, harapan saya buat pencinta Islam, bersatulah dalam satu wadah dan insaflah akan apa yang berlaku sehingga ke hari ini. Pengakhiran kita bukannya di dunia bahkan kita ada hari pembalasan untuk menghadap Ilahi.

Sayangkan sahabat yang punyai pandangan berbeza tidak boleh dijadikan alas an untuk meninggalkan perjuangan yang telah sekian lama diasaskan PAS. Susah untuk mengenali sahabat baru tidak boleh dijadikan alasan untuk membentuk dan bersama jemaah yang pada wajahnya mempunyai jalur perjuangan yang sama.

Sayangi perjuangan mendaulatkan Islam bermakna sedia untuk memperbaiki setiap kelemahan PAS dan berusaha memperteguhkan PAS. Ingatlah, pengorbanan itu termasuklah mengkesampingkan pendirian peribadi kita bila telah ada ketetapan dari jemaah yang kita berada di dalamnya.

Moga Allah terus beri kekuatan buat pencinta Islam untuk bersatu dalam satu siasah, memelihara Quran dan sunnah agar kemuliaannya dapat diserlahkan.

SUNGAI BESAR, KUALA KANGSAR UJIAN "CINTA TIGA SEGI" PAS

Posted: 11 May 2016 12:40 AM PDT

shahbudindotcom


Siapakah sebenarnya yang paling "susah hati"  untuk menghadapi pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang besar kemungkinan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru kali ini?

UMNO dan BN? 

Mungkin tidak kerana kedua-dua kerusi itu memang milik mereka sebelum ini. Kalah atau menang tidak menjejaskan apa-apa kepada kedudukan kerajaan, meskipun kekalahan barangkali lebih mencalarkan sedikit imej Najib Razak serta boleh digambarkan sebagai penolakan rakyat yang makin ketara terhadap kepimpinannya.

Kemenangan BN dalam kedua-dua pilihanraya kecil tidaklah juga boleh dibanggakan sangat berikutan kuasa wang dan kelebihan jentera kerajaan memang memihak kepadanya.

Pakatan Harapan?

Juga tidak mungkin susah hati kerana kalah atau menang tidak memberi banyak kesan kepada kedudukan gabungan pembangkang itu, walaupun kerajaan negeri Selangor dikuasai oleh mereka. 

Cuma jika Amanah bertanding di kedua-dua kerusi itu dan menang, ia mampu menyuluhkan cahaya lebih terang kepada perjalanan masa depannya yang lebih meyakinkan.

Sebagai parti baru, jika kalah pula, tentu saja ia dianggap biasa dan dapat diterima oleh sesiapa jua, malah merupakan pengalaman berharga buat Amanah.

Pas?

Dalam kedudukan sekarang, Pas pada hakikatnya sedang terperangkap dalam "cinta tiga segi" antara UMNO dengan PKR yang kedua-dua parti itu ingin "dilayan dan dikasihinya" sebagai teman pembawa bahagia.

Setelah keluar daripada Pakatan Rakyat kerana beberapa pertembungan dengan DAP dan perpecahan dalamannya sehingga tertubuhnya Amanah, Pas sebaliknya masih bertahalul siyasi dengan PKR di Selangor.

Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Azmin Ali masih dianggotai oleh Pas dan tiga wakil rakyatnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. Banyak jawatan lain dalam kerajaan negeri juga diserahkan kepada ahli Pas.

Tetapi di peringkat pusat, Pas enggan menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah dan parti itu mahu bergerak sendirian. Hanya beberapa bulan kebelakangan, ia bergabung dengan sebuah parti kecil, Ikatan yang dipimpin oleh Kadir Sheikh Fadzir.

Dalam masa yang sama, khususnya melalui Hadi Awang dan Dr. Haron Din, Pas lebih cenderung ingin berbaik-baik dengan UMNO dan BN, meskipun Najib diperkatakan di seluruh dunia berhubung skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya.

Beberapa kenyataan Presiden Pas seperti mengatakan partinya tak kemaruk kuasa untuk perintah negara, hanya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan dan sedia berpakaian sedondon merah jambu dengan Najib dalam satu majlis, jelas memberi bayangan mengenai hala tujunya, sekurang-kurangnya selagi ada Hadi Awang sebagai penaraju dan Dr Haron Din selaku Mursyidul Amnya.

Sementara Pas dilihat masih "sayang"  kepada PKR di Selangor, walaupun enggan menyertai Pakatan Harapan, ia sebaliknya turut "saling memikat" dan sesekali juga berani "keluar dating"  dengan UMNO.

Jadi, dalam pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini, apa yang patut dilakukannya?

