Followers

Nuffnang

WarkahDaily Online

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 1:26 PG | Posted in

sumber :-

WarkahDaily Online


Dua serpihan di Mozambique hampir pasti milik MH370

Posted: 20 Apr 2016 06:42 PM PDT

Dua serpihan yang ditemui di Mozambique, pada Disember dan Februari lalu, hampir pasti adalah milik pesawat MH370, menurut Laporan Pemeriksaan Teknikal yang dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, laporan itu menunjukkan kedua-dua serpihan adalah daripada sayap pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.

"Penstensilan pada kedua-dua bahagian serpihan memberikan penyiasat bukti hubung kait. Fon dan warna pada nombor yang distensilkan pada bahagian pertama menyamai apa yang digunakan Malaysia Airlines.

"Bahagian kedua mengandungi perkataan 'No Step' dengan penstensilan konsisten seperti yang digunakan Malaysia Airlines dan sebuah pengikat yang dipasang pada bahagian itu membuktikan hubung kait serpihan berkenaan dengan talian pengeluaran pesawat itu.

"Saya berterima kasih kepada pasukan daripada ATSB, Geoscience Autralia, Boeing dan Australian National University di atas tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan media di laman sesawang kementerian itu, semalam.

Chester berkata, pencarian pesawat hilang itu diteruskan di 20,000 kilometer persegi terakhir.

Beliau berkata, kapal China, Dong Hai Jiu 101 yang terlibat dalam pencarian itu akan digerakkan semula ke kawasan terbabit, selepas penemuan peralatan sonar yang hilang ketika menyertai pencarian sebelum ini.

"Pada 21 Mac lalu, kegagalan penyambung kabel penunda mengakibatkan kehilangan peralatan sonar daripada Dong Hai Jiu 101. Ia akan diperiksa dan diuji, sebelum kapal itu kembali ke kawasan pencarian," katanya.

Kedua-dua serpihan itu ditemui di Mozambique pada Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Ketika ini, usaha mencari dijalankan di selatan Lautan Hindi, di mana laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir.

bernama/fmt

Hudud paling praktikal cegah jenayah - Dr Zakir Naik

Posted: 20 Apr 2016 08:43 AM PDT

Hudud adalah undang-undang pencegahan jenayah yang paling praktikal di muka bumi ini, kata pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Dr Zakir berkata, Arab Saudi yang melaksanakan hukum hudud terbukti lebih berjaya menangani jenayah berbanding Amerika Syarikat (AS) yang tidak melaksanakan undang-undang sedemikian.

Katanya, perkara itu dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa AS sendiri, yang mana menunjukkan kadar rogol dan jenayah di negara kuasa besar itu adalah tertinggi di dunia.

"3,000 jenayah direkodkan berlaku setiap saat di AS ketika ini. Bayangkan jika sistem zakat dibuat dan disusuli undang-undang Islam (hudud) di AS. Adakah ia akan menambah atau mengurangkan jenayah?

"Sudah tentu ia mengurangkan jenayah. Undang-undang syariah adalah undang-undang paling praktikal untuk dilaksanakan di mana-mana tempat di muka bumi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Ceramah itu dihadiri Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan kira-kira 1,000 pelajar dan kakitangan universiti itu.

Agenda pelaksanaan hukum hudud sering dibangkit di negara ini dan menjadi wadah utama perjuangan PAS bagi memperoleh mandat daripada pengundi.

Terbaru, PAS cuba untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, bagi membolehkan hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.

Agenda hudud menjadi punca kepada perbezaan pendapat antara PAS dan DAP sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur tahun lalu.

Freemalaysiatoday.com

5 pelajar UMK jatuh gaung ketika selfie

Posted: 20 Apr 2016 07:55 AM PDT

ANGGOTA bomba menaikkan mangsa yang terjatuh dari puncak Bukit Keluang. - Foto ihsan bomba
Lima pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang cuba mengambil gambar selfie, terjatuh dari puncak Bukit Keluang, dekat sini, ketika mereka menyertai aktiviti pendakian bersama 20 pelajar lain, tengah hari tadi.

Pelajar terbabit iaitu dua lelaki dan tiga perempuan berusia 20 tahun, dikatakan pergi ke bukit berkenaan pada kira-kira jam 1 tengah hari untuk menyertai aktiviti pendakian.

Bagaimanapun, lima pelajar terbabit dikatakan tergelincir ketika masing-masing sedang mengambil gambar dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 24 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd Zailani Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 1.15 tengah hari dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Raja bergegas ke lokasi kejadian.

"Hingga petang ini, dua daripada pelajar terbabit, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berjaya dibawa naik. Bomba masih berusaha membawa keluar tiga lagi pelajar dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Keadaan gaung yang dalam menyukarkan kerja menyelamat mangsa," katanya.

berita harian

Jawapan PAS terhadap kenyataan Dr. Zakir Naik, kerjasama UMNO-PAS

Posted: 20 Apr 2016 04:39 AM PDT

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) sentiasa berpegang kepada Dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan. Hal ini adalah bersasaskan kepada Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)". (Surah Al Maidah: 2)

Begitu juga ianya berasaskan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim, Baginda menjawab , elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka". (Riwayat Imam Bukhari)

2. Berdasarkan kepada nas-nas di atas, maka PAS sentiasa tegas dan konsisten serta mengambil pendekatan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangan. Hal ini adalah selaras dengan pendekatan yang sedang dilaksanakan oleh PAS iaitu "Budaya Politik Matang Sejahtera". Ianya juga selaras dengan Fasal 6(6), Perlembagaan PAS (Usaha-usaha) yang memperuntukkan:

"Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara"

3. PAS juga berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa "PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional".

DATO' TAKIYUDDIN HASSAN, JP.
Setiausaha Agung PAS.


Comments (0)