Followers

Nuffnang

Anak Sungai Derhaka

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 9:18 PG | Posted in

sumber :-

Anak Sungai Derhaka


BN Dijangka Kalah Teruk Dalam PRK Sungai Besar?

Posted: 12 May 2016 08:30 AM PDT


BN mungkin kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang mengandaikan demikian berkata, kebarangkalian itu sukar dinafikan berdasarkan pada situasi semasa dan juga isu-isu di Selangor.

"Saya menjangkakan calon daripada Amanah (Parti Amanah Negara) akan diletak untuk berdepan dengan calon BN. Calon ini akan mewakili Pakatan Harapan dan pertembungan ini nanti akan dilihat sebagai pertembungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata, meskipun Amanah masih baharu dan kawasan itu pula dilihat kawasan yang didominasi oleh Pas sebagai parti pembangkang yang terkuat, pakatan pembangkang dilihat lebih cenderung untuk meletakkan calon daripada Amanah.

"Pas kini bukan lagi anggota pakatan meskipun Sungai Besar kubu kuat parti itu. Jika Amanah bertanding, saya andaikan Pakatan Harapan akan lebih mendokong parti berkenaan berbanding Pas.

"Pas mungkin akan berhadapan dengan pertembungan hebat daripada Pakatan Harapan terutama Amanah yang ramai melihat sebagai proksi DAP," katanya.

Beliau berkata, faktor kerjasama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pakatan Harapan menerusi Deklarasi Rakyat juga menambah lagi kebarangkalian kekalahan BN di kerusi berkenaan.

"Pakatan Harapan (dijangka) akan cuba meminggirkan Pas dalam pakatan dan bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi menewaskan BN.

"Kerjasama mereka itu dijangka akan lebih mengganas menjelang PRK di Sungai Besar nanti," katanya.

Md Shukri berkata, BN perlu ketengahkan calon berwibawa dan dihormati ramai untuk merealisasikan peluang mereka.

"Soal populariti calon dan kewibawaan penting pada PRK kali ini.

"Jangan hanya ambil kira soal jawatan dalam Umno bagi seseorang calon tapi fokus pada soal calon kerana ia akan menjadi faktor yang menambat hati penduduk atau pun tidak," katanya.

Pada PRU13, wakil BN, Datuk Noriah Kasnon menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M. Husin dengan majoriti 399 undi.

Noriah, yang meninggal dalam tragedi helikopter 5 Mei lalu, juga memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dan 2008 lapor Sinar


Betul Ke Apa Yang Ali Tinju Kata Pasal Jamal Ikan Bakar Ni?

Posted: 12 May 2016 05:30 AM PDT


Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom tidak gentar dengan ugutan Datuk Jamal Md Yunos, sebaliknya beliau mencabar Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bertumbuk di gelanggang yang sesuai.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ali Tinju hari ini membuat laporan polis mendakwa Jamal menghubunginya petang semalam dan mengugut akan memukul serta menembaknya, ekoran kenyataannya bahawa BN akan kalah teruk jika Jamal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar nanti.

"Saya nak nasihat Jamal jangan sombong dan ego dengan pistol yang kamu ada, negara ini ada undang-undang, tindakannya itu memalukan parti, kalau Jamal tembak mati ahli UMNO, tembak mati saya sebagai panglima Datuk Seri Najib, siapa yang nak jaga Datuk Najib dan Datin Seri Rosmah?

"Saya tidak ada kepentingan kenapa nak tembak saya? Saya Ali Tinju tidak goyang, kalau Datuk Jamal nak bertumbuk cari gelanggang bertumbuk dengan saya, kalau dia anak jantan, jangan fikir kamu ada duit kamu boleh bayar orang, kami NGO ini bukan bodoh.