Jika Pas turut bertanding di Sungai Besar dan katalah Amanah yang bertanding di situ, ia dianggap seperti  mengkhianati hubungan cintanya dengan PKR yang menjadi salah satu komponen dalam Pakatan Harapan?

Sanggupkah dalam kempen-kempen nanti, pemimpin Pas mencela dan menghentam Pakatan Harapan sedangkan melalui tahalul siyasinya, wakil parti itu masih memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk Exco dan lain-lainnya?

Jika ingin menguji kesetiaan Pas, adalah lebih baik jika PKR yang dipilih bertanding di Sungai Besar. Apa pilihan Pas ketika itu agaknya?

Dalam masa yang sama, sanggupkan juga pemimpin Pas menghentam dan membalun Najib berkaitan beberapa isu yang terpalit dengannya sedangkan kedua-duanya "saling memikat"  dan Najib pula sedia bersusah payah meluangkan masa setiap kali Hadi Awang dan Dr. Haron Din dimasukkan ke hospital?

Di Kuala Kangsar, jika Pas bertanding, ia mungkin tidak begitu dikaitkan dengan Pakatan Harapan kerana di Perak, ia memang tidak bertahalul siyasi dengan mana-mana parti.

Namun, ia memberi kesan yang sama juga dalam hubungan "saling memikatnya" dengan UMNO.

Bagaimana kempen dan gerak kerja Pas di Kuala Kangsar? 

Oleh kerana Pas adalah parti yang biasa membalun dan menyalahkan pihak lain, khususnya kerajaan, dalam kempen dan ceramahnya, siapakah yang akan disasarkannya dalam kempen itu nanti?

Jika UMNO dan Najib dijadikan bahan kempen oleh Pas, sudah tentu tersinggung sampai ke tulang hitam Pahlawan Bugis dibuatnya.

Menghentam Pakatan Harapan juga tidak masuk akal dalam kempen Pas di Kuala Kangsar kerana gabungan itu bukan kerajaan di peringkat negeri. Rakyat juga akan pelik jika pembangkang menghentam sesama pembangkang.

Maka, apa pilihan Pas yang sebaik-baiknya?

Dalam hal ini, terbukti bahawa bermain "kayu tiga"  atau mengamalkan "cinta tiga segi", tetap menyusahkan bukan saja dalam hubungan manusia, bahkan juga dalam politik dan kuasa.

Pilihan terbaik bagi  Pas ialah tidak bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kali ini dan meneruskan "cinta tiga seginya"  seperti sedia ada kerana parti itu nampaknya lebih ingin berbahagia dengan cara begitu daripada kemungkinan putus hubungan dengan salah seorang "kekasihnya" itu.

Sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya 2018, nikmat hubungan "cinta tiga segi"  itu masih banyak dapat diraih, dikutip dan dinikmati sepuas-puasnya sebelum membuat keputusan muktamad sama ada "berkahwin"  dengan salah satunya atau meninggalkan kedua-duanya untuk benar-benar hidup sendirian.

Jika bertanding juga, kemungkinan salah seorang "kekasihnya" merajuk dan  jauh hati lalu meninggalkannya adalah besar sekali.


Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU-14

Posted: 11 May 2016 12:37 AM PDT


Apakah penyelesaian kepada masalah pertindihan kerusi antara parti-parti pembangkang? Terdapat tiga senario.
 
 
spr-1

Oleh Ooi Heng


Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) 2016 telah menyaksikan sebanyak 26 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan 5 pertandingan lima penjuru bagi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Jumlah kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru dan ke atas adalah sebanyak 43, bersamaan dengan 52.44 peratus daripada jumlah kerusi DUN Sarawak sebanyak 82.

Pertandingan tiga penjuru dan ke atas semasa PRN Sarawak adalah sesuatu yang lumrah buat orang Sarawak. Kerana itu, biarpun pertandingan tiga penjuru dan ke atas melibatkan calon Barisan Nasional Sarawak (BN Sarawak), calon persendirian, calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di enam kawasan DUN Sarawak hangat dipertikaikan oleh orang Semenanjung, impak kontroversi tersebut tidak begitu besar buat orang Sarawak.

Walau bagaimanapun, pertindihan kerusi melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mungkin berlaku pada dua pilihan raya kecil di Semenanjung atau pertindihan yang mungkin juga melibatkan KEADILAN dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan menjadi satu isu khususnya dalam kalangan pengundi Semenanjung yang mahukan pertandingan satu lawan satu menjadi realiti.

