Followers

Nuffnang

ALHUSSEYN

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:11 PTG | Posted in

sumber :-

ALHUSSEYN


Jika aku dipenjara, ini tulisan akhir : Surat aku kepada kau

Posted: 16 May 2016 01:54 AM PDT

Kawanku yang baik hati,

 Aku menulis surat ini pada hari Sabtu 14 Mei 2016. Biasanya aku menulis pada hari Senin. Kali ini aku cepatkan. Ini kerana pada Senin (hari ini) aku akan dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Jenayah 3 di Putrajaya. Awal pagi jam 9:00 Senin 16 Mei 2016 bersamaan Hari Guru aku diwajibkan berada di sana. 

 Di pagi Senin itu akan aku dengari keputusan rayuan aku. Di pagi Senin itu akan aku dengar sama ada aku dipenjara, didenda atau dibebaskan. Tiga hakim besar akan membuat keputusan.

 Pasti kau akan tertanya-tanya - apa sebenarnya telah terjadi?

 Sebenarnya kisahnya begini, biar aku surahkan dalam surat ini. Aku mahu kamu tahu kisah sebenar. Aku mahu juga agar anak cucu-cicit kita nanti akan dapat membaca dan mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.

 Kau ingat tidak kitab Salalisah Raja-raja Melayu? Kau ingat tidak kitab Sejarah Melayu?

 Seperti pada bulan Mei 1612, Tun Seri Lanang telah menuliskan kembali Salalatus Salatin - kitab sejarah Melayu atas permintaan Yang Dipertuan Di Hilir Raja Abdullah untuk rujukan anak cucu cicit yang akan datang.

 Aku juga mahu menulis pada 14 Mei 2016 ini, tapi bukan arahan raja. Aku menulis kerana tugas sejarah agar cucu-cicit kita dapat membaca apa yang aku rakamkan ini. Aku mahu surat aku kepada kau akan menjadi bahan rujukan sejarah.

 Aku mahu anak cucu cicit kita tahu apa yang telah berlaku pada aku. Apa maknanya perkara yang telah berlaku ini. Apa yang sedang berlaku dan yang akan berlaku. Aku ingin memberi kefahaman bahawa apa yang terjadi pada diri aku hanyalah gambar latar dalam satu babak di tanah air kita.

 Aku ini hanyalah pecahan cermin yang memberi gambaran dalam satu babak yang lebih besar.

 Apakah tepat bila aku katakan babak yang lebih besar? Atau lebih tepat lagi jika aku katakan ini adalah tragedi besar yang sedang kita alami.

 Kawanku yang baik hati,

 Kau ingat tidak PRU12? Kau ingat tidak PRU13? Apakah kau telah lupa pada hari hari kita dibasahi peluh dan air mata.

 Pada hemat aku PRU12 pada tahun 2008 adalah tarikh dan masa kita mengetuk pintu. Kita ketuk pintu negara. Kita menjengukkan muka. Kita berjaya mendengarkan suara kita kepada anak semua bangsa. Mereka menyahut ketukan pintu kita. Tapi PRU12 hanyalah ketukan pintu.

 Memang betul pintu terbuka, tetapi pintu terbuka tidak luas. Cukup untuk kita semua memberanikan hati untuk melangkah tangga. Celah pintu yang terbuka itu akan memberahikan kita semua. Kita menjenguk muka ke dalam. Kita mula berahi ingin melihat apa lagi yang ada dalam rumah.

 Aduh!

 Tiga pesanan

 Apakah kau masih ingat bagaimana kita bergembira. Apakah kau masih ingat senyum kita meleret sampai ke telinga. Apakah kau masih ingat segala letih dan lesu hilang begitu saja dimakan kegembiraan kita bersama.

 Lima tahun kemudian sampai PRU13. Pada awalnya aku berpendapat pintu yang telah kita diketuk akan terbuka luas. Rumah sedang menunggu kita masuk. Kitalah tuan rumah yang baru. Ini yang aku harapkan.

 Tapi harapan hanya khayalan. Satu ilusi. Satu mimpi. Aku kembali sedar. Aku sedar bagaimana musuh kita telah melakukan pelbagai rupa bentuk rancangan. Ada rancangan yang jujur terbuka. Ada yang gelap-gelita. Ada yang penuh dengan syak wasangka. Ada yang jelas dan terang penipuan berganda-ganda.

 Kawanku yang baik hati,

 Apakah kau ingat lagi sebelum PRU13 aku telah mengeluarkan sebuah buku - Tipu Pilihanraya Turun Jalan Raya. Aku menulis untuk memberi pencerahan. Pencerahan pada kau, pada anak anak kau, pada kaum kerabat kau dan pada orang kampung kau. Aku melihat ada perancangan teratur untuk memastikan mereka yang berkuasa akan terus berkuasa. Aparacik dan jentera negara telah diarah untuk memastikan semua berjalan lancar apabila sandiwara PRU13 dipentaskan.

 Kawan ku yang baik hati,

 Apakah kau fikir apa yang aku tulis ini satu hasutan?