"Saya nak ulang lagi sekali, kalau Datuk Jamal bertanding di PRK Sungai Besar, rakyat ibarat telah memilih seorang samseng dalam politik UMNO dan BN, malah Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak pernah ajar ketua UMNO bahagian jadi samseng," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Tidak cukup dengan bidasan itu, Ali Tinju turut mendakwa Jamal pernah menyerahkan pistolnya kepada orang lain ketika Perhimpunan Baju Merah pada 16 September tahun lalu.

"Saya mohon IGP menarik balik lesen yang diberi kepada Datuk Jamal, sebab beberapa isu saya lihat sewaktu Himpunan Baju Merah hari itu, Datuk Jamal mengeluarkan pistol dan memberi kepada orang lain untuk menjaga pistol tersebut.

"Kalau semua ketua bahagian ada pistol, tak puas hati angkat pistol tembak, mana ada undang-undang dalam Malaysia macam itu, sebab itu setiap ketua bahagian dia mesti tahu undang-undang, tetapi Datuk Jamal ini ego, sebab itu saya minta tarik balik lesen dia," katanya.



Pada masa sama, Ali Tinju turut menuduh hasil kekayaan dan harta Jamal datangnya daripada bantuan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"Saya harap anak-anak muda jangan tertipu dengan Datuk Jamal, dia hidup pun sebab Datuk Noh Omar, kalau tidak ada Noh Omar siapa Jamal kita tidak tahu.

"Malah dalam Himpunan Baju Merah juga berjuta dia dapat bukan kita tidak tahu dan dia upah budak-budak sekolah bagi RM50 dan makan nasi bungkus," katanya.

Video berkaitan sila lihat di SINI

Ali Tinju Dakwa Diugut Bunuh..

Posted: 12 May 2016 03:39 AM PDT


Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah), Mohd Ali Baharom membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi petang tadi, kerana mendakwa menerima panggilan berbaur ugutan daripada seorang lelaki dipercayai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunus.

Mohd Ali yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berkata, panggilan yang didakwa dari Jamal itu diterimanya ketika beliau berada di Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

"Kira-kira jam 5.10 petang semalam, ketika saya berada di Pertama Kompleks, Jalan TAR, saya telah menerima panggilan telefon dari Jamal Yunus.

"Beliau (Jamal) telah mengugut dan memaki hamun saya dengan kata-kata, 'aku pukul kau sampai mati', 'aku tembak kau dan aku cari kau sampai dapat' dan 'aku datang rumah'.

"Ugutan itu telah mengancam kehidupan dan ketenteraman saya untuk bergerak membela nasib Melayu dan bekas tentera serta balu tentera," katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Mohd Ali yang lebih dikenali dengan panggilan Ali Tinju memberitahu, beliau membuat laporan polis itu kerana bimbang apa-apa hal berlaku ke atasnya pada kemudian hari dan meminta polis mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau juga turut meminta polis menarik semula lesen senjata api yang diberikan kepada Jamal kerana dibimbangi disalahgunakan. - MalaysiaGazette


AMANAH Mahu Bertanding Di Kuala Kangsar - Nizar

Posted: 12 May 2016 01:00 AM PDT


Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR dan DAP kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh Pas dicapai menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak.

"Kalau ikut prinsip asal semasa mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, mana-mana kerusi yang ditandingi Pas, oleh kerana Amanah menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang Pas bertanding, automatik Amanah akan ambil tempat itu bertanding mewakili Pakatan Harapan," katanya kepada sebuah portal berita.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar adakah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Namun dengan kemunculan Amanah, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit.

Ini kerana PKR mempunyai kerjasama politik dengan Amanah menerusi Pakatan Harapan dan pada masa sama masih menjalin permuafakatan dengan Pas.

Meskipun tewas di semua 13 kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, Amanah meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain.

Namun parti itu memerlukan sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada BN.

"(Kami) memang kuat di Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak Pas, itu berdasarkan pengalaman saya di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar.

Bagaimanapun Nizar yang juga Adun Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan pada 15 Mei ini.

"Kena buat keputusan dulu sama ada yang mewakili Pakatan Harapan itu siapa dia. Kalau Pakatan Harapan setuju Amanah yang akan mewakili Pakatan Harapan, maka Amanah akan masuk bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu.