Bayangkan apa yang akan berlaku apabila tiba PRU-14 nanti, wujud pertandingan tiga penjuru sama ada melibatkan PAS dan Amanah atau KEADILAN dan DAP? Pasti peratusan mengundi akan jatuh merudum sehingga mempengaruhi keputusan semasa hari pengundian.

Apakah penyelesaian kepada masalah pertindihan kerusi antara parti-parti pembangkang? Terdapat tiga senario.

Senario pertama

Parti-parti pembangkang teruskan dengan cara rundingan sedia ada yang menyaksikan peristiwa seperti pengumuman unilateral mengejutkan parti pembangkang yang lain. Dalam konteks ini, prinsip satu-lawan-satu mungkin dihormati untuk sebahagian besar kerusi tetapi sebilangan kerusi tertentu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.

Meneliti perkembangan politik semasa pasca PRU-13 sehinggalah PRU Sarawak 2016, kebarangkalian senario pertama berlaku semasa PRU-14 adalah yang tertinggi.

Senario kedua

Sistem pilihan raya sedia ada, yakni sistem pengundian First-Past-The-Post (FPTP) hanya memenangkan satu-satunya calon yang memperolehi undian tertinggi, biarpun dengan kelebihan satu undi berbanding dua calon yang lain dalam pertandingan tiga penjuru.

Kecacatan sistem FPTP ini mendorong parti-parti pembangkang supaya bersatu berdepan dengan BN secara satu-lawan-satu agar meningkatkan peluang kemenangan. Dalam konteks ini, peranan Dato' Seri Anwar Ibrahim begitu signifikan malah menyerlah sekali selepas beliau dimasukkan ke penjara dan seterusnya Pakatan Rakyat berkecai.

Apa yang berlaku kemudian dan sehingga hari ini membangkitkan dua persoalan penting, iaitu sama ada kita ubah sistem FPTP atau kita keluarkan Anwar Ibrahim daripada penjara?

Mengapa? Kerana dua persoalan ini saling berkait, satu daripadanya berkait rapat dengan sistem dan satu lagi berkait rapat dengan aktor.

Dalam sistem yang menyediakan suasana persaingan yang lebih adil, peranan aktor dalam hal ini tidak begitu menonjol kerana sistem memberi ruang yang lebih adil dari segi peratusan kebarangkalian perwakilan kepada semua parti pembangkang.

Tetapi dalam sistem yang cacat, peranan aktor seperti Anwar Ibrahim yang mampu menyatukan semua parti pembangkang utama dan memastikan pertandingan satu-lawan-satu semasa pilihan raya menjadi penting sekali.

Malangnya Anwar Ibrahim berada di penjara dan kecacatan sistem sedia ada begitu menonjol.
Dalam konteks di mana pihak pembangkang tidak mampu mengeluarkan Anwar Ibrahim daripada penjara, maka sistem sedia ada harus diubah.

Jika sistem FPTP dapat diubah dan digantikan dengan sistem pengundian Proportional Representation (PR) di mana kerusi akan diagihkan kepada parti-parti bertanding berdasarkan peratus undian yang diperolehi, seperti yang diamalkan di Indonesia, Rusia, Itali, Belanda dan sebagainya, maka dalam keadaan di mana wujud pertandingan tiga penjuru seperti mana yang berlaku semasa PRU Sarawak 2016, KEADILAN dan DAP akan dapat bersaing antara satu sama lain secara lebih adil.

Di bawah sistem pengundian PR – sekiranya tiada mana-mana parti mampu memenangi lebih daripada 50% kerusi, maka parti yang berlainan perlu berunding supaya menubuhkan kerajaan bersatu atau coalition government.

Sekiranya sistem pengundian alternatif (alternative voting atau AV) diamalkan, seperti di Australia, maka para pengundi bolehlah mengundi calon-calon mereka dengan meletakkan kedudukan (ranking) bagi setiap calon.

Misalnya jika KEADILAN dan DAP menandingi kerusi yang sama, penyokong KEADILAN bolehlah memilih calon DAP sebagai "pilihan kedua" dan penyokong DAP bolehlah memilih calon KEADILAN sebagai "pilihan kedua".

Dengan sistem ini, sekiranya tiada mana-mana calon mendapat undian melebihi 50%, maka calon yang terendah dalam undian akan disingkirkan, dan undiannya akan diagihkan semula kepada calon-calon yang lain mengikut pilihan alternatif pengundinya. Proses ini mesti diulang selagi belum ada calon mengutip 50% – sistem AV ini sememangnya adalah untuk memastikan bahawa pemenang mampu mewakili suara majoriti kawasannya.