 Apabila PRU13 berjalan aku melihat penipuan demi penipuan berlaku. Apakah kau masih lupa tentang dakwat kekal yang tidak kekal. Apakah kau masih lupa orang asing yang menyamar sebagai warga. Apakah kau sudah lupa tentang wang yang mencurah masuk membeli kesetiaan.

 Pada hemat aku di PRU13 seharusnya kita masuk dan menjadi tuan rumah. Tapi kita ditipu. Semua lembaga daulah telah bekerja untuk menipu kita. Untuk menggagalkan kita dari memasuki rumah itu.

 Kau bayangkan, kita mendapat 52 peratus undi popular. Tetapi kita tidak dapat melangkah masuk ke rumah itu. Kita yang mendapat sokongan majoriti terus tercegat berdiri di atas tangga. Ketika inilah aku sampai.

 Lalu aku katakan tiga perkara: Pertama jangan terima keputusan PRU13. Kedua, jika dibuktikan penipuan terang-terang berlaku, wajib diadakan pemilihan semula. Ketiga, kita wajib beramai-ramai membantah hal ini.

 Tiga perkara ini aku lafazkan secara terbuka pada ratusan warga pada malam 13 Mei 2013 di Dewan Cina Kuala Lumpur. Warga datang mendengar apa yang aku ucapan kerana mereka juga merasa tidak puas hati dengan penipuan yang terang-terang berlaku dalam PRU13.

 Kawanku yang baik hati,

 Tiba-tiba aku ditahan. Lalu aku dihadapkan ke muka hakim. Aku dituduh bawah Akta Hasutan 1948. Tiga perkara yang aku ucapkan telah menjadi buah butir pembicaraan dalam mahkamah.

 Nah!

 Orang baik yang tak bersuara

 Kau bayangkan beberapa bulan selepas aku dibicarakan, badan NGO BERSIH 2.0 telah mengadakan Tribunal Rakyat. Ramai bijak dan pandai dari luar negara – si polan dan si polan yang arif dalam hal pilihan raya – telah dijemput datang dari seluruh dunia. Saksi dari seluruh negara telah juga dipanggil.

 Apa yang ditemui oleh tribunal ini?

 Memang terbukti wujud penipuan dalam PRU13. Memang ada rasuah berlaku dalam PRU13. PRU13 tidak dijalankan dengan bebas dan adil. Aduh kawan ku!

 Apa yang ditemui oleh Tribunal Rakyat lebih jelas dan lebih ilmiah dari ucapan aku pada malam 13 Mei 2013 di Dewan Cina. Tapi inti pati ucapan aku dan penemuan tribunal adalah sama.

 Lalu aku bertanya, kenapa aku yang bercakap benar ditahan dan dibicarakan?

 Ingin juga aku beri tahu bahawa yang didakwa bukan aku seorang. Ada lima lagi kawan-kawan yang juga ditahan dan dibicarakan. Tian Chua, Tamrin Ghaffar, Adam Adli, Safwan Anang dan Haris Ibrahim.

 Haris Ibrahim telah dijatuhkan hukum lapan bulan penjara. Adam Adli dan Safuan Anang dua anak muda ini sedang merayu. Tian pula, kes akan bermula pada 17 Mei ini. Kes Tamrin masih belum dibuka.

 Nah inilah yang telah berlaku. Inilah surah yang aku rakamkan kepada anak cucu-cicit kita. Biar mereka membaca dan mengetahui babak-babak akhir sebelum aku ke penjara.

Pada awalnya aku hanya didenda RM5,000. Tapi pendakwa/kerajaan tidak puas hati. Kes aku didengari pula di Mahkamah Tinggi. Di sinilah aku didapati bersalah. Denda aku dipulangkan. Dan aku dijatuhkan hukum penjara sembilan bulan. Pagi Senin ini adalah keputusan akhir.

 Kawanku yang baik hati,

 Kau tak perlu bersedih. Kau tak perlu susah hati. Sedih dan susah hati bukan jawapan yang betul bila berhadapan dengan apa yang sedang kita hadapi. Aku tahu kau akan bersimpati. Aku tahu kau akan bersetiakawan dengan aku. Aku ucapkan terima kasih.

 Kita tidak perlu bersedih. Apa yang wajib kita lakukan ialah memperkuatan semangat. Sebenarnya aku berpendapat dalam negara kita ini orang jahat tidak ramai. Orang baik-baik amat ramai. Sayangnya orang yang baik baik ini tidak mahu berbuat sesuatu. Jika orang baik mula bersuara aku rasa orang jahat ini akan lari lintang pukang.

 Kawanku yang baik hati,

 Ini surat akhir dari aku. Jika aku dipenjara Senin ini maka aku tidak akan menulis selama 9 bulan. Aku bercuti menulis. Jika aku didenda maka aku akan membayar denda. Jika aku dibebaskan maka aku akan menjadi sosok bebas.

