Followers

Nuffnang

Belantan

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:06 PTG | Posted in

sumber :-

Belantan


Pengajaran daripada Apai Besar Sarawak!

Posted: 13 May 2016 05:33 AM PDT


Menang di 72 daripada 82 kerusi. Rampas balik lima daripada 12 kerusi milik DAP dan kuasai lapan daripada 16 kerusi majoriti Cina.

Inilah ringkasan terbaik untuk menggambarkan kejayaan Apai Besar Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) baru-baru ini.

Kini, calon-calon langsung BN dalam proses untuk menyertai parti komponen sebagaimana yang disyaratkan Adenan. Parti serpihan iaitu Teras dan UPP juga bakal dibubarkan dan bergabung dengan komponen lain.

Adenan sekali lagi membuktikan beliau memiliki sentuhan perdamai­an. Sebelum ini pun, bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud kerap memberikan tugas mendamaikan pertikaian dalam kalangan komponen BN Sarawak kepada Adenan.

Adenan telah membuktikan beliau seorang pemimpin fantastik dan tidak keterlaluan jika dikatakan faktor Adenan adalah antara punca kemenangan besar BN Sarawak.

Pelbagai analisis dibuat mengenai kemenangan BN Sarawak. Malangnya, banyak yang dilihat dari sudut pandangan Semenanjung sehingga menjadi kurang tepat.

Politik Sarawak mesti dilihat dari sudut pandangan Sarawak kerana padangnya berbeza. Isu-isu dan keutamaannya juga berbeza, apa yang relevan di Semenanjung mungkin tidak sesuai di Sarawak dan begitulah juga sebaliknya.

Jadi, usahlah mengkritik pe­ngundi Sarawak atas pilihan mereka. Sedarkah para pengkritik sekalian apa yang mampu ditawarkan pembangkang di Sarawak? Tiada apa! Mereka sendiri tidak bergerak sebagai satu pasukan dan tidak meletakkan sasaran untuk mengambil alih pentadbiran kerajan negeri.

Maka memilih pasukan Adenan adalah yang terbaik berbanding pasukan caca-merba pembangkang yang bertanding sesama sendiri di hampir 30 kerusi DUN.

Lagipun, semua parti pembangkang utama adalah berasal dari Semenanjung. Itu titik kelemahan pembangkang kerana rakyat Sarawak lebih percayakan parti tempatan yang disifatkan sebagai memahami mereka.

Mengenai kemenangan besar di Sarawak, secara jujurnya penulis berpendapat PRN bukanlah indikator terbaik untuk mengukur kekuat­an BN di Semenanjung. Di Semenanjung, realiti politiknya sedang mengasak BN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar lebih tepat untuk dijadikan kayu ukur. Semoga petunjuk positif di Sarawak turut melanda dua kawasan berkenaan.

Adenan telah membuktikan tiada yang mustahil jika ada kesungguhan dan kemampuan. BN Sarawak telah menunjukkan kekuatan DAP di kawasan bandar hanyalah mitos dan boleh dilumpuhkan.

Pencapaian ini bukanlah seperti bersiar-siar di Tebingan Kuching sebaliknya ibarat mendaki Gunung Santubong. Dalam usia 72 tahun, Adenan telah menekan diri sendiri ke tahap paling tinggi, beliau penat, difahamkan menjelang hari peng­undian beliau hampir pitam di pejabatnya.

Pada malam kemenangan, selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri, beliau menghadiri sidang akhbar bersama Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan lain di Bangunan DUN Lama, Petra Jaya.

Riak muka Adenan lesu, bahasa badan dan tona suaranya menunjukkan beliau kepenatan. Bagaimanapun, banyak yang perlu dipelajari pemimpin BN di Semenanjung daripada gerak kerja Adenan.

Tidak sukar untuk meneka formula kejayaan Adenan. Bukanlah juga rahsia sulit kerana beliau ha­nya menterjemahkan kehendak Najib supaya pemimpin BN mendahulukan rakyat dan menyelami denyut nadi rakyat.

Hasilnya luar biasa, dalam tempoh dua tahun mengemudi Sarawak, Adenan memperkenalkan 53 sentuhan yang memukau rakyat.Menariknya, Adenan tidak suka menabur janji dalam membuat dasar prorakyat sebaliknya mengumumkannya apabila pelan penambahbaikan hampir siap atau sudah bersedia untuk dilaksanakan.

Adenan telah menunjukkan bagaimana untuk meraih sokongan rakyat melalui dasar-dasar yang menyentuh hati nurani mereka. Langkahnya wajar diteladani para pemimpin lain baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Beliau juga terkenal kerana berani mempertahankan hak Sarawak dan secara terbuka mengupas tentang kedudukan Sarawak sebagai rakan yang sama taraf dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia.

Isu Sarawak vs Semenanjung boleh dikategorikan sebagai 'isu panas' di Sarawak (tetapi sejuk di Semenanjung) namun Adenan tidak terbuai dengan emosi. Pendiriannya bersandarkan fakta dan hak yang termaktub. Beliau menuntut hak namun menolak idea keluar daripada Malaysia sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Sarawak 4 Sarawakians.

Melalui dasar beliau jugalah, ramai dalam kalangan masyarakat Cina yang biasanya kritikal kepada BN boleh menerima Adenan malah mereka bangga dengan Ketua Menteri itu (namun pada masa yang sama tetap kritikal kepada kerajaan Pusat).

Dalam memberi kredit yang sewajarnya, kita tidak boleh lupa sumbangan Perdana Menteri dan Ahmad Zahid yang saban hari membantu kempen BN di seluruh pelosok Sarawak.

Najib juga pandai mengambil hati rakyat dalam ucapannya apabila sentiasa menuturkan frasa dalam bahasa Iban asas selain membahasakan dirinya sebagai Apai Besar Menua Malaysia, Najib anak Razak.

Pelbagai peruntukan juga diluluskan untuk kesejahteraan rakyat. Ya, memang benar BN Sarawak selepas ini mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih besar dalam membuat desakan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibim­bangi Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apa salahnya le­bih perhatian diberi kepada Sarawak? Lagipun sudah sampai masanya untuk Sarawak dijadikan rakan yang sama taraf dalam erti kata sebenarnya berpaksikan semangat pembentuk­an Malaysia.

Apa yang lebih penting, BN Sarawak telah sekian lama membuktikan kesetiaan mereka walaupun kurang diberi perhatian dalam era pentadbiran sebelum ini.

Merik pengaga ati nuju pengundi ba menua Sarawak laban kita udah milih pilihan ti manah.

Suara Politik
Belantan

Comments (0)