Ataupun sistem yang mencampurkan atau menggabungkan sistem yang berlainan, contohnya campuran antara PR dan FPTP di Jerman dan New Zealand; atau gabungan selari (parallel voting) antara PR dan FPTP seperti di Thailand, Taiwan, dan Korea Selatan, diamalkan supaya setiap parti mampu menggunakan kekuatan masing-masing untuk bersaing supaya meraikan undi dan hanya bekerjasama selepas pilihanraya untuk menubuhkan kerajaan.

Tetapi nampaknya ini tidak akan berlaku selagi BN masih memerintah, kerana sistem FPTP sedia ada jelas menguntungkan mana-mana parti yang mendominasi pemerintahan persekutuan, terutamanya mereka dapat melakukan gerrymandering (melukis sempadan kawasan pilihanraya yang pelik supaya menguntungkan pihak sendiri) dan malapportionment (ketidakseimbangan bilangan pengundi bagi kawasan yang berlainan).

Peningkatan 11 kerusi baharu DUN Sarawak dan keputusan kerusi-kerusi ini yang memihak kepada parti pemerintah merupakan satu lagi bukti bagaimana sistem sedia ada menguntungkan pihak pemerintah.

Senario ketiga

Dalam keadaan di mana sistem FTPT tidak dapat diubah dan Anwar Ibrahim di penjara, bagi mengelakkan senario pertama yang berlaku di Sarawak daripada berulang semasa PRU-14, rombakan semula gabungan parti-parti pembangkang harus dilakukan di mana tujuannya jelas untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu secara menyeluruh menjadi realiti semasa PRU-14.

Dalam hal ini, tawaran Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Azmin Ali kepada PAS sejurus selepas mengetahui keputusan PRN Sarawak 2016 tepat pada masanya. Ahli Parlimen PAS Dato' Mahfuz Omar juga menyatakan pendirian menyeru PAS supaya menyambut pelawaan Azmin Ali dan kembali menyertai dalam satu Pakatan Pembangkang bersama KEADILAN, DAP dan Amanah.

PRN Sarawak ini membuktikan bahawa KEADILAN dan DAP telah gagal bersatu menghadapi kecacatan sistem pengundian FPTP. Begitu juga PAS dan Amanah. Setiap parti politik pembangkang mempunyai kepentingan masing-masing dan mereka saling bersaing.

Dalam konteks kecacatan sistem sedia ada, persaingan sesama mereka akan menjurus kepada pertandingan tiga penjuru yang menghampakan rakyat yang berhasrat mengundi pembangkang dan membawa perubahan.

Justeru, tanpa meneliti tiga senario ini secara mendalam dan mengambil satu tindakan politik yang rasional, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan, PRU-14 bakal menyaksikan kegagalan teruk pihak pembangkang dalam menuju ke arah perubahan rejim pemerintah.

Ooi Heng adalah pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Deklarasi Rakyat tak mampu jatuhkan Najib

Posted: 11 May 2016 12:30 AM PDT

 
Azmi Sharom berkata, Deklarasi Rakyat tiada kesan undang-undang, sekalipun ia diserahkan kepada Majlis Raja-raja. 


azmin-shahromDeklarasi-Rakyat_600


PETALING JAYA: Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur.

Ini kerana kata pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Azmi Sharom yang dipetik China Press, Deklarasi Rakyat tiada kesan undang-undang, sekalipun diserahkan kepada Majlis Raja-raja.

Jelasnya, tidak kira satu juta atau dua juta tandatangan yang dikumpul, Deklarasi Rakyat sekadar satu bentuk atau simbolik kempen tandatangan di atas kertas.

Tegasnya, Perdana Menteri hanya boleh digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen dengan memperoleh persetujuan kebanyakan wakil rakyat.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Deklarasi Rakyat telah mendapat 500,000 tandatangan setakat ini.
Setiausaha Kempen Selamatkan Malaysia, Datuk Kamarudin Jaffar bagaimanapun yakin jumlah tandatangan itu akan bertambah.

Pendedahan Kamarudin itu bercanggah dengan dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Facebook beliau kononnya deklarasi itu sudah mendapat sejuta tandatangan.

Kamarudin juga enggan mengulas jika Deklarasi Rakyat yang menyasarkan sejuta tandatangan itu akan diserahkan kepada mesyuarat Majlis Raja-raja ke-241 hari ini.

Beliau berkata, ada ramai yang menyokong gerakan itu namun mereka bimbang menurunkan tandatangan atau mencatatkan nombor kad pengenalan mereka dalam deklarasi berkenaan.

Selain mendesak Najib meletak jawatan, Deklarasi Rakyat turut menuntut pembaharuan dari segi institusi kerajaan.

Inisiatif yang dilancarkan pada Mac lalu itu turut disertai ahli politik UMNO, parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat madani.

Comments (0)