 Janji pada ibu

 Peguam aku Datuk Ambiga Sreenevasan dan Syahredzan Johan. Ambiga cukup yakin aku tidak ada kes. Malah aku tidak sepatutnya didakwa. Kalau berlandaskan undang-undang dan hukum, Senin ini aku bebas. Lalu aku beritahu Ambiga bahawa kita ini duduk di Malaysia. Kami sesama terbarai ketawa.

 Yakinlah apa yang aku lakukan ini adalah sebahagian dari janji aku. Aku sebenarnya telah berikat janji dengan arwah emak aku dan arwah abah aku. Ketika aku berkelana di kota London mereka telah datang menemui aku. Lalu mereka bertanya apa sebenarnya yang aku buat. Lalu aku bersurah panjang. Sang emak faham. Justeru dia melarang aku pulang ke kampung.

 Di hadapan mereka di Bromley-by-Bow aku lafazkan janji untuk bercakap benar. Lalu aku berjanji untuk menjadi warga yang baik sebaik mungkin yang aku terdaya.

 Hingga ke hari ini, aku setia dan teguh dengan janji aku ini.

 Jika bercakap benar aku dianggap penjenayah maka aku rasa kita semua dalam bahaya ertinya negara sedang dipimpin oleh penjenayah. Jika berkata jujur menjadi kesalahan maka bahaya kita berganda-ganda.

 Kawanku yang baik hati,

 Jika bercakap benar dibayar dengan penjara maka penjaralah harganya. Jika bercakap benar ke tali gantung maka perjuangan ini wajib disambung. Amin. Wassalam. ~ sumber

Hasutan: Isham Rais bebas hukuman penjara

 Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan ke atas aktivis sosial Hishamuddin Rais kerana menghasut.

 Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menerima rayuan oleh Hishamuddin.

 "Kami dapati tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen," kata Tengku Maimun dalam penghakimannya.Baca lagi di sini

BEKAS PEMIMPIN, AHLI PAS TERENGGANU TIDAK SENANG SIKAP PRO UMNO

Posted: 15 May 2016 05:30 PM PDT

 Berubahnya perjuangan Pas Terengganu 180 darjah daripada mengecam dan memusuhi Umno kepada menjadi penasihat tidak diterima oleh sebahagian bekas pemimpin dan ahli Pas di negeri itu.

 Seorang penganalisis politik yang rapat dengan kepimpinan Pas Terengganu berkata, ketidakpuasan hati ahli peringkat bawah bertambah parah kebelakangan ini apabila pemimpin menyerang bekas-bekas rakan mereka yang kini menubuhkan Amanah tetapi mengalu-alukan kerjasama dengan Umno.

 "Walaupun berlegar di kalangan dalaman sahaja, ramai bekas-bekas pimpinan Pas Terengganu sangat tidak senang dengan apa yang sedang berlaku sekarang antara pemimpin baru Pas dan bekas ahli yang menubuhkan parti baru

"Mereka berhujah kenapa dengan Umno Pas boleh berbaik-baik dan bersefahaman tetapi dengan pemimpin Amanah tidak pula dapat berbaik-baik dan duduk berbincang demi kebaikan rakyat.

 "Sebaliknya, sekarang berlaku cop mengecop, label melabel dan syak wasangka yang amat teruk semasa sendiri," katanya kepada suarapakatandaily dengan syarat namanya tidak disiarkan.

 Kesan daripada sikap berburuk sangka itu, kata penganalisis tersebut, beberapa bekas ADUN Pas Terengganu mula disisihkan dan dianggap penyokong Amanah walaupun tidak dibuktikan mereka terlibat dengan perjuangan parti baharu berkenaan. Katanya, sikap menuduh melulu itu akan menyebabkan lebih banyak ahli Pas mengambil keputusan menyeberang ke parti baharu sedikit masa lagi.

 "Beberapa orang ADUN Pas kebelakangan ini ditunding jari sebagai pemyokong Mohamad Sabu. Banyak AJK Pas kawasan di Terengganu dilabelkan sebagai menyebelahi Mat Sabu dan Salahuddin Ayub. Ini amat merugikan.

 "Tapi tentunya ahli Pas sangat bingung bila ucapan seorang ahli parlimen yang juga pemimpin kanan Pas negeri baru-baru ini, semasa merasmikan mesyuarat agung kawasan, mengatakan Pas sedang dalam proses berbaik dengan Umno.

 "Ahli parlimen itu berkata sikap Pas kini tidak sama lagi dengan dahulu. Pas tidak lagi memusuhi Umno malah cuba menasihati Umno untuk jadi kerajaan yang baik. Tindakan ini tidak amat-amat menyenangkan ahli," katanya.

 Kesimpulan beliau, strategi Pas berbaik dengan Umno adalah salah kerana parti sekular itu tidak pernah menghentikan kezaliman seperti mengenakan cukai GST, dasar peras ugut, penyelewengan dan sebagainya.

 Sebaliknya ahli bawahan melihat Pas pasca Nik Aziz Nik Mat semakin bergerak seperti era bekas presiden Asri Muda yang 'tergila-gila' mahu berbaik-baik dengan Umno.~ Sumber

Comments (0)