Selain Wan Mohammad Khair-il, turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas.

Calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim memperoleh 447 undi.

BN juga mengekalkan kerusi parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperoleh majoriti 399 undi, menewaskan calon Pas Mohammed Salleh M Husin lapor Malaysiadateline


Yang Dipertua Pas Kuala Kedah Letak Jawatan

Posted: 11 May 2016 09:00 PM PDT


Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.

Berita yang mengejutkan banyak pihak itu mula tersebar petang semalam, namun Amiruddin gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakannya itu.

Sumber terdekat Pas Kedah memaklumkan, Amiruddin telah memaklumkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi kelmarin melalui surat rasmi.

"Saya sendiri terkejut dengan berita itu, kerana sebelum ini tiada ura-ura Amiruddin akan melepaskan jawatannya. Difahamkan perkara itu turut dimaklum secara rasmi kepada Pas kawasan Kuala Kedah," katanya.

Menurut sumber, bagaimana pun, Amiruddin masih kekal sebagai ahli Pas dan tidak melepaskan jawatannya di peringkat cawangan.

"Pimpinan Pas Kedah telah berusaha memujuk beliau agar menarik semula keputusannya namun Amiruddin tetap dengan pendiriannya. Kemungkinan beliau tidak dapat lagi menghayati atau mengikuti pendekatan berpolitik Pas Pusat sekarang," katanya.

Sumber tidak menolak kemungkinan pendekatan berpolitik antara sebab utama perletakan jawatannya, bukan disebabkan ada kaitan dengan kumpulan 'harummanis' yang dikaitkan dengan ahli Pas cenderung Amanah.

"Saya difahamkan, Amiruddin juga bakal melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah dalam masa terdekat. Namun beliau perlu memaklumkan penarikan diri beliau kepada pejabat Dun atau Speaker Dun Kedah secara rasmi," katanya.

Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah sebelum ini menolak jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah yang ditawarkan kepadanya oleh Pas Pusat bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017, sebelum melantik Ahmad Fakhruddin.

Difahamkan, penolakan itu ada kaitan dengan kekalahan golongan yang bekerja keras menyatukan PR, terutama golongan profesional selain kecewa terhadap senario dalam Pas ketika itu.

Amiruddin yang juga bekas AJK Pas Pusat sejak beberapa penggal lalu turut tewas dalam pemilihan lalu apabila perwakilan hanya memilih calon dalam senarai 'cai' kumpulan konservatif.

Rombakan kepimpinan Pas Kedah turut menyaksikan Amiruddin tidak terpilih dalam barisan kabinet baharu, apabila digugurkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, digantikan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Pendang lapor Sinar


Adik Anwar Ibrahim Meninggal Dunia

Posted: 11 May 2016 08:00 PM PDT


Adik kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meninggal dunia, malam tadi.

Memetik status Facebook terkini kartunis politik, Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, Allahyarhamah Rehan Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, sebentar tadi.

"Hajah Rehan Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Mak Lang yang juga adik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninggal dunia.

"Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman. Harap adinda ku, Zarerah Hanim bersabar hadapi dugaan kehilangan orang tersayang," katanya.

Menurut status itu juga, jenazah kini berada di rumahnya di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi dan akan dikebumikan selepas Zuhur hari ini. lapor Sinar

Ni pulak whatsapp dari Chegu Bard..

Dengan sedihnya dimakllumkan bahawa ibu mertua saya Hjh Rehan ( isteri kpd arwah Kapt Pak Lang Zaki) telah kembali ke rahmatullah maghrib tadi.  
Jenazah masih dirumah No 13501, Jln Rahmat Satu, Kg Teras Jernang, Bandar Baru Bangi 43000 SDE.  
InsyaAllah akan dikembumikan sblm zuhor di Bangi  
** DSAI dijangka akan dibawa dari HKL sekitar jam 9.30 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir 

Al-Fatihah!!


Comments (0)